Monday, February 28, 2011

Pengajian Kitab Tauhid Untuk Selamatkan Aqidah.









Alhamdulillah siri video pencerahan mengenai aqidah umat Islam yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Faidzurrahim dapat dirakam untuk memberi manafaat kepada umat Islam.Begitu pentingnya umat Islam mempelajari dan mengukuhkan pegangan tauhid mengikut manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah agar penyelewengan yang dilakukan oleh puak-puak Wahabi tidak masuk ke sanubari kita.
Ada pihak yang kurang senang apabila saya membuat rakaman ini tetapi jawapan saya pada mereka ialah "peduli apa aku!!!, masjid itu rumah Allah dan bebas dikunjungi oleh sesiapa pun.Saya juga tidak akan berhenti dari membongkar penyelewengan aqidah yang disampaikan oleh golongan Wahabi agar umat Islam lebih faham lagi siapakah dia Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar.Semoga apa yang dipaparkan ini dapat menyelamatkan aqidah umat Islam yang belum lagi dirosakkan oleh golongan Wahabi ataupun golongan yang hanya berpeluk tubuh mendiamkan diri tanpa membantah sikap pelampau Wahabi masakini.Pembongkaran penyelewengan Wahabi yang saya lakukan tidak kira sama ada seseorang itu bergelar Ustaz, Profesor, Pensyarah,Tok Guru atau apa sekali pun, jika aqidah dan pemahaman Wahabi disebarkan, maka saya akan tidak teragak-agak mendedahkannya kepada umum.

Sunday, February 27, 2011

Bacaan Berzanji Satu Amalan Yang Baik.





Bacaan qasidah,berzanji dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. yang dialunkan oleh kumpulan ini adalah satu amalan yang baik untuk diamalkan. Malangnya ada pengikut-pengikut tegar Wahabi begitu fobia dengan bacaan seperti ini. Akibatnya masjid menjadi lengang apabila bacaan seperti ini diadakan sebab ramai golongan Wahabi yang saya tahu meninggalkan masjid sebelum sempat bacaan dimulakan. Agak-agaknya jika saya membawa kumpulan saya untuk membaca Bushralana dan Maulid Ad-Dibaie di masjid ini, lagilah benci Wahabi mendegarnya. Itulah sebabnya saya lebih suka memilih surau-surau ataupun masjid-masjid yang belum lagi dirosakkan oleh Wahabi untuk membawa bacaan Qasidah dan Maulid Ad-Dibaie.Sehingga kini saya bersama anak didik saya akan melazimkan setiap minggu iaitu malam Isnin untuk membaca Qasidah Bushralana dan Maulid Ad-Dibaie. Sama-samalah kita berdoa agar masjid yang indah ini tidak dipengaruhi oleh fahaman Wahabi yang boleh merosakkan anak bangsa kita. Jika ada petugas-petugasnya yang terikut-ikut cara Wahabi, diminta agar berundur diri kerana jemaah-jemaah ingin beramal dengan amalan yang baik seperti apa yang diajar oleh majoriti ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tuesday, February 22, 2011

Keajaiban Dunia Ketika Kelahiran Rasulullah s.a.w.


Keajaiban Dunia Ketika Kelahiran Rasulullah Sayyidina Muhammad

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahwa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam.

Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan saja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan. Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas.

Irhas bermaksud satu kejadian luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada seorang nabi

Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini karena masih banyak lagi rahsia yang belum terungkap.

Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil.

Kehamilannya disadari melalui berita dari malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah disekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga hewan-hewan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentara bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentara bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi.

Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.

Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa.

Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata “Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.”

Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi derajatnya daripada Nabi Isa dan Musa.

Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.

Semasa baginda dilahirkan, bundanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria.

Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.

Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.

Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa.

Kemudian bundanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan “Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik”.

Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk.

Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerusakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, “Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, “telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.”

Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.

Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi.

Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah.

Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.

Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah, penutup segala nabi.

Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya.

Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.

Monday, February 14, 2011

Maulidurrasul Dengan Dalil-Dalil Yang Nyata.

MAULIDURRASUL DENGAN DALIL-DALIL YANG NYATA.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala pujian bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas Saiyidina Muhammad, Keluarga dan Sahabatnya sekelian…
Kami kemukakan dalil-dalil bagi masaalah Maulidurrasul didalam risalah ini, supaya dapat memberi penjelasan yang terang bagi sekelian kaum muslimin daripada terpesong dengan mereka yang membid’ahkan amalan ini. Mudah-mudahan Allah memberi manfaat dengannya, amin…!

DALIL SUNAT MENYAMBUT MAULIDURRASUL DI SISI ULAMA’ AHLI SUNNAH.

1. Merayakan hari kelahiran Nabi s.a.w. termasuk daripada perkara yang membesarkan dan memuliakan baginda. Dijanjikan kejayaan dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya. Firman Allah Taala:
“Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya dan mengikuti cahaya (Al-Qur’an) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan.”
(Surah Al-A’araf, ayat 157).

2. Firman Allah Taala, : “Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu ialah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya.” ( Al-Haj:32 )

Dimaksudkan dengan “tanda-tanda Allah” (Sya’airallah ) pada umum ayat ini, iaitu setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad s.a.w dan menyambut Maulidurrasul itu adalah membesarkan tanda Allah, termasuk dalam menjunjung perintah-Nya.

3. Meriwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya, begitu juga Ismaili dan Abdul Razak, Bahawa diringankan azab keatas Abi Lahab pada hari isnin kerana memerdekakan ‘Suwaibah’ iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.

Hadis ini menunjukkan bahawa:

i) Sesiapa yang menzahirkan kegembiraannya dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kafir, seteru kepada Nabi s.a.w. diringankan azabnya, apatah lagi orang yang muslim. Seperti yang dikatakan oleh Al-Hafiz Nasiruddin ibnu Syamsuddin Ad-Dimasyqi dan Imam Al-Qurra Al-Hafiz Syamsuddin Muhammad Al-Jazri.

ii) Dianjurkan memulia dan membesarkan Nabi s.a.w dengan mengambil sempena hari kelahirannya. Hari kelahiran Baginda merupakan ‘ Hari Kebesaran Islam ’ dan hari yang mempunyai kelebihan. Diriwayatkan daripada Qatadah Al-Ansari, ‘ Bahawasanya Nabi ditanya tentang berpuasa hari Isnin, berkata Nabi s.a.w, “ Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian keatas ku.” ( Riwayat Muslim dan lainnya )

iii) Membuat perkara-perkara kebaikan (difahami daripada memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa hari isnin dan hadis berpuasa hari A’syura yang akan datang ) sempena memuliakan hari kelahiran Nabi s.a.w seperti berhimpun dengan membaca Al-Qur’an, berselawat, memuji Nabi, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir-miskin dan lain-lain.

4. Didalam Sahih Bukhari dan Muslim, bahawa Nabi datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa hari A’syura lalu baginda bertanya , mereka menjawab, “ Ianya hari di mana Allah menenggelamkan Fir’aun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah ta’ala.” Lalu nabi berkata, “ Kami terlebih utama dengan Musa…”.

Diambil pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidurrasul adalah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam ini. Ini kerana , sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya nabi kita s.a.w. sebagaimana berkata Ibnu Hajar Al-Haitami, Al-Hafiz Ibnu Hajar Assqalani, Sayuti dan lain-lain.

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, dengan kurniaan Allah dan rahmatnya , maka dengan demikian itu ( kurniaan dan rahmat ) , hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya.” ( Yunus:58 )

FirmanNya, “Tidaklah kami mengutuskan engkau ya Muhammad melainkan kerana rahmat bagi sekelian alam.”
( Al-Anbiyaa’:107 )

5. Memperingati dan membesarkan Maulidurrasul dengan selawat, membaca kisahnya, merupakan perantaraan kepada mencintai nabi dan mencintai Allah. “ Tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehingga adalah aku terlebih dikasihinya daripada dirinya, hartanya, anaknya dan sekelian manusia.” ( al-Hadis ).

Firman Allah ta’ala, “ Katakanlah kepada kaummu, jika sekiranya kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu.” (Ali-Imran:31)

KESIMPULAN

i) Menyambut hari kelahiran Rasulullah disabitkan dengan dalil-dalil syara’.

ii) Disunatkan memperingati maulidurrasul pada bila-bila masa, terlebih utama
lagi sempena hari kelahirannya.

iii) Membesarkan Nabi bersempena hari kelahirannya yang merupakan salah satu
hari kebesaran Islam.

iv) Menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran atas sebesar-besar nikmat dan
rahmat Allah iaitu kelahiran baginda dengan mengerjakan amalan-amalan
kebaikan.

v) Menyambut hari kebesaran ini membawa kepada mencintai nabi dan mencintai Allah.

vi) Mendapat ganjaran yang besar di dunia dan akhirat bagi mereka yang menyambutnya.


Orang yang pertama merayakan Maulid ialah Sultan Ibnu Malik Al-Muzzaffar, seorang wali Allah, raja yang adil, warak , zuhud dan alim. Menghadiri Majlis Maulidnya ulama’-ulama’ muktabar dan orang-orang salih dengan ketiadaan mengingkarinya , sehinggakan ulama’ besar yang bernama Assyeikh Abu Khatab Ibnu Dihyah telah mengarang bagi sultan itu, kitab Antanwir membicarakan tentang amalan Maulid. ( Lihat Al-Hawi Lil Fatawi bagi Sayuti ).

Berkata Assakhawi, “Sesungguhnya amalan Maulid berlaku kemudian daripada kurun ketiga iaitu tiga ratus tahun daripada Hijrah, selepas itu sentiasalah umat Islam pada setiap negeri mengamalkannya…….”

Oleh itu, amalan Maulidurrasul ini adalah ijmak muslimin yang tidak diengkari bahkan disokongi oleh ulama’ Ahli Sunnah sejak pertama kali diadakan hingga sekarang. Tidak berhimpun ulama’ dan seluruh muslimin yang sempurna imannya pada kesesatan. Sabda Nabi, “Tidak berhimpun umatku diatas kesesatan.” Sabdanya lagi, “Sesuatu perkara yang dipandang baik oleh muslimin maka ianya di sisi Allah adalah kebaikan.”


DALIL SATU PERSATU AMALAN YANG DILAKUKAN DIDALAM MAULID.

BERHIMPUN DENGAN BERTILAWAH AL-QURAN, BERZIKIR, BERSELAWAT, MEMBACA KISAH NABI DAN MENGADAKAN JAMUAN

1) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, “Bersabda Rasulullah; Tidak berhimpun suatu perhimpunan pada satu majlis di dalam masjid daripada masjid-masjid Allah , lalu mereka membaca al-Quran dan bertadarus sesama mereka, melainkan turun ke atas mereka ketenangan yang diselubungi rahmat Allah serta dilingkungi para malaikat dan Allah menyebut tentang mereka dikalangan nabi dan malaikat di sisi-Nya .” ( Sahih Muslim ).

2) Bersabda Nabi s.a.w., “Tidaklah berhimpun satu perhimpunan di dalam suatu majlis lalu mereka tidak berzikir mengingati Allah dan tidak berselawat ke atasku, melainkan kekurangan dan penyesalan ke atas mereka di hari Qiamat.”

3) Firman Allah ta’ala, “Kami ceritakan kepada engkau setiap perkhabaran daripada kisah-kisah Nabi yang menguatkan hati engkau dengannya dan datang kepada engkau di dalam perkhabaran ini, kebenaran, pengajaran dan peringatan bagi orang yang beriman.” (Hud:120)

4) Meriwayat Imam Ahmad dan Hakim daripada Suhaib, Nabi bersabda, “ Seseorang yang terlebih baik di antara kamu ialah mereka yang menjamu makanan dan menjawab salam.” Berkata al-Iraqi, “ Hadis ini sahih sanadnya .”
Meriwayat Turmizi , bahawa sahabat-sahabat nabi tidak bersurai mereka daripada majlis bertilawah al-Quran dan zikir, melainkan selepas menikmati jamuan.


SUNAT BERDIRI KETIKA DIBACAKAN KISAH KELAHIRAN BAGINDA S.A.W.

Disunatkan berdiri ketika dibaca kisah kelahiran Nabi s.a.w. kerana perbuatan berdiri menunjukkan di atas membesarkan baginda, termasuk di dalam nas al-Quran yang kami sebutkan dahulu. Telah berdiri Imam Subki bersama-sama orang ramai di Majlis Maulid ketika kisah kelahiran baginda dibacakan. Ulama’ Ahli Sunnah mengatakan sunat dan elok perbuatan ini.

Cara membesar dan memuliakan Nabi s.a.w. semasa hayat baginda atau wafatnya, samada dengan hati atau lisan seperti berselawat, puji-pujian atau dengan perbuatan iaitu berdiri. Telah disepakati pada adat orang ramai bahawa berdiri itu bertujuan membesarkan seseorang.

Adapun Fatwa al-Allamah Imam Abu Saud yang mengkafirkan mereka yang tidak berdiri ketika orang ramai berdiri pada Majlis Maulid , sekiranya mereka meninggalkan berdiri kerana menghinakan Nabi s.a.w. atau mengingkari hukum membesarkan baginda.

Berkata Imam Nawawi, “Disunatkan berdiri kepada orang yang hadir iaitu daripada ahli kelebihan dan kemuliaan, sesungguhnya datang hadis-hadis sebagai hujah padanya…….”

1) Diriwayatkan daripada Said al-Khudri, Nabi bersabda, “ Berdirilah kamu kepada penghulu kamu” ( iaitu Saad Ibnu Muaz yang hadir kepada sahabat ), lalu ia datang dan duduk kepada Rasulullah. ( Riwayat Abu Daud ).

Perbuatan berdiri dalam hadis ini adalah kerana memuliakan Saad, bukan kerana hendak menurunkan Saad yang sakit daripada tunggangannya. Jika berdiri kepada Saad disebabkan keuzurannya , nescaya nabi berkata dengan lafaz, “Berdirilah kepada orang yang sakit daripada kamu”, dan tidaklah perlu nabi menyuruh sekalian sahabat bahkan memadai seorang dua shaja bagi memapahnya.

2) Mengeluar Abu Daud daripada Abu Hurairah, “Adalah nabi bercakap dengan kami, apabila baginda berdiri, lalu kami pun berdiri kepadanya hingga kami melihat ia memasuki rumahnya.”

Adapun berdiri yang dilarang dalam beberapa hadis, adalah berdiri yang lahir daripada sifat takabbur atau larangan itu kerana tawaduk nabi. Disunatkan berdiri tersebut semata-mata kerana perbuatan berdiri termasuk daripada membesarkan nabi, samada hadir Roh Nabi di dalam Majlis Maulid ataupun tidak. Ketahuilah ! Roh Nabi dan orang mukmin boleh pergi ke mana sahaja yang dikehendakinya dan harus dapat berjumpa dan melihatnya.

i) Sabit pada hadis sahih bahawa berhimpun nabi s.a.w dengan para nabi di Baitul Maqdis dan di langit pada kisah Isra’ dan Mikraj.

ii) Daripada Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah s.a.w melihat Nabi Musa dan Nabi Yunus menunaikan haji sambil mengucapkan ‘talbiah’.

iii) Didalam Sahih Bukhari, bahawa sesetengah sahabat dilihat bersembahyang di dalam masjid selepas meninggal dunia.

iv) Daripada abu Hurairah, Nabi Bersabda, “Sesiapa melihatku didalam mimpinya, nescaya ia akan melihat aku ketika jaga ( tidak bermimpi ) dan syaitan tidak boleh berupa dengan rupaku.” ( Bukhari dan Muslim )
Berkata Imam Sayuti, “Bahawa nabi s.a.w itu hidup dengan jasad dan roh, serta rohnya berjalan ke mana sahaja yang dikehendakinya kepada segala tempat dimuka bumi dan alam malakut….”

Meriwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Abi Dunia daripada Salman Al-Farisi, “Bahawa roh orang mukmin berada di barzah di dalam dunia, boleh pergi ke mana-mana yang dikehendakinya.”


SUNAT MEMUJI NABI DENGAN SYAIR

Allah ta’ala memuji penyair-penyair yang beriman dan mengasingkan mereka daripada kumpulan penyair yang dicela dengan firmanNya :

1) “…..Melainkan penyair-penyair yang beriman dan beramal salih serta banyak menyebut Allah………” (Assyua’ra:227)

Telah mentafsir Imam an-Nasafi, “Berzikir mengingati Allah dan bertilawah al-Quran adalah menjadi kebiasaan bagi mereka daripada bersyair. Apabila mereka menyampaikan syair , mereka bersyair pada mentauhid dan memuji Allah, tentang ilmu, peringatan, zuhud, budi pekerti, memuji Rasulullah dan sahabat serta orang-orang salih dan seumpamanya.”

2) Mengeluar Bukhari di dalam `Al-Adab Al-Mufrad’ dan Thabarani di dalam `Al-Ausath’ daripada hadis marfu’ Abdullah Ibnu Omar, “Syair itu menempati percakapan, maka syair yang baik seperti percakapan yang baik dan syair yang keji seperti percakapan yang keji..”

3) Meriwayat Thabarani, bahawa ketika Nabi s.a.w. memasuki Madinah sekembalinya daripada perang Tabuk, berkata Ibnu Abbas, “Ya Rasulullah ! Adakah memberi keizinan kepada aku memuji engkau ? Bersabda Nabi, “Katakanlah ! Tidak akan mensadur Allah mulut engkau,” lalu ia memuji baginda dengan qasidah syair…..

Menyebut Mawardi di dalam al-Hawi dan Ruyani di dalam al-Bahri, bahawa syair terbahagi kepada ; haram, harus dan sunat. Syair yang disunatkan itu dua bahagian. Pertama, syair yang menakuti dan memperingati huru-hara akhirat. Kedua, syair yang menekankan budi pekerti yang baik. Di antara syair yang disunatkan ialah memuji para nabi, sahabat, ahli taqwa dan seumpamanya.

Adapun hadis yang berbunyi, “Janganlah kamu memuji aku sebagaimana orang Nasrani memuji Isa Ibnu Maryam,” dilarang memuji sehingga menganggap nabi sebagai anak tuhan atau tuhan.

Firman Allah ta’ala, “ Berkata orang Nasrani, Isa itu anak tuhan.”( At-Taubah:30 ) FirmanNya, “Sesungguhnya menjadi kafir mereka (Nasrani) yang berkata bahawa Allah, tuhan yang ketiga daripada tiga tuhan.” (al-Maidah:73)

Tidak menjadi kesalahan mengagungkan Nabi s.a.w. dengan melampau-lampau selagi tidak menganggapnya sebagai tuhan, kerana sabit dengan hadis-hadis sahih, di antaranya :

Meriwayat Bukhari bahawa Urwah ibnu Mas’ud as-Saqafi menghadiri kepada Nabi s.a.w. di dalam Perjanjian Hudaibiyah . Sekembali Urwah kepada kaumnya lalu berkata, “…tidak pernah aku melihat seorang pun yang mengagungkan seseorang sebagaimana sahabat Muhammad mengagungkannya. Tidaklah Muhammad berludah satu ludahan, melainkan menyambut sahabatnya dengan tangan-tangan mereka, lalu melumurkan ke wajah mereka dan tidaklah ia berwuduk, melainkan mereka berebut-rebut kepada air wuduknya untuk mengambil barakat, sedangkan ia mengiktiraf dan tidak mengingkari perbuatan mereka itu dan mereka ( sahabat ) tidak menajamkan pandangan kepadanya.”

Telah ijmak ulama’ pada harus berseru meminta pertolongan dan bertawasul dengan mengambil barakat Nabi s.a.w. Meriwayat Baihaqi dengan sanad yang sahih, daripada Malik addar , berkata, “ Telah menimpa musibah kemarau pada orang ramai di zaman Umar al-Khatab, lalu datang seorang lelaki ( Bilal Ibnu Haris al-Muzani ) ke kubur Nabi s.a.w. dan berseru, “ Ya Rasulullah ! Mintalah supaya diturunkan hujan bagi umatmu kerana sesungguhnya mereka itu sedang binasa.” Lalu hadir rasulullah di dalam mimpinya dan baginda berkata, “Pergilah kepada Umar dan sampaikan salamku kepadanya…..”.


Dalam hadis ini , lelaki berkenaan telah memberitahu kepada saidina Umar tentang kisah tersebut, akan tetapi saidina Umar dan sahabat-sahabat yang lain tidak mengingkari perbuatan lelaki itu.

Berkata as-Subki, “ Elok bertawasul dan berseru meminta pertolongan dengan Nabi sebagai perantaraan kepada tuhannya. Tidak seorangpun daripada Salaf dan Khalaf mengingkarinya, sehingga datang Ibnu Taimiyah mengingkari serta menyimpang daripada jalan yang sebenar lalu menghukum bid’ah perkara yang tidak dikatakan bid’ah oleh seorang alim sebelumnya, dan jadilah membid’ahkannya itu, sebagai perkara yang menakut-nakutkan umat Islam daripada mengerjakannya.”

TARIKH KELAHIRAN NABI S.A.W.

Telah berlaku perselisihan Ulama’ pada menentukan tarikh kelahiran Nabi s.a.w. kepada tujuh pendapat. Pendapat yang terlebih masyhur daripadanya :-

1) Hari kelahiran baginda pada 12 Rabiulawal iaitu pendapat Mohd Ibnu Ishaq Naisaburi dan lainnya. Berkata Ibnu Katsir, “Pendapat ini masyhur di sisi kebanyakkan ulama’ dan dipegangi oleh ahli Makkah sejak dahulu hingga sekarang pada waktu menziarahi tempat kelahiran Nabi s.a.w. Mendakwa Ibnu Jauzi dan Ibnu Jazar dengan ijmak , iaitu ijmak kebanyakkan atau ijmak perbuatan, kerana salaf dan khalaf bersepakat atas amalan Maulid dan menamakan hari kelahiran baginda pada hari tersebut di setiap negeri, sehinggakan di Makkah, tempat kelahirannya…”

2) Berkata kebanyakan Imam-Imam yang menghafal hadis iaitu ulama’ yang terdahulu dan lainnya, bahawa ianya hari kelapan Rabiulawal.

Berkata Syeikh Yusuf Ibnu Ismail Annabhani, “Tetapi, pendapat yang pertama itu masyhur di sisi jumhur ulama’ dan ianya pendapat yang sahih, yang mana dipegangi oleh ulama’ salaf dan khalaf, maka diatas pendapat inilah yang dipegangi.”

Wallahua’lam …


Dikeluarkan Oleh:

Pelajar Pondok Pasir Tumbuh,
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
Tarikh: 31 Mei 2001 bersamaan
8 Rabiul Awwal 1422 H.