Wednesday, June 2, 2010

Salah Faham Tentang Kenduri Arwah.

Setiap ada kematian, masyarakat kita tidak akan ketinggalan untuk mengadakan kenduri arwah bagi menghadiahkan bacaan tahlil kepada si mati.Upacara ini sudah semakin sebati dengan masyarakat kita sejak zaman berzaman dan ia sepatutnya tidak perlu dipertikaikan lagi.Namun lahirnya golongan-golongan pelampau agama yang cuba menjadi jaguh telah sewenang-wenangnya membida'ahkan amalan kenduri arwah dan bertahlil sehinggakan menjadi kegusaran kepada sesetengah masyarakat yang kurang arif tentangnya.Maka di sini perlu dijelaskan tentang kesalahfahaman masyarakat tentang beberapa hukum tentang mengadakan kenduri arwah.
Disunatkan bagi jiran tetangga menyediakan makanan untuk keluarga simati, pada siang dan malam kematian berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. tatkala sampai perkhabaran gugurnya Jaafar Bin Abi Thalib di dalam peperangan Muktah dengan katanya, "Buatlah makanan untuk keluarga Jaafar kerana sesungguhnya mereka didatangi oleh perkara yang menyibukkan(musibah kematian)".
Dalam hadis yang dinyatakan di atas, beberapa hukum perlu diperhatikan dengan jelas agar tidak timbul kekeliruan kepada masyarakat kita.

1)Hadis Larangan.

Diriwayatkan daripada Jarit r.a., "Adalah kami para sahabat mengira bahawa berhimpun kepada keluarga si mati dan mereka itu (keluarga si mati) menyediakan jamuan, termasuk di dalam "Nihayah"(meratapi serta menyebut-nyebut kebaikan si mati)."
Sebab dikira mengadakan jamuan oleh keluarga si mati termasuk dalam "Nihayah" kerana ada unsur terlampau mengambil berat soal dukacita, sepertimana yang diterangkan oleh Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam kitab Tuhfah.

2)Hadis Mengharuskannya.

Diriwayatkan daripada 'Asim Bin Kulaib daripada seorang lelaki (sahabat) dari kalangan kaum Ansar berkata,"Kami telah keluar bersama Rasulullah s.a.w. kepada satu jenazah.Kami mendengar Rasulullah s.a.w berpesan kepada penggali kubur dengan katanya, "Luaskan pada dua pihak kakinya dan pihak kepalanya". Tatkala sekembalinya Baginda, datang seorang pemanggil jemputan bagi pihak isteri si mati.Baginda menerima jemputan itu dan kami bersama-samanya.Kemudian dihidangkan makanan, lalu Rasulullah s.a.w. menjamahnya lalu merekapun makan.Kami melihat Rasulullah s.a.w. menyuap satu suapan ke mulutnya......"

Berdasarkan kepada kaedah feqah yang berbunyi."Menggunakan dua dalil (yang berlawan-lawanan) dengan cara menghimpun dan membuang percanggahan di antara keduanya terlebih utama daripada meninggalkan salah satu daripadanya".Maka di bawah ini, kita nyatakan hukum yang boleh dirumus yang diambil daripada kitab feqah.

1)Haram.

a) Jamuan diadakan untuk meratapi dan menyebut-nyebut kebaikan orang yang mati.
b) Perbelanjaan diambil daripada harta peninggalan si mati sedangkan si mati masih mempunyai hutang belum dibayar.
c) Perbelanjaan daripada harta si mati sedangkan pewarisnya adalah orang yang tidak dibenarkan oleh syara' untuk menguruskan harta si mati seperti kanak-kanak atau orang yang ditahan hartanya oleh pemerintah.
d) Perbelanjaan daripada harta si mati tanpa persetujuan daripada waris-warisnya atau tidak diketahui di mana mereka berada.

2) Makruh.

a) Jamuan diadakan untuk menghilangkan rasa sunyi dan dukacita disebabkan kematian.
b) Mengadakan jamuan tanpa apa-apa tujuan atau kerana kematian semata-mata mengikut kebiasaan sesuatu tempat pada hari-hari yang ditentukan.
c) Jamuan bagi orangramai yang datang mengucapkan "Takziah".

PERINGATAN!!! Jika terdapat di dalam kitab-kitab feqah Mazhab Syafie yang menyatakan bida'ah samada makruh atau haram menyediakan jamuan daripada pihak keluarga si mati, hendaklah disepadankan dengan apa yang dinyatakan di atas.

3) Harus.

Harus apabila keluarga si mati membuat jamuan kepada mereka yang datang bertahlil dan membaca Al-Quran untuk dihadiahkan kepada si mati pahalanya.Tujuannya adalah untuk menggalakkan orangramai datang serta membalas budi mereka kerana menolong si mati dengan doa serta mengahadiahkan bacaan-bacaan zikir dan tilawah Al-Quran kepada si mati.Ini tidak termasuk dalam perkara bida'ah yang menghukumkan makruh kerana tidak mengambil berat mengenai dukacita atau "Nihayah".Ini berlainan dengan "Takziah" yang bererti menyabarkan keluarga si mati ketika menghadapi musibah.Jika keluarga si mati mengadakan jamuan bagi orangramai yang datang semata-mata untuk mengucapkan "Takziah", nescaya ianya termasuk di dalam mengambil berat soal dukacita kematian yang membawa kepada makruh.
Di dalam kitab Quratul 'Ain-Fatwa Ulama Haramain, Syeikh Husain Al-Maghribi, Mufti Mahzhab Maliki di Mekah telah ditanya, "Apa pendapat kamu tentang jamuan makan yang diadakan bagi pembaca-pembaca Al-Quran dan selain mereka di hari ke tujuh kematian?Tidaklah diniatkan oleh pembuatnya selain mendoakan rahmat bagi si mati dan menghubungkan silaturrahim.Sesetengah orang menegah melakukannya dan tidak harus memakan jamuan itu, sila berikan jawapanmu!"
Maka dijawab oleh Syeikh Husain Al-Maghribi, "Bila diadakan jamuan makanan itu untuk mendoakan rahmat bagi si mati dan menghubungkan silaturrahim, di mana ianya merangsangkan diri dan mendorong hati supaya segera berdoa untuk si mati serta memohon rahmat baginya, maka ia adalah satu perbuatan yang sangat baik.Sesungguhnya segala amalan itu semata-mata bergantung kepada niat dan ini merupakan asal daripada segala asas yang dipegangi pada segala perkataan dan perbuatan.Tiadalah ianya bida'ah melainkan apabila dilakukan jamuan tersebut sebagai perkara agama dan syariat dan kerana ia menjadi hak si mati ke atas walinya".
Imam Ahmad Hambal telah meriwayatkan daripada Hasyim Bin Qasim daripada Ashja'ie daripada Sufian daripada Thawus (Imam Tabien yang besar) berkata,"Sesungguhnya orang yang mati dicuba dan diuji dengan soal kubur mereka selama tujuh hari.Adalah shabat-sahabat Nabi s.a.w. menyatakan sunat diadakan jamuan makan bagi pihak orang yang telah mati dengan dihadiahkan pahala jamuan itu kepada si mati pada tujuh hari tersebut".
Imam Suyuthi di dalam kitabnya Al-Hawi menyebut,"Bahawa sunat membuat jamuan selama tujuh hari selepas kematian itu, telah sampai kepadaku bahawa amalan ini berterusan hingga sekarang di Mekah dan Madinah.Jelasnya bahawa ia tidak pernah ditinggalkan sejak dari zaman sahabat hingga sekarang.Sesungguhnya penduduk Mekah dan Madinah yang terkemudian telah mengambil amalan tersebut daripada salaf hingga ke masa kurun yang pertama (zaman sahabat)"
Ibnu Juraij meriwayatkan daripada Haris Bin Abi Haris daripada 'Ubaid bin 'Amir berkata, "Diuji dua orang lelaki (dengan soal kubur), salah seorangnya mukmin dan seorang lagi munafiq.Adapun yang mukimin akan diuji selama tujuh hari, manakala yang munafiq selama 40 hari".
Tersebut juga dalam kitab Syarah Bukhari bagi Qasthallani dan kitab Umdatul-Qari, diriwayatkan daripada Thawus berkata,"Adalah sahabat-sahabat Nabi menyatakan sunat tidak meninggalkan si mati selama tujuh hari disebabkan mereka itu diuji dengan soal kubur dan dihisab di dalam kubur mereka selama tujuh hari".
Riwayat-riwayat di atas telah menjadi sandaran bagi amalan bertahlil selama tujuh hari dan amalan membaca Al-Quran serta berzikir dan doa untuk dihadiahkan kepada si mati.
Sabda Rasulullah s.a.w. "Sesiapa yang langsung tidak mengambil berat tentang hal orang-orang muslimin, tidaklah ia tergolong daripada mereka (yakni bukanlah ia muslimin yang sempurna).
Dengan penjelasan yang diberi ini di atas, adalah diharapkan orangramai tidak terpengaruh dengan golongan pelampau yang sering membida'ahkan amalan-amalan baik seperti mengadakan tahlil dan kenduri arwah.

3 comments:

Blog Tuan Hamba said...

ASLKM TUAN PUNYA BLOG. ANA MINTA IZIN UNTUK COPY BAGI TUJUAN SEBARAN.

Blog Tuan Hamba said...

ASLKM TUAN RUMAH. MINTA IZIN COPY ARTIKEL INI YA.

Hamba Allah. said...

Waalaikumussalam, silakan sebar.