Monday, May 17, 2010

Subuh Di Hari Minggu.

Pagi Hari Minggu adalah hari yang paling liat sekali bagi sesetengah umat Islam untuk bangun menunaikan Solat Subuh. Ini berbeza dengan hari-hari yang lain di mana mereka bangun disebabkan anak-anak mereka bersekolah ataupun mereka ingin bersiap untuk ke pejabat atas urusan kerja. Bagi mereka yang liat untuk bangun Solat Subuh di hari minggu akan memberi alasan bahawa cuti adalah untuk mereka berehat sepenuhnya dengan tidur dan tidak mahu diganggu. Apakah ada istilah cuti dalam melaksanakan solat fardhu di hari minggu?Ini ditambah pula untuk mereka yang liat bangun untuk datang berjemaah di masjid-masjid di waktu Subuh.
Fenomena ini akan berlaku di kebanyakan masjid-masjid di hari minggu, di mana kurangnya jemaah yang datang untuk melaksanakan Solat Subuh. Namun kurangnya jemaah di hari minggu tidak berlaku di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan. Setiap hari minggu jemaah yang datang untuk melaksanakan Solat Subuh boleh dianggarkan melebihi 200 jemaah dalam satu-satu masa.Ini ditambah pula dengan jemaah-jemaah tidak berganjak untuk mendengar majlis ilmu yang diadakan. Maka dengan itu tidak hairanlah jika penceramah-penceramah yang hadir memberikan kuliah Subuh akan memuji keadaan yang mereka lihat sendiri. Apakah faktor yang menyebabkan ramainya jemaah yang hadir di Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan perlu dikupas satu persatu.
Sebelum waktu Subuh bermula, masjid ini telahpun di buka sekitar jam 4.45 pagi oleh Noja yang bertugas.Jemaah yang hadir seawal pagi tidak perlu menunggu-nunggu pintu masjid di buka untuk melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran sebelum Subuh. Al-Quran pula diletakkan di atas rehal di sepanjang saf hadapan bagi memudahkan jemaah mengambil dan membacanya. Petugas masjid ini seperti Bilal dan Imam begitu komited dengan tugas mereka dengan menghadirkan diri sekurang-kurangnya 10-15 minit sebelum azan. Dengan itu jemaah tidak perlu risau samada adanya bilal untuk melaksanakan azan ataupun Imam untuk mengepalai solat fardhu. Tukang azan yang dilantik juga adalah di kalangan mereka yang mahir mengalunkan azan dengan taranum yang menarik orang mendengarnya.Adakalanya bilal akan membaca Tarhim dan ayat-ayat suci Al-Quran tanpa hanya bergantung dengan bacaan daripada cd ataupub kaset.Begitu juga dengan Imam-Imam yang ada, mereka bijak dalam mengepalai solat fardhu dengan bacaan-bacaan yang dibawa.Ini kerana mereka tahu, jika bacaan-bacaan yang panjang dibaca dengan mendayu-dayu ataupun boleh dipanggil dengan istilah "lembik tengkok" atupun "leweh", boleh membuatkan jemaah menjadi jemu dan bosan untuk datang.
Tidak ketinggalan juga kepada petugas-petugas Masjid Nurul Hidayah yang lain seperti Ahli Jawatankuasa yang dilantik.Setiap hari minggu selepas kuliah Subuh, penceramah dan jemaah akan dijamu dengan sarapan pagi seperti Nasi Lemak, kueh-mueh, kopi dan teh.Dengan cara begini akan merapatkan lagi silaturahim di antara petugas-petugas masjid dan para jemaah.Program-program yang diatur juga seperti Qiamulail sebulan sekali, kelas-kelas agama, penceramah-penceramah pilihan dan sebagainya telah menarik orangramai untuk terus mengunjungi masjid ini. Sebenarnya perkara-perkara yang saya nyatakan di atas sudahpun lama dipraktikkan di Masjid Nurul Hidayah dan ianya terus kekal sejak pengambil-alih Ahli Jawatankuasa masjid ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan telah berjaya menarik ramai jemaah untuk sama-sama mengimarahkan masjid sejak dahulu hingga kini. Syabas kepada Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan.

No comments: