Monday, June 20, 2011

Majlis Pembacaan Sohih Bukhari.

Ijazah Sanad Oleh Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki.
Ijazah Dari Syeikh Muhammad Awaad Al-Manquis, Ulama dari Libya.

Sepanjang bulan Rejab yang mulia, para ulama Hadith Ahli Sunnah Wal Jamaah akan mengadakan majlis pembacaan Sohih Bukhari dengan mengkhatamkannya. Kitab yang mengandungi 7000 lebih Hadith Sohih oleh Imam Bukhari dibaca oleh penuntut ilmu di hadapan Syeikh mereka. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan ini tidak banyak dilakukan di negara kita kerana begitu kurangnya Ahli Hadith yang benar-benar mempunyai sanad dan pernah mengkhatamkan Sohih Bukhari di hadapan Masyaikh mereka.
Saya beserta dengan dua orang anak saya amat bersyukur kerana bertemu dengan seorang Muhadith yang begitu 'alim dalam ilmu Hadith yang telah mengadakan majlis bacaan Sohih Bukhari ini dan seterusnya mengkhatamkannya dalam 40 majlis bacaan. Tuan Guru Muhadith Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki telah memulakan majlis seumpama ini di negara ini dan juga telah berkenan untuk mengijazahkan sanad kepada mereka yang duduk dalam majlis yang diadakannya.
Majlis Pembukaan Pembacaan Sohih Bukhari telah diadakan pada 29 Mei 2011 di Masjid Taman TAR, Ampang dan selebihnya bacaan telah diadakan di Pusat Pengajian Darul Maliki, Ampang. Majlis khatam Sohih Bukhari telah diadakan di Yayasan Sofa, Rembau pada 18 Jun 2011 dan ijazah telah dikeluarkan oleh seorang Muhadith dari Libya iaitu Syeikh Muhammad Awaad Al-Manqush. Seterusnya satu lagi majlis khatam Sohih Bukhari telah diadakan di Darul Mailki pada 19 Jun 2011 dan majlis pengijazahan telah disempurnakan oleh Tuan Guru Muhadith Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki. Majlis khatam seterusnya juga akan diadakan di Masjid Negara pada 26 Jun 2011 anjuran Yayasan Sofa dan JAWI. Sesungguhnya majlis yang penuh dengan keberkatan ini amatlah baik dan satu amalan yang begitu mulia kerana Kitab Sohih Bukhari merupakan kitab yang begitu agong dan menjadi sandaran umat Islam kerana terlalu banyak Hadith-Hadith yang memberi pengajaran, kesedaran, kemuliaan dan sebagainya kepada umat Islam. Saya beserta anak-anak yang mengikuti program ini, berdoa kepada Allah Yang Maha Esa agar Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki beserta dengan Masyaikh Tuan Guru yang mulia ini diberi kerahmatan, kemuliaan, kesihatan dan segala kebaikan di sisi Allah dan RasulNya kerana usaha Tuan Guru yang mulia ini tanpa henti, bosan atau penat telah menunjukkan kami ke jalan menggapai nikmat Allah swt. Tidak ada nilainya baik dari segi wang ringgit, harta atau apa sahaja untuk kami membalas jasa Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki yang setiap detik terus mencurahkan ilmunya kepada kami.Hanya doa kepada Allah swt yang dapat kami panjatkan agar Tuan Guru yang mulia ini diberi ganjaran tertinggi oleh Allah swt dengan kegigihannya menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. untuk jalan menuju kepada Allah swt.

No comments: