Tuesday, July 27, 2010

Nisfu Sya'aban.

Amalan malam Nisfu Sya'aban sering diperlekehkan oleh golongan-golongan Wahabi yang ada di Malaysia dengan mewartakan setiap Hadis tentang Nisfu Sya'aban merupakan Hadis Dhaif.Apakah beramal dengan Hadis Dhaif satu dosa dan tidak dibolehkan?Ulama muktabar telah bersepakat mengatakan bahawa beramal dengan Hadis Dhaif bukannya satu amalan yang sia-sia ataupun bida'ah.
Dirawikan dari Umamah al-Bahili r.a. dia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Manakala masuk bulan Sya'aban, sucikanlah darimu dan perbaiki niatmu".Dalam kitab An-Nasai dari Hadis Usamah r.a. "Aku berkata, Wahai Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa sunat pada bulan-bulan lain sebagaimana engkau berpuasa di bulan Sya'aban". Rasulullah s.a.w bersabda,"Kerana itu bulan di mana manusia lupa darinya antara Rejab dan Ramadhan.Itulah bulan di mana amal dinaikkan kepada Tuhan Rabbul 'Allamin.Maka aku suka amalku dinaikkan dalam keadaan aku berpuasa".
Dikatakan untuk Malaikat di langit ada dua malam raya dan untuk kaum muslimin di bumi ada dua hari raya.Malam raya bagi Malaikat ialah malam Nisfu Sya'aban dan malam Lailatul Qadar, sedangkan bagi kaum muslimin ialah Aidil Fitri dan Aidil Adha.
Malam Nisfu Sya'aban adakalanya disebut malam Bara'ah kerana malam itu dapat menghapuskan dosa setahun.Sedangkan malam Juma'at dapat menghapuskan dosa seminggu dan malam Al-Qadar dapat menghapuskan dosa seumur hidup.Ini bermakna, menyambut malam-malam itu dengan beribadah merupakan sebab penghapusan dosa.
Malam Nisfu Sya'aban juga disebut malam Takfir atau malam Ihya' di mana dalam Hadis Marfuk disebutkan bahawa siapa menghidupkan dua malam raya dan malam Nisfu Sya'aban, tidak akan mati hatinya pada hari di mana hati-hati mati.
Disamping itu malam Nisfu Sya'aban juga disebut sebagai malam Syafaat.Dalam satu Hadis disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w pada tanggal 13 Sya'aban memohon kepada Allah syafa'at bagi umatnya maka diberi oleh Allah sepertiga.Kemudian pada tanggal ke 14, Rasulullah s.a.w memohon lagi, maka diberi oleh Allah dua pertiga.Pada malam ke 15, Rasulullah s.a.w bermohon lagi, maka diberi oleh Allah keseluruhannya kecuali orang yang lari dari Allah dengan membiasakan maksiat.Sesungguhnya Allah membebaskan manusia pada malam Nisfu Sya'aban dari Neraka sebanyak bilangan bulu kambing kecuali enam golongan iaitu, peminum arak, menderhakai ibu-bapanya, membiasakan zina, yang keras kepala,tukang pukul dan tukang fitnah.
Nisfu Sya'aban juga disebut malam Qiamah dan Takdir.Satu Hadis yang dirawikan oleh Atha Bin Yassar, Rasulullah s.a.w bersbda, "Pada malam Nisfu Sya'aban, dihapuskan oleh Malaikat Maut setiap orang yang hendak meninggal dunia dari Sya'aban ke Sya'aban yang lain.Seseorang yang menanam tanaman, menikah isteri serta membangun rumah, di mana namanya telah dihapuskan sebagai orang mati tetapi Malaikat Maut tidak memandangnya kecuai ketika dia diperintahkan oleh Allah, maka kemudian dicabutnya nyawa orang itu".

Sumber: Kitab Mukashafah Al-Qulub, Imam Ghazali.

No comments: