Wednesday, March 17, 2010

Akal Cerdik Bukan Ukuran Islam.

Semenjak kebelakangan ini terlalu banyak kontroversi yang melanda dalam membahaskan hal-ehwal agama Islam. Golongan cerdik pandai seperti Sister In Islam yang kononnya memperjuangkan Islam acapkali mengeluarkan kenyataan yang menurut akal mereka yang cerdik dalam membahaskan hukum-hakam Islam. Apabila pihak JAIS mengeluarkan khutbah yang menyatakan Sister In Islam menghina Islam, maka golongan cerdik pandai ini cuba pula berbahas dengan ayat-ayat Al-Quran mengikut tafsiran akal mereka sahaja.
Sudah terlalu banyak kenyataan Sister In Islam yang menghina hukum-hakam Islam malah penampilan mereka juga sudah jelas menolak hukum Islam agar setiap wanita wajib menutup aurat. Jika perkara asas sebegini tidak mampu dilaksanakan oleh Sister In Islam, janganlah cuba nak bersuara dalam menegakkan syariat Islam.
Inilah yang terjadi di zaman muta'akhir ini apabila golongan cerdik pandai ini hanya menggunakan akal mereka berbanding keimanan yang sebenar. Kalau kita lihat bagaimana hebatnya iman Syaidina Abu Bakar yang tidak pernah nak mempertikaikan atau bertanya apa-apa pun apa yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w, apakah beliau ini tidak cerdik? Begitu juga dengan keimanan yang ditunjukkan oleh Sumaiyyah apabila seluruh keluarganya disiksa hingga mati, apakah tidak terfikir oleh Sumaiyyah untuk membuat helah bagi melepaskan diri dari terus disiksa? Sumaiyyah tahu bahawa kehidupan di akhirat itu lebih baik berbanding dunia, maka beliau redha disiksa demi mempertahankan aqidahnya.
Namun bagi Sister In Islam, akibat terlalu cerdik, maka sewenang-wenangnya mempertikaikan bentuk hukuman yang telah ditetapkan oleh Al-Quran. Hukuman sebat 4 dan 6 rotan yang dilaksanakan oleh pihak berwajib bukanlah sebenarnya apa yang termaktub di dalam Al-Quran, kerana bagi penzina, hukumannya samada direjam ataupun dirotan 80-100 kali. Ini baru dihukum 4-6 sebatan, Sister In Islam dah nak mempertikaikannya, bagaimana kalau dilaksanakan sepenuhnya hukum Allah yang sebenar?
Di dalam peristiwa Isra' dan Mikraj, Rasulullah s.a.w melihat bagaimana siksanya perempuan yang tidak menutup aurat dengan rambutnya digantung dan berada di dalam api neraka. Begitu juga banyak kisah-kisah benar yang diceritakan tentang azab kubur. Apakah anggota Sister In Islam, apabila ditanya oleh kedua malaikat, akan menjawab, "INI HAK KEBEBASAN KAMI" sebagai rakyat. Sewaktu itu tiada siapa yang dapat membela diri anda kerana kedua malaikat tersebut tidak mahu tanya tentang hak kamu sebagai rakyat, malah ditanya tentang apakah kamu telah melaksanakan hak Allah? Sister In Islam boleh juga menjawab, "KAMI MEMPUNYAI PENDAPAT YANG BERBEZA". Ketahuilah oleh kamu wahai Sister In Islam, dalam menegakkan hukum Allah, dalam mempertahankan aqidah, tidak ada perselisihan pendapat selain kamu mesti akur dan patuh apa yang sudah termaktub di dalam Al-Quran. Jika kamu bangga dengan pertubuhan kamu sehingga ke peringkat antarabangsa, mana dia ulama-ulama rujukan kamu. Sister In Islam sebenarnya tidak mempunyai ulama-ulama untuk dirujuk, kerana terlalu mengikut kecerdikan akal mereka yang sebenarnya jahil. Saya menyeru agar pihak berkuasa agama akan terus memberi kefahaman kepada seluruh umat Islam tentang bahayanya Sister In Islam dalam memperkatakan hal-ehwal Islam.

No comments: