Thursday, May 6, 2010

I'tiqad Ahlusunnah Wal Jamaah.

Ada di antara kita yang mencari-cari buku yang menghuraikan tentang I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah. Buku yang ditulis oleh Almarhum K.H.Siradjuddin Abbas tentang I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah adalah buku yang begitu baik sekali untuk dibaca bagi memantapkan lagi aqidah dan pegangan kita terhadap Islam. Ini ditambah sejak akhir-akhir ini, ramai yang mengaku sebagai pendokong Ahlussunnah Wal Jamaah dengan memperlekehkan I'tiqad yang telah disusun oleh Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi tentang pengajian Sifat 20.
Perbahasan dalam buku ini juga tidak terbatas hanya fahaman Ahlussunnah Wal Jamaah sahaja, tetapi juga dibahas tentang aliran-aliran atau firqah-firqah lain seperti fahaman Syiah, Khawarij, Murjiah, Mu'tazilah, Qadariah, Jabariah, Najariah, Musyabbihah, Fatwa-Fatwa Ibnu Taimiyah, (ulama pujaan Dr Asri) Bahaiyah, Ahmadiah dan juga WAHABIYAH. Ia dibahas seluas-luasnya untuk menghilangkan kesalahfahaman umat Islam yang sedang melanda umat Islam masakini.
Kemunculan firqah Wahabi yang dihidupkan semula oleh Mantan Mufti Perlis, Dr Asri bersama-sama dengan teman-temannya setelah ianya sepi seketika memaksa para 'alim ulama bertungkus-lumus menjawab segala tuduhan-tuduhan buruk yang dilemparkan oleh kumpulan Wahabi ke atas amalan baik umat Islam. Buku I'tiqad Ahlussunnah Wal Jammah tulisan Almarhum K.H.Siradjuddin Abbas, Mantan Menteri Agama Republik Indonesia ini sudah diulang cetak sebanyak lebih 20 kali sejak 1996. Semoga buku ini akan dapat memberi kefahaman yang begitu jelas kepada seluruh umat Islam tentang I'tiqad Ahlussunnah Wal Jamaah yang sebenar agar kita tidak terus ditipu dan diperdayakan oleh pemuka-pemuka Wahabi yang secara jelas memperlekehkan Pengajian Sifat 20 dengan menggantikannya kepada kebathilan Tauhid 3 iaitu Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Asma Wa Sifat. Kenapa Tauhid 3 ini bathil?
Tauhid Rububiyah - iaitu tauhidnya orang kafir, tauhidnya orang musyrik yang menyembah berhala atau dengan kata lain, tauhidnya orang syirik, kata pemuka Wahabi. Mereka menggunakan dalil dari Surah Al-Mu'minun ayat 84-85 yang bermaksud, "Katakanlah (Hai Muhammad): Kepunyaan siapakah langit dan bumi dan semua isinya kalau kamu mengetahui?Mereka akan menjawab, kepunyaan Allah.Katakanlah kepada mereka,mengapa kamu tidak mengambil pengertian".
Dengan ayat di atas, pemuka Wahabi mengatakan bahawa orang-orang Kafir yang menyembah berhala percaya juga kepada adanya Tuhan, tetapi imannya tidak sah, kerana mereka menyembah berhala disamping pengakuannya kepada adanya Tuhan. Selain itu pemuka Wahabi juga akan menggunakan dalil dari Surah Ankabut ayat 61 yang bermaksud, "Dan kalau engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan langit dan bumi dan menjadikan matahari dan bulan, mereka akan menjawab Allah.Maka bagaimana kamu berputar dari kebenaran?"
Inilah yang dikatakan oleh pemuka Wahabi bahawa orang kafir mengakui adanya Allah tetapi menyembah selain dari Nya dan tauhid mereka ialah Tauhid Rububiyah.
Adapun Tauhid Uluhiyah, menurut mereka ialah tauhid sebenar-benarnya iaitu mengEsakan Allah sehingga tidak ada yang disembah selain Allah.Inilah tauhid mu'min sejati, kata mereka.
Yang menjadi persoalan ialah, apakah orang kafir yang mempersekutukan Allah dinamakan bertauhid?Apakah syirik dan tauhid itu boleh digabungkan? Inilah dia sikap keterlaluan pemuka Wahabi yang sebenar. Dengan adanya buku seperti di atas, dapatlah kita memahami dengan lebih mendalam lagi tentang I'tiqad yang sebenar dan boleh juga kita sampaikan pengajian dari buku ini kepada anak-anak, cucu-cucu kita agar tidak terpengaruh dengan fahaman Wahabi.

No comments: