Sunday, January 16, 2011

Seketika Bersama Sheikh Muhammad Nuruddin Al Banjari Al Makki.

Selesai sahaja kuliah Subuh di masjid berdekatan rumah ku, aku terus memecut kereta ke Masjid Negeri Shah Alam untuk bersama dengan dalam majlis zikir, munajat, tausiyah dan soal jawab yang dipinpin oleh ulama tersohor, Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki. Walaupun belum sempat untuk sarapan, aku bersama salah seorang teman, iaitu Ustaz Osman tidak merasa kelaparan untuk terus menyusuri jalanraya dari Kampung Pandan ke Shah Alam.
Alhamdulillah, kami sampai sewaktu Tuan Sheikh bersama jemaah yang lain mula untuk mendirikan solat tasbih pada jam 8.45 pagi. Setelah itu munajat serta zikir-zikir dialunkan sambil Tuan Sheikh memperingatkan semua yang hadir tentang kematian yang akan kita hadapi serta ujian-ujian di alam barzakh dan Padang Masyar. Sememangnya situasi sewaktu itu telah membuatkan semua hadirin menangis kerana takutkan azab Allah yang akan sampai buat kita semua. Dengan suara yang meruntun jiwa, Tuan Sheikh telah membawa satu keinsafan kepada semua hadirin seolah-olah kematian itu semakin hampir mendekati semua yang hadir.
Selesai bermunajat, maka sesi soal jawab pun bermula dan hadirin berpusu-pusu menghantar beberapa soalan yang ditulis di atas sekeping kertas untuk dipersembahkan kepada ulama muda ini. Di antara persoalan yang ditimbulkan ialah tentang hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bertemu Allah dan melihat dengan mata kepala Baginda sendiri zat Allah yang begitu indah. Selain itu hadirin juga bertanya tentang hukum seorang wanita yang memakai niqab dan purdah. Apa yang menarik sekali apabila soalan yang diajukan tentang Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayim sehinggakan Tuan Sheikh mula bersyarah dengan panjang lebar tentang kemungkaran Wahabi. Sheikh Nuruddin bercerita bagaimana beliau berdebat dengan salah seorang penceramah sewaktu beliau singgah di salah sebuah masjid di Tanah Abang. Sheikh Nuruddin bangun dalam majlis di mana penceramahnya mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul dengan menuduhnya sebagai satu amalan yang bida'ah dhalalah. Selain itu Sheikh Nuruddin juga memperingatkan semua hadirin agar tidak cuba memasukkan unsur politik kepartian dalam majlisnya dan sewajarnya sebarang bentuk politik kepartian ditinggalkan bersama-sama selipar yang kita pakai di luar masjid. Ternyata ilmu yang dimiliki oleh Syeikh Nuruddin begitu tinggi kerana begitu berhemah dalam menjawab beberapa solan yang diajukan. Namun begitu, ada juga solan yang tidak sempat dijawab kerana kesuntukan masa, maka Tuan Sheikh berjanji akan menjawabnya dalam siri jelajahnya selepas ini ke Masjid Al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail. Sesungguhnya majlis ilmu sebegini amat dinanti-nantikan oleh sekelian yang cintakan kehidupan akhirat yang lebih bermakna daripada mencintai dunia yang penuh dengan tipu daya.

1 comment:

AhmadFarhi said...

mashaAllah tabarakaAllah , kuliah shiekh memang menusuk kalbu .