Tuesday, January 22, 2013

Kesempurnaan Solat Ikut Cara Nabi Untuk Imam-Imam.

Al-Faqir telah dijemput untuk mengajar cara mengerjakan solat dengan sempurna di beberapa buah masjid dan surau di sekitar Lembah Kelang dengan menggunakan kitab di atas.Selain dari kitab yang dipaparkan di atas, Al-Faqir juga menggunakan Kitab Munyatul Musolli Karangan Syeikh Daud al-Fathoni yang diterbitkan semula oleh Syeikh Wan Muhammad Soghir Bin Hj Wan Abdullah dengan menggunakan tulisan Jawi. Berdasarkan kepada Hadis yang disebut oleh Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam yg mahfumnya,"Bersolatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Daku Bersolat", maka fahamlah kita bahawa yang dituntut ialah dengan menyempunakan solat sepertimana yang diajar oleh Baginda Nabi.Namun amat malang sekali tatkala Al-Faqir ingin membetulkan solat yang dilakukan oleh orangramai, terdapat para-para Imam yang menunjukkan contoh yang tidak berdasarkan kepada Hadis Nabi dalam mengerjakan solat.Jika dilihat kepada sabdaan Nabi yang mahfumnya,"Imam Itu Adalah Penjamin", maka ditafsirkan oleh para Ulama, jika sempurna solat seorang Imam, maka akan sempurna juga solat makmumnya.Salah satu contoh yang tidak sepatutnya ditunjukkan oleh para Imam ialah ketika mana disunatkan mengangkat tangan pada empat tempat sebagaimana yang disebutkan di dalam Hadis di bawah, Imam kelihatan begitu tidak teliti sehinggakan meremehkan sunnah Nabi sehinggakan ianya diikuti oleh beberapa makmum dalam mengerjakan solat.
Sememangnya amat payah untuk mentarbiah para Imam-Imam di masjid ataupun di surau-surau apatah lagi dengan berbekalkan sijil yang mereka perolehi dari Mesir,Jordan,Syria, Mekah, Madinah dan sebagainya, maka para Imam-Imam tidak mahu menerima teguran apabila mereka tidak menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada makmum.Jika dirujuk dalam Kitab Munyatul Musolli Karangan Syeikh Daud al-Fathoni, sememangnya mengangkat tangan pada empat tempat itu merupakan satu pekerjaan sunat untuk dilakukan.Apakah para Imam-Imam hari ini boleh berisytihad sendiri tanpa perlu lagi mengambil kata-kata yang disampaikan oleh para Ulama yang diperakui ke'aliman dan kewarakan mereka. Begitu juga dengan wirid-wirid yang warid dari Hadis Nabi yang Sohih namun para Imam seolah-olah boleh memotong-motong bilangan wirid yang diajar oleh Baginda Nabi sehingga tidak mencukupi kepada bilangan yang sepatutnya dibaca.Al-Faqir pernah menyebutnya beberapa kali dalam kuliah tetapi apakah masih lagi ada di antara para Imam tidak menyedari dengan apa yang disebut oleh Nabi dalam Hadisnya. Al-Faqir berharap agar para Imam-Imam dapat berlapang dada dengan menerima teguran yang dibuat berdasarkan kepada Hadis-Hadis Nabi yang dibentang dan dibacakan.Tunjukkan cara solat berdasarkan kepada apa yang telah diajar oleh Baginda Nabi dan disepakati oleh jumhur Ulama dan bukannya dengan menunaikan solat mengikut kemahuan sendiri sahaja.

No comments: