Wednesday, May 25, 2011

Video "Box-Office" Ku adalah dakwah Ku.



Alhamdulillah, bila ceramah dari Al-Fadhil Ustaz Zamihan ini mencecah kepada 500 pengunjung dalam sehari termasuklah dari golongan-golongan Wahabi yang menontonnya, maka saya semakin bersemangat untuk merakam dan menyebarkan video-video seperti ini. Walaupun penyebaran video ini tidak mendatangkan keuntungan berupa wang ringgit, namun saya amat berpuas-hati dengan kerja dakwah yang saya lakukan kerana saya yakin ganjaran yang lebih besar menanti di kemudian hari. Dalilnya ialah, kita terlibat dalam memberi kefahaman kepada umat Islam tentang bahayanya aqidah yang dibawa oleh golongan Wahabi dan sekurang-kurangnya mungkin akan ada di antara mereka yang sudah terjebak dengan fahaman Wahabi akan segera kembali kepada aqidah sebenar yang dibawa oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tulen.
Berjuang dalam menyebarkan dakwah bukan hanya terletak di bahu ulama-ulama ataupun ustaz-ustaz tetapi ia perlu juga dilakukan oleh setiap individu yang beriman kepada Allah. Berdakwah juga bukan hanya perlu kepada kata-kata tetapi ia melibatkan terlalu banyak aspek dan kita harus bijak untuk menyampaikannya. Contoh, apabila kita sering berjalan berulang-alik ke masjid untuk solat berjemaah tanpa berbicara sekalipun, maka pergerakan kita itu juga merupakan satu dakwah yang akan diikuti oleh orang lain untuk turut pergi ke masjid berjemaah. Persetankan kata-kata manusia yang jahil apabila ada suara-suara sumbang yang mengatakan, perjalanan kita berulang-alik ke masjid itu sebagai satu perbuatan yang riak. Hebatnya manusia hari ini apabila boleh membaca hati manusia samada ikhlas ataupun riak.
Dalam menegak dan memperjuang aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tulen, ia terletak di bahu kita yang cintakan kepada ulama-ulama Musytahid, cintakan kepada amalan-amalan baik yang dibawa oleh ulama-ulama terdahulu, cintakan kepada majlis-majlis memulia dan membesarkan Rasulullah s.a.w sebagai makhluk teragung di muka bumi ini. Maka wajib bagi kita berjuang menentang fahaman Wahabi yang bencikan kepada majlis-majlis Maulid, yang suka membida'ahkan amalan-amalan baik yang dipelopori oleh ulama-ulama terdahulu, yang menghukum kafir, syirik kepada sesiapa yang beramal tanpa contoh dari Rasulullah s.a.w. Apakah golongan Wahabi ini tidak pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan ulama itu adalah pewaris ku? Apakah solat wuduk yang dilakukan oleh Saidina Bilal Bin Rabah itu dituduh bida'ah oleh Rasulullah sa.w. kerana Baginda tidak pernah menunjukkan contohnya?
Kejahilan umat Islam hari semakin terserlah apabila mereka tidak pernah mendampingi ulama-ulama, tidak pernah menghadiri sesi-sesi pengajian, tidak pernah bertanya kepada orang 'alim tentang sesuatu hukum, malah bertindak dengan sendiri berijtihad sesuatu hukum berpandukan daripada rujukan internet, buku-buku, risalah-risalah tanpa ada gurunya. Lebih parah lagi apabila ada umat Islam yang sudah agak lewat untuk mendekati ajaran Islam, maka mereka ini akan mengambil pendekatan yang mudah-mudah sahaja untuk beribadat. Dalil mereka ialah, Islam itu mudah tetapi mereka tidak tahu apakah semudah itu untuk mereka menjadi penghuni Syurga kelak? Solat mereka seumpama melepaskan batuk di tangga, tidak perlu lagi berzikir, tidak perlu lagi berdoa, tidak perlu merujuk kitab-kitab muktabar kerana kitab-kitab tersebut adalah kalam ulama yang tidak terlepas dari dosa dan berbagai-bagai lagi alasan untuk menguatkan hujah mereka agar tidak perlu kepada ubbudiyah kepada Allah swt. Inilah yang selalu dicanangkan oleh golongan Wahabi yang senantiasa mahu manusia ini lalai dalam mengingati Allah. Oleh itu, dengan sisa umur yang dianugerahkan oleh Allah swt, saya akan terus berjuang dan membongkar segala kecelaruan yang ditimbukan oleh golongan Wahabi demi menyelamatkan umat Islam dari terjerumus ke dalam aqidah yang kufur.

Thursday, May 5, 2011

Doa Majlis Maulid Nabi Muhammad s.a.w.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Ya Allah, limpahkanlah rahmat dan kesejahteraan kepada Penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. dan keluarganya serta sahabatnya semua. Semoga Allah menjadikan kami dan kamu semua daripada golongan yang berhak mendapat syafa'atnya dan senantiasa mengharap daripada Allah, rahmat dan kasihNya. Ya Allah, dengan berkat penghormatan kami kepada Nabi s.a.w. yang mulia ini dan keluarganya serta para sahabatnya yang telah menempuh jalan yang lurus, jadikanlah kami sebaik-baik umatnya dan tutuplah keburukan kami dengan berkat penghormatan kami kepadanya. Himpunkanlah kami ke dalam golongannya besok, pada hati kiamat nanti . Gunakanlah lidah kami untuk memujinya dan membantu agamanya. Hidupkanlah kami dalam keadaan berpegang teguh dengan sunnahnya dan taat kepada segala perintahnya.Dan matikanlah kami dalam keadaan mencintainya dan mencintai para sahabatnya. Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam syurga bersama dengannya, kerana sesungguhnya Bagindalah orang yang pertama sekali memasukinya. Tempatkanlah kami di dalam mahligai-mahligai syurga bersama dengannya, kerana sesungguhnya Bagindalah orang pertama yang akan menempatinya. Dan kasihanilah kami jua pada ketika Baginda s.a.w. akan memberikan syafaatnya kepada sekelian makhluk, maka Engkau pun mengasihaninya mereka. Ya Allah, berikanlah kami rezeki dengan dapat menziarahinya pada setiap tahun. Dan janganlah Engkau jadikan kami daripada golongan orang yang lupa untuk mengingatiMu dan mengingati Baginda s.a.w. walau hanya sekelip mata. Ya Allah, janganlah Engkau jadikan dalam majlis kami ini seorang juapun melainkan telah Engkau basuh dosa-dosanya dengan air taubat dan telah Engkau tutupi segala keburukannya dengan selendang keampunan Mu. Ya Allah, sesungguhnya pada tahun yang lalu, masih ada bersama kami beberapa orang saudara (Semoga Allah merahmati mereka) yang kali ini mereka telah terhalang daripada menghadiri majlis penuh berkat seperti ini, lantaran ajal yang sudah tersurat. Maka janganlah Engkau halangi mereka daripada menerima pahala dan kelebihan yang ada pada waktu ini. Ya Allah, kasihanilah kami apabila kami menjadi penghuni kubur nanti, dan berikanlah kekuatan kepada kami untuk melakukan amal kebajikan yang cahaya dan pahalanya berkekalan sepanjang masa. (seperti mewakafkan harta dan mengajarkan ilmu yang bermanafaat). Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang senantiasa mengenang kurniaMu, mensyukuri nikmatMu dan memperingati hari perjumpaan denganMu. Hidupkanlah kami dalam keadaan sibuk dengan ketaatan kepadaMu. Apabila Engkau matikan kami kelak, maka ambillah nyawa kami tanpa sebarang godaan dan maksiat. Dan akhirilah umur kami semua dengan kebaikan dari sisiMu.
Ya Allah, peliharalah kami daripada kejahatan orang-orang yang zalim (3 x). Dan jadikanlah kami orang-orang yang selamat daripada godaan ini. Ya Allah, jadikanlah Rasulullah s.a.w. yang mulia ini orang yang memberikan syafaatnya kepada kami. Dan berikanlah kepada kami kedudukan yang tinggi, dengan sebab syafaatnya pada hari kiamat kelak. Ya Allah, berilah minum kepada kami dari telaga NabiMu Muhammad s.a.w. dengan minuman yang sedap dan lancar, yang kami tidak akan dahaga lagi sesudahnya, untuk selama-lamanya. Dan himpunkanlah kami di bawah benderanya besok, pada hari kiamat kelak. Ya Allah, dengan berkat kemuliaan Baginda s.a.w. ini, ampunilah kami, bapa-bapa kami, ibu-ibu kami, guru-guru mursyid kami, guru-guru yang mengajar kami, orang-orang yang mempunyai hak yang wajib kami tunaikan, orang yang menjalankan kebaikan majlis Maulid ini pada waktu ini dan seluruh orang yang beriman, lelaki dan perempuan, juga orang-orang Islam, lelaki dan perempuan, yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia. Sesungguhnya Engkau adalah Zat yang sangat dekat rahmat dan bantuanNya, yang memperkenankan segala doa, yang menunaikan seluruh hajat dan yang mengampunkan segala doa, yang menunaikan seluruh hajat dan yang mengampunkan segala dosa dan kesalahan. Wahai Zat Yang Maha Penyayang dari sekelian Penyayang. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan kepada Penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w. dan seluruh keluarga serta para sahabatnya.
Maha suci Tuhanmu yang mempunyai kemegahan dari apa yang mereka sifatkan.Salam sejahtera atas para Rasul dan segala puji hanyalah bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Amin.....