Thursday, January 13, 2011

BIDA'AH - Catatan Untuk Wahabi.

Berzanji dan Bertahlil Bukan Bida'ah Dhalalah.

Permasalah bidaah-membidaah dan sesat-menyesatkan di dalam masyarakat Islam kini amatlah parah dan berbahaya sekali. Masalah seperti ini timbul semula dengan membawakan kembali persoalan-persoalan khilafiyah yang telah sekian lama dibahaskan dan diselesaikan oleh para ulama muktabar terdahulu. Golongan yang sewenang-wenangnya membidaah ini cuba menafsirkan nas-nas dari al-Quran dan hadis Rasulullah S.A.W. dengan hawa nafsu sendiri sehingga pelbagai tafsiran yang tidak munasabah diperolehi. Maka kucar-kacirlah masyarakat Islam dengan pembawakan golongan ini yang kononnya berjuang untuk membersihkan perkara-perkara bidaah.

Keadaan menjadi semakin parah apabila isu ini dipandang sebagai isu besar yang perlu diperdebatkan sehingga mereka lupa dan alpa akan isu-isu yang lebih besar untuk kemaslahatan umat Islam sejagat. Ini semua berpunca daripada kesalahan mereka dalam memahami maksud bidaah sesat dalam ertikata yang sebenarnya. Semoga ulasan dan penerangan ringkas ini dapat dijadikan panduan kepada semua di dalam usaha kecil saya untuk memperbetulkan salah faham masyarakat terhadap isu ini.

DALIL YANG DIGUNAKAN

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
…Seburuk-buruk perkara ialah perkara yang direka-reka (muhdathatuha) dan setiap yang direka itu adalah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat.
(Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang direka ialah bidaah dan setiap bidaah adalah sesat dan setiap yang sesat ke dalam neraka.
(Riwayat al-Nasaie).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Setiap yang mengada-adakan sesuatu pada ajaran kami ini sedang ia bukan darinya maka ianya tertolak.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

PENERANGAN DAN PEMAHAMAN PARA ULAMA TERHADAP HADIS BIDAAH

Berkata Saidina Umar al-Khattab R.A. bermaksud:…Baik bidaah ini…
(Riwayat Bukhari).

Saidina Umar al-Khattab R.A. berkata demikian ketika melihat para jemaah bersolat terawih berimamkan seorang imam sahaja .

Berkata Imam Abu Umar Yusuf al-Andalusi: Adapun kenyataan Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ maksudnya bidaah mengikut orang Arab ialah mencipta sesuatu yang belum pernah ada dan tidak pernah bermula. Ia tidaklah mempunyai apa-apa percanggahan dengan sunnah (dari segi agama) seperti yang diamalkan selama ini. (Kitab: Al-Istizkar Syarah al-Muwatta).

Berkata Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah: Kata-kata Saidina Umar R.A. ‘baik bidaah ini’ adalah: Penyandaran baik kepada bidaah ialah kerana kebaikkannya dan penamaannya dari segi bahasa bukan syarak. Bidaah dari segi bahasa menyentuh setiap perbuatan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Adapun bidaah menurut syarak ialah perbuatan yang tidak berasaskan dalil syarie.

Amalan yang mempunyai sandaran kepada al-Quran dan al-Sunnah bukanlah bidaah dari segi syarak meskipun ianya bidaah dari segi bahasa. Perkataan bidaah lebih umum dalam bahasa daripada bidaah dalam syarak. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

Berkata Imam al-Ghazali: Bukanlah semua perkara bidaah adalah dilarang tetapi perkara yang dilarang ialah bidaah yang bercanggah dengan sunnah yang tetap dan sabit dan membuang segala arahan syarak. (Kitab: Ihya Umul al-Din).

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani: Bidaah asalnya ialah sesuatu yang baru diada-adakan iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia di dalam syarak ialah lawan kepada sunnah dan dicela. Sebenarnya sesuatu yang baru diadakan itu sekiranya tidak bercanggah dengan syarak adalah baik dan sebaliknya jika buruk mengikut syarak maka ianya buruk kecuali termasuk bab harus. Bidaah adalah terbahagi kepada lima hukum. (Kitab: Fathul Bari).

Berkata Imam Abu Sulaiman al-Khitabi: Adapun sesuatu yang baru itu jika bersandarkan kepada kaedah Usul dan dirujuk kepadanya maka itu bukanlah bidaah dan bukanlah menyesatkan. (Kitab: Maalim al-Sunnah Syarah Sunnan Abi Daud).

Berkata Syeikh Bakhit Muthi: Bidaah syarie ialah yang sesat dan yang tercela. Adapun bidaah yang dibahagikan oleh ulama kepada bidaah wajib, haram dan sebagainya adalah bidaah dari sudut bahasa dan ia lebih umum pengertiannya daripada bidaah syarie kerana bidaah syarie adalah satu bahagian daripada bidaah dari sudut bahasa. (Kitab: Ahsanulkalam Fi Mayataallaqu Bil Sunnah Wal Bidaah Minal Ahkam).

PENGERTIAN BIDAAH

Setelah melihat perbincangan para ulama dalam memahami maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ maka disimpulkan bahawa setiap amalan yang disokong oleh syarak walaupun ia berbentuk nas umum dan tidak pula bertentangan dengan syarak serta tidak membawa kepada keburukkan maka ia tidak termasuk di dalam pengertian bidaah yang sesat. Dan tidak juga boleh dikatakan kepada sesuatu perbuatan baik yang di bawahnya terdapat nas yang umum adalah sebagai bidaah sesat. Adapun makna bidaah secara syarie kesemuanya adalah tercela dan bidaah dari sudut makna syarie adalah salah satu cabang daripada bidaah dari sudut bahasa.

Berkata lagi Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah: Sesuatu yang tidak wujud di zaman Nabi Muhammad S.A.W. maka apa yang dilihat orang-orang Islam sebagai perkara-perkara baru yang tidak berlaku di zaman Nabi S.A.W. maka ia adalah perkara yang harus dilakukan selama mana menjadi keperluan. (Kitab: Itidak Siratul Mustaqim).

PEMBAHAGIAN BIDAAH KEPADA HASANAH DAN DHALALAH

Dari Imam Baihaqi maka berkata Imam Shafie: Bidaah ada dua: Bidaah terpuji (mahmudah) dan bidaah yang dicela (mazmumah). Maka apa yang sesuai dengan sunnah tetap dipuji dan yang mencanggahinya tetap dicela.
Imam Shafie berkata lagi bahawa perkara-perkara baru (al-muhdathat) ada dua jenis:
Pertama: Perkara yang mencanggahi al-Quran atau sunnah atau athar atau ijmak dan ini dikira sebagai bidaah sesat.
Kedua: Perkara baik yang diadakan yang tidak mencanggahi mana-mana daripada keempat-empat sumber (al-Quran, sunnah, athar dan ijmak) adalah perkara baru yang tidak dicela. (Riwayat Abu Nuaim. Kitab: Hilyah al-Auliya).

Berkata Imam Izzuddin Abdus Salam: Bidaah terbahagi kepada bidaah wajib, bidaah haram, bidaah sunnah, bidaah harus. (Kitab: al-Qawaid).

Imam al-Nawawi dalam mengulas hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ berkata:
Hadis ini adalah makhus dan dikehendaki dengannya ialah kebanyakkan bidaah. Berkatalah ahli bahasa: Ia (bidaah) adalah sesuatu yang baru dilakukan tanpa ada contoh sebelumnya.
Berkata ulama:
Bidaah ada lima bahagian iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Antara yang wajib ialah merangka dalil-dalil oleh para mutakallimin dalam menolak para mulhid (yang tidak percayakan kewujudan tuhan) dan menolak kaum bidaah (mubtadiin) dan seumpamanya. (Kitab: Fi Tahzib al-Asma Wa al-Lughat).

Berkata Imam Ibnu Athir: Bidaah terbahagi dua bahagian iaitu bidaah petunjuk dan bidaah kesesatan. Sesuatu perkara yang bercanggah dengan arahan Rasulullah S.A.W. maka ia adalah perkara yang tercela manakala perkara yang berada di bawah arahan baginda secara umum maka ia adalah terpuji.

Bidaah hasanah pada hakikatnya adalah sunnah. Maka di atas tafsiran ini bahawa maksud hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ ditafsirkan kepada perkara yang bercanggah dengan usul-usul syarak dan tidak bertepatan dengan sunnah. (Kitab: al-Nihayah).

MEMBETULKAN SALAH ANGGAP TERHADAP MAKSUD IMAM SYATIBI

Saya melihat pandangan dari Imam Syatibi (antara ulama yang mula-mula mengatakan bidaah tidak wujud dhalalah dan hasanah) serta bebeberapa ulama terkini antaranya ialah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili mengenai persolalan bidaah ini adalah suatu yang mesti dihormati oleh semua orang Islam.

Namun perlulah difahami bahawa majoriti ulama berpendapat bahawa bidaah terbahagi kepada hasanah (baik) dan dhalalah (sesat). Inilah yang dikatakan khilaf antara ulama dalam mentafsirkan sesuatu dalil. Dalam kita menghadapi khilaf di antara ulama ini maka beberapa perkara dan adab mestilah kita fahami. Namun saya tidaklah bercadang untuk membincangkan mengenai adab-adab yang perlu ada dalam diri seseorang itu bagi menghadapi khilaf para ulama ini.

Jika kita perhatikan secara ikhlas bahawa mereka (ulama-ulama yang tidak bersetuju untuk membahagikan bidaah kepada dhalalah dan hasanah) tidak pula menghalang atau mengatakan haram dan sesat bagi sesiapa yang melakukan perkara-perkara baik seperti sambutan maulidur rasul, menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat, kenduri tahlil dll. Malah mereka menyokongnya sepertimana Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengatakan bahawa sambutan maulidur rasul adalah baik. Dan Syeikh Prof. Dr. Wahbah Zuhaili turut memperakukan bahawa menyebut lafaz niat ketika hendak mengerjakan solat adalah sunat.

Jadi bolehlah kita simpulkan di sini bahawa mereka membenarkannya pada persoalan-persoalan dan perkara-perkara yang membawa kepada kebaikan akan tetapi mereka hanya tidak besetuju bahawa bidaah dibahagikan kepada dhalalah dan hasanah. Perkara yang baik adalah dipuji dan perkara yang buruk (melanggar sunnah) adalah dikeji lagi bidaah. Inilah yang dimaksudkan oleh para ulama ini.

DI ANTARA BIDAAH PADA MASA KINI

Mendakwa boleh berijtihad oleh orang yang tidak berkelayakan merupakan di antara seburuk-buruk bidaah dan kerosakan serta kemungkinan yang paling merbahaya yang mengancam syariat Islam. Mereka menolak mazhab-mazhab dan mengingkari imam-imam mujtahid bahkan mereka mengangap imam-imam sebagai penentang syariat yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Mereka mendakwa bahawa imam-imam ini kononnya cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat yang dibawa oleh Rasululluh S.A.W. kepada mazhab-mazhab tajaan diri sendiri dan sesiapa sahaja yang bermazhab adalah tergolong sebagai ahli bidaah. Pemikiran seperti ini adalah pemikiran yang didasari oleh orientalis yang ingin menghancurkan Islam.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi berkata: Bermazhab ini adalah bermaksud seorang awam atau orang yang tidak sampai ke taraf untuk berijtihat cuba mengikut mazhab seorang imam mujtahid samada dia memegang satu mazhab tertentu atau berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain. Sementara tidak bermazhab pula ialah tidak bertaqlid (orang awam atau orang yang tidak sampai taraf mujtahid) kepada seseorang imam yang mujtahid tanpa terikat untuk mengikutnya sepanjang masa.

Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menambah lagi: Kita amat gembira menyandarkan bahawa mereka yang tidak bermazhab kononnya menyandarkan kepada golongan Salafiyyah (atau mana-mana kumpulan yang membawa maksud sama dengan Salafiyyah) sebenarnya itulah mazhab mereka. Mengapa tidaknya justeru mereka pun bertaqlid dengan salah seorang imam-imam mujtahid di mana pandangan-pandangan para imam ini dipindahkan dengan penuh amanah, tidak kiralah samada mereka itu sentiasa berpegang dengan pandangan-pandangan para imam tersebut atau tidak, juga samada mereka mengakui demikian itu ataupun sebaliknya. (Kitab: alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah).

BIDAAHKAH AMALAN KEBANYAKKAN MASYARAKAT ISLAM DI MALAYSIA?

Pada masa kini terdapat sebahagian kumpulan ini yang terlalu melampau lalu menjadikan setiap perkara baru seperti amalan-amalan kebaikan dan ketaatan yang tidak pernah wujud di zaman Rasulullah S.A.W. adalah bidaah lagi sesat. Mereka berkata demikian konon-kononya untuk menyucikan amalan-amalan umat Islam sekarang dari sebarang penambahan dan penyelewengan yang tidak pernah dirakamkan di dalam al-Quran dan al-Hadis. Namun mereka tidak sedar (atau mungkin sengaja lupa) bahawa para sahabat Rasulullah S.A.W. dan para alim ulama adalah lebih memahami dan mengetahui dalam segala urusan agama Islam ini.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maka hendaklah kamu bertanya ahli zikir seandainya kamu tidak mengetahuinya.
(Surah al-Nahl: ayat 43).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sebaik-baik manusia kurun aku kemudian orang orang yang mengikutnya kemudian orang-orang yang mengikutnya…
(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sahabat-sahabat aku seperti bintang. Sesiapa sahaja dari kalangan mereka yang kamu turuti kamu mendapat hidayah.
(Riwayat al-Darqutni, al-Baihaqi, al-Hakim dan ramai lagi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Ke atas kamu sunnahku dan sunnah Khulafa al-Rasyidin…
(Riwayat Adu Daud dan al-Tarmizi).

Sabda Rasullah S.A.W. bermaksud:
Turutilah orang-orang selepasku Abu Bakar dan Umar.
(Riwayat al-Tarmizi dan Ahmad).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. (Riwayat Ahmad, al-Tarmizi dan Abu Daud).

Sepatutnya persoalan yang tidak membawa sebarang kesan kepada tertolaknya akidah dan syariah Islam tidaklah boleh dikatakan sebagai bidaah lagi sesat terhadap sekiranya seseorang itu ingin mengamalkannya. Antara masalah yang cuba diketengahkan di dalam masyarakat Islam khususnya di Malaysia adalah seperti kenduri tahlil, bacaan al-Quran kepada mayat, bilangan rakaat solat tarawih, bacaan surah Yasin pada malam Jumaat, talkin, berzikir dengan biji tasbih, berzikir beramai-ramai, sambutan maulid nabi, tawasul, tarikat dan banyak lagi.

Permasalah seperti inilah yang cuba diketengahkan dengan berdalilkan hadis ‘setiap bidaah adalah sesat’ tanpa melihat dahulu kepada ulasan para ulama muktabar terlebih dahulu. Jika amalan-amalan seperti itu adalah bidaah yang menyesatkan maka sudah pastilah majoriti ulama-ulama akan bangun untuk menjelaskan dan menolak segala amalan-amalan itu kerana mereka (ulama-ulama) tidak akan bersepakat atau berdiam diri dengan kesalahan dan kesesatan yang dilakukan oleh umat Islam. Namun perlulah diingatkan janganlah sampai beriktikad bahawa amalan-amalan seperti ini adalah mesti atau wajib dibuat oleh umat Islam dalam apa jua keadaan sekalipun. Juga janganlah sampai terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak ketika membuat segala amalan ini yang mana boleh menjadi illah kepada pengaharaman sesuatu amalan itu.

Kemungkinan besar golongan ini perlu mendalami ilmu usul al-fiqh terlebih dahulu sebelum mengatakan sesuatu amalan itu bidaah ataupun tidak. Saya tidaklah bercadang untuk memperincikan tulisan ini dengan perbahasan usul al-fiqh pula. Contohilah akhlak para ulama muktabar kita yang sentiasa berlapang dada di dalam masalah-masalah khilafiyah seperti ini kerana khilaf di kalangan ulama adalah rahmat bagi umat Islam. Janganlah mudah untuk kita mengatakan seseorang itu ahli bidaah atau sesat tanpa ada penelitian yang sepatutnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Mana-mana orang yang berkata kepada saudaranya wahai kafir sesunggungnya dia terkena satu darinya kecuali engkau kembali ke atasnya.
(Riwayat muslim).

PERINGATAN PENTING

Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:

Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya. (Kitab: Al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).

Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelas ialah kita tidak boleh menafikan, membantah, atau menuduh bidaah lagi sesat dan sebagainya kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara agama yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari terdapat segelintir golongan yang menceburi lapangan dakwah Islamiah menyanggah kaedah ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan perkataan yang kesat kepada orang yang berpegang dengan perkara khilafiyyah yang tidak sealiran dengan mereka dengan mengkafirkan, memfasiqkan dan membidaahkan golongan tersebut. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam semenjak sekian lama.

PENUTUP

Setelah meneliti segala hujah di dalam perbincangan ini maka bolehlah kita katakan bahawa janganlah terlalu mudah untuk membidaahkan amalan orang lain sebelum meneliti dahulu kata-kata para ulama. Adapun amalan-amalan yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia seperti kenduri tahlil, berzikir ramai secara nyaring dan pelbagai lagi amalan bukanlah tergolong di dalam maksud bidaah yang dimaksudkan oleh al-Hadis. Saya ingin menasihati agar golongan yang begitu mudah membidaah dan mensyirikkan amalan-amalan orang lain ini (walaupun sekadar amalan-amalan seperti kenduri tahlil dll) supaya kembali ke pangkal jalan dengan mendalami ilmu agama secara ikhlas. Semoga kita semua berada di bawah lindungan Allah Taala setiap masa dalam menghadapi situasi ini.

No comments: