Wednesday, May 12, 2010

Saksi Yang Fasiq.

Sekarang ini heboh diperkatakan tentang kes liwat yang melibatkan seorang tokoh politik dengan seorang anak muda. Kes ini dijadikan liputan utama dalam media elektronik maupun media cetak, yang tanpa rasa malu memperbesarkan berita-berita mengenainya. Ini disebabkan kes ini sudah mula dibicarakan di mahkamah di mana "Yang Kena Liwat" menjawab soalan dari peguam "Yang Kena Tuduh".

Di antara soalan-soalan yang dikemukakan oleh peguam "Yang Kena Tuduh" berbunyi, "Apakah Kamu Sebagai Seorang Muslim Yang Baik"?, "Apakah Kamu Melaksanakan Solat Lima Waktu Yang Menjadi Kewajipan Kepada Seorang Islam"? "Apakah Kamu Tidak Mandi Junub Untuk Bersolat Setelah DiLiwat?". Maka dijawab pula oleh "Yang Kena Liwat", bahawa dia tidak mandi junub tetapi melakukan Solat Jumaat dan meninggalkan solat fardhu yang lain.(adakala buat, adakala tidak). Maka "Yang Kena Tuduh" merupakan saksi yang paling utama sekali di dalan kes ini tetapi mengaku adakalanya solat dan adakalanya tidak.Apakah yang perlu kita katakan kepada saksi seperti ini? Di bawah disertakan tentang hukum orang yang meninggalkan solat dengan sengaja.

Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis.

Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).

Justeru itu, dosa meninggalkan solat itu amat besar sekali. Di Akhirat nanti seseorang yang meninggalkan solat itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Allah s.w.t telah menceritakan di dalam al-Quran, bahawa ahli syurga (Ashabul Yamiin) telah bertanya kepada penghuni neraka, yang bermaksud:

Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka? Mereka menjawab, kami dahulu bukan daripada golongan orang-orang yang bersolat.

Daripada Abdullah bin Umar r.a. daripada Nabi s.a.w. bahawa pada suatu hari baginda menyebut tentang solat lalu baginda bersabda, yang bermaksud:

Sesiapa yang memelihara solat, nescaya solatnya menjadi nur untuknya, ketandaan (iman) dan kelepasan (dari neraka) pada hari kiamat.

Sebaliknya sesiapa yang tidak memeliharanya nescaya tiada nur baginya, ketandaan dan kelepasan.

Malahan dia adalah (dikumpulkan dalam neraka yang paling panas sekali) bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalaf.

(Hadis riwayat Ahmad, at-Tabrani dan Ibnu Hibban).

Daripada Jabir r.a. meriwayatkan beliau telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud:

Sesungguhnya meninggalkan solat ialah (perkara yang menghubungkan) seseorang dengan kufur.

(Hadis riwayat Ahmad dan lain-lainnya).

Ijma’ para ulama mengatakan bahawa hukum orang yang meninggalkan solat kerana ingkar terhadap kewajipannya, adalah jatuh kafir.

Namun, sekiranya seseorang itu meninggalkan solat atas sebab malas, tetapi dia tahu dia wajib solat, maka terdapat tiga pendapat ulama tentang hukumnya, iaitu:

  1. Orang itu tidak menjadi kafir, tetapi dia menjadi fasik. Maka wajib atas pihak yang berkuasa bertindak menyuruhnya bertaubat kembali mengerjakan solat. Sekiranya dia enggan bertaubat maka dijalankan ke atasnya hukuman hudud, iaitu dibunuh dengan pedang.
    Ini pendapat Imam Malik, Syafi’e dan jumhur ulama salaf dan khalaf.
  2. Orang itu menjadi kafir. Hukumnya sama seperti orang yang ingkar terhadap kewajipannya tadi.
    Ini adalah pendapat satu jemaah daripada para salaf yang diambil riwayatnya daripada Saidina Ali bin Abu Talib dan salah satu pandangan Imam Ahmad bin Hambal serta pendapat Abdullah bin al-Mubarak dan Ishak bin Rahawaih.
  3. Orang itu tidak menjadi kafir dan tidak pula dibunuh, sebaliknya ditakzirkan dengan dipenjarakan sehingga dia mengerjakan solat.
    Ini pula adalah pendapat Imam Abu Hanifah dan satu jemaah daripada para fuqahak Kufah dan juga pendapat al-Muzani seorang pendokong dan pengikut Imam asy-Syafi’e.

Lihat betapa besarnya solat, dan betapa besar hukum bagi seseorang meninggalkan solat.

Orang yang mahu agamanya selamat dan dirinya bahagia di dunia dan akhirat, sudah tentu dia wajib menghindarkan dirinya dari terletak di antara hukum menjadi murtad dan berdosa besar.

Dengan huraian di atas, kita sedia maklum tentang hukum meninggalkan solat dengan sengaja. Kes liwat ini nampaknya tidak mendapat apa-apa reaksi daripada ulama-ulama kita untuk memberi kata nasihat.Malah tidak ada mana-mana wartawan ataupun pemberita yang cuba merujuk kepada ulama-ulama tentang kes ini.Ulama-ulama pula diam seribu bahasa tanpa ingin mencampuri urusan "mahkamah" sedangkan peguam yang bukan beragama Islam lebih tahu mendedahkan kepincangan saksi utama kes ini sebagai seorang Islam.Di mana letaknya maruah seorang Islam apabila keperibadian seorang Islam itu dicabar oleh orang bukan Islam sehinggakan dia lebih tahu sah batalnya solat orang yang tak mandi junub.Nasib baik juga peguam tersebut tidak menjelaskan tentang hukum haram bagi mereka yang berhadas besar memasuki masjid.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya malu dengan kes seperti ini kerana diperbesar-besarkan dengan tujuan yang tak menentu.Ulama-ulama kita juga harus bangkit untuk menasihati pihak berwajib agar kes ini tidak mendatangkan aib kepada seseorang dan yang lebih utama kepada negara.Apakah ini contoh sebuah Negara Islam untuk ditunjukkan kepada dunia?Kes seperti ini perlu diselesaikan dengan cara Islam melalui Mahkamah Syariah dan mengikut hukum yang termaktub di dalam Al-Quran.Pihak jabatan agama yang dirujuk oleh "Yang Kena Tuduh" perlu bertegas dalam hal ini demi menegakkan kebenaran dan keadilan yang sebenar.Janganlah kita hanya berdiam diri kepada sesuatu perkara yang mungkar kerana sebagai pemegang amanah yang menjaga kepentingan umat Islam, kita akan ditanya oleh Allah swt tentang sikap membisu kita kepada perkara-perkara yang tak betul.




No comments: