Friday, April 8, 2011

Bila Imam & Makmum Pemalas Nak Berwirid.

Membaca wirid selepas solat adalah satu amalan sunnah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kerana dalam bacaan-bacaan wirid tersebut merangkumi doa-doa kita kepada Allah swt. Malah membaca wirid secara nyaring beramai-ramai dihuraikan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fathu al-Bari yang mana katanya, "Imam Bukhari meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud,"Abdullah Ibnu Abbas r.a. telah memberitakan sesungguhnya menyebut kalimah-kalimah secara nyaring selepas selesainya para makmum daripada solat lima waktu telah berlaku semenjak zaman Nabi s.a.w lagi. Berkata Abdullah Ibnu Abbas lagi,"Aku hanya mengetahui para sahabat r.a. telah selesai melaksanakan solat fardhu, setelah aku mendengar mereka berzikir secara nyaring". Sebenarnya terlalu banyak pendapat-pendapat yang menghuraikankan tentang berwirid selepas solat dan kelebihan mengamalkannya.
Malangnya pada hari ini, ramai para-para Imam yang sering mengajak para makmum meninggalkan bacaan wirid selepas solat, terutamanya selepas selesai mengerjakan Solat Subuh pada Hari Jumaat.Sedangkan Hari Juma'at itu adalah hari yang begitu mulia sekali tetapi amalan sunnah ini ditinggalkan begitu sahaja. Adakalanya para Imam juga akan meninggalkan bacaan wirid ini selepas selesai Solat fardhu Maghrib dengan alasan untuk memberi laluan kepada kuliah Maghrib yang akan diadakan. Ditinggalkan juga bacaan wirid ini selepas Solat Isya' kerana sibuk untuk pulang ke rumah dan menutup serta mengunci masjid.Maka selepas memberi salam mereka hanya membaca Istighfar 3 kali, Al-Fatihah dan doa.
Dalam permasalahan Solat Subuh pada Hari Jumaat, para Imam sering berpendapat tidak mahu berwirid kerana mereka telahpun melaksanakan satu sunnah dengan membaca Surah As-Sajadah dan Surah Al-Insan, di mana kedua-dua surah ini agak sedikit panjang bacaannya.Selain itu para Imam juga tidak mahu membebani para makmun jika berwirid kerana takut-takut mengambil masa para makmum yang agak sibuk, mungkin untuk bekerja, menghantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya. Pada wirid selepas Solat fardhu Maghrib pula, para Imam berpendapat bahawa majlis ilmu itu lebih utama dari berwirid dan masa yang diperuntukkan untuk seorang penceramah adalah terhad kerana mereka terpaksa berhenti di kala masuknya waktu Isya'.
Bagi saya, apapun alasan yang dikemukakan oleh para Imam ini, menunjukkan betapa tidak bijaknya mereka dalam menguruskan masa untuk berwirid selepas solat. Membaca wirid-wirid selepas solat hanya mengambil masa tidak sampai 10-12 minit jika para Imam bijak dalam menguruskannya. Apakah masa 10-12 minit itu menjadi beban kepada kita sehingga meninggalkan amalan sunnah yang mulia ini? Ada juga Imam-Imam yang membaca wirid-wirid selepas solat ini seolah-olah seperti ingin mengajar budak-budak tadika dengan nada yang leweh lagi lembab yang membuatkan para makmum tertidur mendengar bacaan sedemikian. Ada juga Imam yang hanya membaca wirid-wirid dengan meninggalkan beberapa bacaan seperti sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah iaitu ayat ke 163 dengan beralasan ianya bukan dari Ayatul Kursi. Begitu ramai juga para Imam yang meninggalkan bacaan ayat 284-286 Surah Al-Baqarah, ayat ke 18 & 19(sesunguhnya agama yg diredhai di sisi Allah ialah Islam) Surah Al-Imran, ayat 26-27 Surah Al-Imran dan seterusnya membaca 3 Qul sebelum membaca tasbih, tahmid dan takbir sebanyak 33 kali setiap satu.
Maka dengan itu, saya sering mengundurkan diri ke belakang untuk berwirid sendirian apabila Imam-Imam ini meninggalkan amalan berwirid yang mulia yang cuma mengambil masa yang begitu pendek. Begitu juga, saya akan berwirid dan berdoa sendirian jika bacaan Imam tersebut lembab, leweh yang boleh melalai serta menidurkan kita jika mendengar dan mengikutinya.Seringkali setelah selesai saya berwirid dan berdoa, kelihatan Imam dan makmum yang tidak berwirid ini, masih lagi belum meninggalkan masjid kerana berbual-bual pula selepas bersalaman. Jadi di mana alasannya bagi para Imam dan makmum ini untuk tidak berwirid selepas solat?
Tidak dinafikan juga, ada juga Imam yang terus kekal mengamalkan bacaan-bacaan wirid selepas solat dengan sempurna tetapi nisbah mereka boleh dikatakan terlalu kecil.Jika ada 5 Imam yang bertugas di sesebuah masjid, hanyalah seorang sahaja yang sedemikian. Maka yang seorang inilah tidak disukai oleh beberapa makmum kerana telah diajar oleh Imam-Imam yang lain agar tidak berwirid selepas Solat Subuh Hari Jumaat. Amat menghairankan apabila sesuatu yang baik untuk diamalkan apatah lagi ianya adalah salah satu contoh menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. ditinggalkan begitu sahaja oleh para Imam.Ini menggambarkan betapa para Imam mengambil mudah parkara sebegini sehinggakan ianya menjadi ikutan para makmum.Para Imam juga begitu selesa dengan pujian kerana tidak berwirid, maklum sahajalah selepas membaca dua surah yang panjang dalam Solat Subuh Hari Jumaat dan memberi peluang pula untuk makmum pulang awal. Sebagai seorang Imam, sepatutnya mereka mempunyai daya kreativiti dalam membaca wirid-wirid selepas solat ini agar ia tidak dirasakan satu bacaan yang mengambil masa yang panjang.Ingatlah, jika Imam telah mengajar makmum dengan tidak berwirid selepas solat, ikutan ini akan menjadi satu trend kepada generasi akan datang yang hanya datang ke masjid untuk tujuan solat sahaja. Jika sunnah yang baik ini diabaikan, satu hari nanti ianya akan pupus sebagaimana pupusnya bacaan-bacaan yang lain selepas solat seperti membaca Zikurullah(Tahlil), Ya Lathif, ayat 128 & 129 Surah At-Taubah yang mana bacaan-bacaan ini tidak pernah ditinggalkan oleh guru-guru kita di pondok dahulu. Pesan saya kepada para Imam dan makmum, hidupkanlah sunnah Rasulullah s.a.w. dan janganlah kita berkira-kira dalam kita menjalani ibadat kepada Allah swt. Para makmum pula, janganlah menjadikan waktu berwirid selepas solat itu sebagai satu peluang untuk melelapkan mata seolah-olah tiada langsung semangat untuk melakukan ibadat kepada Allah swt. Sudahlah jemaah di waktu Subuh hanya ada beberapa kerat sahaja, para makmum pula tidur tanpa melafazkan bacaan-bacaan wirid ini. Yang hairannya, selepas selesai Imam membaca doa, terdengar pula suara-suara mereka ini berbual-bual sambil bersalam-salaman. Fikir-fikirkanlah agar masjid yang mulia ini dapat kita menafaatkannya dalam waktu yang singkat kita berada di dalamnya.

2 comments:

g-M@N said...

Assalamualaikum... sy sokong dengan pendapat tuan, sy berwirid dari usia kecil tapi bila dah dewasa ni jarang berwirid sebab imam yg selalu berwirid sudah berpindah, makin lama makin hilang amalan berwirid. Harap2 ada lagi orang muda yg ingin teruskan amalan sunah ini. InsyaAllah semoga Allah memberi kekuataun pada tuan untuk memberi nasihat yg baik di ruangan ini.

Abu Abdurrahman said...

g-M@N,

Tuan boleh wirid lepas solat secara infradi....kita juga boleh didik anak,isteri kita utk jaga amalan nie.....

Di malaysia (dah jadi trend), kebanyakan ust2 yg mengajar di masjid2 tidak menekankan kesempurnaan dalam ibadat/amal...

Kurang dalam amal/ibadat menunjukkan kurangnya hubungan kita dengan ALLAH SWT