Sunday, March 21, 2010

Program Maksiat Bermula Lagi.


Program Akademi Fantasia yang menjadi kegilaan sebahagian umat Islam di negara ini bermula lagi. Program yang dianjurkan oleh umat Islam, disertai oleh kebanyakan umat Islam, diadili oleh umat Islam, ditonton oleh umat Islam dan pengacaranya juga umat Islam. Maka mereka-mereka yang terlibat juga adalah dari umat Nabi Muhammad s.a.w.
Bulan Rabiulawwal sudah pun melabuhkan tirainya, namun sehingga kini masih ada lagi umat Islam yang meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan majlis selawat, berzikir, majlis ilmu dan sebagainya untuk membesarkan dan memuliakan junjungan besar Rasulullah s.a.w. Di sebalik majlis-majlis yang bermanafaat ini diadakan, ada satu kelompok manusia di kalangan umat Muhammad s.a.w berpesta sakan dengan program maksiat yang langsung tidak ada kebaikannya di sisi Allah swt. Akibat terpujuk dengan rayuan Iblis laknatullah, segala-galanya menjadi halal bagi mereka demi mencari populariti dan mengikut telunjuk hawa nafsu Syaitan agar terus berhibur dan berhibur.
Ada di kalangan mereka-mereka yang menjayakan program maksiat ini sudahpun bergelar haji dan hajjah. Dengan itu fikir-fikirkanlah samada tuntutan haji yang kamu lakukan itu, apakah sebenarnya mendapat haji yang mambrur atau hanya sia-sia sahaja sekembalinya kamu dari mangerjakan haji.
Diriwayatkan bahawa malaikat maut senantiasa memandang pada wajah setiap manusia sebanyak 70 kali sehari. Apakah jika kita dapat memandang malaikat maut tersebut secara zahirnya, kita akan terus melibatkan diri dengan program maksiat seperti ini? Tidak terfikirkah oleh kita, jika sedang kita berhibur dengan program maksiat sebegini, tiba-tiba ajal pula datang menjemput? Ketentuan Illahi itu tidak dapat kita pastikan bila dan di mana kita akan mati. Seandainya kita mati di kala kita sedang berhibur, betapa hinanya pengakhiran hidup kita tanpa memberi manafaat sedikitpun. Persoalannya apakah kita redha mati dalam keadaan sedang duduk dalam majlis maksiat?
Sebenarnya azab Allah terhadap dunia ini sudah sepatutnya berlaku tetapi Allah menahannya kerana rahmat dan belas kasihan Allah itu disebabkan adanya hamba-hamba Allah yang terus memperhambakan diri kepadanya dengan solat malam, adanya kanak-kanak yang sedang menyusu, adanya binatang-binatang ternakan yang sedang meragut rumput dan juga disebabkan kita semua ini adalah di kalangan umat Muhammad s.a.w. Betapa beruntungnya kita menjadi umat Muhammad s.a.w kerana tidak di azab di muka bumi ini, tidak seperti umat-umat Nabi yang terdahulu. Pengorbanan Nabi Nuhammad s.a.w untuk umatnya terlalu banyak tetapi ada di kalangan umatnya masih tidak menghargainya dengan terus menerus berada dalam majlis yang mengundang kemurkaan Allah swt. Bertaubatlah wahai umat Muhammad s.a.w yang berada dalam program Akademi Fantasia yang tidak lain hanyalah satu program yang telah memperdayakan kamu sekelian dengan janji-janji yang tidak membawa apa-apa manafaat sekalipun. Berlepas dirilah kamu sekelian dari azab Allah dengan meninggalkan program seperti ini yang melalaikan diri kamu dari mengingati Allah.

No comments: