Monday, April 12, 2010

AJK Masjid .

Gambar Hiasan.

Desas-desus di sana sini heboh diperkatakan oleh masyarakat setempat tentang pengambil-alihah Ahli Jawatankuasa Masjid akan berlaku. Berita ini diperkatakan di dalam masjid, di pasar-pasar, kenduri keramaian dan di mana sahaja tempat adanya kumpulan manusia berkumpul. Masing-masing begitu hebat mengeluarkan pendapat masing-masing, siapakah yang akan menduduki jawatan sebagai Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan yang lain-lainnya. Perlantikan masih belum berlaku tetapi terlalu banyak andaian yang keluar dari mulut mereka yang mempersoalkannya.
Bagi saya yang mendengar berita yang disampaikan oleh mereka yang gemar bersembang ini, hanya senyum melihat gelagat mereka. Malah ada di antara mereka ingin mencari kesahihan berita ini dengan bertanyakan kepada saya agar memberikan komentar dan pendapat. Jawapan saya amat mudah tentang persoalan yang keluar dari mulut-mulut mereka yang menjadi keresahan di benak hati mereka.
Bagi saya, sesiapa pun yang akan dipilih menganggotai Ahli Jawatankuasa Masjid, tidak menjadi persoalan yang begitu besar asalkan mereka beramanah menjalankan tanggung-jawab mereka terhadap apa yang diamanahkan oleh Allah swt. Jangan kita berburuk sangka terhadap sesuatu yang belumpun terjadi. Perlantikan ini tidak perlu kepada apa-apa bendera sekalipun, baik merah putih ataupun hijau putih. Jika mereka menjalankan tanggung-jawab mereka dengan baik, maka bersyukurlah kita dan mereka akan diberi ganjaran yang baik oleh Allah swt. Jika berlaku sebaliknya, maka mereka juga akan menjawab di hadapan Allah swt. Apapun kita sebagai ahli jemaah, jangn lupa tentang tanggung-jawab kita untuk sama-sama mengimarahkan masjid tanpa merasa kecil hati. Jika kita tidak terpilih untuk apa-apa jawatan sekalipun, bersyukurlah kerana kita akan menjadi Ahli Jawatankuasa di Syurga kelak.
Menjaga amanah adalah sesuatu yang begitu mencabar dan perlu kepada pengorbanan yang besar. Ahli Jawatankuasa Masjid yang dilantik, sebaiknya dipilih daripada mereka yang faham sedikit sebanyak tentang permasalahan agama. Ini penting agar mereka yang memimpin faham tentang tanggung-jawab mereka terhadap Allah swt. Oleh itu, saya berlapang dada dengan persoalan ini dan berharap agar mereka yang dipilih dapat menjalankan tanggung-jawab mereka tanpa ada apa-apa gangguan daripada mereka-mereka yang tidak berpuashati.

No comments: