Monday, April 11, 2011

Sedetik Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari.

Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari.
Jemaah Yang Hadir.
Bersalam-salaman bersama Tuan Syeikh.

Setiap kali kehadiran Al-Fadhil Syeikh Muhammad Nuruddin dalam siri jelajahnya ke Kuala Lumpur, maka aku tidak pernah melepaskan peluang keemasan ini. Rasanya sudah begitu kerap juga aku menghadirkan diri dalam sesi kuliahnya ataupun sesi tausiyyah yang diadakan baik di Shah Alam, Bangi ataupun Kuala Lumpur sendiri.Ada juga sesi kuliahnya yang dapat aku rakamkan untuk dimanafaatkan oleh semua yang dahagakan ilmu.
Sebenarnya ada satu keistimewaan dan kelainan setiap kali kita bersama dengan ulama Nusantara ini yang boleh aku katakan berbeza dengan penceramah-penceramah yang lain.Apa yang diucapkan oleh Syeikh Nuruddin adalah bertepatan dengan apa yang diamalkannya.Beliau merupakan seorang yang tidak pernah mengingkari waktu dan begitu sekali menjaganya dan ini menjadikan diri beliau sebagai contoh teladan kepada semua yang hadir dalam majlis beliau.Jika kuliah beliau diadakan selepas Solat Subuh, maka beliau juga turut sama-sama menghadiri solat Subuh tersebut sebelum azan berkumandang.Begitu juga jika kuliah beliau diadakan selepas solat Maghrib, maka beliau terlebih dahulu menghadirkan diri dengan lebih awal dengan melakukan tahiyatul masjid dan beriktikaf.Inilah dia satu-satunya kelebihan yang ada pada beliau yang sepatutnya menjadi contoh pula kepada penceramah-penceramah agama yang lain.
Kita sering melihat, ada penceramah yang masbuk ataupun tertinggal untuk berjemaah bersama-sama Imam masjid sewaktu dijemput untuk menyampaikan kuliah mereka.Ada juga penceramah-penceramah yang lewat tiba ke masjid dengan memberi alasan kesesakan jalanraya.Begitu juga, ada penceramah yang lebih selesa untuk solat sendirian samada di perhentian stesyen minyak, di surau-surau yang dilaluinya untuk ke masjid ataupun di rumah singgah sementara yang disediakan oleh si penganjur.Ini adalah berdasarkan pengalaman saya bersama-sama dengan penceramah baik yang diundang ataupun yang saya sendiri membawanya.Sebenarnya ini merupakan kelemahan seseorang penceramah itu sendiri kerana mereka tidak tahu bagaimana untuk menghormati waktu apatah lagi untuk menghadirkan diri takbir bersama-sama Imam.
Sepatutnya apa yang ditunjukkan oleh Al-Fadhil Syeikh Nuruddin ini menjadi contoh yang perlu diikuti oleh setiap penceramah kerana keberkatan ilmu itu akan hadir apabila si penceramah menunjukkan contoh teladan yang baik.Syeikh Nuruddin juga amat mudah didampingi oleh semua jemaah yang hadir dan beliau juga tidak putus-putus untuk melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.Begitu tawadduknya ulama ini sehinggkan apabila kita melihatnya seolah-olah cahaya keberkatan dari ilmunya itu akan memancar kepada kita.Semoga segala ilmu yang dicurahkannya menjadi ikutan kepada setiap hadirin yang duduk di dalam majlis beliau yang penuh dengan adab yang begitu baik sekali.

No comments: