Tuesday, March 23, 2010

Keistimewaan Pengajian Syeikh Fuad al-Maliki.

Kita sering dihidangkan dengan pengajian kitab oleh beberapa penceramah atau ustaz-ustaz di masjid-masjid ataupun surau-surau. Namun pengajian kitab yang disampaikan oleh Al-Fadhil Syeikh Mohd Fuad al-Maliki ada kelainannya dan begitu istimewa sekali jika dibanding dengan pengajian yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang lain.Bukanlah coretan saya kali ini untuk membandingkan kehebatan seseorang tetapi apabila saya sering mengikuti pengajian yang disampaikan oleh ulama muda iaitu Syeikh Fuad al-Maliki, membuatkan kita terasa betapa kerdil dan hinanya kita di sisi Allah swt.
Setiap kali sebelum pengajian kitab dimulakan oleh Syeikh Fuad al-Maliki, kita akan dihidangkan, malah turut serta untuk membaca Hizib Selawat, Bacaan Qasidah memuji Rasulullah s.a.w., malah beliau sendiri turut serta dalam majlis selawat yang diadakan. Ini menunjukkan betapa kasih dan cintanya beliau terhadap junjungan Rasulullah s.a.w maka beliau sering menganjurkan jemaah-jemaah yang duduk dalam majlis pengajian beliau untuk memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Maka tidak hairan jika beliau begitu lantang menentang golongan-golongan yang menyamatarafkan Rasulullah s.a.w dengan manusia lain yang ada di muka bumi ini. Dalam buku bertajuk "Keistimewaan Rasulullah s.a.w" yang ditulis oleh Syeikh Fuad al-Maliki, diceritakan betapa banyaknya keistimewaan Rasulullah s.a.w dengan mukjizat-mukjizat yang jarang-jarang dinukilkan oleh orang lain. Begitu juga dengan buku tulisan Syeikh Fuad bertajuk "Pohon Nabawiyyah". Beliau menukilkan tentang Nasab Nabi, isteri-isterinya, putera-putri baginda dan segala-gala yang berkaitan lagsung dengan Rasulullah s.a.w.
Sewaktu pengajian di Pusat Tahfiz Al-Jazari, sebelum beliau memulakan pengajian Kitab Dalail Al-Khairat, bacaan Hizib Selawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w. akan berkumandang dengan begitu indah sekali. Begitu juga sebelum beliau memulakan pengajian Kitab Syamail Muhammadiyah dan Tafsir Surah Yassin, bacaan Qasidah memuji Rasulullah s.a.w akan berkumandang dalam majlis yang penuh dengan keharuman daripada gaharu yang dibakar. Kepetahan dan keilmuan yang dimiliki oleh Syeikh Fuad al-Maliki akan membuatkan para pendengar akan terus berada dalam majlis pengajian beliau sehingga ianya berakhir. Syeikh Fuad al-Maliki bukan sekadar membaca hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab yang diajarnya, malah beliau turut menghuraikan maksud sebenar hadis, malah mengaitkannya dengan hadis-hadis yang seumpama dengan hadis-hadis yang yang dibacanya. Sikap tawadduk dan rendah hati yang ditunjukkan oleh beliau membuatkan kita begitu kasih dan semakin gemar mendengar kepetahan ucapan-ucapan yang disampaikannya.
Kesempatan mengikuti pengajian Syeikh Fuad al-Maliki di beberapa tempat telah saya abadikan dalam paparan video Youtube untuk dimanafaatkan oleh pencinta-pencinta ilmu. Insya'allah dengan izin Allah swt, saya akan terus mengikuti pengajian kitab oleh ulama muda ini dan menyebarkannya pula dalam bentuk video di Youtube dan berharap ia dapat dikongsi oleh seluruh umat Islam di mana jua mereka berada. Semoga Allah memberkati segala usaha murni ini daripada hambaNya yang masih lagi belajar dan terus belajar menuntut ilmu daripada insan yang telah dipilih oleh Allah dengan keilmuannya yang tinggi.

Sunday, March 21, 2010

Program Maksiat Bermula Lagi.


Program Akademi Fantasia yang menjadi kegilaan sebahagian umat Islam di negara ini bermula lagi. Program yang dianjurkan oleh umat Islam, disertai oleh kebanyakan umat Islam, diadili oleh umat Islam, ditonton oleh umat Islam dan pengacaranya juga umat Islam. Maka mereka-mereka yang terlibat juga adalah dari umat Nabi Muhammad s.a.w.
Bulan Rabiulawwal sudah pun melabuhkan tirainya, namun sehingga kini masih ada lagi umat Islam yang meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan majlis selawat, berzikir, majlis ilmu dan sebagainya untuk membesarkan dan memuliakan junjungan besar Rasulullah s.a.w. Di sebalik majlis-majlis yang bermanafaat ini diadakan, ada satu kelompok manusia di kalangan umat Muhammad s.a.w berpesta sakan dengan program maksiat yang langsung tidak ada kebaikannya di sisi Allah swt. Akibat terpujuk dengan rayuan Iblis laknatullah, segala-galanya menjadi halal bagi mereka demi mencari populariti dan mengikut telunjuk hawa nafsu Syaitan agar terus berhibur dan berhibur.
Ada di kalangan mereka-mereka yang menjayakan program maksiat ini sudahpun bergelar haji dan hajjah. Dengan itu fikir-fikirkanlah samada tuntutan haji yang kamu lakukan itu, apakah sebenarnya mendapat haji yang mambrur atau hanya sia-sia sahaja sekembalinya kamu dari mangerjakan haji.
Diriwayatkan bahawa malaikat maut senantiasa memandang pada wajah setiap manusia sebanyak 70 kali sehari. Apakah jika kita dapat memandang malaikat maut tersebut secara zahirnya, kita akan terus melibatkan diri dengan program maksiat seperti ini? Tidak terfikirkah oleh kita, jika sedang kita berhibur dengan program maksiat sebegini, tiba-tiba ajal pula datang menjemput? Ketentuan Illahi itu tidak dapat kita pastikan bila dan di mana kita akan mati. Seandainya kita mati di kala kita sedang berhibur, betapa hinanya pengakhiran hidup kita tanpa memberi manafaat sedikitpun. Persoalannya apakah kita redha mati dalam keadaan sedang duduk dalam majlis maksiat?
Sebenarnya azab Allah terhadap dunia ini sudah sepatutnya berlaku tetapi Allah menahannya kerana rahmat dan belas kasihan Allah itu disebabkan adanya hamba-hamba Allah yang terus memperhambakan diri kepadanya dengan solat malam, adanya kanak-kanak yang sedang menyusu, adanya binatang-binatang ternakan yang sedang meragut rumput dan juga disebabkan kita semua ini adalah di kalangan umat Muhammad s.a.w. Betapa beruntungnya kita menjadi umat Muhammad s.a.w kerana tidak di azab di muka bumi ini, tidak seperti umat-umat Nabi yang terdahulu. Pengorbanan Nabi Nuhammad s.a.w untuk umatnya terlalu banyak tetapi ada di kalangan umatnya masih tidak menghargainya dengan terus menerus berada dalam majlis yang mengundang kemurkaan Allah swt. Bertaubatlah wahai umat Muhammad s.a.w yang berada dalam program Akademi Fantasia yang tidak lain hanyalah satu program yang telah memperdayakan kamu sekelian dengan janji-janji yang tidak membawa apa-apa manafaat sekalipun. Berlepas dirilah kamu sekelian dari azab Allah dengan meninggalkan program seperti ini yang melalaikan diri kamu dari mengingati Allah.

Wednesday, March 17, 2010

Akal Cerdik Bukan Ukuran Islam.

Semenjak kebelakangan ini terlalu banyak kontroversi yang melanda dalam membahaskan hal-ehwal agama Islam. Golongan cerdik pandai seperti Sister In Islam yang kononnya memperjuangkan Islam acapkali mengeluarkan kenyataan yang menurut akal mereka yang cerdik dalam membahaskan hukum-hakam Islam. Apabila pihak JAIS mengeluarkan khutbah yang menyatakan Sister In Islam menghina Islam, maka golongan cerdik pandai ini cuba pula berbahas dengan ayat-ayat Al-Quran mengikut tafsiran akal mereka sahaja.
Sudah terlalu banyak kenyataan Sister In Islam yang menghina hukum-hakam Islam malah penampilan mereka juga sudah jelas menolak hukum Islam agar setiap wanita wajib menutup aurat. Jika perkara asas sebegini tidak mampu dilaksanakan oleh Sister In Islam, janganlah cuba nak bersuara dalam menegakkan syariat Islam.
Inilah yang terjadi di zaman muta'akhir ini apabila golongan cerdik pandai ini hanya menggunakan akal mereka berbanding keimanan yang sebenar. Kalau kita lihat bagaimana hebatnya iman Syaidina Abu Bakar yang tidak pernah nak mempertikaikan atau bertanya apa-apa pun apa yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w, apakah beliau ini tidak cerdik? Begitu juga dengan keimanan yang ditunjukkan oleh Sumaiyyah apabila seluruh keluarganya disiksa hingga mati, apakah tidak terfikir oleh Sumaiyyah untuk membuat helah bagi melepaskan diri dari terus disiksa? Sumaiyyah tahu bahawa kehidupan di akhirat itu lebih baik berbanding dunia, maka beliau redha disiksa demi mempertahankan aqidahnya.
Namun bagi Sister In Islam, akibat terlalu cerdik, maka sewenang-wenangnya mempertikaikan bentuk hukuman yang telah ditetapkan oleh Al-Quran. Hukuman sebat 4 dan 6 rotan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib bukanlah sebenarnya apa yang termaktub di dalam Al-Quran, kerana bagi penzina, hukumannya samada direjam ataupun dirotan 80-100 kali. Ini baru dihukum 4-6 sebatan, Sister In Islam dah nak mempertikaikannya, bagaimana kalau dilaksanakan sepenuhnya hukum Allah yang sebenar?
Di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj, Rasulullah s.a.w melihat bagaimana siksanya perempuan yang tidak menutup aurat dengan rambutnya digantung dan berada di dalam api neraka. Begitu juga banyak kisah-kisah benar yang diceritakan tentang azab kubur. Apakah anggota Sister In Islam, apabila ditanya oleh kedua malaikat, akan menjawab, "INI HAK KEBEBASAN KAMI" sebagai rakyat. Sewaktu itu tiada siapa yang dapat membela diri anda kerana kedua malaikat tersebut tidak mahu tanya tentang hak kamu sebagai rakyat, malah ditanya tentang apakah kamu telah melaksanakan hak Allah? Sister In Islam boleh juga menjawab, "KAMI MEMPUNYAI PENDAPAT YANG BERBEZA". Ketahuilah oleh kamu wahai Sister In Islam, dalam menegakkan hukum Allah, dalam mempertahankan aqidah, tidak ada perselisihan pendapat selain kamu mesti akur dan patuh apa yang sudah termaktub di dalam Al-Quran. Jika kamu bangga dengan pertubuhan kamu sehingga ke peringkat antarabangsa, mana dia ulama-ulama rujukan kamu. Sister In Islam sebenarnya tidak mempunyai ulama-ulama untuk dirujuk, kerana terlalu mengikut kecerdikan akal mereka yang sebenarnya jahil. Saya menyeru agar pihak berkuasa agama akan terus memberi kefahaman kepada seluruh umat Islam tentang bahayanya Sister In Islam dalam memperkatakan hal-ehwal Islam.

Monday, March 15, 2010

Berhenti Menulis Atau DiTolak?

Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata beliau telah berhenti menulis untuk Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan terus menulis dalam beberapa media yang lebih bebas selepas ini.
Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini dari Arab Saudi, Dr Mohd Asli yang dikenali dengan kelantangannya bercakap dan menulis berkata, beliau berhenti menyumbang kepada Mingguan Malaysia
terbitan kumpulan Utusan.
Setelah akhbar Mingguan Malaysia menolak artikel yang ditulis oleh Dr Asri bertajuk "Ulama: Dimuliakan atau DiSucikan" maka Dr Asri ingin mencari ruang akhbar yang lebih bebas untuk menyampaikan fahamannya.
Sebenarnya akhbar Mingguan Malaysia sudah memberi kebebasan yang begitu luas untuk Dr Asri menulis, namun kebebasan tersebut telah diselewengkan oleh Dr Asri dengan mencetuskan idea-idea dan pemikiran mengikut hawa nafsunya sahaja. Apabila pemikiran dan fahaman yang dibawa oleh Dr Asri dijawab oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa dengan hujah-hujah yang begitu jelas, maka sewajarnya akhbar Mingguan Malaysia menolak tulisan-tulisan beliau.
Sebelum Dr Asri menulis, ruangan bicara agama telah ditulis oleh Astora Jabat yang membawa pemikiran berlandaskan hukum akalnya sahaja. Apabila ruangan bicara agama diambil alih oleh Dr Asri, maka tulisannya agak sama juga dengan pemikiran yang dibawa oleh Astora Jabat. Kebebasan yang diberi oleh akhbar Mingguan Malaysia digunakan oleh Dr Asri untuk memperlekahkan jabatan-jabatan agama, guru-guru pondok, ulama-ulama silam malah membuat tuduhan-tuduhan buruk ke atas golongan tarikat dan ahli Sufi.
Syabas diucapkan kepada akhbar Mingguan Malaysia kerana dengan tindakan menolak penulisan Dr Asri, akan membuatkan umat Islam tidak terus ditipu dan dipengaruhi oleh pemikiran-pemikiran yang melampau. Jika semua orang diberi kebebasan menulis dalam media cetak, maka akan wujudlah sikap pelampau yang akhirnya akan merosakkan kesatuan ummah itu sendiri.

Wednesday, March 10, 2010

Mengapa Mempertikaikan Maulid?


Mengapa Mempertikaikan Maulid? – Syekh Fuad al-Maliki.

Alhamdulillah. Setinggi pujian kita rafa`kan ke hadrat Allah Rabbul Jalil di atas limpahan nikmatnya kita dipertemukan dan dapat melalui hari-hari bulan Rabi` al-Awwal tahun ini yang menyuburkan ingatan dan ikatan kasih kita dengan kekasihNya, Nabi kita, Sayyiduna Muhammad SAW. Nampaknya sambutan umat Islam di serata pelusuk dunia terhadap hari dan bulan kelahiran Nabi SAW tetap segar dan bersemangat. Di negara kita sendiri, pelbagai bentuk sambutan yang diadakan di pelbagai peringkat mendapat sokongan dengan kehadiran begitu ramai anggota masyarakat. Masih banyak lagi majlis yang dijadualkan dalam masa terdekat sehingga mungkin melimpah keluar bulan Rabi` al-Awwal. Semua ini adalah suatu nikmat dan kurniaan istimewa daripada Allah SWT bagi umat dan negara kita. Kita berdoa agar umat Islam di Malaysia akan sentiasa terkedepan dalam mengagungkan, menyanjung, mempertahankan dan membuktikan kecintaan kita terhadap Sayyiduna Muhammad SAW yang semuanya merupakan inti dan hakikat sambutan Maulid Nabi.

Kita berdoa agar sambutan Maulid Nabi di negara kita akan terus meriah dan lebih semarak walaupun terdapat suara-suara yang nampaknya tidak senang dan kelihatan seolah-olah alahan (alergik) dengan sambutan Maulid. Pada tahun ini, suara-suara ini turut ‘menumpang’ isu pembatalan perarakan sambutan Maulid di salah sebuah negeri. Sebenarnya, saban tahun, apabila datang sahaja bulan Maulid, ada sahaja suara-suara, yang nampaknya bersumber daripada orang-orang yang sama, yang mempermasalahkan, mempertikaikan dan tidak senang dengan Maulid. Sikap tidak senang ini disuarakan pada pelbagai tahap dan dengan pelbagai ibarat. Ada yang menafikan adanya keistimewaan atau fadhilat Maulid Nabi SAW dan membanding-bandingkannya dengan keutamaan Nuzul Quran. Ada yang mengungkit-ungkit bahawa sambutan Maulid tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW dan para sahabatnya (maksud Bid`ah yang sesat). Ada pula yang memilih musim Maulid ini untuk menulis dan menekankan tentang soal keinsanan Nabi Muhammad SAW. Dan ada juga yang mempertikaikan cara dan kaedah sambutan itu diadakan. Mereka yang faham dan mengenali suara-suara ini tidaklah terlalu terperanjat walaupun tetap menepuk dahi dan mengurut dada kerana sedih dan kesal dengan kekeliruan yang cuba dijaja dan kedegilan sikap yang ditonjolkan. Mereka yang kurang mengerti dan memahami pula mungkin sedikit-sebanyak akan terkeliru dan timbul kesangsian terhadap sambutan Maulid. Apatah lagi jika isu ini turut bercampur dan bertindan dengan isu dan sentimen politik kepartian.

Bukanlah terlalu besar isunya, jikalau yang dipertikaikan tentang Maulid ini adalah kaedah dan cara sambutannya. Prinsip-prinsip Islam dalam menentukan kaedah dan cara dalam sesuatu amalan sudah ada pada kita. Yang haram dan halal sudah jelas dalam Islam, manakala yang syubhah eloklah dijauhi. Kita turut diajar berlapang dada dalam persoalan yang statusnya masih khilaf. Kita juga dilarang mempertikaikan niat orang lain serta perlu bersangka baik sesama Islam. Berbekalkan sikap ini soal-soal rinci seperti berarak atau tidak, pembaziran, percampuran dan batas aurat, lafaz dan bacaan selawat, berkompang dalam masjid dan sebagainya dapat kita sikapi tanpa menimbulkan banyak masalah.

Malangnya, sebahagian suara-suara yang alahan Maulid ini turut mempertikaikan prinsip dan hukum Maulid serta kewajaran dan kebijaksanaan menganjurkannya dari sisi Islam. Ini adalah soal yang lebih besar dan mendasar. Kegelinciran kaki dalam hal ini boleh melibatkan soal-soal besar termasuklah menyakiti Nabi SAW, tidak beradab dengan Baginda SAW, menentang syiar Islam, menyesatkan para ulama dan umat Islam, memecahkan kesatuan umat dan seumpamanya. Tidak hairanlah seorang tokoh ulama Yaman, al-Allamah Abu Abdullah `Alawi al-Yamani turut memperuntukkan bab khusus tentang persoalan Maulid dalam kitabnya yang bertajuk Intabih Diinuka fi Khotrin (Awas, Agamu Dalam Bahaya!). Memang, jika tidak berhati-hati, kata-kata dan perbuatan kita dalam bab Maulid ini boleh membahayakan dan mengancam agama kita sebenarnya.

Kerangka Fikir Menolak Maulid

Jika diteliti, ada beberapa kerangka faham agama tertentu yang dipegangi oleh mereka yang alahan Maulid ini yang akhirnya menyebabkan mereka bersikap begitu. Kerangka faham agama yang sama juga menyebabkan mereka turut mempermasalahkan dan berbeza sikap dengan majoriti umat dalam soal-soal tertentu seperti fiqh bermazhab, tasawuf, dan beberapa isu-isu khilafiyyah. Kita boleh menyimpulkan kerangka faham agama mereka ini kepada beberapa fahaman utama :

Pertamanya : fahaman mereka yang ganjil berkenaan prinsip dan konsep Bid`ah. Mereka tidak mahu menerima pandangan ulama-ulama muktabar yang membahagikan Bid`ah kepada yang sesat dan yang terpuji. Bagi mereka semua Bid`ah dalam hal agama adalah sesat. Mereka keras berpegang dengan tafsiran literal dan sempit kepada hadis yang berkaitan persoalan Bid`ah ini.

Kedua : mereka terlalu menekankan sikap Ittiba` (mematuhi) dalam sikap mereka terhadap Nabi SAW dan Sunnahnya. Seterusnya, secara langsung atau tidak mereka ini sering mempertentangkan Ittiba` dengan sikap-sikap lain kita terhadap Nabi seperti Hubb (mengasihi) Ta`dzim (mengagungkan), Tasyaffu` (memohon syafaat), Tabarruk (mengambil berkat), Tawassul (mengambil sebagai perantaraan) dan seumpamanya.

Ketiga : mereka berpegang serta bertaklid kuat dengan fahaman dan tafsiran beberapa tokoh ulama khalaf tertentu yang akhirnya telah diolah dan terolah menjadi suatu aliran terasing daripada arus perdana Umat. Berbekalkan fahaman-fahaman dalam aliran ini yang telah mereka angkat ke tahap doktrin dan memang disebarkan secara indoktrinasi (secara perbincangan sebelah pihak serta tidak saksama ataupun objektif), mereka ini rata-rata bersikap lebih pesimistik dan cenderung mempertikaikan tafsiran para ulama lain selain daripada beberapa ulama yang menjadi ikutan mereka.

Jika direnungi fahaman-fahaman asas mereka ini maka tidak hairanlah mereka ini cenderung menolak Maulid. Sebaliknya, mereka yang mendokong Maulid tidak perlu mengambil-kira pandangan ini kerana asas-asas fahamannya ternyata berbeza dengan arus perdana Umat. Pertamanya, di sisi majoriti umat, sambutan Maulid adalah paling kurangpun dikira sebagai Bid`ah Hassanah. Malah ada pandangan menyatakan bahawa ia termasuk sunnah yang dimulakan oleh Nabi SAW sendiri berdasarkan hadis yang menyebut bahawa kelahirannya pada hari Isnin menjadi salah satu asas Baginda SAW berpuasa sunat pada hari-hari tersebut, “Padanya (hari Isnin) aku dilahirkan dan padanya (hari Isnin wahyu pertama) diturunkan kepadaku.”( Syarah Sohih Muslim, Imam Nawawi Jld 8 H: 235)

Majoriti umat juga tidak melihat konsep Ittiba`, Hubb, Ta`dzim, Tasyaffu`, Tabarruk dan Tawassul sebagai konsep-konsep yang bercanggahan antara satu sama lain. Malah semuanya adalah sebahagian dan selari dengan dasar mematuhi dan mentaati Nabi SAW kerana konsep-konsep ini tidaklah dilarang atau bercanggah dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.

Merujuk kepada asas fahaman mereka yang ketiga, majoriti Umat Islam telah mewarisi khazanah fahaman agama meliputi ketiga-tiga cabang utamanya Aqidah/Tauhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf daripada generasi demi generasi ulama-ulama pilihan dalam suatu kerangka yang kemas dan sistematik. Para pemuka ulama Umat dalam kerangka ini rata-ratanya tidak menolak dan mendokong Maulid sehingga boleh dianggap terdapat sebentuk Ijma` Sukuti (ijma` senyap) tentang sambutan Maulid Nabi selepas ia mula dianjurkan secara besar-besaran.

Keinsanan Rasulullah SAW

Dalam kehangatan kita cuba mendaulatkan dan menyanjung Nabi SAW di musim Maulid tahun ini, seorang penulis kolum telah memilih untuk membahaskan isu keinsanan para Rasul AS mengikut fahaman yang tersendiri. Pemilihan masa dan cara penulisan tulisan tersebut nampaknya cuba menghantar beberapa mesej yang bercanggah dengan sambutan Maulid Nabi SAW. Antara mesejnya adalah, keinsanan Nabi SAW ditonjolkan agar tumpuan diberikan terhadap al-Quran dan bukan diri Nabi SAW. Mukjizat yang berkaitan dengan diri Nabi SAW cuba dikecilkan kononnya untuk mengelakkan pelampauan dalam memuji Nabi SAW. Olahan sebegini terhadap mukjizat peribadi Nabi SAW turut dimaksudkan untuk mempermasalahkan keistimewaan yang boleh dikurniakan oleh Allah SWT kepada insan-insan pilihannya yang lain seperti Irhas dan Karamah.

Seperti biasa, kolumnis tersebut membawa beberapa dalil al-Quran dan Hadis untuk mendokong `tesis’nya itu. Cuma, jika diperhalusi, kesemua dalil-dalil ini telah ditafsirkan dan diletakkan dalam kerangka yang sesuai dengan kecenderungan penulis. Misalnya, ketika memetik ayat 110, Surah al-Kahfi yang bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku…” penulis tidak pula menegaskan bahawa walaupun Nabi SAW itu insan, tetapi sebagai insan yang menerima wahyu Baginda SAW bukanlah sama dengan insan biasa. Menerima wahyu adalah tugas berat dan istimewa dan Rasulullah SAW telah dipilih serta dipersiapkan lebih awal untuk proses itu. Setelah Baginda SAW menerima wahyu pula, Baginda SAW terus-menerus meningkat keistimewaannya dan tidak sama sekali boleh di samakan dengan insan biasa.

Penulis turut menukilkan ayat-ayat yang menegaskan bahawa mukjizat Nabi SAW hanya berlaku dengan izin Allah SWT. Isu ini tidak pernah dipertikaikan oleh mereka yang mengagungkan Nabi SAW. Dalam menjulang Nabi SAW, para ulama dan umat Islam arus perdana tetap melakukannya dalam kerangka tauhid. Mereka tetap mengembalikan segala keistimewaan Baginda SAW kepada izin, ketentuan dan iradah Allah SWT.

Kolumnis ini juga memetik hadis dimana Baginda SAW melarang kita daripada memujinya berlebihan seperti orang Kristian memuji Nabi Isa AS. Tetapi beliau tidak menyatakan pandangan para ulama yang rata-rata memahami hadis tersebut sebagai larangan bersyarat. Dilarang memuji Nabi SAW, jika pujian tersebut sampai ke tahap mengatakan Nabi Muhammad SAW sebagai anak Allah dan lain-lain dakwaan melampau Kristian tentang Nabi Isa AS. Adapun pujian setinggi manapun, selagi tidak sampai ke tahap itu, memang layak dan sesuai dengan ketinggian dan keistimewaan Nabi Muhammad SAW disisi Allah SWT.

Kolumnis tidak pula membawa dalil-dalil al-Quran dan Hadis yang menjulang dan memuji Nabi SAW. Tidak juga merujuk kepada sikap dan perbuatan para Sahabat RA dalam memuliakan dan membesarkan Nabi SAW. Para Sahabat RA, merupakan generasi yang paling memahami dan menjiwai al-Quran dan Sunnah tetapi apa yang mereka lakukan dalam memuliakan Nabi SAW adalah jauh melebihi apa yang kita lakukan di dalam atau di luar majlis-majlis Maulid yang kita anjurkan.

Seperti beberapa tulisan sebelum ini, kolumnis ini juga memberi gambaran yang buruk terhadap hubungan antara murid dan guru dalam dunia kerohanian Islam. Beliau mengajak pembaca untuk menilai dunia yang begitu dimuliakan oleh para ulama Islam ini dengan merujuk kepada fenomena yang berlaku dalam kumpulan-kumpulan ajaran sesat yang menisbahkan diri kepada dunia Tasawwuf dan Tarekat. Ini bukanlah sikap yang jujur mahupun ilmiyyah dalam menilai ajaran dan fahaman arus perdana dalam dunia tersebut.

Sebenarnya kecenderungan memperkecilkan mukjizat dan khususiyyah Nabi SAW serta Karamah para ulama-awliya’ pewaris Baginda SAW, adalah suatu percubaan meletakkan semua orang di martabat yang sama dalam Islam. Tindakan menyamaratakan (levelling) semua orang dalam Islam ini adalah jelas bercanggah dengan ajaran Islam bahkan dengan fitrah alam. Ia akan mengakibatkan hilangnya autoriti dalam Islam yang akan menghakis keutuhan keseluruhan Islam itu sendiri. Akhirnya sesiapa sahaja boleh cuba bercakap bagi mewakili Islam. Sikap menafikan keistimewaan mereka yang benar-benar istimewa dalam Islam ini adalah lebih buruk dan bahaya jika ia merupakan strategi licik untuk menggantikan tempat para tokoh-tokoh ikutan muktabar umat selama ini dengan ikutan terhadap tokoh-tokoh aliran dan kelompok sendiri.

Sikap Yang Sepatutnya

Latarbelakang isu ini adalah perasaan kasih dan membesarkan Nabi SAW yang dikongsi dan disepakati semua. Oleh itu, rasanya dalam isu yang satu ini, hasil perbincangan ringkas di atas, tidaklah sepatutnya begitu sukar untuk mereka yang tidak terlalu keras sikapnya untuk bersama-sama bersikap positif terhadap sambutan Maulid Nabi SAW.

Bagi mereka yang selama ini memang mendokong Maulid, mereka sewajarnya lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh meraikan dan menyambutnya. Tinggal lagi mereka harus sentiasa mempertingkatkan tahap kefahaman dan penghayatan mereka dalam sambutan Maulid yang mereka amalkan. Kaedah dan caranya harus dimuhasabah agar benar-benar berkesan serta diberkati agar matlamat-matlamat tertinggi di sebalik sambutan Maulid dapat dicapai dan dijelmakan.

Bagi segelintir orang-orang agama yang cenderung menentang dan alahan kepada Maulid, kita mencadangkan kepada mereka bahawa sudah ada banyak hujah dan asas ilmiyyah untuk membolehkan mereka melunakkan sikap mereka dalam bab Maulid ini. Kalaupun mereka masih enggan menyambutnya, ambillah serendah-rendah sikap yang terhormat dengan menganggapnya sebagai isu yang masih khilaf didalam Islam. Maka tidaklah wajib malah dilarang bagi mereka untuk mengingkari pandangan yang berbeza dalam mana-mana isu khilafiyyah. Adalah lebih terlarang untuk mengingkari Maulid jika ia akan menimbulkan ketegangan dan memecahkan kesatuan umat. Jika kebetulan mereka ini turut merupakan orang-orang politik yang bergerak di gelanggang politik pilihanraya, adalah terlebih wajar mereka melunakkan sikap dan tidak terlalu alahan terhadap Maulid. Bersikap keras terhadap Maulid hanya akan mengurangkan keyakinan umat Islam terhadap kepimpinan mereka.

Bagi muslimin-muslimat yang dari kalangan awam yang masih keliru dan ragu-ragu dengan perbahasan yang kita kemukakan disini kita menyeru agar mereka terus mengkaji dengan saksama, bersyura dan beristikharah. Rujuklah tulisan dan pandangan ulama muktabar yang lebih terperinci berkenaan isu ini. Kita akui bahawa tidak sesuai di ruangan ini untuk kita menulis secara terlalu terperinci mahupun terlalu berterus-terang. Inilah sekurang-kurangnya yang wajib mereka lakukan kalau mereka mahu turut terjun ke gelanggang urusan para ulama dan mereka yang mengkhusus dalam ilmu-ilmu Islam. Itu pun dengan menjaga adab-adabnya dan dengan tetap akur bahawa isu-isu agama adalah satu bidang yang kepakaran yang menuntut pengkhususan seperti bidang-bidang pengkhususan yang lain. Jika mereka tidak sanggup dan memangpun mereka tidak dituntut mengkaji seperti para ulama mengkaji, maka mereka sepatutnya mengikut pandangan muktabar sama ada yang telah diangkat sebagai fatwa rasmi ataupun tidak. Itu adalah sikap yang lebih selamat dan sejahtera bagi agama mereka.

Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan Penasihat Yayasan Sofa Negeri Sembilan.

Tuesday, March 9, 2010

Maulid Rasulullah s.a.w. Terus Segar.

Alhamdulillah, kebanyakan masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negara terus menyegarkan sambutan Maulidur Rasul dengan penuh bersemangat. Saya sempat menghadiri beberapa sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di beberapa buah masjid dan surau dengan satu matlamat untuk memuliakan dan membesarkan junjungan kita Rasulullah s.a.w.
Pada 5/3/2010, saya telah dijemput oleh Ahli Jawatankuasa Surau al-Muhajirin Taman Sri Ukay untuk sama-sama dalam sambutan Maulidur Rasul yang disempurnakan oleh al-Fadhil Syeikh Mohd Fuad al-Maliki.Bermula dengan bacaan Maulid Ad-Diba'ie dan seterusnya ceramah bersama Syeikh Fuad al-Maliki memberi kesempatan kepada saya untuk merakamkan detik-detik yang penuh bermakna itu dan seterusnya memasukkan video ceramah tersebut di paparan Youtube untuk tatapan mereka yang mencintai majlis ilmu.
Setelah beberapa tahun Surau al-Muhajirin Taman Sri Ukay begitu sepi dengan bacaan-bacaan selawat kerana ditadbir urus oleh mereka yang berfahaman Wahabi, akhirnya dengan usaha penduduk setempat dan pihak JAIS, surau ini bergema semula dengan majlis-majlis zikir, selawat dan sebagainya.
Sebelum ini Surau al-Muhajirin Taman Sri Ukay dipenuhi oleh penceramah-penceramah yang suka membida'ahkan amalan-amalan sunat yang kita amalkan. Akibatnya Surau al-Muhajirin sepi dan hanyalah yang ada cuma solat fardhu berjemaah dan pengajian kitab-kitab ala Wahabi. Tahniah diucapkan kepada Ahli Jawatankuasa Surau al-Muhajirin kerana telah mengubah surau tersebut daripada sepi kepada majlis-majlis zikir, majlis selawat, majlis ilmu dan sebagainya mengikut amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sunday, March 7, 2010

Antara Memuliakan Ulama Dan Mensucikannya.

Tokoh Ulama Yang DiSegani.

Akhbar Mingguan Malaysia hari ini menolak tulisan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kaedah menangani pandangan ulama, untuk kolum mingguannya.Penolakan terhadap tulisan berjudul 'Ulama dimuliakan atau disucikan?' itu dibantah bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dalam laman sosial Facebook kira-kira jam 12 tengah hari tadi.
Memang sewajarnya akhbar Utusan Malaysia menolak tulisan Dr Asri yang acapkali menulis untuk memperlekehkan ulama-ulama apatah lagi dari golongan Tarekat dan ahli Sufi. Jika direnung kepada tulisan tokoh Wahabi ini, ternyata tulisannya adalan satu tuduhan yang liar dan tidak beradab sebagai seseorang yang dianggap tokoh agama. Antara tulisannya ialah:
"Apabila mereka menghormati seseorang tokoh agama, mereka seakan menganggap pendapatnya suci, atau bagaikan wahyu yang mesti diikut tanpa perlu mengetahui alasan dan hujahnya. Mengikut secara "membabi buta". Mereka letakkan tokoh-tokoh agama itu bagaikan Nabi dan Rasul"
Ini adalah satu tuduhan yang amat berat bagi umat Islam yang mengikuti kata-kata ulama. Tidak pernah mereka yang mengikuti nasihat dan mengambil kata-kata dari seorang ulama menyamatarafkan tokoh-tokoh ulama itu sebagai Nabi dan Rasul. Dr Asri juga menuduh penampilan seseorang ulama dengan tulisannya yang berikut:
"Mereka ini kadang-kadang cuba berperwatakan melebihi watak Nabi s.a.w. dan para sahabat Baginda. Sehingga seseorang memaklumkan kepada saya bahawa di tempatnya, ada penceramah (barangkali ada tauliah) berceramah tentang kelebihan guru tarekatnya yang boleh berhubung langsung dengan Nabi dan para wali".
Sekali lagi Dr Asri menghina tokoh-tokoh ulama yang berperwatakan yang mengikut sunnah Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Dr Asri juga gagal dalam memahami tentang "karamah" seseorang ulama seperti apa yang diriwayatkan oleh guru-guru agama. Sebagai contoh, banyak perkara-perkara "karamah" yang berlaku kepada ulama tersohor seperti Tok Kenali dan ulama-ulama silam yang lain. Maka dengan itu, Dr Asri hanyalah menggunakan pendekatan akalnya yang sempit dengan berasaskan logik semata-mata. Inilah masalahnya apabila seseorang itu tidak mendalami ilmu tasawuf, malah memperlekehnya pula. Kalau Dr Asri dok puja Ibn Taimiyyah dalam puisinya tak apa pula rasanya, tapi jika kita mencium tangan ulama sebagai memuliakannya dan mengambil berkat, dituduhnya bukan-bukan.
Sebelum ini juga terdapat tulisan Dr Asri seperti "Membendung Pemikiran Lama" yang mengkritik dan memperlekehkan guru-guru pondok. Pihak berkuasa agama seperti JAKIM mesti bertindak tegas dengan menasihati pengamal-pengamal media baik media cetak ataupun elektronik terhadap percakapan ataupun penulisan Dr Asri sebegini. Akibatnya orang awam akan memandang rendah kepada institusi ulama dan mengambil pakai kata-kata tokoh Wahabi ini bahawa ulama tidak maksum, ulama juga melakukan dosa kecil dan besar, ulama jahat dan sebagainya. Sedangkan ulama itu pewaris Nabi dan wajib kita mengikutinya serta berdamping dengannya. Cuma umat Islam perlu berhati-hati memilih agar tidak mendampingi dan termakan dengan kata-kata ulama Wahabi. Tekadkan hati dan bulatkan semangat dengan menanamkan cogankata di bawah ini.








Thursday, March 4, 2010

Jawapan Kepada Wahabi Yang Bida'ahkan Maulidur Rasul.


MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA.

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian…
Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin…!

DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMA’ AHLI SUNNAH.

1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.”
(Surah Al-A’araf, ayat 157).

2. Firman Allah Taala, : “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )

Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (Sya’airallah ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab keatas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.

Hadis ini menunjukkan bahawa:

i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.

ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” ( Riwayat Muslim dan lainnya )

iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.
1
4. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari di mana Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.

Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu ( kurniaan dan rahmat ) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )

FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.”
( Al-Anbiyaa’:107 )

5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ).

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)

KESIMPULAN

i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.

ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama
lagi sempena hari kelahirannya.

iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu
hari kebesaran Islam.

iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan
rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan
kebaikan.

v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.

vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.


Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak , zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang salih dengan ketiadaan mengingkarinya , sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. ( Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti ).

Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”

Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”


DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID.

BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN

1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah , lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya .” ( Sahih Muslim ).

2) Bersabda Nabi s.a.w., “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”

3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)

4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .”
Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat-sahabat nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.


SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.

Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi s.a.w. kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.

Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w. semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang.

Adapun Fatwa al-Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada Majlis Maulid , sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w. atau mengingkari hukum membesarkan baginda.

Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”

1) Diriwayatkan daripada Said al-Khudri, Nabi bersabda, “ Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” ( iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat ), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah. ( Riwayat Abu Daud ).

Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad, bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya , nescaya nabi berkata dengan lafaz, “Berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu”, dan tidaklah perlu nabi menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua shaja bagi memapahnya.

2) Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah, “Adalah nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”

Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan nabi, samada hadir Roh Nabi di dalam Majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah ! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.

i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun nabi s.a.w dengan para nabi di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.

ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan ‘talbiah’.

iii) Didalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.

iv) Daripada abu Hurairah, Nabi Bersabda, “Sesiapa melihatku didalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga ( tidak bermimpi ) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” ( Bukhari dan Muslim )
Berkata Imam Sayuti, “Bahawa nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta rohnya berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat dimuka bumi dan alam malakut….”

Meriwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi, “Bahawa roh orang mukmin berada di barzah di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.”


SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR

Allah ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :

1) “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)

Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang salih dan seumpamanya.”

2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”

3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..

Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada ; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.

Adapun hadis yang berbunyi, “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam,” dilarang memuji sehingga menganggap nabi sebagai anak tuhan atau tuhan.

Firman Allah ta’ala, “ Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.”( At-Taubah:30 ) FirmanNya, “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah, tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (al-Maidah:73)

Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :

Meriwayat Bukhari bahawa Urwah ibnu Mas’ud as-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w. di dalam Perjanjian Hudaibiyah . Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata, “…tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil barakat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka ( sahabat ) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”

Telah ijmak ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawasul dengan mengambil barakat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik addar , berkata, “ Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar al-Khatab, lalu datang seorang lelaki ( Bilal Ibnu Haris al-Muzani ) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru, “ Ya Rasulullah ! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata, “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..”.


Dalam hadis ini , lelaki berkenaan telah memberitahu kepada saidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan lelaki itu.

Berkata as-Subki, “ Elok bertawasul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada tuhannya. Tidak seorangpun daripada Salaf dan Khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”

TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.

Telah berlaku perselisihan Ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya :-

1) Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir, “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakkan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijmak , iaitu ijmak kebanyakkan atau ijmak perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”

2) Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari kelapan Rabiulawal.

Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail Annabhani, “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka diatas pendapat inilah yang dipegangi.”

Wallahua’lam …


Dikeluarkan Oleh:

Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
Tarikh: 31 Mei 2001 bersamaan
8 Rabiul Awwal 1422 H.

Tuesday, March 2, 2010

Maulidur Rasul Di Masjid Muaz Bin Jabal.

Habib Ali.
Jamuan Selepas Solat Isya'.

Pada 14 Rabiulawal / 28/02/2010, Hari Ahad, penulis berkesempatan bersama-sama dengan jemaah di Masjid Muaz Bin Jabal, Setiawangsa untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul. Pada sebelah paginya, majlis Daurah Kitab Syamail Muhammadiyah telah diadakan dan disempurnakan oleh Al-Fadhil Syeikh Mohd Fuad Kamaluddin al-Maliki dengan dihadiri oleh ratusan jemaah.
Selepas solat Maghrib, bacaan Maulid Ad-Dibaie telah dibaca dan disempurnakan oleh jemaah Masjid Al-Bukhari. Kemudian ia diikuti dengan bacaan Qasidah yang diketuai sendiri oleh Imam Masjid Muaz Bin Jabal, Ustaz Muadzzen. Masjid Muaz Bin Jabal menyambut Sambutan Maulidur Rasul selama seminggu dengan beberapa program yang begitu baik diadakan. Rata-rata jemaah yang hadir begitu teruja dengan bacaan Maulid Ad-Dibaie dan bacaan Qasidah yang diperdengarkan dan ini sepatutnya menjadi contoh kepada masjid-masjid yang lain bagi menarik lebih ramai lagi jemaah untuk hadir. Kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Masjid Muaz Bin Jabal, tahniah diucapkan kerana berjaya menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul dengan begitu berkesan sekali. Untuk mendengar bacaan-bacaan yang dinyatakan di atas bolehlah melayari paparan video di Youtube bertajuk "Maulid Ad-Dibaie" "Ceramah Habib Ali" dan "Bacaan Qasidah 1/2".