Saturday, March 26, 2011

Di Manakah Kedudukan Allah?

Mungkin tajuk posting kali ini membuatkan ramai berfikir, apakah saya akan membicarakan tentang tempat bagi Allah swt sebagaimana yang dibicarakan oleh golongan WAHABI atau kedudukan yang lebih tepat bagi Allah swt. Sebenarnya apa yang ingin saya bahaskan di sini ialah di manakah kedudukan Allah swt di hati kita dan sejauh mana keyakinan kita kepada kuasa Yang Maha Besar yakni kuasa Allah swt itu sendiri.
Tidak dapat dinafikan lagi tentang kepercayaan seseorang kepada Allah swt tetapi apakah kepercayaan itu dapat meyakinkan mereka betapa hebatnya kuasa Allah swt mengatasi segala-galanya. Maka dengan itu rasanya saya perlu berkongsi pengalaman tentang betapa nipisnya keyakinan seseorang terhadap kuasa Allah swt sehingga tidak meletakkan Allah swt itu di tangga teratas sekali apabila menerima musibah atau ujian yang tak dijangka.
Dalam beberapa pengalaman saya bersama seorang teman membantu seseorang yang buntu dengan beberapa penyakit yang mereka alami, ternyata keyakinan terhadap kuasa Allah itu diletakkan di tempat yang terakhir sekali setelah mereka berputus asa dengan rawatan di klinik ataupun hospital. Jawapan mereka sewaktu bertemu kami ialah, " cubalah dulu mana tahu, kot-kot mujarab pulak......".Inilah dia alasan mereka bertemu kami setelah berhabis wang ringgit mendapatkan rawatan moden tetapi masih tak sembuh-sembuh. Bagi saya tidak salah bagi kita untuk mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital tetapi kenapa setelah tidak berjaya sembuh, baru nak minta doa???Tidakkah mereka ini faham bahawa doa itu adalah senjata umat Islam dan ayat-ayat Al-Quran itu adalah penawarnya???
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa setiap penyakit yang mereka alami adalah di atas kesalahan mereka sendiri. Maka ujian Allah swt itulah yang menjadi pembersih dosa bagi hamba-hamba yang disayangiNya. Sepatutnya kita berasa bersyukur kerana Allah menyayangi kita dengan diturunkannya ujian berupa penyakit dan penyakit inilah sebenarnya yang akan menginsafi diri kita, betapa lemahnya kita sebagai makhluk Allah swt. Diri kita adalah hak Allah dan bukannya milik kita tetapi kita seringkali gagal menguruskan diri kita yang diberi pinjam oleh Allah swt. Kita juga sepatutnya merasa bersyukur jika ada orang lain yang menghantar sihir kepada kita kerana tanpa adanya gangguan-gangguan sebegini, mana mungkin kita ingin menambahkan amal kita dengan membaca ayat-ayat Al-Quran yang dibekalkan selepas menjalani rawatan dari kami.
Selalunya pesakit yang datang mengadu tentang berbagai-bagai penyakit yang dianggap misteri.Tidak ada misterinya kerana tugas Syaitan, Iblis dan Jin itu adalah untuk mengganggu anak Adam tambahan pula bagi mereka yang beriman. Yang tidak beriman, bagi Syaitan, Iblis dan Jin adalah sahabat karib mereka, kenapa harus diganggu kerana mereka sendiri telah mengambil alih tugas Syaitan, Iblis dan Jin tersebut. Maka bagi pesakit yang datang, maka kami akan memberi sedikit tazkirah dahulu dan seterusnya meminta mereka melakukan Solat Tasbih, solat Taubat dan membaca Al-Quran. Kami akan katakan kepada mereka, segala-galanya datang dari Allah swt dan kalau nak minta disembuhkan, minta juga kepada Allah swt. Ada juga pesakit yang kami minta agar berpuasa sunat tetapi kebanyakan mereka begitu berat untuk melakukannya. Begitu juga dengan meminta pesakit-pesakit menurunkan semua gambar-gambar photo mereka yang ada di rumah, itupun berat bagi mereka nak buat sebab sayang sangat dengan gambar-gambar keluarga.Kadang-kadang tu ada juga gambar orang yang dah meninggalpun digantung, macamanalah jin-jin tak suka.
Inilah dia masalah dengan mereka yang kurang berkeyakinan apabila ingin meminta rawatan mengikut kaedah Al-Quran dan As-Sunnah.Bila lambat sembuh, mulalah berburuk sangka dengan Allah swt dengan berkata, "dah macam-macam baca dah, tak maupun elok.............".Nak elok macamana, sebab bila sakit baru nak cari Allah swt, itupun selepas dah berubat tak baik-baik di hospital..............Di rumah pula, anak-anak dok berdendang dengan lagu-lagu yang pelik-pelik, balik rumah waktu senja lepas main bola dan macam-macam lagi. Ada juga yang melampau bila dikatakan Syaitan dan Iblis tu suka menggangu maka dikatakan olehnya,"sikit-sikit Syaitan, Iblis, Jin betul ke???.............Memang sahlah golongan ini tak baca Al-Quran dan kalau bacapun tak faham apa-apa.
Alhamdulillah dengan ijazah yang kami terima dari Alllahyarham guru kami di Kedah, sedikit sebanyak dapatlah dimenafaatkan untuk membantu orangramai walaupun kami tidak mengenakan sebarang caj barang sesen pun. Ini disebabkan punca pendapat kami adalah dari perniagaan yang lain tetapi jika ada juga yang nak hulur, maka kami katakan kepada mereka, silalah sumbangkan duit ini kepada anak-anak yatim ataupun ke dalam tabung masjid.Insya'allah program merawat ini akan kami adakan secara sambilan di sebuah surau dalam masa terdekat ini dan kali ini kami terpaksa mengenakan bayaran tetapi bukan untuk kami, tetapi bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam tabung khas surau tersebut bagi mencari dana membaiki kerosakan surau tersebut.Kami juga meminta agar tabung itu dijaga oleh pihak pengurusan surau itu sendiri bagi memudahkan pihak pengurusan surau membuat kira-kira.Ingatlah bahawa, walau apapun yang terjadi kepada kita, wajiblah kita meletakkan Allah swt itu yang paling utama untuk kita meminta pertolongan sebelum kita berikhtiar dengan ubat-ubatan.Yakinlah dengan kuasa Allah swt yang tiada batasnya bahawa dialah yang menghidupkan, mematikan,menyembuhkan kita semua sebagai hambaNya yang lemah.Sesungguhnya Syaitan dan iblis itu hanyalah ingin menyesatkan umat Islam maka diganggunya kita semua.Bila dah sakit, ramai tak solat dengan alasan tak larat dan mulalah menggunakan tangkal-tangkal yang menjatuhkan kita kepada syirik mempersekutuklan Allah.Semoga Allah swt melindungi kita dari terjerumus ke dalam kancah kesyirikan.

No comments: