Monday, May 31, 2010

Pengajian Kitab Maulid Ad-Daiba'i.


Pengajian Kitab Maulid Ad-Daiba'i sudah dimulakan di rumah tuan blog dan akan dijadikan acara mingguan. Pengajian akan diadakan pada setiap malam Isnin (Hari Ahad) selepas waktu Maghrib. Acara dimulai dengan Solat Maghrib berjemaah dan wirid beramai-ramai. Alhamdulillah dengan tempat yang terhad, pengajian Kitab Maulid Ad-Daiba'i mendapat sambutan daripada anak-anak muda yang hadir. Pengajian akan tamat sejurus sahaja masuk waktu Isya' dan semua hadirin akan dihidangkan dengan jamuan selepas Solat Isya' berjemaah. Insya'allah, pengajian akan beralih ke tempat yang lebih luas lagi memandangkan sambutan yang menggalakkan dari anak-anak muda yang begitu teruja dengan bacaan Maulid Ad-Daiba'i. Sesungguhnya Pengajian Kitab Maulid Ad-Daiba'i ini telah memberi satu aktiviti yang bermanafaat kepada remaja-remaja yang sering dibiarkan tanpa bimbingan ilmu dan ini menggalakkan remaja yang hadir untuk menanam rasa kasih dan sayang mereka kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan memperbanyakkan bacaan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Bagi peserta-peserta yang hadir, mereka juga akan di bawa ke masjid-masjid yang sering menjalankan aktiviti bacaan Maulid Ad-Daiba'i bagi memberi pendedahan yang lebih luas lagi kepada mereka. Semoga Allah memberkati usaha baik ini demi mendidik anak-anak muda agar memahami salasilah Rasulullah s.a.w. dengan lebih mendalam agar perasaan kasih dan sayang kepada junjungan Rasulullah s.a.w dapat ditanam kepada mereka.Insya'allah.

Thursday, May 27, 2010

Alahai Sang Imam.......


PUTRAJAYA: Seorang imam yang juga guru agama di dua surau di sebuah taman perumahan di Klang, Selangor, bukan saja selesa melakukan maksiat dengan bersekedudukan lebih sebulan dengan ‘buah hati’ di rumahnya, malah turut bijak menipu jemaah surau kononnya wanita berkenaan isterinya yang sah.
Kegiatan imam ‘nakal’ berusia 26 tahun terbabit terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu rumahnya, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.
Sebelum serbuan, penguat kuasa Jais yang mendapat maklumat awam melakukan intipan dan siasatan lanjut mendapati rumah itu dihuni imam terbabit dan wanita berusia 27 tahun dipercayai kekasihnya dan menjadi pasangan ‘suami isteri’, sejak lebih sebulan lalu.
Walaupun pintu rumah terbabit diketuk berulang- kali, penghuninya mengambil tempoh lama kononnya tidak terjaga daripada tidur sebelum membuka pintu dan penguat kuasa mendapati pasangan itu sudah lengkap berpakaian.
Imam terbabit dipercayai menipu jemaah surau dan penghuni di taman perumahan itu dengan penampilan alim termasuk memberikan ceramah agama kepada warga emas di kedua-dua surau di taman berkenaan.
Bukan itu saja, imam terbabit yang mendakwa memiliki ilmu hasil pengajian di sekolah pondok selain dipercayai menggunakan taktik mencedok hasil ceramah tokoh agama terkenal dalam kaset dan cakera padat bagi meyakinkan orang ramai mengenai ketinggian ilmu agama dimiliki.
Putar belit imam muda terbabit semakin ‘menjadi’ apabila penghuni dan jemaah surau mudah mempercayainya selepas lelaki terbabit memberitahu wanita yang tinggal bersama di rumahnya adalah isteri yang sah.
Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral imam itu terbongkar selepas segelintir penghuni taman yang curiga membuat laporan kepada Jais yang mendapati wanita terbabit bukan isteri, tetapi teman wanita lelaki berkenaan dan sudah tinggal bersama tanpa ikatan sah.
Tanpa berselindung, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, tidak menolak kemungkinan sudah berlaku hubungan kelamin di antara imam terbabit dengan teman wanitanya itu berdasarkan tempoh lebih sebulan mereka tinggal bersama di rumah itu.
Beliau berkata, apabila seorang lelaki dan wanita yang tidak ada hubungan sah berdua-duaan, sudah pasti ada iblis yang menggoda dan tidak masuk akal jika mereka tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral sepanjang lebih sebulan tinggal bersama di rumah itu.
“Kami sebenarnya hairan bagaimana seorang imam yang turut diberi kepercayaan mengajar agama di surau berkenaan boleh melakukan maksiat dan dan menipu orang ramai menggunakan penampilan alimnya.
ulasan: Tak tahu apa nak dikatakan lagi.............................................

Thursday, May 20, 2010

Jangan Tiru Solat Wahabi.



Cara Solat mendukung bayi di atas dilakukan dengan berpandukan sebuah Hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud, Dari Abu Qatadah An Anshari r.a katanya, "Aku melihat Nabi s.a.w. mengimami solat orang banyak sambil mendukung Umamah binti Abil 'Ash, bayi Zainab binti Muhammad s.a.w. di kuduk beliau.Apabila beliau ruku' diletakkan bayi itu dan apabila beliau berdiri dari sujud, diambilnya kembali" - Sahih Muslim r.a.

Inilah akibatnya kerana kononnya ingin mengikut sunnah Rasulullah s.a.w, lelaki di dalam video tersebut mengenepikan hukum feqah yang dikatakan menyusahkan mereka.Dalam sbuah kitab feqah dinyatakan bahawa salah satu perkara-perkara yang membatalkan solat ialah dengan bergerak 3 kali berturut-turut seperti melangkah 3 kali berturut-turut atau memukul 3 kali berturut-turut.Dalam hal lain juga, lelaki di atas juga sudah berpaling dari kiblat sewaktu berjalan mengambil anaknya, malah mengganggu jemaah-jemaah lain yang sedang solat.

Jika kita rujuk di dalam beberapa Hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan di dalam kitab Sahih Muslim r.a., terdapat banyak larangan-larangan melintas di hadapan orang yang sedang solat. Di antaranya ialah,

Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a.,katanya Rasulullah s.a.w bersabda, "Apabila kamu sedang solat, maka jangan biarkan orang lewat di hadapan kamu.Tolaklah dia sedapat mungkin.Jika dia enggan, maka pukullah dia, kerana dia itu Syaitan".

Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila kamu sedang solat, maka janganlah dibiarkan orang lewat di hadapan kamu.Jika dia tidak mahu dilarang, pukullah dia kerana bersamanya ada Syaitan yang menemaninya".

Dari Abu Juhaim r.a.katanya,Rasulullah s.a.w bersabda, "Kalau tahulah orang yang lewat di hadapan orang solat akan dosanya,nescaya mahulah dia berdiri 40 hari atau bulan atau tahun daripada melewati di hadapan orang yang sedang solat".

Pelik juga kerana puak-puak Wahabi yang mendakwa mengikut Hadis Rasulullah s.a.w, tetapi mengenepikan larangan-larangan yang dinyatakan oleh beberapa petikan Hadis di atas.Apakah ini yang dikatakan khusyuk dalam solat sehinggakan boleh mengambil botol air dan berjalan-jalan untuk mendapatkan anaknya yang merayau-rayau?Siapa kita kalau nak dibandingkan dengan khusuknya Rasulullah s.a.w di dalam solatnya.Semoga umat Islam tidak terikut-ikut cara solat yang dilakukan oleh puak-puak Wahabi ini kerana ini akan mengakibatkan solat kita sia-sia dan batal.Ini bukannya sifat solat yang diajar oleh Nabi s.a.w, tetapi ia merupakan sifat solat Wahabi yang sebenar.Kalau nak bawa budak solat berjemaah, duduklah saf di belakang sekali dan rasanya budak tersebut tak payahpun nak didukung, biarkan dia main sorang-sorang.Jangan sia-siakan solat anda.

Monday, May 17, 2010

Subuh Di Hari Minggu.

Pagi Hari Minggu adalah hari yang paling liat sekali bagi sesetengah umat Islam untuk bangun menunaikan Solat Subuh. Ini berbeza dengan hari-hari yang lain di mana mereka bangun disebabkan anak-anak mereka bersekolah ataupun mereka ingin bersiap untuk ke pejabat atas urusan kerja. Bagi mereka yang liat untuk bangun Solat Subuh di hari minggu akan memberi alasan bahawa cuti adalah untuk mereka berehat sepenuhnya dengan tidur dan tidak mahu diganggu. Apakah ada istilah cuti dalam melaksanakan solat fardhu di hari minggu?Ini ditambah pula untuk mereka yang liat bangun untuk datang berjemaah di masjid-masjid di waktu Subuh.
Fenomena ini akan berlaku di kebanyakan masjid-masjid di hari minggu, di mana kurangnya jemaah yang datang untuk melaksanakan Solat Subuh. Namun kurangnya jemaah di hari minggu tidak berlaku di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan. Setiap hari minggu jemaah yang datang untuk melaksanakan Solat Subuh boleh dianggarkan melebihi 200 jemaah dalam satu-satu masa.Ini ditambah pula dengan jemaah-jemaah tidak berganjak untuk mendengar majlis ilmu yang diadakan. Maka dengan itu tidak hairanlah jika penceramah-penceramah yang hadir memberikan kuliah Subuh akan memuji keadaan yang mereka lihat sendiri. Apakah faktor yang menyebabkan ramainya jemaah yang hadir di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan perlu dikupas satu persatu.
Sebelum waktu Subuh bermula, masjid ini telahpun di buka sekitar jam 4.45 pagi oleh Noja yang bertugas.Jemaah yang hadir seawal pagi tidak perlu menunggu-nunggu pintu masjid di buka untuk melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran sebelum Subuh. Al-Quran pula diletakkan di atas rehal di sepanjang saf hadapan bagi memudahkan jemaah mengambil dan membacanya. Petugas masjid ini seperti Bilal dan Imam begitu komited dengan tugas mereka dengan menghadirkan diri sekurang-kurangnya 10-15 minit sebelum azan. Dengan itu jemaah tidak perlu risau samada adanya bilal untuk melaksanakan azan ataupun Imam untuk mengepalai solat fardhu. Tukang azan yang dilantik juga adalah di kalangan mereka yang mahir mengalunkan azan dengan taranum yang menarik orang mendengarnya.Adakalanya bilal akan membaca Tarhim dan ayat-ayat suci Al-Quran tanpa hanya bergantung dengan bacaan daripada cd ataupub kaset.Begitu juga dengan Imam-Imam yang ada, mereka bijak dalam mengepalai solat fardhu dengan bacaan-bacaan yang dibawa.Ini kerana mereka tahu, jika bacaan-bacaan yang panjang dibaca dengan mendayu-dayu ataupun boleh dipanggil dengan istilah "lembik tengkok" atupun "leweh", boleh membuatkan jemaah menjadi jemu dan bosan untuk datang.
Tidak ketinggalan juga kepada petugas-petugas Masjid Nurul Hidayah yang lain seperti Ahli Jawatankuasa yang dilantik.Setiap hari minggu selepas kuliah Subuh, penceramah dan jemaah akan dijamu dengan sarapan pagi seperti Nasi Lemak, kueh-mueh, kopi dan teh.Dengan cara begini akan merapatkan lagi silaturahim di antara petugas-petugas masjid dan para jemaah.Program-program yang diatur juga seperti Qiamulail sebulan sekali, kelas-kelas agama, penceramah-penceramah pilihan dan sebagainya telah menarik orangramai untuk terus mengunjungi masjid ini. Sebenarnya perkara-perkara yang saya nyatakan di atas sudahpun lama dipraktikkan di Masjid Nurul Hidayah dan ianya terus kekal sejak pengambil-alih Ahli Jawatankuasa masjid ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan telah berjaya menarik ramai jemaah untuk sama-sama mengimarahkan masjid sejak dahulu hingga kini. Syabas kepada Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan.

Wednesday, May 12, 2010

Majlis Maulid Di Masjid Taman TAR.

Program Tuan Syeikh Fuad al-Maliki di Masjid Taman TAR, Ampang Selangor.

Tarikh: 28 Jamadil Awal 1431H@13/05/2010. (Khamis)

Waktu: Selepas Solat Maghrib.

Majlis Maulid Nabi s.a.w. Dan Haul 40 Hari Al Alamah Habib Abdul Kadir Bin Ahmad Al Sagaff Bersama Al Alamah Habib Omar Al Jalani Dari Mekah.

Dijemput muslimin dan muslimat hadir beramai-ramai ke Masjid Taman TAR, Ampang, Selangor Darul Ehsan.

Saksi Yang Fasiq.

Sekarang ini heboh diperkatakan tentang kes liwat yang melibatkan seorang tokoh politik dengan seorang anak muda. Kes ini dijadikan liputan utama dalam media elektronik maupun media cetak, yang tanpa rasa malu memperbesarkan berita-berita mengenainya. Ini disebabkan kes ini sudah mula dibicarakan di mahkamah di mana "Yang Kena Liwat" menjawab soalan dari peguam "Yang Kena Tuduh".

Di antara soalan-soalan yang dikemukakan oleh peguam "Yang Kena Tuduh" berbunyi, "Apakah Kamu Sebagai Seorang Muslim Yang Baik"?, "Apakah Kamu Melaksanakan Solat Lima Waktu Yang Menjadi Kewajipan Kepada Seorang Islam"? "Apakah Kamu Tidak Mandi Junub Untuk Bersolat Setelah DiLiwat?". Maka dijawab pula oleh "Yang Kena Liwat", bahawa dia tidak mandi junub tetapi melakukan Solat Jumaat dan meninggalkan solat fardhu yang lain.(adakala buat, adakala tidak). Maka "Yang Kena Tuduh" merupakan saksi yang paling utama sekali di dalan kes ini tetapi mengaku adakalanya solat dan adakalanya tidak.Apakah yang perlu kita katakan kepada saksi seperti ini? Di bawah disertakan tentang hukum orang yang meninggalkan solat dengan sengaja.

Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis.

Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).

Justeru itu, dosa meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di Akhirat nanti seseorang yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud:

Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:

Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan.

Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.

(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.

(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).

Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.

Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:

  1. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
    Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.
  2. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.
    Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
  3. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
    Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.

Lihat betapa besarnya solat, dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat.

Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.

Dengan huraian di atas, kita sedia maklum tentang hukum meninggalkan solat dengan sengaja. Kes liwat ini nampaknya tidak mendapat apa-apa reaksi daripada ulama-ulama kita untuk memberi kata nasihat.Malah tidak ada mana-mana wartawan ataupun pemberita yang cuba merujuk kepada ulama-ulama tentang kes ini.Ulama-ulama pula diam seribu bahasa tanpa ingin mencampuri urusan "mahkamah" sedangkan peguam yang bukan beragama Islam lebih tahu mendedahkan kepincangan saksi utama kes ini sebagai seorang Islam.Di mana letaknya maruah seorang Islam apabila keperibadian seorang Islam itu dicabar oleh orang bukan Islam sehinggakan dia lebih tahu sah batalnya solat orang yang tak mandi junub.Nasib baik juga peguam tersebut tidak menjelaskan tentang hukum haram bagi mereka yang berhadas besar memasuki masjid.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya malu dengan kes seperti ini kerana diperbesar-besarkan dengan tujuan yang tak menentu.Ulama-ulama kita juga harus bangkit untuk menasihati pihak berwajib agar kes ini tidak mendatangkan aib kepada seseorang dan yang lebih utama kepada negara.Apakah ini contoh sebuah Negara Islam untuk ditunjukkan kepada dunia?Kes seperti ini perlu diselesaikan dengan cara Islam melalui Mahkamah Syariah dan mengikut hukum yang termaktub di dalam Al-Quran.Pihak jabatan agama yang dirujuk oleh "Yang Kena Tuduh" perlu bertegas dalam hal ini demi menegakkan kebenaran dan keadilan yang sebenar.Janganlah kita hanya berdiam diri kepada sesuatu perkara yang mungkar kerana sebagai pemegang amanah yang menjaga kepentingan umat Islam, kita akan ditanya oleh Allah swt tentang sikap membisu kita kepada perkara-perkara yang tak betul.




Thursday, May 6, 2010

I'tiqad Ahlusunnah Wal Jamaah.

Ada di antara kita yang mencari-cari buku yang menghuraikan tentang I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah. Buku yang ditulis oleh Almarhum K.H.Siradjuddin Abbas tentang I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah adalah buku yang begitu baik sekali untuk dibaca bagi memantapkan lagi aqidah dan pegangan kita terhadap Islam. Ini ditambah sejak akhir-akhir ini, ramai yang mengaku sebagai pendokong Ahlussunnah Wal Jamaah dengan memperlekehkan I'tiqad yang telah disusun oleh Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi tentang pengajian Sifat 20.
Perbahasan dalam buku ini juga tidak terbatas hanya fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah sahaja, tetapi juga dibahas tentang aliran-aliran atau firqah-firqah lain seperti fahaman Syiah, Khawarij, Murjiah, Mu'tazilah, Qadariah, Jabariah, Najariah, Musyabbihah, Fatwa-Fatwa Ibnu Taimiyah, (ulama pujaan Dr Asri) Bahaiyah, Ahmadiah dan juga WAHABIYAH. Ia dibahas seluas-luasnya untuk menghilangkan kesalahfahaman umat Islam yang sedang melanda umat Islam masakini.
Kemunculan firqah Wahabi yang dihidupkan semula oleh Mantan Mufti Perlis, Dr Asri bersama-sama dengan teman-temannya setelah ianya sepi seketika memaksa para 'alim ulama bertungkus-lumus menjawab segala tuduhan-tuduhan buruk yang dilemparkan oleh kumpulan Wahabi ke atas amalan baik umat Islam. Buku I'tiqad Ahlussunnah Wal Jammah tulisan Almarhum K.H.Siradjuddin Abbas, Mantan Menteri Agama Republik Indonesia ini sudah diulang cetak sebanyak lebih 20 kali sejak 1996. Semoga buku ini akan dapat memberi kefahaman yang begitu jelas kepada seluruh umat Islam tentang I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah yang sebenar agar kita tidak terus ditipu dan diperdayakan oleh pemuka-pemuka Wahabi yang secara jelas memperlekehkan Pengajian Sifat 20 dengan menggantikannya kepada kebathilan Tauhid 3 iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Asma Wa Sifat. Kenapa Tauhid 3 ini bathil?
Tauhid Rububiyah - iaitu tauhidnya orang kafir, tauhidnya orang musyrik yang menyembah berhala atau dengan kata lain, tauhidnya orang syirik, kata pemuka Wahabi. Mereka menggunakan dalil dari Surah Al-Mu'minun ayat 84-85 yang bermaksud, "Katakanlah (Hai Muhammad): Kepunyaan siapakah langit dan bumi dan semua isinya kalau kamu mengetahui?Mereka akan menjawab, kepunyaan Allah.Katakanlah kepada mereka,mengapa kamu tidak mengambil pengertian".
Dengan ayat di atas, pemuka Wahabi mengatakan bahawa orang-orang Kafir yang menyembah berhala percaya juga kepada adanya Tuhan, tetapi imannya tidak sah, kerana mereka menyembah berhala disamping pengakuannya kepada adanya Tuhan. Selain itu pemuka Wahabi juga akan menggunakan dalil dari Surah Ankabut ayat 61 yang bermaksud, "Dan kalau engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan menjadikan matahari dan bulan, mereka akan menjawab Allah.Maka bagaimana kamu berputar dari kebenaran?"
Inilah yang dikatakan oleh pemuka Wahabi bahawa orang kafir mengakui adanya Allah tetapi menyembah selain dari Nya dan tauhid mereka ialah Tauhid Rububiyah.
Adapun Tauhid Uluhiyah, menurut mereka ialah tauhid sebenar-benarnya iaitu mengEsakan Allah sehingga tidak ada yang disembah selain Allah.Inilah tauhid mu'min sejati, kata mereka.
Yang menjadi persoalan ialah, apakah orang kafir yang mempersekutukan Allah dinamakan bertauhid?Apakah syirik dan tauhid itu boleh digabungkan? Inilah dia sikap keterlaluan pemuka Wahabi yang sebenar. Dengan adanya buku seperti di atas, dapatlah kita memahami dengan lebih mendalam lagi tentang I'tiqad yang sebenar dan boleh juga kita sampaikan pengajian dari buku ini kepada anak-anak, cucu-cucu kita agar tidak terpengaruh dengan fahaman Wahabi.

Tuesday, May 4, 2010

Wahabi Takut Fatwa Mufti Johor.






Fatwa yang pernah dikeluarkan oleh Almarhum Mufti Johor, Dato' Syed Alwi yang menghuraikan masalah Wahabi atau kaum muda tidak disenangi oleh pemuka-pemuka Wahabi.Pemuka-pemuka Wahabi di negara ini tidak menjawab fatwa yang dikeluarkan tetapi mereka hanya menggunakan sebuah buku yang ditulis oleh Hamka bertajuk "Teguran Suci kepada Mufti Johor".
Keberanian dan ketegasan Almarhum Dato' Syed Alwi mengeluarkan fatwa menentang kaum muda atau Wahabi atau Salafi Moden seharusnya diikuti oleh Mufti-Mufti yang ada kini kecuali Mufti Perlis.Ini disebabkan ramai pemuka-pemuka Wahabi yang mendabik dada dengan mengatakan tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa tentang kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.Kita percaya bahawa majoriti Mufti-Mufti yang ada di seluruh negara ini menentang fahaman yang pelik-pelik yang dibawa oleh pemuka-pemuka Wahabi. Ayoh!!!Semua Mufti, bangun dan perjuangkan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar tanpa rasa takut, gentar dan gerun dengan pemuka-pemuka Wahabi.Semoga Allah merahmati perjuangan Almarhum Dato' Syed Alwi.

Monday, May 3, 2010

Salahfaham Politik Di Dalam Masjid.

Politik dan agama sebenarnya memang tidak boleh dipisahkan kerana ia merupakan rutin hidup seharian manusia yang perlu kepada berpolitik dan beragama.Yang dilarang ialah menyampaikan ceramah kepartian di dalam masjid sehingga boleh menimbulkan kekacauan di antara para pendengar yang berbeza fahaman politiknya.
Walaupun begitu ada juga ceramah-ceramah yang disampaikan, bukan dengan tujuan berpolitik tetapi telah disalah tafsirkan oleh beberapa pihak.Contohnya ada di antara penceramah yang membincangkan tentang hukum-hukum di dalam Al-Quran seperti hudud, hukum tentang pemerintahan yang adil dan sebagainya, namun ia ditafsirkan oleh pihak yang tidak menyenanginya sebagai berpolitik di dalam masjid.Tugas seorang pendakwah adalah menyatakan yang hak dan menentang sebarang bentuk kebathilan tetapi apabila ia terkena kepada batang hidung salah sebuah badan politik, maka penceramah itu akan dianggap sebagai cenderung kepada satu-satu badan politik.
Dalam entri sebelumnya, saya memang menyokong penuh apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor kerana kedatangan pemimpin yang ingin menggunakan masjid untuk menyampaikan ceramahnya tidak kena pada masanya.Ini disebabkan adanya pilihanraya kecil yang memungkinkan pemimpin tersebut tersasar dalam menyampaikan ceramahnya. Dalam pada itu, janganlah halangan tersebut dikenakan kepada satu-satu badan politik sahaja, namun pihak yang lain juga seharusnya dilarang menggunakan masjid, sekolah ataupun dewan orangramai untuk menyampaikan ceramah politiknya.Dengan itu, barulah keadilan yang sebenar dapat ditegakkan. Adalah lebih penting jika larangan tersebut dikenakan kepada semua badan-badan politik kerana ia akan mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak.
Masjid adalah rumah Allah dan seharusnya ia bebas dari dikongkong oleh mana-mana pengaruh politik.Janganlah disebabkan dengan fahaman politik yang menebal sehingga menjadi perbalahan di dalam masjid.Imam, Bilal dan jemaah masjid bebas untuk memilih mana-mana fahaman politik yang disukainya asalkan masjid tidak digunakan sebagai tempat untuk melebarkan fahaman politik dan mencari pengaruh.Sebaiknya masjid dijadikan tempat penyatuan ummah tanpa mengira apa fahaman politik yang kita sokong.Tidak kira samada kita merah putih ataupun hijau putih kerana tujuan kita ke masjid adalah untuk mencari keredhaan Allah, berjemaah dan mengutip ilmu-ilmu dari kuliah-kuliah yang disampaikan.Pilihlah mana-mana masjid yang memberi keselesaan kepada kita untuk berjemaah dengan tenang kerana ketenangan itu akan membuat kita lebih kusyuk dalam mengerjakan ibadat.