Wednesday, June 29, 2011

Sambutan Isra' Dan Mi'raj.


Al-Musnid Dr Muhammad Taufiq ibn Taisir Al-Makhzumi Al-Husaini
Al-Musnid Syeikh Majid Rasyid Al-Jailani
Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki

Malam 27 Rejab, Sambutan Isra' Dan Mi'raj telah diadakan di Masjid Taman TAR, Ampang, Selangor. Berbeza dengan sambutan yang diadakan di tempat lain kerana majlis ini telah dihadiri oleh 3 ulama yang begitu tinggi keilmuaannya.Program bermula selepas solat Maghrib dengan bacaan Al-Quran Surah Al-Isra' oleh Al-Fadhil Ustaz Md Farid al-Hafiz kemudian diiringi pula dengan bacaan Qasidah oleh penuntut-penuntut ilmu dari Darul Quran Wal Hadith. Ceramah Isra' Dan Mi'raj disampaikan oleh ulama dari Syria iaitu Al-Musnid Dr Muhammad Taufiq dan juga sedikit olahan dari Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki.
Uniknya majlis sambutan Isra' Dan Mi'raj kali ini di mana Al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq telah membawakan beberapa alunan qasidah dan diikuti oleh para jemaah yang hadir.Al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq telah memimpin bacaan tahlil dan bacaan doa disampaikan oleh Al-Musnid Syeikh Majid Rasyid Al-Jailani dan Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki. Kemuncak majlis ini diadakan juga bacaan maulid di mana sekali lagi Al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq telah mengetuainya. Majlis diakhiri selepas solat Isya' dan jamuan makan telah disediakan oleh pihak penganjur majlis.Rata-rata pengunjung yang hadir amat terharu dan merasakan rasa syukur mereka kerana majlis yang penuh barakah ini telah dihadiri oleh 3 ulama ahli ilmu dan kesemuanya adalah pakar dalam bidang hadis. Semoga majlis seperti ini dapat dimanafaatkan oleh seluruh umat Islam menandakan rasa kesyukuran kita atas nikmat dijadikan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.

Monday, June 27, 2011

Majlis Penutup Pengkhataman Sohih Al-Bukhari.



Penuntut Ilmu Darul Quran Wal Hadith.
YDP Yayasan Sofa, Dr Yusri Bin Mohamad
SS Dato' Mufti Wilayah, Dato' Hj. Wan Zahidi Bin Wan Teh
Pengijazahan sanad khatam Sahih Bukhari
Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki & Habib Ali Zainal Abidin
Habib Ali Zainal Abidin
Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin al-Maliki.
Muhaddith Al-Musnid Dr.Muhammad Taufiq Ibn Taisir Al-Makhzumi Al-Husaini
Muhaddith Al-Musnid Syeikh Majid Rasyid Al-Jailani
Penganugerahan Ijazah Khatam Sahih Bukhari.



Unit Media Yayasan Sofa





Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Allah swt kerana dipertemukan dengan seorang ulama yang begitu tinggi ilmunya iaitu Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki.Dengan kegigihan Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki menyampaikan ilmunya setiap hari membuatkan saya dan anak-anak semakin yakin bahawa inilah dia ulama yang akan membimbing dan menunjukkan jalannya menuju kepada Allah, maka setiap hari kami akan berkunjung ke pusat pengajian beliau di Darul Maliki untuk menuntut ilmu.
Bulan Rejab yang dimuliakan oleh Allah swt, diisi dengan program pembacaan Kitab Sohih Bukhari setiap hari iaitu sebanyak 40 majlis diadakan sehinggalah kepada kemuncak mengkhatamkannya. Sebanyak lebih 7000 Hadis Sahih Kitab Al-Bukhari dibaca oleh penuntut-penuntut ilmu di hadapan Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki setiap hari di antara 6-7 jam. Walaupun kami bukanlah di kalangan ahli ilmu tetapi saya dan anak-anak diijazahkan oleh Tuan Syeikh sanad tertinggi kerana mendengar sebahagian dari bacaan hadis-hadis tersebut.Bersyukur juga saya kerana Allah swt telah menggerakkan hati untuk turut serta dalam majlis penutup Pengkhataman Sahih Bukhari yang telah diadakan di Masjid Negara Kuala Lumpur.Sesungguhnya ini merupakan satu nikmat yang tidak terhingga apatah lagi sekali lagi diijazahkan oleh Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki Hadis yang bersambung sanadnya dengan Nabi Ibrahim a.s. dan ijazah dari ulama dari Syria Al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq ibn Taisir Al-Makhzumi Al-Husaini dalam majlis penutup di Masjid Negara Kuala Lumpur.

Friday, June 24, 2011

WAHABI vs MUFTI NEGERI SEMBILAN.

DEBAT ANTARA PENGASAS WAHABI HASHIM GHANI & JAB. MUFTI N.S 15/1/1958, RABU DI PEJABAT AGAMA ISLAM NEGERI SEMBILAN.

Pada Rabu 15 Januari 1958 Hashim Ghani bersama dengan Abdul Malik Hussin dan 4 pengikut yang lain telah dipanggil ke Pejabat Agama Islam Negeri Sembilan, Seremban dan memberikan keterangan berhubung dengan perkembangan Gerakan WAHABI. Di bawah ialah butir perbahasan tersebut untuk dikongsi bersama tentang perkembangan Gerakan WAHABI di negara ini.

Pada hari Rabu 15 Januari 1958 En. Hashim A. Ghani dan En. Malik Bin Husin telah dipanggil oleh Tuan Haji Othman bin Taat, Yang Di Pertua Hal Ehwal Agama Islam N. Sembilan ke Pejabat Agama Seremban kerana memberi penerangan dan penjelasan berkenaan dengan mendirikan sembahyang Jumaat yang berasingan dari MasjId Ranjau Hantu (Sekarang Masjid Kg. Parit) Kuala Pilah.

En. Hashim dan En. Abdul Malik Husin serta 4 orang pengikutnya yang lain telah hadir di Dewan Pejabat Agama itu pada jam 10.20 pagi dengan dinanti oleh seramai lebih kurang 40 orang yang terdiri dari 18 orang kadi-kadi, inspektor zakat dan alim-ulama’ N. Sembilan.

Majlis telah dipengerusikan oleh Tuan Haji Othman Taat sendiri dan diapit oleh Mufti Kerajaan N. Sembilan Tuan Hj., Ahmad bin Hj. Said. Pengerusi membuka majlis dengan menyatakan bahawa ada pengaduan dari Kuala Pilah dan terus meminta pihak yang dipanggil memberikan penjelasan.

Hashim Ghani: (Kemudian ini HG): Assalamualaikum wbt. Saya dari Kuala Pilah terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Di Pertua Jabatan Ugama Islam N. Sembilan kerana jemputannya untuk saya dan rakan saya buat memberi penerangan dan penjelasan di hadapan Yang Di Pertua atas perkara perkara yang terjadi di Kuala Pilah, yang mana saya percaya tidak akan tersembunyi disisi tuan-tuan yang hadir pada hari ini, disamping itu saya juga terlebih dahulu meminta maaf kepada Yang Di Pertua dan juga Sahibul Fadhillah Mufti N. Sembilan atas sekiranya ada diantara penerangan yang akan saya lafazkan nanti tidak bersesuaian pada sisi tuan-tuan yang hadir. Maka sekarang Yang Di Pertua saya akan menerangkan perihal masalaah yang dikehendaki saya menerangkan itu:-

Tuan Yang Di Pertua ! Bahawa masaalah yang berlaku di Kuala Pilah itu adalah timbulnya dari suatu keyakinan atas ideologi yang berpandukan Qur’an dan Sunnah Rasul saw yang telah berjalan dikalangan kami sejak lebih kurang 10 tahun yang lalu. Keyakinan ini bukanlah diamalkan oleh orang perseorangan, tetapi oleh suatu golongan yang bukan sahaja terdiri dari kami di Kuala Pilah, bahkan keyakinan ini sedang dianut oleh segolongan besar ummat Islam yang berada di Malaya ini. Tegasnya kami adalah suatu golongan yang berpegang kepada Al-Qur’an dan Sunnah Rasul yang sahih sahaja.

Maka dengan keyakinan yang diterangkan itu, Yang Di Pertua! berertilah kami tidak mengambil dalam perkara-perkara ibadat antara kami dengan Allah lain dari dua sumber yang saya terangkan tadi, dan kami tidaklah menganut sebarang Mazhab seperti yang biasa dianut oleh orang-orang Islam di negeri ini, kerana kami dapati dalam keterangan Qur’an dan Hadits supaya kami berbuat demikian.

Manakala kami telah mempunyai keyakinan seperti yang saya nyatakan itu maka berbezalah cara-cara kami melakukan ibadat dengan saudara-saudara kami yang bermazhab, dan manakala terjadi demikian itu mulalah segala tuduhan yang membingitkan telinga dilemparkan keatas kami, kami telah menerima segala cacian dan celaan yang bukan-bukan, iaitu kami dituduh Kaum Muda, Wahaby dan berbagai lagi yang tidak sedap kami dengar.

Tuan Yang Di Pertua! Setelah saya terangkan keyakinan-keyakinan kami tadi, maka inilah saya nyatakan pula bagaimana masaalah perasingan kami dalam melakukan Ibadat Jumaat daripada Masjid Ranjau Hantu ke sebuah Madrasah yang kami bina sendiri sekarang ini. Tuan Yang Di Pertua! Adapun sebab dan puncanya kami mengasingkan diri mendirikan Jumaat ialah kerana memelihara keamanan dan ketenteraman dalam negeri ini dan mengelak dari sebarang pertengkaran dan perselisihan yang mungkin berlaku, kerana dengan keyakinan kami itu sudah barang tentu tidak akan mendapat persesuaian dalam perkara Ibadat.

Saya menerangkan kepada Yang Di Pertua bahawa dalam bulan April 1954 kami telah mengadakan pelajaran berkala waktu malam di Masjid Ranjau Hantu itu, dan sebagai biasa kami adalah sama-sama berjamaah dengan orang yang bermazhab dan kami telah berusaha memakmurkan masjid itu dengan cara membersih, membina sebuah jambatan, membeli apa-apa alat yang diperlukan, begitu juga kami telah membelikan sebuah buku Kuthbah ‘Asiyah karangan Tuan Abu Bakar Ash’ary guna dibacakan supaya sesuai dengan keadaan masa, kerana kami sedar bahawa masjid itu kami yang punyai. Tetapi alangkah malangnya bahawa segala jasa baik kami telah dibalas dengan berbagai keburukan.

Buku kuthbah yang kami beli itu telah dicuri dan dilenyapkan tetapi kami dapat riseknya bahawa buku itu telah dihantar ketangan kadzi Kuala Pilah, dan manakala saya tanyakan kepada Tuan Kadzi pada 9.6.54 ia menyatakan telah dihantar kepada Tuan Mufti N. Sembilan.

Saya telah mengajar di Masjid ini dan juga di Madrasah Ittiba’ Us Sunnah yang ada sekarang, tetapi kepada saya telah diberi tahu bahawa aduan-aduan telah disampaikan kepada tuan Kadzi Kuala Pilah mengatakan bahawa pengajaran saya salah dan tauliyah saya tidak membenarkan. Sementara itu saya telah juga memohon suatu tauliyah yang membenarkan saya mengajar Qur’an dan Hadits, tetapi saya telah dipanggil oleh tuan Kadzi Kuala Pilah dan dihadapkan dengan 6 orang ulamak di Pejabat Kadzi Kuala Pilah, disana saya telah jelaskan pendirian saya yang sebenarnya dan menjawab segala masaalah yang dihadapkan kepada saya pada 5 Ogos 1954.

Perkara tauliah itu, menurut surat kadzi yang ada disimpanan saya bertarikh 7 Jun 1954 dan telah diambil oleh Naib Kadzi Husin bin Matsom dengan alasan hendak dibaiki, tetapi selang beberapa hari sesudah itu tuan Kadzi tersebut memberitahu orang ramai bahawa tauliyah saya telah dirampas dan dibatalkan. Saya tidaklah bertanyakan hal itu kerana saya tahu bahawa Tauliah itu adalah dianugerahkan oleh DYMM Yang Di Pertuan Besar N. Sembilan (Almarhum-P) dan tidaklah pernah saya menerima suatu pembatalan daripada baginda sendiri. Yang demikian saya menganggap saya masih mempunyai tauliah dan saya berterima kasih kepada Jabatan Ugama yang telah menyimpankan tauliah saya itu.

Kami mengadakan sambutan dan syarahan agama di Masjid itu pada malam hari (22-5-54 -P) rupanya hal kami telah diadukan kepada Kadzi Kuala Pilah dan Mufti N. Sembilan oleh Haji Harun Imam Masjid itu, yang akhirnya kami telah disiasat oleh pihak polis yang datang ke Madrasah kami.

Bukan itu sahaja, malah selain itu tuduhan dan cacian bukan sedikit yang dilemparkan kepada kami

Apakah erti semuanya ini, Yang Di Pertua! Maka kami sebagai seorang manusia yang berperikemanusiaan tentulah tidak selayaknya dilemparkan berbagai kekotoran keatas kami, tuan-tuan juga sebagai seorang manusia tentu akan merasai panas hati jika dibuatkan orang sedemikian. Akan tetapi kami yang mengamalkan Kitab Allah dan Rasul adalah bersikap sabar atas apa-apa jua yang mengenai kami, kami tidak akan berbuat balasan malah segala apa yang kami rasai itu tidak kami membuat pengaduan kesana kemari.

Maka dengan kejadian-kejadian yang berkaitan dengan masyarakat itulah kami membuat sikap menarik diri mendirikan Jumaat berasingan, sebagai langkah bagi mengelak perselisihan dan pergaduhan.

Selain dari itu Yang Di Pertua, inilah saya terangkan sebab-sebab yang lain pula menurut faham kami yang berpegang dengan Qur’an dan Sunnah Rasul, iaitu:-

Adapun cara-cara ibadat kami adalah berbeza dengan apa yang telah diamalkan oleh pengikut-pengikut mazhab seperti apa yang saya katakan tadi, kerana kami hanya mengamalkan apa yang diperintahkan dan diakui oleh Sunah Rasul sahaja dan kami tidak diperintahkan supaya bertaqlid kepada seorang Imam Mazhab. Oleh itu jika kami dapati ada orang yang mengamalkan Ibadat selain daripada perintah atau dilakukan Rasul, maka kami adalah memandangnya Bid’ah, sedang tiap-tiap Bid’ah itu sesat, dan tiap-tiap kesesatan itu kedalam neraka.

Maka menurut pendapat kami bahawa ibadat Jumaat yang didirikan di Masjid itu banyak dicampuri dengan perkara perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan Sahabat-sahabatnya begitu juga Imam-imam yang Empat. Kami dapati perkara perkara ibadat disitu bercampur gaul dengan bid’ah dari sejak mengambil air sembahyangnya sehinggalah sesudah salamnya, seperti membaca ussali, azan dua kali, membaca Yaa Ma’assiral Muslimin, menaikkan imam, cara-cara kuthbah dan sebagainya.

Yang demikian timbulkan suatu perasaan menurut keyakinan kami bahawa sembahyang kami tidak diyakini sahnya, dan manakala kami merasa tidak sah sembahyang tentulah kami berikhtiar bagi melangsungkan cara ibadat kami dengan sah, kerana kami hendak melakukan ibadat dengan bersih yang tidak dikotori oleh sebarang bid’ah. Kami tidak berkehendak menerbitkan pergaduhan tentang itiqad kami ini, oleh itu kami telah mengambil sikap berasingan dalam ibadat Jumaat ini ditempat yang kami pandang bersih iaitu di Madrasah yang ada itu, yang mana menurut pendapat kami atas dasar Qur’an dan Hadits boleh kami dirikan Jumaat dimana-mana jua di bumi Allah ini, kerana firman Allah di surah Al-Jum’ah itupun tidak menentukan orang mendirikan jamaah Jumaat ditempat tertentu dan berapa bilangannya.

Seperkara lagi yang patut kami terangkan bahawa masjid yang ada sekarang ini amatlah mendukacitakan, kerana pada faham kami bahawa amatlah jahatnya perkerjaan mengunci Mesjid Allah. Maka Masjid itu sebilang masa berkunci kecuali pada masa mendirikan Jumaat sahaja. Tidakah telah Allah terangkan dalam Al-Qur’an : … dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang menegah masjid-masjid Allah bahawa diperingatkan nama Allah didalamnya dan ia berusaha pada meruntuhkannya…”. Kami sekarang menjadikan, kami dirikan sembahyang pada hari dan malamnya dan juga sembahyang Jumaat.

Yang Di Pertua, maka dengan perkara-perkara yang saya terangkan itu, nyatalah bahawa saya dan orang-orang yang sefahaman dengan saya tidak mendapat persesuaian dalam mendirikan ibadat, yang demikian kami menarik diri bagi mengelak dan menjauhkan sebarang pergaduhan dan perselisihan dengan tujuan hendak menjaga keamanan dan ketenteraman dalam negeri ini.

SOAL-JAWAB MENGENAI JUMAAT

Pengenalan:-

(HG) Hashim Ghani

(M) Mufti N. Sembilan, Tuan Sheikh Haji Ahmad Bin Haji Said Linggi.

(YDP) Yang Di Pertua Jabatan Agama

M : Tuan Hashim menerangkan mengikut Al Qur’an, maka mengikut Qur’an dan Kitab-kitab yang Mu’tabar bahawa nyatalah perbuatan tuan telah keluar dari perpegangan yang sah. Rasul tidak pernah mendirikan dua Jumaat dalam satu tempat, dan menurut kitab-kitab Imam Syafie pendirian Tuan Hashim dan sahabat-sahabat tuan ini tidak sah, mengapa tuan berani keluar dari perpegangan Ulama’-ulama’ itu?

HG : Yang Di Pertua! Saya adalah mengormati pentanyaan Tuan Mufti N. Sembilan itu, maka bagi menjawabnya saya nyatakan bahawa di zaman Rasulullah orang tidak perlu mendirikan berbilang Jumaat kerana Rasul ada bersama mereka, akan tetapi mengikut perkembangan Islam yang telah meluas keseluruh dunia sekarang, tentulah mereka mustahak mengadakan tempat-tempat ibadat atau masjid mereka di mana-mana yang mereka kehendaki menurut keramaian orang, apa lagi dengan berlainan faham maka sudah tentu mereka mendirikan ibadat menurut keterangan mereka masing-masing. Yang kedua kami tidaklah pernah merendahkan dan menghina pendapat Imam-imam dan Ulama’ dahulu, akan tetapi kami hanya tidak diperintahkan bertaqlid dan menurut sahaja segala pendapat mereka.

YDP : Jadi menurut pendapat En. Hashim, bolehkah kita mendirikan masjid dan berjumaat walaupun bersempadanan pagar?

HG : Ya,walaupun bersempadanan pagar.

M : Dalam kitab Mazhab Syafie umpama Taufah dan Nihayah, maka nyatalah Tuan Hashim telah keluar dan tidak memakai kitab ini, padahal ulamak-ulamak yang besar-besar tidak ada membantah kitab ini. Dengar saya baca “…” Maka menurut kitab ini bahawa kitab Tuhfah dan Nihayah adalah benar dan bersih dari bantahan…, beribu-ribu ulamak yang mengakui kitab ini, maka kenapa tuan tidak memakainya?

HG : Tuan Mufti! Kami yang berpegang dengan Qur’an dan Sunnah tidak pernah mendapati dalam pelajaran kami supaya kami beriman dengan Kitab Tuhfah dan Nihayah, melainkan kami diperintahkan beriman dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya sahaja, tidak lain dari itu, jika benar seperti kata Tuan Mufti bahawa kitab Tuhfah dan Nihayah itu diakui kenapakah terbit mazhab yang lain? Sepatutnya semua orang Islam didunia ini hendaklah memasuki Mazhab Syafie sahaja dan memakai kitab Tuhfah dan Nihayah sahaja, tetapi kenapa tidak begitu?

M. Apa pandangan tuan, bahawa ada beribu-­ribu ulama’ yang mengambil mazhab dan mengikut Kitab-kitab Mazhab (Syafiei) ini, adakah mereka itu semuanya sesat?

HG. Saya tidak menjawab dan membalas pertanya­an ini, tetapi saya bertanya kepada tuan Mufti, apakah halnya pula beribu-ribu ulamak sebelum adanya mazhab dahulu? bukan Islamkah mereka itu? Atau adakah mereka bermazhab Syafiei? Maka sekarang saya berharap tuan Mufti membawakan keterangan dari Quran dan Hadits atau dari Imam Syafiei sendiri iaitu menyuruh ummat Islam bertaqlid dan mengambil sebarang mazhab? Dan manakah yang lebih mulia Quran dan haditskah atau Kitab Tuhfah Nihayah?

M. Tidak menjawabnya.

Y. Jadi menurut penerangan Che Hashim ber­ertilah sekarang tuan dan golongan tuan telah keluar dari mazhab Syafiei dan tidak memakai sebarang mazhab yang empat!

HG. Tuan Yang Dipertua! Kami tidak keluar dari mazhab Syafiei, kerana kami tidak pernah masuk kedalamnya, tapi kami tidak menganut sebarang mazhab kerana kami ti­dak diperentahkan berbuat demikian.

M. Saya minta tuan Hashim menerangkan, kena­pa tuan dan golongan tuan merendahkan dan dan mencaci ijtihad ulama’-ulama’ dan Imam Syafiei?

HG. Tuan Mufti NS! Saya bertanya kepada tuan Mufti, bahawa dalam masaalah apakah yang tuan dapati kami mencacinya, kerana kami tidak ada mencaci dan merendahkan Imam-imam yang mujtahid itu, harap tuan mufti beri penerangan.

M. Tidak menerangkan, tetapi melanjutkanpertanyaan.

M. Sudahkan tuan hafaz Quran 30 juzuk dan hafaz beribu-ribu hadits maka tuan hendak keluar dari mazhab?

HG. Tuan Mufti NS! Orang-orang- yang hendak beriman dengan Allah dan RasulNya tidak­lah terhenti dengan hafaz Quran 30 Juzuk dan hadits beribu-ribu baharu akan ber­iman, bahkan Allah dan RasulNya tidak membuat peraturan demikian.

M. Beribu-ribu ulamak yang besar semuanya memegang mazhab, maka kenapa tuan tidak berbuat saperti mereka itu?

HG. Tuan Mufti NS! Walaupun sebuah dunia ini orang berbuat demikian, tapi jika Allah dan RasulNya tidak perintahkan demikian maka kami tidaklah akan menurutinya.

UCAPAN DAN BIDASAN PEMERHATI:

HAJI OTHMAN B.TALIB REMBAU: Orang-orang yang bersefaham dengan Tuan Hashim ini adalah Kaum Muda, Wahaby, faham ini telah merebak dimerata Negeri ini, mereka inilah orang Khawarij, adakah patut kita biarkan merebak? Atau kita hapuskan, saya harap Pejabat Ugama hendaklah menghapus­kan faham ini, kita tidak fikir Syafiei itu membuat silap, kita diperentahkan mengikut Mazhab, lihatlah Firman Tuhan — Fas-alu ahlaz zikri … kalau tuan Hashim dan golongannya benar, cuba jawab!

HAJI OMAR SRI MENANTI (INSPECTOR ZAKAT: KUALA PILAH):Jum’at disurau itu tidak jauh dari Masjid hanya 1 batu sahaja, Cik Hashim ada menerangkan dalilnya ayat Qu­ran, saya mahu bertanya, adakah ini me­nunjukkan sahnya atau wajibnya, kami ber­pendapat bukan menunjukkan sahnya tetapi wajibnya, minta Cik Hashim jawab.

HJ. NORDIN BIN MANAF NAIB KADZI SEREMBAN: Saya berpendapat mendirikan Jum’at di­ Surau itu tentulah tidak ada alasan, tuan Mufti telah terangkan tidak boleh Jum’at dua tempat dalam satu Karyah, walhal dia membuat dengan alasan kerana muslihat diri. Pada fikiran saya, ikutlah perjala­nan yang telah dibuat oleh orang-orang dahulu, kerana kita tidak berapa kerat sahaja yang hafaz Quran, kerana ada Ha­dits … Fa kullun min man fi-ittibaa-i ilkhalaf, jangan keluar dari itu.

JAWAPAN UNTUK SEMUA:

HG: Yang Dipertua! Bahawa kami tidak akan me­layan pertanyaan-pertanyaan yang telah lalu itu, kerana kami dipanggil hanya untuk membuat penerangan, dan saya menja­wab soalan tuan Mufti NS itu adalah kera­na menghormati fikirannya, harap maklum.

KEPUTUSAN JABATAN UGAMA (DI DEWAN):

Tuan Hj. Othman bin Taat : sekarang cukuplah kita mengadakan majlis ini dan saya nyatakan bahawa saya telah menerima pengaduan (Hj. Harun) dari Kuala Pilah, dan sekarang sudahlah saya dapat tahu dengan jelasnya, dan baharu saya tahu pendirian Cik Hashim yang sebenarnya iaitu:-

Tuan dan golongan tuan telah keluar dari Mazhab Syafiei dan tuan-tuan tidak memakai salah satu dari Mazhab yang empat.

Sembahyang di Madrasah itu belum men­dapat kebenaran, dan Tauliyah Tuan ada ditangan Kadzi.

Maka sekarang kita mengambil keputusan iaitu menurut kuasa yang diberi kepada saya oleh Tuanku dan Undang, yang mana Negeri Sembilan ini mempunyai undang-undang Ugama yang bermazhab Syafiei, iaitu:

Mazhab di Negeri Sembilan ini ialah Syafiei, maka menurut undang-undangnya sembahyang di Madrasah itu tidak sah, kerana tidak boleh didirikan Masjid yang kurang dari 2 batu.

Tauliyah Tuan akan ditanya kepada Tuanku, dan harus akan diambil kembali.

Tuan tidaklah dibenarkan mengajar.

PERINGATAN:

En Malik Bin Hussin (Pembantu Hashim Ghani) tidak dibenarkan berucap.

En. Hashim membuat penerangan hanya se­bahagian sahaja, En. Hashim telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan keputusan itu. Majlis dimulai jam 10.30 hingga 11.45 pagi.

Thursday, June 23, 2011

WAHABI TETAP PILIH WAHABI.






Dr. Johari Mat senator baru wakili Kelantan

20/06/2011 3:14pm

KOTA BHARU 20 Jun - Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Datuk Dr. Johari Mat hari ini dipilih sebagai anggota Dewan Negara yang baru bagi mewakili Kelantan berkuatkuasa 7 Julai ini.

Dr. Johari dipilih menggantikan Ahmad Rusli Ibrahim yang telah tamat penggalnya sebagai senator.

Pemilihan Dr. Johari itu dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di sini yang kemudiannya disokong oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob.

Seorang lagi senator yang mewakili Kelantan ketika ini adalah seorang peguam wanita, Mumtaz Md. Nawi yang juga Naib Ketua Dewan Muslimah Pas Pusat. - Bernama


Inilah dia orang yang menjadi pilihan Nik Aziz sebagai Senator di Kelantan. Dengar baik-baik apa yang disampaikan oleh Dr Johari Mat, Senator pilihan Nik Aziz ini. Ternyata aqidah WAHABI yang dibawa oleh Muhammad Ibn Wahab dikatakan adalah aqidah yang betul malah Dr Johari Mat juga berbohong dengan mengatakan bahawa aqidah WAHABI ini sama seperti apa yang dibawa oleh Imam Abu Hasan Al-Asy'ari r.a. Nampaknya ramai pengikut-pengikut yang taksub dengan Nik Aziz masih lagi tidak membuka mata hati mereka untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh Nik Aziz untuk rakyat Kelantan. Malah disebabkan ketaksuban mereka kepada Nik Aziz sehingga mempertahankan beliau dengan mendakwa Nik Aziz beraqidah mengikut Madzhab Salafi. Salafi bukannya satu Madzhab sebagaimana yang ditulis oleh ulama Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi di dalam kitabnya yang bertajuk "As-Salafiyyah" Marhalah Zamaniyah Mubarakah La Mazhab Islami" terbitan Darul Fikr, Beirut. Malah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi menulis bahawa sesiapa yang mendakwa dirinya bermadzab Salafi adalah satu perbuatan Bida'ah kerana mereka ternyata telah memisahkan diri mereka serta memecah-belahkan jemaah Islam sehingga menyimpang dari kesepakatan ulama.
Nik Aziz sendiri dalam kuliahnya pernah mengatakan bahawa pengajian Sifat 20 yang dipelopori oleh Imam Abu Hassan Al-Asy'ari dan Maturuddiyah bukannya dari Islam seratus peratus dan ianya diceduk dari falsafah Yunani dan Greek.Sila rujuk www.youtube.com/watch?v=6ppNOHiryHM atau taip saja Nik Aziz - Sifat 20 Campuran Falsafah Yunan & Greek.
Dengan bukti video yang disampaikan oleh Dr Johari Bin Mat ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa fahaman WAHABI ingin dikembangkan oleh Menteri Besar Kelantan Nik Aziz di Kelantan walaupun terlalu banyak penafian-penafian yang dibuat oleh pengikut taksub Nik Aziz tentang fahaman WAHABI yang dianutinya.Jika apa yang saya katakan ini tidak benar, persoalannya, kenapa Datuk Johari Bin Mat yang pernah menyelewengkan kata-kata Imam Asy-Syafi'e dalam perbentangan kertas kerjanya bertajuk "Seminar Al-Imam Asy-Syafi'e" m/s 69 cetakan Karya Bestari dengan mendakwa Imam Asy-Syafi'e mengithbatkan wujud sifat al-qodam yakni kaki Allah dan sifat Asba' yakni jari Allah dilantik sebagai Senator oleh Nik Aziz.Tepuk dada tanyalah Imam dan permasalahan aqidah ini tidak ada kekhilafannya.

Monday, June 20, 2011

Majlis Pembacaan Sohih Bukhari.

Ijazah Sanad Oleh Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki.
Ijazah Dari Syeikh Muhammad Awaad Al-Manquis, Ulama dari Libya.

Sepanjang bulan Rejab yang mulia, para ulama Hadith Ahli Sunnah Wal Jamaah akan mengadakan majlis pembacaan Sohih Bukhari dengan mengkhatamkannya. Kitab yang mengandungi 7000 lebih Hadith Sohih oleh Imam Bukhari dibaca oleh penuntut ilmu di hadapan Syeikh mereka. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan ini tidak banyak dilakukan di negara kita kerana begitu kurangnya Ahli Hadith yang benar-benar mempunyai sanad dan pernah mengkhatamkan Sohih Bukhari di hadapan Masyaikh mereka.
Saya beserta dengan dua orang anak saya amat bersyukur kerana bertemu dengan seorang Muhadith yang begitu 'alim dalam ilmu Hadith yang telah mengadakan majlis bacaan Sohih Bukhari ini dan seterusnya mengkhatamkannya dalam 40 majlis bacaan. Tuan Guru Muhadith Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki telah memulakan majlis seumpama ini di negara ini dan juga telah berkenan untuk mengijazahkan sanad kepada mereka yang duduk dalam majlis yang diadakannya.
Majlis Pembukaan Pembacaan Sohih Bukhari telah diadakan pada 29 Mei 2011 di Masjid Taman TAR, Ampang dan selebihnya bacaan telah diadakan di Pusat Pengajian Darul Maliki, Ampang. Majlis khatam Sohih Bukhari telah diadakan di Yayasan Sofa, Rembau pada 18 Jun 2011 dan ijazah telah dikeluarkan oleh seorang Muhadith dari Libya iaitu Syeikh Muhammad Awaad Al-Manqush. Seterusnya satu lagi majlis khatam Sohih Bukhari telah diadakan di Darul Mailki pada 19 Jun 2011 dan majlis pengijazahan telah disempurnakan oleh Tuan Guru Muhadith Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Majlis khatam seterusnya juga akan diadakan di Masjid Negara pada 26 Jun 2011 anjuran Yayasan Sofa dan JAWI. Sesungguhnya majlis yang penuh dengan keberkatan ini amatlah baik dan satu amalan yang begitu mulia kerana Kitab Sohih Bukhari merupakan kitab yang begitu agong dan menjadi sandaran umat Islam kerana terlalu banyak Hadith-Hadith yang memberi pengajaran, kesedaran, kemuliaan dan sebagainya kepada umat Islam. Saya beserta anak-anak yang mengikuti program ini, berdoa kepada Allah Yang Maha Esa agar Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki beserta dengan Masyaikh Tuan Guru yang mulia ini diberi kerahmatan, kemuliaan, kesihatan dan segala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya kerana usaha Tuan Guru yang mulia ini tanpa henti, bosan atau penat telah menunjukkan kami ke jalan menggapai nikmat Allah swt. Tidak ada nilainya baik dari segi wang ringgit, harta atau apa sahaja untuk kami membalas jasa Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki yang setiap detik terus mencurahkan ilmunya kepada kami.Hanya doa kepada Allah swt yang dapat kami panjatkan agar Tuan Guru yang mulia ini diberi ganjaran tertinggi oleh Allah swt dengan kegigihannya menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. untuk jalan menuju kepada Allah swt.

Saturday, June 4, 2011

Persoalan WAHABI - Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.


Pertanyaan ku kepada Al-Fadhil Tuan Syeikh Nuruddin.

Jawapan dari Tuan Syeikh Nuruddin.

Persoalan tentang WAHABI yang ku lontarkan kepada Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki dijawab dengan begitu jelas sekali oleh beliau. Sememangnya aku menunggu-nunggu peluang untuk bertanyakan soalan kerana di masjid tempat Syeikh Nuruddin berceramah ini ada terdapat ramai golongan-golongan Wahabi yang cuba menunjukkan kepandaian mereka mengeluarkan hukum konon-kononnya mereka sebagai pemurni aqidah umat Islam. Malah Imam masjid tersebut juga seolah-olah meniru gaya tokoh Wahabi sehinggakan bacaan dan gerakannya dalam solat pun dah macam Wahabi juga.Yang peliknya kenapa tokoh-tokoh Wahabi diambil sebagai idola mereka?
Seperkara lagi, persoalan yang ku lontarkan disebabkan masjid ini telahpun dikuasai oleh pihak yang taksub dengan Tok-Tok Guru mereka sehinggakan kebanyakan penceramah yang dijemput adalah dari mereka yang menyokong perjuangan politik mereka. Begitu juga dengan para jemaahnya yang tidak pernah mendapat pendedahan tentang kemungkaran Wahabi ini kerana tidak ada penceramah yang membangkitkan hal sedemikian. Maka dengan itu saya merasakan perlunya jemaah masjid didedahkan dengan fahaman Wahabi ini yang semakin hari semakin merebak disebabkan kurangnya penguatkuasaan dilakukan ke atas mereka.

Wednesday, June 1, 2011

Amalan Bulan Rejab.

Alhamdulillah apabila kita masih lagi bernafas untuk meneruskan sisa-sisa hidup ini dan terus mengabdikan diri kepada Allah swt. Antara sedar dan tidak, kita telah pun melangkah ke bulan Rejab, iaitu satu bulan yang dimuliakan oleh Allah dan RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.
Sepanjang bulan Rejab, kebanyakan ulama-ulama Hadith akan mengadakan majlis khatam Sohih Bukhari bersama-sama penuntut ilmu. Ia seumpama majlis khatam Al-Quran yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan pada saban tahun.
Sebahagian ulama-ulama mengatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan untuk kita bertaubat dengan memperbanyakkan beristighfar dan ada juga yang mengatakan bahawa Rejab adalah untuk meninggalkan segala kejahatan dan kerosakan. Syeikh Abu Bakar al Warraq berkata bahawa Rejab adalah bulan menanam, sementara Sya'ban adalah bulan menyiram dan Ramadhan adalah bulan menuai. Rasulullah s.a.w. senantiasa berdoa apabila datangnya bulan Rejab dengan berkata, "Ya Allah, Berkatilah kami pada bula Rejab dan Sya'ban serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan" -Riwayat Anas.
Bersyukur saya dan anak-anak apabila menerima ijazah dari seorang Muhadith yang begitu 'alim untuk kami beramal dengan kandungan buku kecil yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Al-Muhadith Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki ini sewaktu kami menghadiri majlis pengijazahan amalan ini.Sesungguhnya amalan bersanad ini amat-amat dicari oleh setiap mereka yang suka melakukan amal-amal yang baik dengan mengharapkan keredhaan dari Allah swt.