Sunday, January 20, 2013

Rabiulawal Bulan Berselawat.

Alhamdulillah, dengan nikmat daripada Allah yang menganugerahkan kita menjadi umat Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam, dipanjangkan usia sehingga bertemu lagi dengan bulan Rabiulawal 1434H yang merupakan satu bulan yang patut diingati oleh semua umat Islam dengan kalahiran Junjungan Besar Rasulullah Shallallahu Alayhi Wassalam.Maka bermulanya kuliah Al-Faqir pada 2 Rabiulawal di Masjid Az-Zakirin Taman Wilayah Selayang, kemudiannya pada 3 Rabiulawal di Surau An-Nur Bandar Saujana Putra, maka Al-Faqir menekankan tentang kemuliaan, khususiat dan kewajipan umat Islam untuk mencintai Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam. Disamping itu Al-Faqir juga mewakafkan diri untuk membaca Kitab Syamail Muhammadiah karangan al-Hafiz al-Imam al-Tirmidzi di Surau Silaturahim Desa Pandan agar para jemaah didedahkan dengan peribadi Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam. Al-Faqir bersyukur dengan beberapa undangan dari beberapa masjid untuk menyampaikan kuliah dan dengan kesempatan yang diberi, maka Al-Faqir hanya berbicara perihal keunggulan, kemuliaan, khususiat Nabi kita apabila menyampaikan kuliah Subuh pada 7 Rabiulawal di Masjid Al-Ittifaqayah Taman Sri Gombak dan kuliah Subuh di Masjid Al-Ikhlasiah Kampung Kerinchi.Rata-rata para jemaah yang ditemui amat teruja dengan kisah khususiat Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam yang dibacakan melalui Kitab Khususiat Rasulullah, Keunggulan Rasulullah dan Kitab Kewajipan Mencintai Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam yang ditulis oleh Dato' Syeikh Muhammad Fuad al-Maliki, seorang Ulama yang paling banyak mengisahkan tentang perihal Nabi Muhammad Shallallhu Alayhi Wassalam.Insya'allah, pada 11 Rabiulawal, Al-Faqir akan menyampaikan ceramah di Masjid Al-Irsyad USJ1 yang membicarakan tentang khususiat Nabi dan seterusnya pada 12 Rabiulawal akan bersama Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki dalam program Cinta Ilmu di TV al-Hijrah dengan diiringi lantunan Qasidah dari Kumpulan Al-Ulfah, Madrasah Az-Zein al-Makki Seremban.Pada sebelah malamnya selepas Solat Isya' Al-Faqir bersama anak-anak akan menyampaikan lantunan Qasidah dan Selawat di Masjid Al-Khairiah Taman Sri Gombak.Sesungguhnya kedatangan bulan Rabiulawal ini amat bermakna bagi seluruh umat Islam apabila dianugerahkan oleh Allah SWT dengan seorang insan yang paling mulia untuk membimbing manusia ke arah kehidupan dunia dan akhirat yang diredhai oleh Allah.

No comments: