Monday, September 3, 2012

Jawapan Kepada Artikel Wahhabiy Isu Ziarah Kubur.



http://www.hmetro.com.my/articles/Elaktindakantakikutsyariat/Article

Golongan Wahhabiy tidak pernah akan berdiam diri untuk memperkatakan sesuatu yang tidak baik terhadap amalan umat Islam sehinggakan sanggup menulis di ruangan akhbar bagi mengelirukan umat Islam. Sebagaimana tradisinya sejak turun menurun, amalan menziarahi kubur pada Hari Raya sudah lama diamalkan oleh masyarakat kita tanpa berlakunya perkara-perkara yang malanggar syariat Islam. Menziarahi kubur yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Negara ini adalah sesuatu amalan yang begitu baik untuk dilakukan.

Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad sohih: “Dulu aku melarang kamu ziarah kubur. Ziarahlah kamu ke kubur, kerana sesungguhnya ziarah kubur itu membuat zuhud di dunia dan mengingatkan kepada akhirat”.

Tidak ada waktu tertentu untuk melakukan ziarah kubur, meskipun sebahagian ulama menyatakan pahalanya lebih besar jika dilakukan pada hari-hari tertentu seperti hari Khamis dan Jumaat kerana kuatnya hubungan ruh dengan orang-orang yang meninggal dunia. Dari ini dapat kita ketahui bahawa ziarah kubur setelah solat Hari Raya, jika tujuannya untuk mengambil pelajaran dan mengenang orang-orang yang telah meninggal dunia, ketika masih hidup dulu mereka merayakan Hari Raya bersama, memohonkan rahmat untuk mereka dengan berdoa, maka ianya tidak menjadi larangan untuk kita melakukannya.Malah tidak pernah juga kelihatan bagi umat Islam yang datang menziarahi kubur bersedih-sedih keterlaluan, malah ramai di kalangan mereka merasakan rasa kesyukuran kerana dapat berkumpul dengan sanak-saudara beramai-ramai dan berziarah ke pusara orang yang mereka sayangi kerana di kesempatan lain mereka tidak berpeluang berkumpul disebabkan sibuk dengan tugasan harian masing-masing.

APAKAH YANG DILAKUKAN KETIKA MENZIARAHI KUBUR?

Secara khususnya, yang datang menziarahi kubur akan menghadiahkan bacaan-bacaan dari ayat-ayat Al-Quran kepada si mati.Kelebihan surah-surah dan amalan membaca Al-Quran kepada orang yang mati tidak semestinya disyaratkan berdalil dengan Hadis Sohih ataupun Hasan, bahkan memadai dengan Hadis Dhoif, Mursal dan Mauquf.Al-Hafiz Imam Nawawi menyebut dalm kitabnya Azkar,"Para Ulama yang terdiri daripada Muhaddithin, Fuqaha' dan selain mereka itu menyatakan harus dan sunat beramal dengan Hadis Dhoif.Hadis Dhoif bererti Hadis yang kurang dari martabat Sohih dan Hasan, Hadis Mursal bererti, Hadis yang disambung terus oleh Tabi'en kepada Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam dan Hadis Mauquf bererti, Hadis yang disandarkan kepada sahabat berbentuk perkataan atau perbuatan.

Namun keingkaran golongan Wahhabiy untuk menerima Hadis Dhoif sehinggakan bertentangan dengan pendapat jumhur Ulama seperti Imam Nawawi, Ibnu Hajar al-Haitami, Ibnu Arabi al-Maliki, Ibnu Hajar As-Qalani dan beberapa lagi Ulama lagi telah membawa satu kemudharatan kepada umat Islam sehinggakan ada di antara golongan Wahhabiy yang menukar sesuka hati mereka status sesuatu Hadis.

Di sini Al-Faqir tidak mahu membentangkan dalil-dalil tentang kebaikan yang dilakukan oleh umat Islam yang menziarahi kubur tetapi cukuplah dengan satu dalil di mana ahli kubur akan direhatkan pada bulan Ramadhan dan mereka akan menangis setelah mendengar Takbir Hari Raya, maka untuk menggembirakan ahli kubur, maka adalah sesuatu yang dituntut untuk kita menziarahinya.Dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibni Abu Dunya daripada Saidittina Aishah R.A, Rasulullah Shallallahu Alayhi Wassalam bersabda,"Seronoknya bagi ahli kubur apabila mereka diziarahi oleh orang-orang yang dicintainya".Sebenarnya terlalu banyak Hadis-Hadis yang mengisahkan tentang ahli kubur yang mengetahui perbuatan mereka-mereka yang hidup, tahu siapa yang menziarahinya dan lain-lain lagi telah disyarahkan oleh Ulama Tersohor Nusantara, Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki dalam program Daurah Kitab yang diadakan pada 15 & 16 Sya'aban 14433H, di Masjid Wilayah Jalan Duta. Namun, walaupun sejuta dalil sekalipun dibacakan kepada golongan Wahhabiy, tetap juga mereka akan menolaknya dengan menuduh umat Islam bersedih di Hari Raya sedangkan ianya tidak pernah berlaku sedemikian. Berkata Ulama,"Allah akan mencampakkan rasa kesedihan kepada hambaNya sewaktu berlakunya kematian di kalangan keluarga mereka dan kesedihan itu akan dicabut setelah mereka kembali dari menguburkan mayat".Dengan itu tidak timbul berlakunya kesedihan berpanjangan terhadap umat Islam yang datang menziarahi kubur pada Hari Raya.Mungkin disebabkan riak muka seseorang yang menziarahi kubur, menjaga adab-adabnya, tidak ketawa sewaktu berada di perkuburan, maka golongan Wahhabiy mengatakan umat Islam sedang bersedih ketika itu.

KENAPA HANYA MASYARAKAT KITA MENGAMALKAN ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA?

Untuk menjawab persoalan dangkal Wahhabiy ini, kita bertanya semula kepada mereka, adakah umat Islam sewaktu hidup di zaman Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam dulu balik ke kampung juga sewaktu berhari raya??? Dengan itu hendaklah difahami, apabila umat Islam pulang ke kampung halaman mereka sewaktu berhari raya, maka kesempatan itu juga diambil untuk menziarahi kubur orang-orang yang mereka sayangi yang berada di persikataran kampung tersebut.Jika ayah dan ibu kita yang meninggal dunia di kampung, maka kuburnya akan berada di kampung. Kita berhari raya pula di kampung, maka sewajarnyalah apabila berkumpulnya adik-beradik, maka kita luangkan sedikit masa untuk menziarahi kubur mereka pada ketika itu dan seterusnya kita meneruskan program-program yang lain pula, apakah ini menjadi masalah kepada golongan Wahhabiy???

Sesuatu yang menghairankan bagi golongan Wahhabiy ialah, mereka sering mencari-cari sesuatu, semata-mata untuk memandang buruk amalan yang dilakukan oleh masyarakat kita sedangkan hiburan-hiburan terlampau yang disajikan dalam telivisyen sebagai menyambut kegembiraan Hari Raya yang ternyata melanggar syariat Islam tidak pula mereka menegurnya.Mungkin juga itulah cara menyambut kegembiraan Hari Raya yang dimahukan oleh golongan-golongan Wahhabiy sehinggakan amalan-amalan yang baik seperti menziarahi kubur sering diungkit-ungkit dengan persepsi yang salah.Al-Faqir mengucapkan tahniah kepada sahabat Al-Faqir, Ustaz Muhadir Hj Joll yang telah menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh golongan Wahhabiy, semoga ianya memberi pencerahan kepada seluruh umat Islam agar tidak meninggalkan amalan ziarah kubur yang kita lakukan selama ini.Jawapan dari Al-Fadhil Ustaz Muhadir boleh dibaca melalaui link http://roskiman.com/blog/2012/08/19/amalan-1-syawal-membetulkan-kekeliruan/

No comments: