Monday, December 31, 2012

Tahun Baru 2013.

Bersama Al-Faqir dan anak-anak dalam majlis berselawat dan lantunan Qasidah memuji Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam sebagai hiburan alternatif sempena menyambut Tahun Baru 2013.Jauhilah segala program-program maksiat yang banyak melalaikan umat Islam dari mengingati Allah seumpama hiburan-hiburan yang melalaikan dipersembahkan oleh beberapa artis tempatan atau luar Negara kerana ia hanyalah mengundang kemurkaan Allah swt.Umat Islam wajib menjadikan Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam sebagai Idola mereka kerana Baginda Nabi adalah insan yang paling sempurna sekali yang akan menyelamatkan kita dengan syafa'atnya di akhirat nanti dan bukannya artis-artis yang hanya membawa umat Islam ke lembah yang akan dihina oleh Allah serta dilaknat oleh semua makhluk-makhluk Allah yang lainnya dengan hiburan-hiburan yang tidak mengikut batasan syarak seumpama pencampuran lelaki dan wanita, aurat didedahkan dan sebagainya bentuk kemaksiatan sehingga boleh membuatkan umat Islam hanyut dan akhirnya solat berjemaah di masjid dan surau tidak dihadiri, malah lebih ramai yang sanggup meninggalkan kefardhuan solat demi mengikut hawa nafsu bisikan Iblis Laknatullah.Semoga kita dijauhi oleh program-program yang tidak langsung memberi menafaat kepada kita sebagai umat manusia yang dimuliakan oleh Allah namun kita sendiri yang merendahkan kemuliaan kita sehingga menjadi sesat dan lebih sesat lagi dari binatang-binatang ternakan sebagaimana yang diperumpamakan oleh Allah dalam firmannya dalam Al-Quran.

Sunday, December 23, 2012

Tazkirah Juma'at di Masjid Ar-Rahah.

Pada 7 Safar 1434H bersamaan 21 Disember 2012, Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah Juma'at di Masjid Ar-Rahah Bangsar South City, sebuah masjid baru yang cukup cantik dan begitu indah sekali.Al-Faqir sampai di Masjid Ar-Rahah pada jam 12.00 tengahari dan diminta untuk memulakan tazkirah pada jam 12.30 tengahari.Apa yang menyedihkan ialah, pada jam 12.30 tengahari, masih belum ada lagi jemaah yang kelihatan, maka Al-Faqir tangguhkan sehingga jam 12.45 tengahari dengan kehadiran beberapa jemaah yang memasuki masjid untuk menunaikan Solat Juma'at yang akan didirikan.Persoalannya, kenapakah dengan sikap umat Islam yang tinggal berhampiran masjid tersebut amat berkira-kira untuk datang awal ke masjid?Maka Al-Faqir menyampaikan tazkirah yang berkaitan dengan pengorbanan masa kita untuk ke rumah Allah berbanding dengan pengorbanan kita untuk perkara-perkara yang tidak langsung mendapat keredhaan Allah yang lebih kita utamakan.Al-Faqir menyebut beberapa contoh seumpama umat Islam lebih awal untuk datang ke tempat kerja semata-mata takutkan kepada makhluk, lebih awal jika ke stadium bolasepak untuk menyaksikan perlawanan bola, lebih awal untuk hadir ke konsert-konsert yang melalaikan, lebih awal untuk bertemu dengan gadis yang diidam-idamkannya tetapi umat Islam seolah-oleh tidak suka berinteraksi bersama Allah, tidak suka untuk duduk di dalam rumah Allah yang penuh barakah dan sebagainya.Semoga perkongsian Al-Faqir kepada seluruh jemaah yang hadir akan memberi kesedaran walaupun bukan kepada semua jemaah, namun setiap umat Islam perlu melihat perkara ini jika benar-benar kita menjadi hamba Allah yang patuh dengan segala suruhanNya dan merasa seronok untuk bersama-sama Allah.

Monday, December 17, 2012

Bersedekahlah Demi Allah.

Kita tidak mampu untuk melakukan amal ibadat seumpama Solat sunat, puasa sunat dan sebagainya dengan banyak sebagaimana yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu.Begitu juga, kita tidak mampu untuk menjadi seorang pendakwah yang senantiasa menebarkan ilmunya kepada seluruh masyarakat, malah untuk menjadi seorang penuntut ilmu yang senantiasa istiqamah dalam menuntut ilmu juga, akan ada keterbatasannya disebabkan beberapa faktor seumpama sibuk dengan urusan yang lain, kemalasan diri kita sendiri, kesihatan yang terganggu dan asbab-asbab yang lain juga.Maka salah satu caranya untuk kita mendapatkan ganjaran dari Allah SWT yang mana timbangannya kekal sehingga ke hari akhirat ialah dengan melakukan infaq ataupun bersedekah ke jalan yang diredhaiNya.Al-Faqir dengan rendah hati menyeru semua umat Islam agar dapat sama-sama membantu untuk merealisasikan pembinaan Kompleks Darul Hadits yang akan menempatkan sejumlah besar penuntut-penuntut ilmu yang akhirnya apabila mereka menjadi penyebar ilmu Allah, akan memberi menafaat jua kepada kita yang menginfaqkan sedikit sumbangan dan janji Allah, ianya berkekalan sampai ke hari kiamat.Syukran Jazakamullah kepada penderma-penderma yang bermurah hati memberikan sumbangan kepada perancanaan yang ingin dijayakan, hanya Allah sahajalah yang akan membalas segala kebaikan kita semua.

Saturday, December 1, 2012

Adab-Adab Menuntut Ilmu - CINTA ILMU.

Alhamdulillah, setelah selesai rakaman program terbitan TV al-Hijrah bertajuk "Peranan Ulama Dan Pendakwah" bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin, Al-Faqir turut bersama secara "live" program Cinta Ilmu bertajuk "Adab-Adab Menuntut Ilmu".Ternyata penyampaian Tuan Guru Syeikh Nuruddin amat memberi kesedaran kepada kami yang sering bersama Tuan Guru sebagai penuntut ilmu agar apa yang kami terima mendapat keberkatan dari Allah SWT.Semoga segala kalam dari mulut Ulama tersohor ini dapat pula Al-Faqir amalkan dan sebarkan kepada mereka yang menuntut ilmu dari Al-Faqir dalam pengajian-pengajian Al-Faqir di beberapa masjid dan surau di sekitar Lembah Kelang.Syukran Jazakumullah, Tuan Guru Syeikh Nuruddin kerana terlalu banyak ilmu yang bermenafaat disampaikan kepada kami sebagai penuntut ilmu.

Friday, November 30, 2012

Kelebihan Menuntut Ilmu - Tuan Guru Syeikh Nuruddin.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, Al-Faqir dapat bersama Tuan Guru yang dikasihi dalam program terbitan TV al-Hijrah, "Cinta Ilmu" yang disiarkan secara "live" pada 29 November 2012, Khamis bermula jam 6.15 petang hingga jam 7.00 petang.Sesuatu pengalaman yang amat berharga apabila pihak TV al-Hijrah memilih Al-Faqir untuk mengajukan beberapa soalan yang datangnya melalui laman social facebook "Cinta Ilmu" dan juga soalan dari penonton.Semoga dengan adanya program berilmiah sebegini akan memberi kesedaran kepada semua masyarakat, betapa pentingnya menuntut ilmu secara bertalaqi dengan Guru serta bersanad dalam mengambil sesuatu ilmu atau amalan.

Thursday, November 22, 2012

Bersama Dato' Hj Ismail Kamus.

Dijemput semua muslimin dan muslimat untuk hadir beramai-ramai, Ceramah Perdana bersama Dato' Hj Ismail Kamus dan persembahan rangkaian Qasidah bersama Al-Faqir.

Wednesday, November 21, 2012

Doa Kemusnahan Sesama Islam.

Ramai yang berntanya kepada Al-Faqir, perbuatan yang dilakukan oleh beberapa pihak yang berdoa untuk kehancuran dan keburukan saudara yang seagama dengan mereka yakni sesama Islam.Perbuatan seumpama ini bukan hanya sekali dilakukan, namun untuk mencapai maksud agar dapat berkuasa sebagai pemimpin, maka ada pihak-pihak yang mengharuskan perbuatan mereka ini.Berebut kuasa dalam dunia yang fana' ini sememangnya menjadi cita-cita bagi golongan orang-orang politik samada dari kalangan orang awam ataupun yang berlatar-belakangkan pendidikan agama.Matlamat mereka hanya satu, untuk berkuasa dan dapat bertindak dengan kuasa yang ada agar keinginan bisikan nafsu dapat dipenuhi sehinggakan menghalalkan apa jua perlakuan mereka dan akhirnya menjadi contoh yang buruk kepada orang lain. Untuk menjawab segala persoalan yang sering diajukan kepada Al-Faqir sewaktu Al-Faqir mengadakan majlis pengajian dan jawapan Al-Faqir jelas, yakni setiap umat Islam inginkan agar dipermudahkan oleh Allah SWT untuk berjalan menempuh liku-liku ke akhirat iaitu alam yang kekal abadi dan bukannya jalan menuju Putrajaya.Maka Al-Faqir membaca doa untuk semua pemimpin yang ada di Negara kita ini agar Allah SWT menunjukkan jalan kebaikan kepada mereka dan dapat mengurus-tadbirkan Negara ini dengan baik mengikut apa yang telah digariskan dalm panduan Al-Quran dan Hadis.
Nasihat Hujatul Islam Imam al-Ghazaly RHM.
Doa Al-Faqir Untuk Semua Pemimpin Negara.

Tuesday, November 20, 2012

Cinta Ilmu Bersama Ulama Tersohor Nusantara.

Bermula 15 November 2012, TV al-Hijrah akan menyiarkan secara "live" program "Cinta Ilmu" bersama Ulama Tersohor Nusantara, Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.Program terunggul ini disiarkan pada setiap Hari Khamis Dan Jumaat pada jam 6.15 petang - 7.00 petang, manakala pada Hari Sabtu dan Ahad akan ke udara bersama Dr Zulkifki al-Bakri. Al-Faqir terlibat secara langsung dalam merealisasikan program ini di mana beberapa soalan tentang Fiqh Syariah akan disediakan dan dibaca oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj Joll disamping beberapa soalan dari para penonton.Semoga dengan adanya program yang baik seumpama ini, akan membuka mata masyarakat Islam untuk bermujahadah menuntut ilmu sebagaimana yang disebut oleh Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam dalan sebuah Hadis yang bermaksud,"Menuntul Ilmu Itu Satu Kefardhuan Bagi Setiap Orang Islam".

Friday, November 16, 2012

Ceramah Perdana Ma'al Hijrah 1434.

Alhamdulillah, selepas program Cinta Ilmu episod yang pertama bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin di TV al-Hijrah, Al-Faqir menunaikan pula tanggung-jawab di atas jemputan AJK Masjid Ittifaqiyah Taman Sri Gombak untuk menyampaikan Ceramah Perdana sempena Maal Hijrah 1434.Disamping mengimbau kembali pengorbanan Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam yang mengembangkan Islam walaupun tarikh Muharram bukanlah disebabkan penghijrahan Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam berlaku kerana peristiwa hijrah tersebut berlaku pada bulan Rabiulawal, namun banyak peristiwa-peristiwa yang boleh dikaitkan dengannya.Maka Al-Faqir mengaitkan tentang penyatuan umat ketika itu dan sewajibnya semua umat Islam yang ada juga bersatu tanpa perlu memikirkan tentang ideologi yang dibawa.Salah satu ucapan Al-Faqir ialah, "Tidak ada satu pun bendera yang ada di atas mukabumi ini, di mana umat Islam akan bernaung di bawahnya kecuali Bendera Kepujian, "Liwaa-Ul-Hamdi" yang berada pada kedua-dua tangan Nabi Shallahu Alayhi Wassalam, maka di sana nantilah kita semua akan bernaung.Selain itu Al-Faqir juga mengajak jemaah agar menghijrahkan diri, daripada jahil kepada berilmu, daripada bakhil kepada pemurah, daripada yang sering solat sendirian agar hadir untuk berjemaah dan sebagainya.Beberapa lagi perkara yang disentuh adalah untuk kebaikan umat, semoga Allah jualah yang akan melimpahkan rahmatNya kepada kita semua selagi hambaNya terus menyerahkan diri dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.

Sambutan Ma'al Hijrah 1434 Bersama Ulama Nusantara.

Tuesday, November 13, 2012

Tausiyah Awal Muharram 1434H, Surau An-Nur.

Sambutan Awal Muharram 1434H Di Surau An-Nur.

Alhamdulillah, Al-Faqir sekeluarga dapat menyempurnakan Majlis Sambutan Maal Hijrah di Surau An-Nur Bandar Saujana Putra dimulai dengan penyampaian Tausiyah oleh Al-Faqir sendiri selepas Solat Maghrib, kemudian diikuti dengan bacaan rangkaian Qasidah dan Bacaan Maulid Ad-Diba'ie selepas Solat Isya'. Semoga Allah memberkati usaha kami sekeluarga dan memberi kerahmatan kepada para jemaah yang hadir untuk merealisasikan majlis yang penuh dengan keberkatan untuk terus berselawat ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad Shallallahu Alayhi Wassalam.

Monday, November 5, 2012

Sedutan Kuliah Maghrib - Jangan Sakiti Hati Ibu Kita.

Kuliah Maghrib Al-Faqir di Madrasah al-Huda Taman Keramat pada 20 Zulhijjah 1433H menyentuh tentang sikap beberapa pihak yang cuba memperlekehkan beberapa amalan yang telahpun disepakati oleh jumhur Ulama sehinggakan perkataan mereka boleh menyakitkan hati seorang Ibu yang telahpun dijemput oleh Allah swt.Akibat jahil tentang urusan agama, maka perkataan-perkataan yang dilontarkan juga menunjukkan betapa sombongnya mereka dan tidak pernah mengambil iktibar dengan apa yang telah mereka saksikan di hadapan mata mereka sendiri bahawa kematian itu satu janji Allah yang tidak dapat semua hambaNya terpaksa menghadapinya. Amat malang sekali jika ada di antara kaum kerabat kita sendiri yang bersikap sedemikian dan ianya juga akan mengguris hati orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dengan keyakinan yang tinggi bahawa setiap hamba Allah yang dijemput oleh Allah mendengar dan mengetahui perbuatan kita di atas mukabumi ini.Luahan Al-Faqir ini adalah untuk memberi kesedaran kepada mereka-mereka yang merasa diri mereka hebat kerana dengan perasaan yang bongkak, sanggup berhujah dengan akal yang mengikut kata hawa nafsu tanpa bersumberkan ilmu.Semoga ianya memberi pencerahan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggung-jawab agar lebih berhati-hati dalam melontarkan kata-kata dan ianya juga sebagai panduan kepada jemaah yang mengikuti kuliah yang disampaikan.Semoga Allah merahmati kita semua dan membuka hati-hati serta menahan lidah-lidah mereka yang berkata sesuatu yang tidak selayaknya untuk seorang insan yang telahpun banyak berkorban untuk kita semua.

Monday, October 29, 2012

Ubah Adat Tradisi.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah dengan segala nikmat yang tidak terhitung banyaknya dikecapi oleh hamba-hambaNya.Nikmat yang begitu berharga iaitu nikmat Imam dan Islam dan juga nikmat menjadi umat Nabi Muhammad Shallallahu Alayhi Wassalam. Begitu juga Al-Faqir merasa satu kenikmatan apabila dijemput oleh beberapa pihak untuk berqasidah sebagai Mahabah kepada Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.Kumpulan qasidah yang terdiri daripada empat orang yang merupakan anak-anak Al-Faqir sering diundang ke majlis cukur rambut dan majlis Walimatulurus kerana masyarakat kini mula melihat betapa pentingnya qasidah-qasidah yang memuji Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam dilantunkan.Amat malang apabila kebanyakan majlis Walimatulurus hari ini lebih menjurus kepada hiburan-hiburan yang melalaikan seperti berkaraoke dan masyarakat kita juga seolah-olah sudah dididik dengan budaya dari Barat yang tidak memberi apa-apa menafaat sekalipun. Pada hari ini, masyarakat Melayu seolah-olah hanya mengikut adat tradisi di mana, apabila ingin mengadakan Walaimatulurus, pasti pada malam harinya diadakan majlis bacaan Yassin dan tahlil arwah.Timbul persoalan juga di sini, siapakah yang hendak ditahlilkan dalm majlis yang sepatutnya semua orang bergembira.Maka dengan itulah Al-Faqir cuba mengubah tradisi masyarakat Melayu dengan membaca bacaan-bacaan Maulid menandakan kesyukuran kerana perkahwinan merupakan satu sunnah Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.Adakalanya kefahaman masyarakat kita yang sudah sebati dengan adat amat payah untuk dikikis dan lebih malang lagi, selepas sahaja bacaan Yassin dan tahlil diadakan, maka mereka akan berkaraoke pula dengan lagu-lagu yang tidak langsung memberi menafaat.Apakah itu caranya mereka memohon keberkatan majlis dari Allah swt?Begitu juga dengan adat-adat perkahwinan yang kebanyakkannya diambil dari adat agama Hindu sehinggakan berlakunya tasyyabuh, meniru cara agama yang tidak diredhai oleh Allah swt.Semoga umat Islam akan celik mata hati mereka agar mengubah adat tradisi yang sudahpun diwarisi turun temurun dan beralihlah kepada acara-acara yang lebih memberi menafaat kepada kita sendiri.

Sunday, October 28, 2012

Buku Terbaru Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Syukran Jazakallah diucapkan kepada Al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll yang menghadiahkan buku berharga ini kepada Al-Faqir sebaik sahaja ia diterbitkan.Sesungguhnya buku yang mengandungi persoalan Aqidah, Fiqah, Tasawwuf dan Umum ini amat dinanti-nantikan oleh semua pencinta ilmu apatah lagi segala persoalan dijawab oleh Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, seorang Ulama Nusantara yang faqeh lagi warak.Semoga Allah merahmati Al-Fadhil Ustaz Muhadir dan Tuan Guru Syeikh dalam membimbing Al-Faqir selama ini melalui ketinggian ilmunya yang diiktiraf oleh semua pihak.

Teguran Di Salah Tafsirkan.

http://hanifsalleh.blogspot.com/2011/11/khianat-amanah.html Tulisan Al-Faqir menegur sikap pihak yang diamanah untuk melaksanakan tugas telah diperdebatkan oleh pihak yang ditegur seolah-olah teguran tersebut disebabkan Al-Faqir tidak mendapat bahagian yang sepatutnya.Inilah masalahnya, apabila teguran tidak diambil iktibar dan hanya mahu didiamkan untuk menyembunyikan kesalahan mereka, maka berlakulah salah faham kenapa teguran dibuat.Al-Faqir masih ingat, sewaktu pihak JAWI mentadbir masjid dan seorang Mantan Bilal ditugaskan mengendalikan kerja sebagai Setiausaha, maka tidak timbul masalah kerana kebijaksanaan Mantan Bilal tersebut menguruskannya.Pihak2 yang berkenaan, dijemput untuk bermesyuarat dengan dihantar surat jemputan, persiapan diatur dengan baik oleh Mantan Bilal tersebut bersama-sama Ketua Imam ketika itu, Ustaz Fatah sehinggakan kesemua pihak amat berpuas-hati dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka.Keramahan sikap Mantan Bilal tersebut menyebabkan semua ahli kariah memberikan kerjasama yang penuh bagi menyempurnakan sesuatu program, apatah lagi Mantan Bilal tersebut seorang yang ringan tulang membantu penduduk jika ada sesuatu majlis diadakan.Dengan keberkatan ibadat korban yang diadakan hasil kebijaksanaan Mantan Bilal tersebut, maka terdapat begitu banyak daging-daging korban yang berlebihan setelah diagaih-agihkan kepada yang berhak dan akhirnya dapat juga dihantar ke rumah anak-anak yatim.Maka benarlah apa yang disabdakan oleh Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam yang bermaksud: "Apabila telah hilang amanah maka tunggulah saat kehancurannya. Baginda ditanya lagi ;Bagaimanakah amanah itu hilang?. Baginda menjawab; Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat kehancurannya".

Saturday, October 27, 2012

Pengajian TG Syeikh Nuruddin - November 2012.

Tambahan: Pada 4 November 2012, Tuan Guru Syeikh Nuruddin akan menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Tuesday, October 16, 2012

Tokoh-Tokoh Ulama Jawab Ustaz Zahazan..

Isu mengatakan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu Alayhi Wassalam sebelum umurnya 40 tahun sebagaimana yang ditulis oleh Ustaz Zahazan dalam sebuah majalah, kemudiannya dikatakan ianya tersalah cetak adalah satu pembohongan semata-mata.Sebelum ini sudah acapkali Ustaz Zahazan mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan kemuliaan Nabi Muhammad Shallallahu Alayhi Wassalam sehingga sanggup mengatakan bahawa Nabi Muhammad tidak beriman dan beragama sebelum diturunkan wahyu oleh Allah swt.Untuk menjawab isu yang berbangkit yang boleh membuatkan seseorang itu boleh jatuh murtad dengan kata-kata yang dilontarkan, maka Al-Faqir telah berusaha mendapatkan ilmuan Islam yang faqeh agar umat Islam tidak turut terjebak dengan penyelewengan kata-kata dari Ustaz Zahazan. Jawapan dari Ustaz Abu Syafiq untuk Ustaz Zahazan. Jawapan dari Al-Alamah Al-Faqeh Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki setelah Al-Faqir mengajukan persoalan ini kepada Tuan Guru Syeikh yang diiktiraf ke'alimannya.Semoga dengan jawapan yang disiarkan akan memberi pencerahan kepada semua umat Islam agar tidak terus menerima kata-kata seseorang yang walaupun bergelar sebagai Dr tetapi rupa-rupanya begitu buruk sekali pandangannya terhadap insan ynag peling mulia di sisi Allah iaiatu Nabi Muhammad Shallalahu Alayhi Wassalam.

Monday, October 15, 2012

Tazkirah Juma'at "Imam Itu Adalah Penjamin".

Pada 12 Oktober 2012, Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah Juma'at di Masjid Nurul Hidayah Kg. Pandan.Dalam waktu yang terbatas itu, Al-Faqir memilih perbicaraan mengenai Imam dan Makmun dalam melaksanakan solat berjemaah.Al-Faqir memulakan tazkirah dengan membaca sepotong Hadis yang maksudnya,"Imam Itu Adalah Penjamin".Maka Imamlah yang akan menentukan kesempurnaan solat jemaah yang dipimpinnya.Buktinya, apabila Makmum masbuq dan tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah, maka Imam akan menanggungnya, begitu juga jika Makmun tidak membaca tahiyyat awal, Imam juga akan menanggungnya tanpa perlu Imam melakukan sujud sahwi. Malangnya masyarakat hanya memilih Imam-Imam berdasarkan kepada kemerduan suara mereka, hafalan mereka sedangkan permasalahan hukum-hakam yang tidak dipelajari oleh Imam-Imam tidak diambil kira oleh masyarakat. Al-Faqir menegur Imam-Imam yang sering tidak mengikut panduan hukum-hakam seumpama sering meninggalkan perkara2 sunat seumpamam sunat mengangkat tangan pada empat tempat yakni ketika takbiratul-ihram, ketika ruku', Iktidal dan bangkit dari tahhiyat awal.Seringkali dilihat, Imam hanya mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram tetapi menjadi malas untuk mengangkatnya pada 3 tempat yang disunatkan.Maka belum selayaknya seseorang itu menjadi Imam jika tidak mempelajari Hadis-Hadis Nabi dan Kitab2 Fikih tentang tanggung-jawab seorang Imam memimpin solat berjemaah. Begitu juga, Al-Faqir menegur perbuatan Imam yang suka membaca surah selepas Fatihah dengan melompat-lompat.Contohnya, apabila pada rakaat pertama Imam membaca potongan dari Surah Ali-Imran, kemudian pada rakaat kedua membaca Surah At-Tin sedangkan Ulama menyebut bahawa sunat untuk dibaca surah secara berurutan dan ini disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya "At-Tibyan Fi Adab Haimiah Al-Quran".Malah Imam Suyuti dalam kitabnya At-Itqan menyebut,"Adapun mereka yang membaca Al-Quran tidak berurutan, itu adalah bacaan orang yang tidak berilmu".Al-Faqir juga menegur Imam yang membaca surah secara songsang kerana Al-Faqir pernah berjemaah pada solat Isya' di Masjid Nurul Hidayah dan ketika itu Imam membaca pada rakaat pertama Surah Al-Alaq dan pada rakaat kedua Surah Asy-Syarh.Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Daud daripada Hassan Basri dengan sanad yang sohih,"Sesungguhnya si polan membaca Al-Quran secara songsang dari atas ke bawah, itu adalah orang yang songsang hatinya".Sebahagian Ulama mengatakan bahawa makruh apabila seorang Imam tidak membaca surah secara berurutan. Kuliah Maghrib di Surau al-Huda Taman Keramat. Selain itu dalam masa yang terhad, Al-Faqir menegur Imam-Imam muda yang mengambil jalan pintas sewaktu mengimami Solat Subuh pada Hari Juma'at kerana meninggalkan bacaan Surah Al-Insan pada rakaat kedua dan hanya membahagikan kepada dua Surah As-Sajadah.Begitu juga kebanyakan Imam-Imam yang muda, yang hafal Al-Quran sering meninggalkan wirid-wirid selepas solat dan ada di antaranya berijtihad sendiri tanpa mengikut panduan hukum-hakam sebagaimana yang diajar oleh Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.Al-Faqir sempat membacakan beberapa potong Hadis tentang bacaan wirid-wirid selepas Solat Subuh dan Maghrib yang disabdakan oleh Nabi di mana seringkali Imam-Imam seolah-olah tidak yakin dengan jaminan Nabi bahawa apabila dibaca akan memberi menafaat kepada kita semuanya.Begitu juga dengan bacaan Tasbih,Tahmid dan Takbir 33 kali, Ayatul Kursi dan lain-lainnya, seringkali Imam-Imam yang muda malas untuk membacanya.Amatlah malang, jika hanya suara yang merdu menjadi ukuran bagi memilih seorang Imam sedangkan tidak faqeh tentang hukum-hakam dalam memimpin jemaah dalam solat. Seringkali Imam-Imam memberi alasan untuk tidak berwirid selepas Solat kerana ingin mempertimbangkan mereka yang berkerja tetapi Imam-Imam lupa untuk mempertimbangkan akhirat mereka.Al-Faqir juga menyebut, jangan sampai ribuan jemaah yang ada pada hari akhirat nanti menuntut kepada Imam-Imam, "gara-gara mengikut kamu, solat kami tidak sempurna jadinya".Terlalu banyak perkara yang ditinggalkan oleh para Imam-Imam muda seumpama Saktah dalam solat dan juga membaca takbir secara beriringan dengan perbuatan.Al-Faqir memberi contoh di mana Rasulullah Shallallahu Alayhi Wassalam memilih Saidina Abu Bakar untuk menggantikannya sedangkan bacaan Saidina Abdullah Ibnu Mas'ud lebih merdu lagi dan ini menunjukkan seorang Imam itu bukannya dipilih berdasarkan kepada hafalan atau kemerduan suara semata-mata.Nabi bersabda,"Yang layak menjadi Imam ialah yang mengertikan Kitab Allah, seorang yang warak lagi 'alim.Malangnya apabila diadakan majlis ilmu, kelibat Imam-Imam masjid jarang kelihatan dan Imam-Imam seolah-olah merasa diri mereka sudah faqeh tentang hukum-hakam sedangkan merekalah orang yang banyak menguburkan sunnah Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam di dalam rumah Allah yang mulia.Akhir sekali sebagai penutup tazkirah, Al-Faqir berpesan kepada Imam-Imam yang muda agar tidak berijtihad sendiri, ikutlah panduan hukum dan malulah pada Imam-Imam yang dulu yang umur mereka sudah menjangkau usia 60an, 70an dan ada yang 80an tetapi mampu berdiri lama menyempurnakan Solat Subuh pada Hari Jumaat dengan membaca Surah as-Sajadah dan Surah al-Insan serta dapat menyempurnakan wirid-wirid yang warid dari Hadis-Hadis Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.

Monday, October 1, 2012

Penyelewengan Tentang Wahhabiy Oleh Fathul Bari.

Pembelaan Fathul Bari terhadap Pengasas Wahhabiy, Muhammad Ibn Wahab. Jawapan Untuk Fathul Bari. Jawapan Lagi Untuk Fathul Bari. Buku "Siapa Sebenarnya Wahhabiy" terdapat bukti-bukti tentang penyelewengan Wahhabiy yang ditulis oleh para Ulama-Ulama dan ada di antara mereka yang hidup di zaman Muhammad Ibn Wahab.Nampaknya pembohongan yang dilakukan oleh Fathul Bari dengan menisbahkan Wahhabiy kepada Abdul Wahab Bin Rustum telah dibongkar oleh para pejuang Ahli Sunnah Wal Jamaah.Maka dengan itu, pihak yang menganggap Fathul Bari ini sebagai Ulama Muda, haruslah berhati-hati dengan segala penyelewengan sejarah Wahhabiy yang dikatakan oleh Fathul Bari sedangkan sudah jelas, Fathul Bari ditolak oleh beberapa Negeri sehinggakan tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliahnya di masjid-masjid.

Jauhi Dari Ustaz-Ustaz Yang Mengelirukan.

Kedua-dua pemuda ini pernah ditangkap ketika menyampaikan pengajian mereka, seorang di Taman Sri Ukay Hulu Kelang, manakala seorang lagi di I'ttiba Us-Sunnah Kuala Pilah, Markas Wahhabiy.Mereka ditangkap dengan alasan tidak memiliki tauliah untuk mengajar namun sebaliknya penangkapan mereka adalah disebabkan sering menyampaikan fahaman-fahaman yang mengelirukan umat Islam yang tidak mengikuti apa yang telah disepakati oleh jumhur Ulama Muktabar.Seringkali mereka berdua akan mengeluarkan kenyataan dengan memetik kata-kata dari tokoh-tokoh Wahhabiy yang shaz seperti Ibn Taimiyyah,Bin Bazz, Sheikh Nasaruddin Al-Albani, Syeikh Uthsaimin dan yang lain-lainnya sedangkan tokoh-tokoh yang mereka sebut itu bukanlah di kalangan Ulama Muktabar.Fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama Muktabar seperti Imam Nawawi, Imam Ibn Hajar As-Qalani, Imam Suyuti,Imam Baihaqi,Imam Izzudin Abdissalam, Imam Qastalani dan yang lain-lainnya sering mereka pinggirkan kerana begitu taksubnya mereka dengan pandangan shaz yang dikeluarkan oleh tokoh-tokoh Wahhabiy.Maka tidak hairan jika seringkali mereka akan melontarkan setiap amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam yang bukan datangnya daripada Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam sebagai Bida'ah yang mungkar sedangkan apa yang telah dilakukan oleh para Ulama-Ulama silam adalah mengikut garisan Al-Quran, As-Sunnah dan athar para sahabat.Semoga umat Islam tidak terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang pelik yang dibawa oleh mereka ini dengan slogan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah sedangkan setiap pengambilan hukum mestilah daripada Al-Quran, As-Sunnah, Ijma' dan Qias dan ini menunjukkan bahawa mereka seolah-olah lebih memahami isi kandungan Al-Quran dan Hadis tanpa perlu mengambil penafsiran para Ulama-Ulama Mujtahid.