Friday, July 9, 2010

Apa Itu Sesat?

SESAT!!!!! Itulah ungkapan yang sering kita dengar tanpa kita memahami makna SESAT itu sendiri.Perkataan SESAT ini bolehlah diterjemahkan dengan bahasa yang mudah iaitu tersalah jalan atau tidak mengikut jalan yang betul setelah diberitahu.Contohnya, seseorang bertanyakan jalan kepada kita bagaimana nak pergi ke suatu tempat.Maka kita tunjukkan jalannya, tetapi orang itu tidak mengikut apa yang kita tunjukkan, maka dia akan SESAT.
Setiap hari kita melaksanakan solat dengan membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 17 kali.Dalam Surah Al-Fatihah tersebut ada ayat yang maksudnya berbunyi,"Tunjukkanlah aku jalan yang lurus".Maka Allah swt telahpun menunjukkan kepada kita jalan yang lurus sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w. untuk menjadi panduan kepada kita agar tidak terSESAT .Jika kita tidak mengikut apa yang terkandung di dalam Al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w.,maka kita akan terSESAT dan perlu kita kembali semula ke pangkal jalan agar tidak terus terSESAT.
Dewasa ini, semakin ramai yang berani menuduh seseorang dengan perkataan SESAT walaupun orang yang dituduh itu sebenarnya mengikut "jalan yang lurus" sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran.Apakah seseorang itu menjadi SESAT kerana dia menegakkan hukum Allah?Apakah seseorang itu menjadi SESAT kerana menyeru manusia agar senantiasa bertakwa kepada Allah?Apakah seseorang itu menjadi SESAT apabila menyampaikan ilmu agama sebagaimana yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.?Apakah seseorang itu menjadi SESAT kerana melazimkan diri berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau?
Teringat saya dalam satu kuliah Subuh yang disampaikan oleh Ustaz Zakaria Bin Ahmad.Saya tidak begitu mengenalinya, tetapi apabila berta'aruf dengannya, maka tahulah saya bahawa beliau merupakan adik kepada Mufti Pulau Pinang dan juga Dato' Salleh Bin Ahmad.(Yang DiPertua Majlis Ulama-Ulama seMalaysia).Di dalam kuliahnya beliau berkata, "Seandainya saya diberi peluang untuk mengajar di masjid ini(Masjid Nurul Hidayah), saya akan menukar waktu berpuasa kepada malam hari bermula waktu Maghrib dan berbuka puasa selepas azan Subuh.Dengan itu kita akan bertarawikh dalam keadaan berpuasa dan tidur pada malam hari tanpa melihat perkara-perkara mungkar di siang hari.Jika itu yang saya ajar, sudah tentu tuan-tuan sekelian akan mengatakan saya SESAT." Ustaz tersebut meneruskan lagi katanya,"Cuma yang pelik, apabila hukum Allah untuk mereka yang berzina, merompak, mencuri, minum arak dan sebagainya ditukar tanpa mengikut arahan daripada Al-Quran, malah ada pula yang memperlekehkannya, tidak pula tuan-tuan mengatakan itu adalah SESAT. Malah ada pula yang membela dan memberi ampun kepada peminum arak, sedangkan hak itu adalah hak Allah untuk kita sebagai hambaNya meminta keampunan".
Kata-kata Ustaz tersebut memang benar sekali kerana kita tidak pernah berusaha untuk menegakkan hukum Allah, malah memberi berbagai-bagai alasan dan tidak yakin dengan hukum Allah tersebut.Inilah yang boleh kita katakan sebagai SESAT malah menyesatkan umat Islam dengan seSESAT-SESATnya.Maka tidak hairanlah kita apabila penzinaan berlaku berleluasa kini, anak-anak kecil di buang merata-rata, arak menjadi santapan untuk majlis kehormat dan berbagai-bagai lagi kemaksiatan berlaku kerana hukum Allah dikatakan sebagai zalim, menyiksa, memudaratkan dan berbagai-bagai lagi alasan yang bodoh lagi jahil. Renungkanlah siapa yang SESAT sebenarnya.

No comments: