Thursday, November 18, 2010

Apakah Erti "Korban" Sebenarnya?

Setiap kali datangnya Hari Raya Aidil Adha, begitu banyak binatang ternakan seperti unta, lembu atau kambing dikorbankan oleh umat Islam sebagai memenuhi tuntutan agama agar kita dapat menginfakkan sedikit wang yang ada dalam menjalankan ibadah korban. Ibadah korban ini juga adalah satu cara untuk kita memperingati bagaimana besarnya pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang patuh dengan perintah Allah swt apabila diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. Selain itu ia juga boleh menunjukkan tanda kesyukuran kita kepada Allah swt di atas segala nikmat yang begitu banyak dikurniakan kepada kita sebagai hambaNya serta boleh mendekatkan jurang di antara simiskin dengan sikaya.
Mengikut pendapat Imam Syafie, perkara sunat ini dituntut bagi mereka yang mempunyai harta yang berlebihan dan ibadah korban ini boleh dilakukan sewaktu hari tasyrik, 10,11 dan 12 Zulhijjah. Namun begitu, berapa ramaikah di antara kita yang memahami erti sebenar "korban" ini dalam konteks yang lebih luas?
Ramai di antara kita yang menganggap dengan menyertai nama satu bahagian ataupun lebih dalam program ibadah korban binatang ternakan, sudah memadai bagi mereka sebagai melakukan satu pengorbanan untuk setahun. Jika direnung dalam konteks yang lebih luas tentang makna sebenar "korban" itu sendiri, ia merangkumi segala bentuk pengorbanan kita memperhambakan diri kita kepada Yang Maha Esa. Berapa ramaikah di antara kita yang sanggup mengorbankan waktu tidur mereka untuk bangun malam melakukan solat tahajud walaupun cuma 2 rakaat? Berapa ramai pula yang sanggup berjalan dalam kedinginan subuh untuk bergerak ke masjid bagi menunaikan Solat Subuh berjema'ah di masjid-masjid berhampiran? Begitu juga, berapa ramaikah yang sanggup duduk sejam atau dua di masjid-masjid bagi mengutip ilmu daripada kuliah-kuliah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah yang dijemput. Berapa ramai pula yang sanggup mencari-cari ilmu walaupun terpaksa mengeluarkan sedikit belanja bagi mentelaah dan menadah kitab bersama tuan-tuan guru?
Jika dilihat trend hari ini, ramai umat Islam yang begitu bersemangat menyumbangkan tenaga bila program ibadah korban diadakan baik secara persendirian ataupun di masjid ataupun surau-surau.Malah ada di antara mereka sanggup mengorbankan waktu solat fardhu dek sibuknya bekerja dalam program ibadah korban sedangkan kewajipan menunaikan solat fardhu itu lebih utama sekali. Dari pagi selepas sahaja solat sunat Hari Raya selesai, mereka yang bertugas telah bersedia untuk memikul tugas sehingga selesai pada petangnya.Azan Zuhur yang berkumandang pun seolah-olah tiada apa-apa kesan bagi mereka kerana terlalu ghairah bersama-sama teman mengerjakan beberapa ekor lembu. Malah ada juga peserta yang mengambil bahagian kerana adanya lebihan wang melakukan ibadah korban sedangkan solat fardhu diabaikan begitu sahaja.Di manakah nak disandarkannya pahala ibadah korban ini jika solatnya tiada?
Alangkah ruginya jika erti "korban" ini dalam konteks yang lebih luas tidak difahami oleh kita.Takut-takut ibadah korban yang kita lakukan saban tahun hanyalah sebagai satu pesta penyembelihan binatang ternakan tanpa kita memahami maksud yang tersirat di sebaliknya.


No comments: