Wednesday, April 14, 2010

Imam Dan Bilal Mogok!!!!!!

Jam penanda masuknya waktu Solat Subuh di masjid berdekatan rumahku berbunyi bertalu-talu.Jemaah yang ada menunggu-nunggu azan Subuh, namun hampa setelah lima minit jam penanda masuknya waktu berlalu. Di luar kedengaran azan bersahut-sahutan daripada masjid dan surau berhampiran, namun berdekatan rumahku masih sepi. Aku nekad bangun dan terus melaungkan azan walaupun tanpa pembesar suara kerana bilik azan berkunci. Selepas menunaikan solat sunat Subuh, aku dan beberapa jemaah yang ada berpandangan sesama sendiri kerana mencari-cari Imam untuk mengepalai Solat Subuh. Selepas beberapa minit berlalu, kami hampa kerana tidak ada Imam yang hadir berjemaah Solat Subuh bersama kami. Beberapa jemaah meminta aku mengimami Solat Subuh, lalu salah seorang daripada jemaah bangun untuk Iqamah.
Sebaik sahaja kakiku melangkah untuk mengambil posisi sebagai Imam, aku terlihat seorang hamba Allah, yang dulunya pernah menjadi Imam, namun khidmatnya tidak diperlukan lagi oleh pihak pentadbir masjid. Aku membuka laluan kepada hamba Allah tersebut kerana bagiku, dia adalah orang yang paling afdhal sekali untuk mengimami Solat Subuh pada hari itu. Alhamdulillah, hamba Allah tersebut tidak menolaknya lalu kamipun dapat berjemaah Solat Subuh walaupun tanpa Imam masjid, Bilal dan pembesar suara.
Sebaik sahaja kakiku melangkah keluar dari masjid, terdengar olehku suara-suara yang nadanya kecewa daripada jemaah-jemaah yang hadir. Di antara kata-kata mereka yang sempat ku dengar sepanjang perjalanan pulang ke rumah ialah, "APA DAH JADI!!!!! IMAM DAN BILAL MOGOK KE, SEBAB KETUA DEPA KENA TUKAR!!!!!SIAPA PUNYA TUGAS HARI INI!!!!!YANG TAK BERTUGAS PUN RUMAH DEPA DEKAT DENGAN MASJID, TAKKAN TAK BOLEH MAI!!!!!!TAKKAN DEPA MAI SEMBAHYANG KAT MASJID BILA DEPA BERTUGAS AJA!!!!!
Selepas mendengar perbualan mereka ini, aku termenung sejenak dan memikirkan akan kebenaran kata-kata dari beberapa jemaah tadi. Jika ianya benar, apakah niat kita berjemaah di masjid kerana kita bertugas dan bukannya atas keikhlasan hati kita kerana Allah Taala. Perbualan seperti di atas masih lagi ku dengar di kedai makan sewaktu aku singgah untuk membeli kueh dalam perjalanan ku ke tempat kerja. Ada juga yang bertanya, "SPEAKER MASJID ROSAK KE HARI INI, SUNYI AJA.....!!!!!! Aku cuma menganggukkan kepala dan di dalam hatiku berkata, "Jika ada bunyi azan, nak ke Tuan-Tuan yang bertanya ni naik ke masjid"? Bagiku itulah hakikatnya apabila ilmu yang tinggi tidak selari dengan keimanan. Ilmu di atas namun iman di bawah, maka akan terjadilah kita berkira-kira untuk mengerjakan ibadah.

No comments: