Wednesday, June 1, 2011

Amalan Bulan Rejab.

Alhamdulillah apabila kita masih lagi bernafas untuk meneruskan sisa-sisa hidup ini dan terus mengabdikan diri kepada Allah swt. Antara sedar dan tidak, kita telah pun melangkah ke bulan Rejab, iaitu satu bulan yang dimuliakan oleh Allah dan RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w.
Sepanjang bulan Rejab, kebanyakan ulama-ulama Hadith akan mengadakan majlis khatam Sohih Bukhari bersama-sama penuntut ilmu. Ia seumpama majlis khatam Al-Quran yang diadakan sepanjang bulan Ramadhan pada saban tahun.
Sebahagian ulama-ulama mengatakan bahawa bulan Rejab adalah bulan untuk kita bertaubat dengan memperbanyakkan beristighfar dan ada juga yang mengatakan bahawa Rejab adalah untuk meninggalkan segala kejahatan dan kerosakan. Syeikh Abu Bakar al Warraq berkata bahawa Rejab adalah bulan menanam, sementara Sya'ban adalah bulan menyiram dan Ramadhan adalah bulan menuai. Rasulullah s.a.w. senantiasa berdoa apabila datangnya bulan Rejab dengan berkata, "Ya Allah, Berkatilah kami pada bula Rejab dan Sya'ban serta panjangkanlah umur kami hingga sampai ke bulan Ramadhan" -Riwayat Anas.
Bersyukur saya dan anak-anak apabila menerima ijazah dari seorang Muhadith yang begitu 'alim untuk kami beramal dengan kandungan buku kecil yang dikeluarkan oleh Tuan Guru Al-Muhadith Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki ini sewaktu kami menghadiri majlis pengijazahan amalan ini.Sesungguhnya amalan bersanad ini amat-amat dicari oleh setiap mereka yang suka melakukan amal-amal yang baik dengan mengharapkan keredhaan dari Allah swt.

No comments: