Thursday, April 15, 2010

Wahabi Tak Ikut Mazhab.

Agama Islam yang agung adalah sebuah ajaran yang mulia yang diturunkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan telah dipusakakan sebagai tuntutan hidup bagi orang yang beriman di seluruh dunia hingga hari kiamat. Dua warisan paling penting yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Inilah dia harta pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya.Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya, "Aku tinggalkan dua pusaka yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya selama kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w"-HR Malik.
Rasulullah s.a.w bukanlah seorang hartawan yang memiliki harta melimpah ruah sebagai pusaka bagi umatnya. Yang Baginda tinggallkan hanyalah Al-Quran dan As-Sunnah, itu sahaja untuk umatnya. Lantas sebagai umatnya, kita berfikir untuk terus mengambil langsung pusaka Nabi tersebut dari sumbernya.Inilah yang sering diperkatakan oleh golongan Wahabi bahawa mereka hanya berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung.
Baginda Rasulullah s.a.w telah melantik para ahli warisnya, iaitu para ulama' warasatul anbiya', orang-orang yang soleh yang mengusai ilmu dan mahir dalam ilmu agama dan bukannya seseorang yang masih cetek ilmunya untuk mengambil terus pusaka Rasulullah s.a.w dari sumbernya. Ertinya, Al-Quran dan As-Sunnah adalah peninggalan Nabi s.a.w, sedangkan ahli warisnya ialah para ulama. Ulamalah yang berhak untuk mengambil pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w, dan bukannya orang-orang awam yang masih mentah dalam hal-ehwal agama.
Untuk memahami kandungan Al-Quran secara benar, sangatlah penting bagi seseorang itu memerhatikan dan menunaikan adab-adab serta syarat-syarat penafsiran Al-Quran dan Hadis. Sekarang yang banyak ialah yang sedikit sahaja pemahaman Bahasa Arabnya, malah ada yang langsung tak tahu Bahasa Arab sudah berani menyimpulkan pendapat sendiri mengenai kandungan Al-Quran dengan hanya merujuk kepada terjemahannya sahaja. Inilah yang dilakukan oleh puak-puak Wahabi di negara kita. Para ulama' telah menggariskan bahawa sesiapa yang ingin menafsirkan Al-Quran, mestilah menguasai dan mempunyai 15 jenis ilmu. Maka ini bererti bukan sebarangan orang yang dapat memahami segala apa yang terkandung di dalam Al-Quran itu, baik yang tersirat, tersirat ataupun yang tersembunyi. Di antara ilmu-ilmu itu ialah, Ilmu Lughat (memahami maknanya), Ilmu Nahwu (tatabahasa hubungan antara satu kata dengan kata yang lain dan i'rab, perubahan bunyi setiap huruf akhir dari satu kalimat), Ilmu Sharaf, Ilmu Isytiqaq, Ilmu Ma'ani, Ilmu Bayan,Ilmu Badi', Ilmu Qiraat, Ilmu 'Aqaid, Ushul Fiqh, Asbabun Nuzul, Nasikh-Mansukh, Hadith dan lain-lainnya. Tanpa mempunyai ilmu sebegini maka mereka telah menempah tiket ke Neraka sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Barangsiapa yang mentafsirkan Al-Quran dengan akalnya (pendapat sendiri), maka ambillah tempat duduknya di Neraka" -HR Tarmizi.
Hari ini kita lihat betapa ramainya orang yang mengingkari ulama atau madzhab dengan mengatakan tidak ada dalil di dalam Al-Quran ataupun Sunnah yang menyuruh kita mengikut madzhab.Yang lebih ekstrem lagi apabila mereka mengatakan bahawa Imam Syafi'e, Hambali, Maliki dan Hanafi itu bukan Nabi dan mereka juga bukan maksum, boleh tersalah dalam fatwanya. Kalaulah Imam Syafi'e yang ahli Al-Quran dan hafal 600 ribu Hadis Nabi boleh tersalah, apalagi orang awam yang hanya hafal sikit-sikit aja Al-Quran dan Hadis. Begitu juga dengan Imam Hambali yang hafal Al-Quran dan hafal satu juta hadis dikatakan tersalah, siapa kita kalau nak dibandingkan dengan mereka yang hanya ada sijil dan cuba-cuba pula nak I'ttiba. Inilah yang berlaku kepada puak-puak Wahabi yang mendabik dada kononnya mereka hanya mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.
Puak Wahabi mengatakan bahawa agama kita hanya memerintahkan kita mengikut Al-Quran dan As-Sunnah, bukannya mengikut madzhab-madzhab.Inilah dia racun yang sering didendangkan oleh ustaz-ustaz Wahabi dan amat berbahaya sekali kepada umat Islam. Seolah-olah Imam-Imam madzhab tersebut berfatwa dalam hukum agama terkeluar dari hukum Allah dan RasulNya. Puak Wahabi menganggap mereka lebih 'alim daripada Imam-Imam madzhab dengan mengatakan bahawa fatwa-fatwa para Imam madzhab hanyalah mengikut pendapat-pendapat mereka sendiri. Na'udzubillah....................

No comments: