Thursday, February 25, 2010

Salam Maulidur Rasul.

Pada hari ini tanggal 26/02/2010 bersamaan 12 Rabiulawal 1431H, Hari Jumaat, seluruh umat Islam di dunia menyambut Maulidur Rasul bagi memuliakan insan yang bernama Muhammad Bin Abdullah s.a.w. Walaupun ada kekhilafan dalam tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w, namun yang penting memuliakannya serta membesarkan junjungan Nabi adalah satu tuntutan kepada umat Islam. Berbagai-bagai cara umat Islam menunjukkan tanda kasih dan sayang mereka kepada junjungan mulia utusan Allah dengan iringan selawat berpanjangan. Apatah lagi ia disambut pada Hari Jumaat, penghulu segala hari di mana umat islam dituntut untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjunagn Rasulullah s.a.w. dan dijanjikan syafaat oleh Rasulullah s.a.w. sendiri.
Sesungguhnya perayaan menyambut Maulidur Rasul ini bukannya perkara bidaah yang mungkar seperti yang dituduh oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Siapakah yang kita muliakan itu dan di mana salahnya kita memuliakan insan yang telah membawa cahaya iman kepada kita selama ini. Jika tidak diadakan sambutan yang menggalakkan umat Islam terus-terusan berselawat, maka umat islam hanyalah berselawat ke atas Nabi yang mulia ini sewaktu melakukan solat, itupun disebabkan wajib berselawat.
Kalau di negara kita misalnya, sambutan keputeraan Sultan-Sultan diadakan, sambutan Hari jadi anak dan isteri diingati, apakah Rasulullah s.a.w tidak boleh kita ingati kerana Baginda s.a.w lebih mulia dan lebih wajib kita kasihi daripada keluarga kita sendiri walaupun ayah dan ibu kita sendiri. Pihak-pihak yang begitu alergi dengan sambutan Maulidur Rasul ini menuduh pula umat Islam berlebih-lebihan dalam memuji Rasulullah s.a.w sehingga kita dituduh mempertuhankan Muhammad s.a.w. Sejak beratus-ratus tahun tidak pernah ada umat islam yang solat " kerana Muhammad s.a.w untuk diganti dengan kerana Allah Ta'ala". Aqidah umat islam dijaga oleh Allah swt, maka janganlah berburuk sangka dengan aqidah umat Islam yang ada. Kalau adapun yang tersesat dalam aqidahnya, hanyalah segelintir kecil bagi yang mengikuti ajaran sesat seperti ajaran Hj Kahar, Ayah Pin, ajaran Rejab dan lain-lain.
Bagi yang alergi dengan sambutan Maulidur Rasul ini sepatutnya bersikap terbuka tanpa menuduh umat Islam merayakan sambutan Maulidur Rasul sebagai mengikuti ajaran Yahudi dan Nasrani yang memperingati kelahiran Nabi Isa a.s. Kalau tak mahu berarak, berzanji, membaca Qasidah, Burdah dan sebagainya diam-diam sudahlah dan tidak ada sesiapa yang memaksa anda untuk mengikuti apa yang kami lakukan. Ketahuilah bahawa niat mereka yang menyambut Maulidur Rasul ini adalah dengan bertujuan memuliakan Nabi dan menyambut kegembiraan mereka di atas kelahiran insan yang membawa kerahmatan untuk seluruh alam. Penduduk Madinah juga begitu gembira menyambut penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Kota Mekah untuk membawa cahaya keimanan kepada mereka, maka tidak salah jika umat Islam begitu gembira menyambut Maulidur Rasul dengan cara-cara yang tidak bersalahan dengan hukum syarak. Semoga mereka-mereka yang memuliakan junjungan besar Muhammad s.a.w akan mendapat syafaat seperti yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulnya.
"SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL"

No comments: