Friday, April 29, 2011

Al-Fatihah Al-Syed Abd. Qadir Mansooruddin Al-Jilani.

Jenazah setelah dimandikan

Ulama tersohor Syeikh Afefuddin Al-Jilani di pusara ayah tercinta.
Bacaan Talqin oleh Syeikh Afefuddin Al-Jilani
Saya mendapat berita tentang perginya seorang tokoh ulama dijemput Allah swt berketurunan Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani iaitu Al-Syed Abdul Qadir Mansooruddin Al-Jilani. Allahyarham merupakan ayah kepada ulama tersohor dari Iraq yang menetap di Malaysia iaitu Syeikh Afefuddin Al-Jilani.
Selepas waktu zuhor Masjid Saidina Muadz Bin Jabal telah dipenuhi oleh beberapa jemaah yang begitu mengenali Allahyarham.Malah beberapa tokoh agama dari negara jiran Singapura juga turut hadir untuk bersama-sama solat jenazah dan mengiringi jenazah ke kubur di Bukit Kiara.Hujan yang turun sewaktu jenazah di solatkan menandakan betapa dunia juga menangisi pemergian ulama ini ke alam baqa'.
Selepas solat 'Asar, jenazah disolatkan dan dipimpin oleh anak Allahyarham iaitu Syeikh Afefuddin Al-Jilani yang begitu dihormati oleh para ilmuan, maupun para penuntut ilmu.Jenazah selamat dikebumikan di perkuburan Bukit Kiara Kuala Lumpur. Selepas Maghrib sekali lagi kami berkumpul di Masjid Muadz Bin Jabal untuk membaca Yassin dan tahlil arwah dan ini akan berlangsung selama 3 hari berturut-turut. Seluruh pencinta ilmu mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berdoa agar rohnya akan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Monday, April 11, 2011

Sedetik Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari.

Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari.
Jemaah Yang Hadir.
Bersalam-salaman bersama Tuan Syeikh.

Setiap kali kehadiran Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin dalam siri jelajahnya ke Kuala Lumpur, maka aku tidak pernah melepaskan peluang keemasan ini. Rasanya sudah begitu kerap juga aku menghadirkan diri dalam sesi kuliahnya ataupun sesi tausiyyah yang diadakan baik di Shah Alam, Bangi ataupun Kuala Lumpur sendiri.Ada juga sesi kuliahnya yang dapat aku rakamkan untuk dimanafaatkan oleh semua yang dahagakan ilmu.
Sebenarnya ada satu keistimewaan dan kelainan setiap kali kita bersama dengan ulama Nusantara ini yang boleh aku katakan berbeza dengan penceramah-penceramah yang lain.Apa yang diucapkan oleh Syeikh Nuruddin adalah bertepatan dengan apa yang diamalkannya.Beliau merupakan seorang yang tidak pernah mengingkari waktu dan begitu sekali menjaganya dan ini menjadikan diri beliau sebagai contoh teladan kepada semua yang hadir dalam majlis beliau.Jika kuliah beliau diadakan selepas Solat Subuh, maka beliau juga turut sama-sama menghadiri solat Subuh tersebut sebelum azan berkumandang.Begitu juga jika kuliah beliau diadakan selepas solat Maghrib, maka beliau terlebih dahulu menghadirkan diri dengan lebih awal dengan melakukan tahiyatul masjid dan beriktikaf.Inilah dia satu-satunya kelebihan yang ada pada beliau yang sepatutnya menjadi contoh pula kepada penceramah-penceramah agama yang lain.
Kita sering melihat, ada penceramah yang masbuk ataupun tertinggal untuk berjemaah bersama-sama Imam masjid sewaktu dijemput untuk menyampaikan kuliah mereka.Ada juga penceramah-penceramah yang lewat tiba ke masjid dengan memberi alasan kesesakan jalanraya.Begitu juga, ada penceramah yang lebih selesa untuk solat sendirian samada di perhentian stesyen minyak, di surau-surau yang dilaluinya untuk ke masjid ataupun di rumah singgah sementara yang disediakan oleh si penganjur.Ini adalah berdasarkan pengalaman saya bersama-sama dengan penceramah baik yang diundang ataupun yang saya sendiri membawanya.Sebenarnya ini merupakan kelemahan seseorang penceramah itu sendiri kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menghormati waktu apatah lagi untuk menghadirkan diri takbir bersama-sama Imam.
Sepatutnya apa yang ditunjukkan oleh Al-Fadhil Syeikh Nuruddin ini menjadi contoh yang perlu diikuti oleh setiap penceramah kerana keberkatan ilmu itu akan hadir apabila si penceramah menunjukkan contoh teladan yang baik.Syeikh Nuruddin juga amat mudah didampingi oleh semua jemaah yang hadir dan beliau juga tidak putus-putus untuk melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.Begitu tawadduknya ulama ini sehinggkan apabila kita melihatnya seolah-olah cahaya keberkatan dari ilmunya itu akan memancar kepada kita.Semoga segala ilmu yang dicurahkannya menjadi ikutan kepada setiap hadirin yang duduk di dalam majlis beliau yang penuh dengan adab yang begitu baik sekali.

Friday, April 8, 2011

Bila Imam & Makmum Pemalas Nak Berwirid.

Membaca wirid selepas solat adalah satu amalan sunnah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kerana dalam bacaan-bacaan wirid tersebut merangkumi doa-doa kita kepada Allah swt. Malah membaca wirid secara nyaring beramai-ramai dihuraikan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathu al-Bari yang mana katanya, "Imam Bukhari meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud,"Abdullah Ibnu Abbas r.a. telah memberitakan sesungguhnya menyebut kalimah-kalimah secara nyaring selepas selesainya para makmum daripada solat lima waktu telah berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w lagi. Berkata Abdullah Ibnu Abbas lagi,"Aku hanya mengetahui para sahabat r.a. telah selesai melaksanakan solat fardhu, setelah aku mendengar mereka berzikir secara nyaring". Sebenarnya terlalu banyak pendapat-pendapat yang menghuraikankan tentang berwirid selepas solat dan kelebihan mengamalkannya.
Malangnya pada hari ini, ramai para-para Imam yang sering mengajak para makmum meninggalkan bacaan wirid selepas solat, terutamanya selepas selesai mengerjakan Solat Subuh pada Hari Jumaat.Sedangkan Hari Juma'at itu adalah hari yang begitu mulia sekali tetapi amalan sunnah ini ditinggalkan begitu sahaja. Adakalanya para Imam juga akan meninggalkan bacaan wirid ini selepas selesai Solat fardhu Maghrib dengan alasan untuk memberi laluan kepada kuliah Maghrib yang akan diadakan. Ditinggalkan juga bacaan wirid ini selepas Solat Isya' kerana sibuk untuk pulang ke rumah dan menutup serta mengunci masjid.Maka selepas memberi salam mereka hanya membaca Istighfar 3 kali, Al-Fatihah dan doa.
Dalam permasalahan Solat Subuh pada Hari Jumaat, para Imam sering berpendapat tidak mahu berwirid kerana mereka telahpun melaksanakan satu sunnah dengan membaca Surah As-Sajadah dan Surah Al-Insan, di mana kedua-dua surah ini agak sedikit panjang bacaannya.Selain itu para Imam juga tidak mahu membebani para makmun jika berwirid kerana takut-takut mengambil masa para makmum yang agak sibuk, mungkin untuk bekerja, menghantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya. Pada wirid selepas Solat fardhu Maghrib pula, para Imam berpendapat bahawa majlis ilmu itu lebih utama dari berwirid dan masa yang diperuntukkan untuk seorang penceramah adalah terhad kerana mereka terpaksa berhenti di kala masuknya waktu Isya'.
Bagi saya, apapun alasan yang dikemukakan oleh para Imam ini, menunjukkan betapa tidak bijaknya mereka dalam menguruskan masa untuk berwirid selepas solat. Membaca wirid-wirid selepas solat hanya mengambil masa tidak sampai 10-12 minit jika para Imam bijak dalam menguruskannya. Apakah masa 10-12 minit itu menjadi beban kepada kita sehingga meninggalkan amalan sunnah yang mulia ini? Ada juga Imam-Imam yang membaca wirid-wirid selepas solat ini seolah-olah seperti ingin mengajar budak-budak tadika dengan nada yang leweh lagi lembab yang membuatkan para makmum tertidur mendengar bacaan sedemikian. Ada juga Imam yang hanya membaca wirid-wirid dengan meninggalkan beberapa bacaan seperti sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah iaitu ayat ke 163 dengan beralasan ianya bukan dari Ayatul Kursi. Begitu ramai juga para Imam yang meninggalkan bacaan ayat 284-286 Surah Al-Baqarah, ayat ke 18 & 19(sesunguhnya agama yg diredhai di sisi Allah ialah Islam) Surah Al-Imran, ayat 26-27 Surah Al-Imran dan seterusnya membaca 3 Qul sebelum membaca tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali setiap satu.
Maka dengan itu, saya sering mengundurkan diri ke belakang untuk berwirid sendirian apabila Imam-Imam ini meninggalkan amalan berwirid yang mulia yang cuma mengambil masa yang begitu pendek. Begitu juga, saya akan berwirid dan berdoa sendirian jika bacaan Imam tersebut lembab, leweh yang boleh melalai serta menidurkan kita jika mendengar dan mengikutinya.Seringkali setelah selesai saya berwirid dan berdoa, kelihatan Imam dan makmum yang tidak berwirid ini, masih lagi belum meninggalkan masjid kerana berbual-bual pula selepas bersalaman. Jadi di mana alasannya bagi para Imam dan makmum ini untuk tidak berwirid selepas solat?
Tidak dinafikan juga, ada juga Imam yang terus kekal mengamalkan bacaan-bacaan wirid selepas solat dengan sempurna tetapi nisbah mereka boleh dikatakan terlalu kecil.Jika ada 5 Imam yang bertugas di sesebuah masjid, hanyalah seorang sahaja yang sedemikian. Maka yang seorang inilah tidak disukai oleh beberapa makmum kerana telah diajar oleh Imam-Imam yang lain agar tidak berwirid selepas Solat Subuh Hari Jumaat. Amat menghairankan apabila sesuatu yang baik untuk diamalkan apatah lagi ianya adalah salah satu contoh menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. ditinggalkan begitu sahaja oleh para Imam.Ini menggambarkan betapa para Imam mengambil mudah parkara sebegini sehinggakan ianya menjadi ikutan para makmum.Para Imam juga begitu selesa dengan pujian kerana tidak berwirid, maklum sahajalah selepas membaca dua surah yang panjang dalam Solat Subuh Hari Jumaat dan memberi peluang pula untuk makmum pulang awal. Sebagai seorang Imam, sepatutnya mereka mempunyai daya kreativiti dalam membaca wirid-wirid selepas solat ini agar ia tidak dirasakan satu bacaan yang mengambil masa yang panjang.Ingatlah, jika Imam telah mengajar makmum dengan tidak berwirid selepas solat, ikutan ini akan menjadi satu trend kepada generasi akan datang yang hanya datang ke masjid untuk tujuan solat sahaja. Jika sunnah yang baik ini diabaikan, satu hari nanti ianya akan pupus sebagaimana pupusnya bacaan-bacaan yang lain selepas solat seperti membaca Zikurullah(Tahlil), Ya Lathif, ayat 128 & 129 Surah At-Taubah yang mana bacaan-bacaan ini tidak pernah ditinggalkan oleh guru-guru kita di pondok dahulu. Pesan saya kepada para Imam dan makmum, hidupkanlah sunnah Rasulullah s.a.w. dan janganlah kita berkira-kira dalam kita menjalani ibadat kepada Allah swt. Para makmum pula, janganlah menjadikan waktu berwirid selepas solat itu sebagai satu peluang untuk melelapkan mata seolah-olah tiada langsung semangat untuk melakukan ibadat kepada Allah swt. Sudahlah jemaah di waktu Subuh hanya ada beberapa kerat sahaja, para makmum pula tidur tanpa melafazkan bacaan-bacaan wirid ini. Yang hairannya, selepas selesai Imam membaca doa, terdengar pula suara-suara mereka ini berbual-bual sambil bersalam-salaman. Fikir-fikirkanlah agar masjid yang mulia ini dapat kita menafaatkannya dalam waktu yang singkat kita berada di dalamnya.

Tuesday, April 5, 2011

BERITA JIJIK LAGI MENJIJIKKAN!!!

Inilah dia berita yang paling "JIJIK LAGI MENJIJIKKAN" tetapi amat disukai oleh semua orang tidak kira samada orang itu tinggi akhlaknya atau rendah akhlak DAN tidak kira samada dia seorang yang berilmu agama ataupun yang jahil agama. Berita tersebut ialah berita tentang perlakuan seks yang disebarkan oleh beberapa individu yang akhirnya menjadi tontonan ramai di laman Youtube walaupun untuk beberapa minit sahaja. Alhamdulillah apabila video tersebut telah dikeluarkan dari laman Youtube kerana ia akan menambahkan lagi dosa umat-umat Islam yang suka membuat andaian sendiri.
Betapa "JIJIK LAGI MENJIJIKKAN" apabila isu ini semakin mendapat tempat di dada-dada akhbar, kaca telivisyen malah begitu banyak blog-blog yang begitu ghairah menyiarkan video tersebut di blog-blog mereka. Yang lebih malang sekali bila video yang "JIJIK LAGI MENJIJIKKAN" ini mendapat tempat juga di blog-blog ustaz-ustaz yang seolah-olah tidak merasa malu untuk menyiarkannya. Tidak cukup dengan itu, laman-laman social (FB) pak-pak ustaz juga begitu bersemangat menyiarkan gambar perlakuan seks ini seolah-olah tidak ada perkara lain lagi untuk dibicarakan.
Memang benar, dalam isu pegangan politik, masing-masing mempunyai hak untuk mempertahankan pegangan atau politik mana yang mereka ikut. Tetapi jangan kita menggadaikan maruah kita dek fahaman politik dan jangan kita memperalatkan agama kita untuk mencapai maksud dalam berpolitik. Bagi saya, saya tidak berpegang dalam mana-mana fahaman politik baik dalam UMNO, PAS ataupun PKR. Sememangnya ada banyak kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh ketiga-tiga politik ini dan kesalahan-kesalahan inilah yang wajib kita tegur agar timbul kesedaran di kalangan mereka untuk memperbaiki kesalahan tersebut. Maka dengan itu, saya tidak mahu terlibat untuk mengadili kesalahan seseorang itu dengan hanya menjadi penonton video yang kita sendiri tidak tahu puncanya. Yang banyak saya dedahkan video ialah dari percakapan seseorang itu sendiri dan ternyata kesahihannya tanpa boleh diubah-ubah lagi.
Bagi saya, segala pendedahan tanpa kesahihannya, penyebaran tanpa bukti-bukti yang kukuh dan hanya membuat andaian sendiri adalah amat merbahaya, takut-takut kita tersalah dalam andaian kita, maka kita sudah menempatkan diri sebagai tukang fitnah yang balasannya tidak lain ialah di Neraka Jahanam.