Monday, December 27, 2010

Kenali Tokoh Imam Asy'ariyyah.


Ramai umat Islam pada hari ini tidak mengenali siapakah dia Imam Abu Hassan al-Asya'ari ataupun disebut sebagai Asy'ariyyah. Malah ada yang tidak mengetahui tentang tokoh-tokohnya apalagi mengenai tarikat atau jalan pemikiran dan pemahaman tentang masalah aqidah yang dibawa oleh tokoh-tokoh dari kelompok Asy'ariyyah. Sebahagian umat Islam meskipun tidak memiliki pengetahuan tentang Asy'ariyyah berani menuduh kaum Asy'ariyyah sebagai kelompok yang sesat dan menyimpang dari jalan agama yang benar serta kufur terhadap sifat-sifat Allah swt.
Kejahilan dan kebodohan tentang Asy'ariyyah, maka berlakulah perpecahan di kalangan umat Islam terutamanya apabila mereka mengingkari Imam Asy'ariyyah malah meyesatkan umat Islam yang berpegang dengan aqidah dari Asy'ariyyah. Dalam konteks ini Allah swt berfirman, "Maka apakah patut Kami menjadikan orang-orang Islam ini sama seperti oang-orang yang berdosa (kafir) - Al-Qalam 68:35.
Al-Asy'ariyyah adalah para Imam dan tokoh agama atau ulama yang ilmunya telah menyebar luas ke perbagai pelosok dunia, baik di sebelah barat ataupun timur. Keutamaan ilmu dan kesalihannya dalam mengamalkan agama telah diperakui oleh ramai ulama-ulama muktabar dan merupakan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang gigih menentang kesombongan kaum Muktazillah.
Tokoh-tokoh ulama Asy'ariyyah senantiasa mendapat pujian, malah sanjungan juga diberi oleh Syeikh Ibn Taimiyyah dengan mengatakan, "Para ulama adalah pahlawan penolong ilmu-ilmu agama, sedangkan tokoh Asy'ariyyah adalah pahlawan pembela ilmu usuluddin, ilmu tauhid" (rujuk Al-Fatawy IV).
Ulama Asy'ariyyah adalah kelompok ulama ahli feqah, ahli hadis dan ahli tafsir. Mereka adalah ulama yang menjadi rujukan dan sandaran para ulama yang lainnya. Di antara ulama Asy'ariyyah adalah seperti berikut:
1) Syeikh Ahmad Ibnu Hajar Al-'Asqalani. Tidak diragukan lagi, beliau merupakan guru para ahli hadis, penulis kitab Fath Al-Bary 'ala Syarh Al-Bukhari. Karyanya menjadi rujukan para ulama.
2) Syeikh Imam Nawawi, ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menulis kitab Syarah Muslim dan penulis berbagai-bagai kitab yang menjadi rujukan seluruh dunia.
3) Imam Qurtubi, syaikhul mufasirrin, tokoh dan guru para ahli tafsir. Beliaulah yang menulis Tafsir Al-Jami' li Ahkam Al-Quran.
4) Syaikhul Islam, Ibnu Hajar Al-Haitami, penulis kitab Al-Zawajir 'Al-Iqtiraf Al-Kabair, "Larangan Melakukan Perbuatan Dosa Besar".
5) Al-Imam Al-Hujjah Al-Tsabt Syeikh Zakariya Al-Anshary, seorang tokoh serta pakar ahli feqah dan hadis (syaikhul fiqh wa al-hadits).

Selain itu, ada ramai lagi tokoh-tokoh ulama Aya'ariyyah seperti Al-Imam Abu Bakar Al-Baqillany, al-Imam Al-Asqalany, Imam Al-Nafasy, Imam Syarbini, Abu Hayan Al-Nahwiy (ahli nahu/tata bahasa Arab), penulis tafsir Al-Bahr Al-Muhith, Imam Ibnu Jazy -penulis kitab At-Tashil fi "Ulum Al-Tanzil, juga termasuk para Imam dan pakar dari kolompok Asy'ariyyah.

Sebenarnya terlalu ramai ulama-ulama muktabar yang menjadi pakar dalam bidang tafsir, feqah maupun ahli hadis dalam kelompok Asy'ariyyah tetapi tidak dapat saya nyatakan di sini kerana keterbatasan waktu dan ruang untuk di nyatakan. Cukuplah jika saya katakan bahawa ulama-ulama besar yang diiktiraf di seluruh dunia merupakan ulama-ulama dari kelompok Asy'ariyyah yang senantiasa menjadi rujukan seluruh umat Islam yang berpegang dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.

Adalah amat malang, pada hari ini kita melihat betapa ramai para-para da'ie, ustaz-ustaz, ilmuan-ilmuan Islam yang merasa begitu hebat sehinggakan apa yang dibawa oleh Asy'ariyyah diperlekehkan dengan sewenang-wenangnya. Buktinya, berapa ramai para ustaz-ustaz yang mempunyai pendidikan sehingga ke tahap professor, Dr (PhD) dan sebagainya, cuba menjadi jaguh dalam memperkotak-katikkan pengajian Sifat 20 yang dipelopori oleh ulama Asy'ariyyah. Mereka ini tidak berpegang kepada mana-mana mazhab, kononnya setelah mendapat pendidikan agama dari luar negara yang hanya beberapa tahun sahaja. Lebih malang sekali apabila mereka ini cuba meracuni umat Islam yang lain dengan fahaman yang melawan arus yang telah disepakati oleh begitu ramai ulama-ulama muktabar. Jadi tidak salah jika mereka ini lebih layak jika digelar dengan panggilan Wahabi yang sering mencanangkan perkara-perkara furu' kepada orangramai agar mereka mendapat perhatian sebagai penegak sunnah.

Saya menyeru agar orangramai lebih berhati-hati dalam mengambil ilmu agama dan ikutilah majoriti ulama agar kita tidak tersesat dari landasan Islam yang sebenarnya terutama sekali dalam ilmu mengenal Allah swt dan zat-zatNya. Jika aqidah kita dirosakkan oleh golongan Wahabi ini yang sering menjisimkan zat-zat Allah, maka rosak jugalah keimanan kita dan tertolaklah segala amal yang kita lakukan.

No comments: