Monday, January 3, 2011

Tiada Tempat Untuk Wahabi.

Gambar Hiasan

Sudah hampir lebih 6 bulan saya tidak berjemaah di sebuah masjid yang berdekatan dengan kediaman saya kerana kurang selesa dengan ketidaksenangan seorang hamba Allah yang cuba menghalang saya dari terus membongkar kemungkaran Wahabi di blog ini. Maka dengan itu saya berhijrah ke masjid yang berhampiran juga dan adakalanya saya sering berada di Masjid Taman TAR untuk tidak melepaskan peluang mendengar mutiara kata dari Tuan Guru Syeikh Fuad al-Maliki.
Mungkin Allah yang menggerakkan hati saya untuk bercuti pada 3/12/2010, Hari Jumaat dan pergi menunanikan solat Jumaat di masjid berhampiran kediaman saya. Alhamdulillah kerana, sewaktu menunggu solat Jumaat, satu tazkirah telah disampaikan oleh seorang yang amat saya kenali perjuangannya, iaitu Al-Fadhil Ustaz Ahmad Faidzurrahim Hj Mohd Alwi. Beliau telah menyentuh bagaimana rosaknya aqidah umat Islam yang meletakkan tempat bagi Allah swt. Beliau juga meminta agar umat Islam mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar agar aqidah umat Islam tidak tergelincir apabila menjisimkan zat-zat Allah swt.
Mungkin itu adalah kali pertama dalam masa yang terbatas Ustaz Ahmad Faidzurrahim berceramah, maka beliau tidak menyebut tentang bagaimana bahayanya fahaman Wahabi masakini. Setelah selesai solat Jumaat, saya sempat bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Ahmad Faidzurrahim dan meminta agar Ketua Imam masjid mengambil Ustaz Ahmad Faidzurrahim sebagai salah seorang penceramah tetap untuk menyampaikan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar serta diberi peluang membongkar kesesatan Wahabi.
Pada 01/01/2011, iaitu pagi tahun baru, satu lagi kuliah iaitu kuliah Subuh yang disampaikan oleh Imam Masjid, Ustaz Osman Bin Hj Abdul Halim tidak kurang menariknya. Ustaz Osman telah mengupas tentang bahayanya fahaman Wahabi yang boleh merosakkan aqidah umat Islam apabila Wahabi memahami ayat-ayat Mutasyabihat secara zahir. Ustaz Osman juga telah menyentuh tentang beberapa kefahaman yang bathil tentang hadis Jariah dengan mengatakan Allah berada di atas langit. Inilah kali pertama, rasanya seorang Imam yang begitu tegas membongkar tentang bathilnya aqidah yang dipegang oleh golongan Wahabi. Disamping itu juga Ustaz Osman menempelak cendiakawan yang bergelar Dr dan mempunyai PhD yang hanya belajar selama 2 setengan tahun, tetapi sudah berani mengatakan seorang itu sesat dan melakukan bida'ah sedangkan Rasulullah s.a.w. dididik selama 23 tahun oleh Jibrail untuk mentarbiah umat manusia. Ustaz Osman juga menempelak seorang jemaah yang pernah bertanya kepadanya tentang apakah ada bacaan doa selepas iqamah dan ini adalah permulaan bagi jemaah tersebut cuba membangkitkan masalah bida'ah. Malangnya jemaah tersebut tidak kelihatan pada ketika itu, begitu juga dengan anak muda yang meminta saya menghentikan penulisan tentang Wahabi di blog ini.
Nampaknya satu perubahan yang amat baik telah berlaku di masjid berhampiran kediaman saya, walaupun satu ketika dahulu, seorang penceramah yang lantang membongkar kesesatan Wahabi, iaitu Ustaz Mahfuz Muhammad al-Subki telah diberhentikan dan sempat hanya mengajar Kitab Sinar Mentari sebanyak 3 kali sahaja. Diharapkan pihak AJK yang baru lebih komited lagi untuk mendapatkan beberapa penceramah seperti Ustaz Ahmad Faidzurrahim dan Ustaz Osman agar segala kesesatan Wahabi dapat difahami oleh semua jemaah masjid. Walaubagaimanapun, pada hemat saya, masih ada lagi jemaah yang tidak faham tentang apa yang ingin dilontarkan oleh kedua-dua Ustaz ini akibat ketaksuban mereka kepada satu pegangan politik dan hanya mengiyakan sahaja apa yang disampaikan oleh Tok Guru mereka. Sedangkan Tok Guru mereka inilah yang menyatakan Allah itu duduk bersila lendik di atas Arasy dan ini merupakan fahaman aqidah yang bathil dan sesat. Begitu juga saya mengharapkan agar tiada jemaah yang cuba menyekat pembongkaran Wahabi ini seperti apa yang pernah berlaku kepada Ustaz Mahfuz Muhammad al-Subki.

*nama masjid tidak dinyatakan atas sebab-sebab tertentu.

No comments: