Monday, October 15, 2012

Tazkirah Juma'at "Imam Itu Adalah Penjamin".

Pada 12 Oktober 2012, Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah Juma'at di Masjid Nurul Hidayah Kg. Pandan.Dalam waktu yang terbatas itu, Al-Faqir memilih perbicaraan mengenai Imam dan Makmun dalam melaksanakan solat berjemaah.Al-Faqir memulakan tazkirah dengan membaca sepotong Hadis yang maksudnya,"Imam Itu Adalah Penjamin".Maka Imamlah yang akan menentukan kesempurnaan solat jemaah yang dipimpinnya.Buktinya, apabila Makmum masbuq dan tidak sempat menghabiskan bacaan Fatihah, maka Imam akan menanggungnya, begitu juga jika Makmun tidak membaca tahiyyat awal, Imam juga akan menanggungnya tanpa perlu Imam melakukan sujud sahwi. Malangnya masyarakat hanya memilih Imam-Imam berdasarkan kepada kemerduan suara mereka, hafalan mereka sedangkan permasalahan hukum-hakam yang tidak dipelajari oleh Imam-Imam tidak diambil kira oleh masyarakat. Al-Faqir menegur Imam-Imam yang sering tidak mengikut panduan hukum-hakam seumpama sering meninggalkan perkara2 sunat seumpamam sunat mengangkat tangan pada empat tempat yakni ketika takbiratul-ihram, ketika ruku', Iktidal dan bangkit dari tahhiyat awal.Seringkali dilihat, Imam hanya mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram tetapi menjadi malas untuk mengangkatnya pada 3 tempat yang disunatkan.Maka belum selayaknya seseorang itu menjadi Imam jika tidak mempelajari Hadis-Hadis Nabi dan Kitab2 Fikih tentang tanggung-jawab seorang Imam memimpin solat berjemaah. Begitu juga, Al-Faqir menegur perbuatan Imam yang suka membaca surah selepas Fatihah dengan melompat-lompat.Contohnya, apabila pada rakaat pertama Imam membaca potongan dari Surah Ali-Imran, kemudian pada rakaat kedua membaca Surah At-Tin sedangkan Ulama menyebut bahawa sunat untuk dibaca surah secara berurutan dan ini disebut oleh Imam Nawawi dalam kitabnya "At-Tibyan Fi Adab Haimiah Al-Quran".Malah Imam Suyuti dalam kitabnya At-Itqan menyebut,"Adapun mereka yang membaca Al-Quran tidak berurutan, itu adalah bacaan orang yang tidak berilmu".Al-Faqir juga menegur Imam yang membaca surah secara songsang kerana Al-Faqir pernah berjemaah pada solat Isya' di Masjid Nurul Hidayah dan ketika itu Imam membaca pada rakaat pertama Surah Al-Alaq dan pada rakaat kedua Surah Asy-Syarh.Diriwayatkan oleh Ibnu Abu Daud daripada Hassan Basri dengan sanad yang sohih,"Sesungguhnya si polan membaca Al-Quran secara songsang dari atas ke bawah, itu adalah orang yang songsang hatinya".Sebahagian Ulama mengatakan bahawa makruh apabila seorang Imam tidak membaca surah secara berurutan. Kuliah Maghrib di Surau al-Huda Taman Keramat. Selain itu dalam masa yang terhad, Al-Faqir menegur Imam-Imam muda yang mengambil jalan pintas sewaktu mengimami Solat Subuh pada Hari Juma'at kerana meninggalkan bacaan Surah Al-Insan pada rakaat kedua dan hanya membahagikan kepada dua Surah As-Sajadah.Begitu juga kebanyakan Imam-Imam yang muda, yang hafal Al-Quran sering meninggalkan wirid-wirid selepas solat dan ada di antaranya berijtihad sendiri tanpa mengikut panduan hukum-hakam sebagaimana yang diajar oleh Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.Al-Faqir sempat membacakan beberapa potong Hadis tentang bacaan wirid-wirid selepas Solat Subuh dan Maghrib yang disabdakan oleh Nabi di mana seringkali Imam-Imam seolah-olah tidak yakin dengan jaminan Nabi bahawa apabila dibaca akan memberi menafaat kepada kita semuanya.Begitu juga dengan bacaan Tasbih,Tahmid dan Takbir 33 kali, Ayatul Kursi dan lain-lainnya, seringkali Imam-Imam yang muda malas untuk membacanya.Amatlah malang, jika hanya suara yang merdu menjadi ukuran bagi memilih seorang Imam sedangkan tidak faqeh tentang hukum-hakam dalam memimpin jemaah dalam solat. Seringkali Imam-Imam memberi alasan untuk tidak berwirid selepas Solat kerana ingin mempertimbangkan mereka yang berkerja tetapi Imam-Imam lupa untuk mempertimbangkan akhirat mereka.Al-Faqir juga menyebut, jangan sampai ribuan jemaah yang ada pada hari akhirat nanti menuntut kepada Imam-Imam, "gara-gara mengikut kamu, solat kami tidak sempurna jadinya".Terlalu banyak perkara yang ditinggalkan oleh para Imam-Imam muda seumpama Saktah dalam solat dan juga membaca takbir secara beriringan dengan perbuatan.Al-Faqir memberi contoh di mana Rasulullah Shallallahu Alayhi Wassalam memilih Saidina Abu Bakar untuk menggantikannya sedangkan bacaan Saidina Abdullah Ibnu Mas'ud lebih merdu lagi dan ini menunjukkan seorang Imam itu bukannya dipilih berdasarkan kepada hafalan atau kemerduan suara semata-mata.Nabi bersabda,"Yang layak menjadi Imam ialah yang mengertikan Kitab Allah, seorang yang warak lagi 'alim.Malangnya apabila diadakan majlis ilmu, kelibat Imam-Imam masjid jarang kelihatan dan Imam-Imam seolah-olah merasa diri mereka sudah faqeh tentang hukum-hakam sedangkan merekalah orang yang banyak menguburkan sunnah Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam di dalam rumah Allah yang mulia.Akhir sekali sebagai penutup tazkirah, Al-Faqir berpesan kepada Imam-Imam yang muda agar tidak berijtihad sendiri, ikutlah panduan hukum dan malulah pada Imam-Imam yang dulu yang umur mereka sudah menjangkau usia 60an, 70an dan ada yang 80an tetapi mampu berdiri lama menyempurnakan Solat Subuh pada Hari Jumaat dengan membaca Surah as-Sajadah dan Surah al-Insan serta dapat menyempurnakan wirid-wirid yang warid dari Hadis-Hadis Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam.

No comments: