Monday, December 31, 2012

Tahun Baru 2013.

Bersama Al-Faqir dan anak-anak dalam majlis berselawat dan lantunan Qasidah memuji Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam sebagai hiburan alternatif sempena menyambut Tahun Baru 2013.Jauhilah segala program-program maksiat yang banyak melalaikan umat Islam dari mengingati Allah seumpama hiburan-hiburan yang melalaikan dipersembahkan oleh beberapa artis tempatan atau luar Negara kerana ia hanyalah mengundang kemurkaan Allah swt.Umat Islam wajib menjadikan Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam sebagai Idola mereka kerana Baginda Nabi adalah insan yang paling sempurna sekali yang akan menyelamatkan kita dengan syafa'atnya di akhirat nanti dan bukannya artis-artis yang hanya membawa umat Islam ke lembah yang akan dihina oleh Allah serta dilaknat oleh semua makhluk-makhluk Allah yang lainnya dengan hiburan-hiburan yang tidak mengikut batasan syarak seumpama pencampuran lelaki dan wanita, aurat didedahkan dan sebagainya bentuk kemaksiatan sehingga boleh membuatkan umat Islam hanyut dan akhirnya solat berjemaah di masjid dan surau tidak dihadiri, malah lebih ramai yang sanggup meninggalkan kefardhuan solat demi mengikut hawa nafsu bisikan Iblis Laknatullah.Semoga kita dijauhi oleh program-program yang tidak langsung memberi menafaat kepada kita sebagai umat manusia yang dimuliakan oleh Allah namun kita sendiri yang merendahkan kemuliaan kita sehingga menjadi sesat dan lebih sesat lagi dari binatang-binatang ternakan sebagaimana yang diperumpamakan oleh Allah dalam firmannya dalam Al-Quran.

Sunday, December 23, 2012

Tazkirah Juma'at di Masjid Ar-Rahah.

Pada 7 Safar 1434H bersamaan 21 Disember 2012, Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan tazkirah Juma'at di Masjid Ar-Rahah Bangsar South City, sebuah masjid baru yang cukup cantik dan begitu indah sekali.Al-Faqir sampai di Masjid Ar-Rahah pada jam 12.00 tengahari dan diminta untuk memulakan tazkirah pada jam 12.30 tengahari.Apa yang menyedihkan ialah, pada jam 12.30 tengahari, masih belum ada lagi jemaah yang kelihatan, maka Al-Faqir tangguhkan sehingga jam 12.45 tengahari dengan kehadiran beberapa jemaah yang memasuki masjid untuk menunaikan Solat Juma'at yang akan didirikan.Persoalannya, kenapakah dengan sikap umat Islam yang tinggal berhampiran masjid tersebut amat berkira-kira untuk datang awal ke masjid?Maka Al-Faqir menyampaikan tazkirah yang berkaitan dengan pengorbanan masa kita untuk ke rumah Allah berbanding dengan pengorbanan kita untuk perkara-perkara yang tidak langsung mendapat keredhaan Allah yang lebih kita utamakan.Al-Faqir menyebut beberapa contoh seumpama umat Islam lebih awal untuk datang ke tempat kerja semata-mata takutkan kepada makhluk, lebih awal jika ke stadium bolasepak untuk menyaksikan perlawanan bola, lebih awal untuk hadir ke konsert-konsert yang melalaikan, lebih awal untuk bertemu dengan gadis yang diidam-idamkannya tetapi umat Islam seolah-oleh tidak suka berinteraksi bersama Allah, tidak suka untuk duduk di dalam rumah Allah yang penuh barakah dan sebagainya.Semoga perkongsian Al-Faqir kepada seluruh jemaah yang hadir akan memberi kesedaran walaupun bukan kepada semua jemaah, namun setiap umat Islam perlu melihat perkara ini jika benar-benar kita menjadi hamba Allah yang patuh dengan segala suruhanNya dan merasa seronok untuk bersama-sama Allah.

Monday, December 17, 2012

Bersedekahlah Demi Allah.

Kita tidak mampu untuk melakukan amal ibadat seumpama Solat sunat, puasa sunat dan sebagainya dengan banyak sebagaimana yang dilakukan oleh umat-umat terdahulu.Begitu juga, kita tidak mampu untuk menjadi seorang pendakwah yang senantiasa menebarkan ilmunya kepada seluruh masyarakat, malah untuk menjadi seorang penuntut ilmu yang senantiasa istiqamah dalam menuntut ilmu juga, akan ada keterbatasannya disebabkan beberapa faktor seumpama sibuk dengan urusan yang lain, kemalasan diri kita sendiri, kesihatan yang terganggu dan asbab-asbab yang lain juga.Maka salah satu caranya untuk kita mendapatkan ganjaran dari Allah SWT yang mana timbangannya kekal sehingga ke hari akhirat ialah dengan melakukan infaq ataupun bersedekah ke jalan yang diredhaiNya.Al-Faqir dengan rendah hati menyeru semua umat Islam agar dapat sama-sama membantu untuk merealisasikan pembinaan Kompleks Darul Hadits yang akan menempatkan sejumlah besar penuntut-penuntut ilmu yang akhirnya apabila mereka menjadi penyebar ilmu Allah, akan memberi menafaat jua kepada kita yang menginfaqkan sedikit sumbangan dan janji Allah, ianya berkekalan sampai ke hari kiamat.Syukran Jazakamullah kepada penderma-penderma yang bermurah hati memberikan sumbangan kepada perancanaan yang ingin dijayakan, hanya Allah sahajalah yang akan membalas segala kebaikan kita semua.

Saturday, December 1, 2012

Adab-Adab Menuntut Ilmu - CINTA ILMU.

Alhamdulillah, setelah selesai rakaman program terbitan TV al-Hijrah bertajuk "Peranan Ulama Dan Pendakwah" bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin, Al-Faqir turut bersama secara "live" program Cinta Ilmu bertajuk "Adab-Adab Menuntut Ilmu".Ternyata penyampaian Tuan Guru Syeikh Nuruddin amat memberi kesedaran kepada kami yang sering bersama Tuan Guru sebagai penuntut ilmu agar apa yang kami terima mendapat keberkatan dari Allah SWT.Semoga segala kalam dari mulut Ulama tersohor ini dapat pula Al-Faqir amalkan dan sebarkan kepada mereka yang menuntut ilmu dari Al-Faqir dalam pengajian-pengajian Al-Faqir di beberapa masjid dan surau di sekitar Lembah Kelang.Syukran Jazakumullah, Tuan Guru Syeikh Nuruddin kerana terlalu banyak ilmu yang bermenafaat disampaikan kepada kami sebagai penuntut ilmu.