Tuesday, November 8, 2011

Khianat Amanah.

Aidiladha sudah dua hari berlalu tetapi saya sering ditanya oleh masyarakat yang mendiami blok saya dengan pertanyaan,"Tahun ini, Masjid Ar-Rahimah Kg. Pandan tak ada agihkan kupon ke untuk ahli kariah mengambil daging?" Setiap kali saya keluar dari rumah dan bertemu dengan orangramai dari blok saya, itulah pertanyaan yang diajukan kepada saya.Maka saya menjawab, rujuklah dengan Ketua Blok jika ada kupon untuk mengambil daging korban diserahkan kepada beliau.Namun jawapan mereka ialah,"Ketua Blok sendiri pun tak dapat kupon dan tak pernah dipanggil untuk mengambil kupon." Salah seorang darinya berkata, dia telahpun menalipon ke pejabat masjid untuk bertanyakan hal ini dan pegawai masjid berkata, kupon telahpun diserahkan kepada Persatuan Penduduk Blok E tetapi mana kuponnya untuk penduduk Blok E15???
Sebenarnya saya tidak berminat lagi untuk menulis perihal masjid ini, namun apabila pertanyaan demi pertanyaan diajukan oleh orangramai kepada saya, maka terpaksalah saya mengulasnya di sini.Sememangnya saban tahun, saya sering diamanahkan untuk mengagih-agihkan kupon kepada penduduk di blok saya tetapi tidak pada tahun ini.Selalunya saya akan naik satu rumah ke satu rumah untuk menyerahkan kupon tersebut dan saya juga meletakkan notis di papan kenyataan blok agar mereka yang belum mendapatkan kupon bolehlah mendapatkannya dari rumah seorang jiran saya yang senantiasa 24 jam berada di rumah.Ini memudahkan mereka mendapatkan kupon setiap kali turun dari tangga kerana rumah tersebut di tingkat bawah dan menjadi laluan orangramai.Maka tidak hairanlah jika orangramai akan bertanya kepada saya tentang kupon tersebut dan saya juga musykil takut-takut ada yang beranggapan saya telah mengkhianati amanah yang diberi sedangkan pada tahun ini tidak ada penyerahan kupon daging korban yang diberikan kepada saya.
Timbul persoalan di sini, siapakan yang telah mengkhianati amanah tersebut???Ini bukanlah isu besar tentang mendapatkan sepotong-dua daging korban tetapi ia berhubung-kait dengan soal menjalankan amanah yang dipikul.Bagi pihak masjid, mereka telahpun menyerahkannya kepada Persatuan Penduduk Blok E tetapi siapakah dia yang memikul amanah tersebut???Blok E15 hanya terletak lebih kurang 150 meter sahaja dari masjid tetapi bagaimana perkara sebegini yang melibatkan soal amanah boleh berlaku???Nampaknya pihak yang memegang amanah tersebut samada pihak masjid ataupun Persatuan Penduduk Blok E terpaksa menjawab kepada seluruh penduduk Blok E15 yang dihuni lebih seratus orang.
Sememangnya dulu, saya adalah jemaah tetap di masjid ini tetapi disebabkan saya lebih banyak menumpukan pengajian saya di Bayt Al-Hikmah Ampang serta sering juga mengikuti program pengajian dan ceramah oleh sahabat saya Ustaz Zamihan al-Ghari maka saya hanya dapat berjemaah di masjid ini dalam Solat fardhu Subuh sahaja.Amatlah malang sekali, jika pihak Masjid Ar-Rahimah begitu gah dengan penyembelihan 19 ekor lembu pada tahun ini tetapi tidak secubit daging pun yang dapat dirasai oleh anak kariah Blok E15. Sekali lagi saya nyatakan di sini, ia bukanlah masalah mendapatkan daging kerana saban hari penduduk di sini mampu untuk membeli daging-daging di pasar TETAPI ianya melibatkan soal AMANAH yang akhirnya menjadi fitnah pada persepsi masyarakat bahawa pihak masjid sebenarnya telah gagal menjalankan amanah walaupun alasan yang diberi dengan menyatakan bahawa kupon telah diserahkan kepada Persatuan Penduduk Blok E. Adalah diharap pihak Masjid Ar-Rahimah lebih berhati-hati selepas ini agar perkara yang dianggap kecil sebegini tidak menjadi fitnah orangramai sehinggakan kepercayaan orangramai akan terhakis dek perkara kecil sebegini. Saya juga menyusun jari sepuloh memohon ampun dan maaf kerana tulisan ini bukanlah untuk mengaitkan kesalahan kepada pihak masjid tetapi ia adalah sekadar satu peringatan agar lebih bertanggung-jawab dalam melaksanakan amanah yang diberi dan pihak masjid juga bolehlah merujuk kepada Persatuan Blok E jika benar amanah itu telahpun diserahkan kepada mereka.

No comments: