Monday, November 7, 2011

Aidil Adha Bersama Ulama Hadith.

Al-Musnid Muhadith Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki berkhutbah.
TG Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki dikerumuni oleh jemaah selepas selesai berkhutbah.

Sambutan Aidil Adha pada tahun ini begitu bermakna sekali bagi saya dan keluarga apabila berpeluang untuk bersama-sama seorang ulama Hadith yang disegani di Masjid Darul Ehsan Taman TAR, Ampang Selangor. Sejak awal pagi lagi saya sudah bertolak untuk ke Masjid Darul Ehsan apabila mendapat berita bahawa khutbah Hari Raya Aidil Adha akan disampaikan sendiri oleh Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki. Sememangnya penyampaian khutbahnya tanpa teks itu meninggalkan satu kesan yang amat mendalam ke benak hati jemaah yang hadir sehinggakan ramai di antaranya tidak dapat menahan sebak dan menangis dikala mendengar penyampaian khutbah dari Tuan Guru Syeikh Fuad al-Maliki.
Di antara intipati khutbahnya, beliau berpesan agar kita mencontohi Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. agar tidak mendoakan kebinasaan terhadap orang lain walaupun seseorang itu adalah ahli maksiat.Pengajaran kisah Nabi Ibrahim a.s. yang terpaksa membayar kaffarah sehinggakan diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. menjadi pengajaran kepada seluruh jemaah yang hadir yang tidak pernah diceritakan oleh mana-mana khatib pun tentang sejarah yang berlaku kepada Nabi Ibrahim a.s. Kebanyakan khatib hanyalah akan menceritakan tentang kisah penyembelihan Nabi Ismail a.s. tetapi hakikat sebenar perintah itu diturunkan tidak pernah disampaikan oleh khatib-khatib yang membaca khutbah.
Tuan Guru Syeikh Fuad al-Maliki juga meminta agar semua umat Islam bersatu dengan aqidah yang sahih yakni aqidah yang disepakati oleh majoriti ulama mengikut aqidah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda.Tuan Syeikh juga bercerita bagaimana pengorbanan Nabi Muhammad s.a.w. pada 10 Zulhijjah, bermunajat di Padang Arafah agar umatnya diampunkan dosa mereka oleh Allah swt tetapi malangnya ramai di kalangan umat Islam yang tidak menghargai pengorbanan Nabi s.a.w. malah ada yang sanggup merendahkan darjat Nabi s.a.w. ke tahap manusia biasa dan ada yang sanggup menghina keturunan Rasulullah s.a.w. sendiri. Sesungguhnya penyampaian khutbah sebegini tidak terdapat di mimbar-mimbat masjid yang lain kerana kebanyakan khatib-khatib hanyalah membaca khutbah, bukan menyampaikannya dan ianya dibaca adalah disebabkan tugasan.Maka tidak hairanlah apabila kita sering melihat, ramai di antara jemaah akan tertidur atau merasa bosan apabila khutbah yang dibaca tanpa ada keikhlasannya.Namun begitu tidak semua khatib-khatib seperti itu tetapi hakikatnya jika khutbah itu hanyalah dibaca sebagai pelengkap kepada rukun sahnya solat Hari Raya tersebut, maka ianya gagal untuk menarik orangramai mendengarnya apatah lagi nuntuk memahami dan mengambil iktibar dari bacaan khutbah tersebut.

No comments: