Tuesday, January 24, 2012

Rabiuawal Menjelma Lagi...Ayoh Berselawat.

Ayoh ikhwan semua, Bulan Rabiulawal menjelma lagi, terus meneruslah kita berselawat ke atas Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. untuk menzahirkan kecintaan kita kepada makhluk yang begitu mulia yang diciptakan oleh Allah untuk memberi kerahmatan kepada seluruh 'alam.Mencintai Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan satu kewajipan bagi setiap orang Islam dan ini merupakan cabang Iman yang berkaitan dengan Akidah.Disebut dalam Sahih Bukhari,Sahih Muslim dan Nasaie satu Hadis yang bermaksud,"Tidak beriman seorang kamu sehingga aku lebih dikasihi daripada anaknya, ibubapanya dan manusia seluruhnya".Setengah ulama menyatakan bahawa maksud "Tidak Beriman" di dalam Hadis ini ialah, "Tidak sempurna keimanan seseorang yang mengasihi anak, ibu-bapa dan manusia seluruhnya melebihi kasihnya terhadap Rasulullah s.a.w.


Kewajipan mencintai Rasulullah s.a.w. ini diperkuatkan lagi dalam Firman Allah swt dalam Surah At-Taubah ayat yang ke 24 yang bermaksud,"Katakanlah (Wahai Muhammad),"Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu,saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan,perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai,(jika semua itu)menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya, dan (daripada) berjihad untuk agamaNya,maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya), kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)".

No comments: