Saturday, January 26, 2013

Jemputan Program Maulidurasul 1434H

Maulidurasul Terus Bersemarak.

Alhamdulillah, segalanya dengan keizinan Allah SWT yang memberi kekuatan kepada Al-Faqir untuk menyemarakkan majlis-majlis ilmu sempena kedatangan bulan Rabiulawal.Bermula pada 12 Rabiulawal, Al-Faqir menyampaikan ceramah di Masjid al-Irsyad ditutupi dengan bacaan Kitab Maulid Ad-Dibaie, kemudian pada malam 13 Rabiulawal, berceramah pula di Padang Pinggiran Batu Caves, program anjuran Masjid Al-Khairiah Taman Sri Gombak dengan gabungan 9 buah surau yang dihadiri hampir seribu orang, seterusnya berqasidah bersama anak-anak.Program terus lagi bersemarak di mana Al-Faqir menyampaikan kuliah Subuh di Madrasah al-Huda Taman Keramat pada 14 Rabiulawal.Sesungguhnya Rabiulawal telah memberi satu anjakan kepada umat Islam agar mempunyai perasaan mahabbah, kasih dan cinta kepada Junjungan Besar Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam.

Tuesday, January 22, 2013

Kesempurnaan Solat Ikut Cara Nabi Untuk Imam-Imam.

Al-Faqir telah dijemput untuk mengajar cara mengerjakan solat dengan sempurna di beberapa buah masjid dan surau di sekitar Lembah Kelang dengan menggunakan kitab di atas.Selain dari kitab yang dipaparkan di atas, Al-Faqir juga menggunakan Kitab Munyatul Musolli Karangan Syeikh Daud al-Fathoni yang diterbitkan semula oleh Syeikh Wan Muhammad Soghir Bin Hj Wan Abdullah dengan menggunakan tulisan Jawi. Berdasarkan kepada Hadis yang disebut oleh Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam yg mahfumnya,"Bersolatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Daku Bersolat", maka fahamlah kita bahawa yang dituntut ialah dengan menyempunakan solat sepertimana yang diajar oleh Baginda Nabi.Namun amat malang sekali tatkala Al-Faqir ingin membetulkan solat yang dilakukan oleh orangramai, terdapat para-para Imam yang menunjukkan contoh yang tidak berdasarkan kepada Hadis Nabi dalam mengerjakan solat.Jika dilihat kepada sabdaan Nabi yang mahfumnya,"Imam Itu Adalah Penjamin", maka ditafsirkan oleh para Ulama, jika sempurna solat seorang Imam, maka akan sempurna juga solat makmumnya.Salah satu contoh yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh para Imam ialah ketika mana disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat sebagaimana yang disebutkan di dalam Hadis di bawah, Imam kelihatan begitu tidak teliti sehinggakan meremehkan sunnah Nabi sehinggakan ianya diikuti oleh beberapa makmum dalam mengerjakan solat.
Sememangnya amat payah untuk mentarbiah para Imam-Imam di masjid ataupun di surau-surau apatah lagi dengan berbekalkan sijil yang mereka perolehi dari Mesir,Jordan,Syria, Mekah, Madinah dan sebagainya, maka para Imam-Imam tidak mahu menerima teguran apabila mereka tidak menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada makmum.Jika dirujuk dalam Kitab Munyatul Musolli Karangan Syeikh Daud al-Fathoni, sememangnya mengangkat tangan pada empat tempat itu merupakan satu pekerjaan sunat untuk dilakukan.Apakah para Imam-Imam hari ini boleh berisytihad sendiri tanpa perlu lagi mengambil kata-kata yang disampaikan oleh para Ulama yang diperakui ke'aliman dan kewarakan mereka. Begitu juga dengan wirid-wirid yang warid dari Hadis Nabi yang Sohih namun para Imam seolah-olah boleh memotong-motong bilangan wirid yang diajar oleh Baginda Nabi sehingga tidak mencukupi kepada bilangan yang sepatutnya dibaca.Al-Faqir pernah menyebutnya beberapa kali dalam kuliah tetapi apakah masih lagi ada di antara para Imam tidak menyedari dengan apa yang disebut oleh Nabi dalam Hadisnya. Al-Faqir berharap agar para Imam-Imam dapat berlapang dada dengan menerima teguran yang dibuat berdasarkan kepada Hadis-Hadis Nabi yang dibentang dan dibacakan.Tunjukkan cara solat berdasarkan kepada apa yang telah diajar oleh Baginda Nabi dan disepakati oleh jumhur Ulama dan bukannya dengan menunaikan solat mengikut kemahuan sendiri sahaja.

Ilmu & Fatwa / Ilmu & Hiburan -Cinta Ilmu.

Cinta Rasul.

Insya'allah, sebagai menyemarakkan sambutan Maulid dengan kedatangan bulan Rabiulawal 1434H, Al-Faqir akan menyampaikan ceramah di Masjid Al-Irsyad USJ1 yang akan menekankan kepada kewajipan mencintai dan memuliakan Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam pada 23 January 2013 bersamaan 12 Rabiulawal 1433H, selepas Solat Maghrib.Kitab karangan Al-Imam Al-Qadhi 'Iyadh RHM yang membicarakan tentangnya amat sesuai untuk mengajak semua umat Islam mempunyai perasaan Mahabbah kepada Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam dan ceramah Al-Faqir akan ditutup dengan beberapa lantunan Qasidah dan Selawat.

Sunday, January 20, 2013

Rabiulawal Bulan Berselawat.

Alhamdulillah, dengan nikmat daripada Allah yang menganugerahkan kita menjadi umat Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam, dipanjangkan usia sehingga bertemu lagi dengan bulan Rabiulawal 1434H yang merupakan satu bulan yang patut diingati oleh semua umat Islam dengan kalahiran Junjungan Besar Rasulullah Shallallahu Alayhi Wassalam.Maka bermulanya kuliah Al-Faqir pada 2 Rabiulawal di Masjid Az-Zakirin Taman Wilayah Selayang, kemudiannya pada 3 Rabiulawal di Surau An-Nur Bandar Saujana Putra, maka Al-Faqir menekankan tentang kemuliaan, khususiat dan kewajipan umat Islam untuk mencintai Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam. Disamping itu Al-Faqir juga mewakafkan diri untuk membaca Kitab Syamail Muhammadiah karangan al-Hafiz al-Imam al-Tirmidzi di Surau Silaturahim Desa Pandan agar para jemaah didedahkan dengan peribadi Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam. Al-Faqir bersyukur dengan beberapa undangan dari beberapa masjid untuk menyampaikan kuliah dan dengan kesempatan yang diberi, maka Al-Faqir hanya berbicara perihal keunggulan, kemuliaan, khususiat Nabi kita apabila menyampaikan kuliah Subuh pada 7 Rabiulawal di Masjid Al-Ittifaqayah Taman Sri Gombak dan kuliah Subuh di Masjid Al-Ikhlasiah Kampung Kerinchi.Rata-rata para jemaah yang ditemui amat teruja dengan kisah khususiat Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam yang dibacakan melalui Kitab Khususiat Rasulullah, Keunggulan Rasulullah dan Kitab Kewajipan Mencintai Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam yang ditulis oleh Dato' Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki, seorang Ulama yang paling banyak mengisahkan tentang perihal Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam.Insya'allah, pada 11 Rabiulawal, Al-Faqir akan menyampaikan ceramah di Masjid Al-Irsyad USJ1 yang membicarakan tentang khususiat Nabi dan seterusnya pada 12 Rabiulawal akan bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki dalam program Cinta Ilmu di TV al-Hijrah dengan diiringi lantunan Qasidah dari Kumpulan Al-Ulfah, Madrasah Az-Zein al-Makki Seremban.Pada sebelah malamnya selepas Solat Isya' Al-Faqir bersama anak-anak akan menyampaikan lantunan Qasidah dan Selawat di Masjid Al-Khairiah Taman Sri Gombak.Sesungguhnya kedatangan bulan Rabiulawal ini amat bermakna bagi seluruh umat Islam apabila dianugerahkan oleh Allah SWT dengan seorang insan yang paling mulia untuk membimbing manusia ke arah kehidupan dunia dan akhirat yang diredhai oleh Allah.

Wednesday, January 2, 2013

Majlis Ilmu 2013

Dijemput semua muslimin dan muslimat untuk menghadiri majlis ilmu bersama Ulama Tersohor Nusantara pada 4 January 2013, bertempat di Masjid Ar-Rahah Bangsar South City, Kerinchi.Sama-sama kita mengutip mutiara kata dari Ulama ini.