Tuesday, April 27, 2010

Masjid Kristal .......Indah Tanpa Roh.


Masjid Kristal, Kuala Terengganu.
Mimbar Dan Dalaman Masjid Kristal.

Baru-baru ini saya sempat mengunjungi Masjid Kristal yang menjadi lambang kemegahan Negeri Terengganu sebagai Pusat Pelancongan yang diberi nama sebagai Pusat Tamadun Islam.Dalam pada itu ramai juga para pelawat yang datang, baik dari dalam negara mahupun dari luar negara. Cantik, indah, ada kelas dan macam-macam lagi pujian yang dilafazkan oleh para pengunjung masjid ini apabila mereka merakamkan gambar kenang-kenangan untuk dibawa pulang.
Penulis di hadapan Masjid Kristal.

Sewaktu memasuki ruang solat masjid ini untuk melakukan Solat Sunat Tahiyatul masjid, saya bertanya-tanya kenapakah masjid ini hanya dikunjungi orangramai dengan melihat-lihat luaran sahaja.Sehinggalah saya selesai solat sunat dan beriktikaf selama hampir setengah jam, namun tidak ada seorangpun yang masuk untuk sekurang-kurangnya solat sunat dua rakaat sebagai menghormati masjid itu sendiri.Apakah yang menghalang mereka daripada berbuat demikian sedangkan kita dituntut untuk melakukan solat sunat Tahiyatul masjid apabila kita mengunjungi mana-mana masjid sekalipun.
Masjid yang begitu indah dengan seni binanya yang menelan belanja jutaan ringgit ini, sebenarnya sunyi dari segi pengisiannya. Siapa dia ahli kariah masjid ini jika ia dibina di tempat yang jauh dari manusia. Terdetik juga di fikiran saya, siapakah jemaah-jemaah yang akan mengimarahkan masjid ini sewaktu solat fardhu ingin didirikan.Apakah cukup fungsi masjid ini didirikan hanya semata-mata untuk menarik pelancong agar berkunjung ke Terengganu?
Saya sempat juga meninjau-ninjau di masjid yang terletak di seberang sungai di sebuah kampung.Ternyata walaupun masjid di kampung berkenaan tidak seindah Masjid Kristal dari segi binaan dan perhiasannya, namun ia mampu menarik lebih ramai jemaah untuk melakukan solat fardhu berjemaah. Ini ditambah lagi dengan pengisian majlis ilmu yang diadakan selepas Solat Subuh dan Maghrib.Ternyata walaupun sesuatu masjid itu indah dan cantik dari pandangan mata manusia, namun jika tanpa pengisian atau "rohnya", belum tentu ianya dipandang cantik dan indah oleh Allah swt. Apakah Masjid Kristal didirikan hanya semata-mata untuk daya tarikan pelancongan tanpa memikirkan ia dibina untuk diimarahkan oleh jemaah-jemaah setiap kali waktu solat? Satu persolan yang harus kita fikirkan bersama atau lebih tepat lagi.....lu fikirlah sendiri.

No comments: