Monday, May 3, 2010

Salahfaham Politik Di Dalam Masjid.

Politik dan agama sebenarnya memang tidak boleh dipisahkan kerana ia merupakan rutin hidup seharian manusia yang perlu kepada berpolitik dan beragama.Yang dilarang ialah menyampaikan ceramah kepartian di dalam masjid sehingga boleh menimbulkan kekacauan di antara para pendengar yang berbeza fahaman politiknya.
Walaupun begitu ada juga ceramah-ceramah yang disampaikan, bukan dengan tujuan berpolitik tetapi telah disalah tafsirkan oleh beberapa pihak.Contohnya ada di antara penceramah yang membincangkan tentang hukum-hukum di dalam Al-Quran seperti hudud, hukum tentang pemerintahan yang adil dan sebagainya, namun ia ditafsirkan oleh pihak yang tidak menyenanginya sebagai berpolitik di dalam masjid.Tugas seorang pendakwah adalah menyatakan yang hak dan menentang sebarang bentuk kebathilan tetapi apabila ia terkena kepada batang hidung salah sebuah badan politik, maka penceramah itu akan dianggap sebagai cenderung kepada satu-satu badan politik.
Dalam entri sebelumnya, saya memang menyokong penuh apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor kerana kedatangan pemimpin yang ingin menggunakan masjid untuk menyampaikan ceramahnya tidak kena pada masanya.Ini disebabkan adanya pilihanraya kecil yang memungkinkan pemimpin tersebut tersasar dalam menyampaikan ceramahnya. Dalam pada itu, janganlah halangan tersebut dikenakan kepada satu-satu badan politik sahaja, namun pihak yang lain juga seharusnya dilarang menggunakan masjid, sekolah ataupun dewan orangramai untuk menyampaikan ceramah politiknya.Dengan itu, barulah keadilan yang sebenar dapat ditegakkan. Adalah lebih penting jika larangan tersebut dikenakan kepada semua badan-badan politik kerana ia akan mencetuskan rasa kurang senang beberapa pihak.
Masjid adalah rumah Allah dan seharusnya ia bebas dari dikongkong oleh mana-mana pengaruh politik.Janganlah disebabkan dengan fahaman politik yang menebal sehingga menjadi perbalahan di dalam masjid.Imam, Bilal dan jemaah masjid bebas untuk memilih mana-mana fahaman politik yang disukainya asalkan masjid tidak digunakan sebagai tempat untuk melebarkan fahaman politik dan mencari pengaruh.Sebaiknya masjid dijadikan tempat penyatuan ummah tanpa mengira apa fahaman politik yang kita sokong.Tidak kira samada kita merah putih ataupun hijau putih kerana tujuan kita ke masjid adalah untuk mencari keredhaan Allah, berjemaah dan mengutip ilmu-ilmu dari kuliah-kuliah yang disampaikan.Pilihlah mana-mana masjid yang memberi keselesaan kepada kita untuk berjemaah dengan tenang kerana ketenangan itu akan membuat kita lebih kusyuk dalam mengerjakan ibadat.

No comments: