Sunday, February 24, 2013

Imam Itu Adalah Penjamin.

Alhamdulillah, Al-Faqir dijemput untuk menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Saidina Usman di Bandar Tun Razak pada 23 February bersamaan Hari Sabtu.Al-Faqir diminta untuk membicarakan bab fiqh maka Al-Faqir menekankan bagaimana untuk mendapat kesempurnaan dalam melaksanakan solat sesuai dengan Sabda Nabi berbunyi "Bersolatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Bersolat". Perkara utama yang Al-Faqir sentuh ialah solat yang dipimpin oleh seorang Imam.Ini disebabkan kebanyakan Imam-Imam hanyalah bermodalkan suara yang merdu sedangkan terlalu banyak perkara-perkara sunnah yang tidak diamalkan.Di antaranya, Imam tidak diam seketika selepas membaca Surah Al-Fatihah sedangkan disebut dalam kitab Fatawa Imam Nawawi bahawa disunatkan untuk seorang Imam berzikir secara sir dengan memberi peluang kepada makmum untuk membaca Fatihah.Begitu juga pergerakan Imam dalam solat seperti tidak mengangkat tangan pada empat tempat yakni ketika takbiratulihram, ruku', iktidal dan bangun dari tasyahud awal.Kebanyakan Imam-Imam juga sering tidak membaca surah secara berurutan dan melompat-lompat ketika memilih surah-surah untuk dibaca.Imam-Imam juga gagal dalam menunjukkan contoh terbaik kepada makmum ketika duduk iftrasy dan tawaruk.Perkara yang sering dipandang remeh oleh Imam-Imam ialah dengan memutuskan bacaan dalam solat kerana tidak membaca takbir ketika perpindahan rukun secara beriringan dengan perbuatan.Ada juga di antara para Imam yang tidak berta'min bersama makmun dan hanya dibiarkan sahaja para makmun membaca Amin.Saktah di dalam solat juga seringkali tidak diamalkan oleh para Imam. Al-Faqir juga menyentuh tentang bacaan-bacaan wirid yang seringkali tidak disempurnakan oleh para Imam.Ada wirid-wirid yang dibaca tidak cukup bilangannya sebagaimana yang diajar oleh Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.Al-Faqir berasa cukup selesa kerana Imam di Masjid Saidina Usman Bandar Tun Razak seorang yang faqeh dengan mengimammi solat dengan cukup sempurna sekali.Kalau di masjid berdekatan rumah Al-Faqir, hanyalah ada seorang Imam yang bernama Al-Fadhil Ustaz Osman Hj Abd. Halim yang benar-benar faqeh ketika mengimami solat.Al-Fadhil Ustaz Osman Hj Abd. Halim begitu menitik-beratkan hukum-hakam ketika mengimami solat dan seringkali beliau akan meletakkkan rehal di hadapannya kerana ini bertetapan dengan sabda Nabi bahawa sutrahnya Imam menjadi pelindung kepada solat para makmumnya.Seandainya Imam sendiri tidak mempunyai pelindung, mana mungkin solat para makmun dapat dilindungi. Al-Faqir sering berharap agar para Imam dapat menerima teguran yang merupakan panduan untuk kesempurnaan solat namun agak sulit untuk para Imam untuk menerima teguran berasaskan Hadis-Hadis Nabi yang sohih kerana sering menganggap diri mereka sudah cukup sempurna apabila bergelar seorang Imam.Ini ditambah lagi dengan keegoaan mereka dengan sijil-sijil yang diperolehi dari Timur Tengah, maka mereka akan memandang sepi pendapat ataupun nasihat dari orang lain.Al-Faqir tidaklah bermaksud mengatakan para Imam tidak berilmu tetapi apalah gunanya ilmu jika tidak diamalkan dan ditunjukkan contoh kepada makmum yang kita pimpin.

Saturday, February 23, 2013

Kesempurnaan Dalam Solat.

Program Cinta Ilmu terbitan TV al-Hijrah musim kedua akan membincangkan berkenaan cara melaksanakan solat dengan sempurna, bermula daripada bersuci, berwudu', bertayamum, pergerakan dalam solat, bacaan dalam solat dan sebagainya sehinggalah ke akhirnya yakni berdoa kepada Allah swt sesudah bacaan-bacaan wirid yang warid dari Hadis-Hadis Nabi dibacakan.Ini memandangkan, kebanyakan daripada masyarakat tidak mengambil berat dalam melaksanakan solat dengan sempurna hatta terbabit juga dengan Imam-Imam yang ada pada hari ini dilihat di kebanyakan masjid-masjid dan surau-surau meremehkan perkara sunnah mengakibatkan solat makmum yang dipimpin juga tidak sempurna. Al-Faqir berasa bertuah kerana senantiasa dapat turut sama bersama Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin, seorang Ulama Nusantara yang diiktiraf keilmuannya dan banyak bimbingan dan didikan yang diberikan kepada Al-Faqir untuk menambah ilmu, apatah lagi Al-Faqir juga terlibat dalam mengajar masyarakat cara melaksanakan solat dengan sempurna.Semoga Cinta Ilmu musim kedua ini akan memberi kefahaman kepada semua masyarakat agar dapat melaksanakan ibadat solat sebagimana yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Shallallahu Alayhi Wassalam agar ibadat solat yang kita lakukan itu sesuai dengan Firman Allah yang mahfumnya,"Sesungguhnya Solat Itu Dapat Mencegah Daripada Perbuatan Keji dan Mungkar". Maka dengan itu, apalah gunanya solat yang dilakukan dalam keadaan tidak sempurna yang akhirnya perbuatan dan sikap kita masih lagi belum berubah dengan baik dan tetap lagi melakukan perkara-perkaa yang dimurkai oleh Allah SWT.

Tuesday, February 12, 2013

Maulid Di Kediaman Bersama Imam & Bilal Masjid Ar-Rahimah

Alhamdulillah, bacaan Kitab Maulid Ad-Dibaie dapat disempurnakan di kediaman Al-Faqir bersama-sama sahabat dari Masjid Ar-Rahimah Kg Pandan, Ustaz Osman dan Ustaz Khusaini.Sememangnya kedua-dua mereka sering Al-Faqir war-warkan beberapa majlis ilmu dan majlis-majlis Selawat yang diadakan di sekitar Lembah Kelang.Semoga dengan adanya sokongan dari sahabat seperti Ustaz Osman dan Ustaz Khusaini, akan menjadikan bacaan Kitab Maulid tidak terkubur begitu sahaja kerana beberapa orang tidak tahu fadhilat dan keistimewaan dalam membaca kitab sebegini, semoga Allah akan mengurniakan rahmatNya kepada yang hadir pada malam majlis ini diadakan.

Tuesday, February 5, 2013

KHAS UNTUK SEMUA IMAM-IMAM!!!

Jangan Menghiris Perasaan Nabi.

Pada 13 Rabiulawal 1434H bersamaan 25 January 2013M, Al-Faqir telah hadir untuk menunaikan solat Juma'at di masjid berhampiran kediaman Al-Faqir di Desa Pandan.Sebelum solat Juma'at diadakan, salah seorang penceramah telah dijemput untuk menyampaikan tazkirahnya yang banyak menceritakan tentang perihal Nabi apatah lagi umat Islam berada dalam bulan Maulid.Alhamdulillah, dengan kepetahannya berbicara, membaca nas-nas Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi yang membuatkan ramai terpaku dengan penyampaiannya.Malangnya, penceramah tersbut lupa dengan "Adabul Ikhtilaf" sehinggakan begitu teruja mengatakan bahawa Abu Tholib, bapa saudara Nabi mati dalam keadaan tidak beriman.Ketika itu tersentuh juga perasaan Al-Faqir kerana penceramah tersebut tidak sedar, dengan secara tidak langsung, beliau telah menyentuh tentang peribadi orang yang paling banyak berjasa kepada Nabi berbanding kita yang dikatakan seorang yang beriman. Kekhilafan para Ulama dalam menyatakan tentang keimanan Abu Tholib begitu banyak sekali.Di antara Ulama ynag menyatakan bahawa Abu Tholib beriman kepada Allah ialah Al-'Alim al-'Alaamah as-Sayyid Muhammad Bin Rasul al-Barzanji as-Syafie (1040H-1103H) dan Syaikhul Islam, Mufti Mekah, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (1232H-1304H) Rahimahullah, pengarang kitab di atas yang bertajuk,"Asnaal Mathaalib finajaati Abi Tholib".Di dalam kitab tersebut disebut, Abu Tholib sempat berbisik kepada Nabi dengan mengatakan bahawa dia mengikuti milah Nabi Ibrahim a.s. Satu persoalan yang ingin Al-Faqir tanyakan kepada penceramah yang dijemput,"Apakah menafaatnya kita menceritakan kepada orang awam tentang keimanan Abu Tholib"?"Apakah kita ini yang telah beriman akan dapat mengucapkan kalimah "Laillahaillallah" nanti ketika kita hampir menemui ajal?""Siapakah yang yang banyak berjasa kepada Nabi, apakah kita yang telah beriman ini ataupun Abu Tholib yang telah dikatakan mati dalam keadaan Kafir"? Di dalam Kitab "Maurid al Sodi fi Maulid al Hadi" karangan Al-Hafiz Syams al Din ibn Nasir al Din al Dimasygi menyebut,"Sesungguhnya telah sohih bahawa diringankan azab Neraka bagi Abu Lahab pada setiap Hari Isnin kerana kegembiraannya di atas kelahiran Nabi dengan memerdekakan Thuwaibah pada hari tersebut.Jika Abu Lahab yang telahpun dilaknat oleh Allah mendapat keringanan azab, apakah dengan syafaat Nabi dan dengan kemurahan Allah SWT, tidak boleh menterbalikkkan keimanan Abu Tholib, bapa saudara Nabi? A-Faqir berpesan kepada semua penceramah agar tidak sekali-kali menyentuh tentang keluarga Nabi dengan perkataan yang boleh menyinggung perasaan Nabi kita.Perumpamaannya, jika sejahat mana sekalipun ayah, ibu, bapa saudara, anak-anak kita, jika ada orang yang mencerca dan menghinanya, pasti di dalam hati kita yang mempunyai pertalian darah dengan mereka akan tersenutuh juga perasaan.Maka berhati-hatilah apabila menyampaikan tazkirah, walaupun pada dasarnya ingin mengajak umat Islam mempunyai perasaan kasih dan cinta kepada Nabi tetapi dalam masa yang sama, kita sendiri telah mengguris perasaan Nabi dengan mencerca ahli keluarganya.Biarkan sahaja kekhilafan yang berlaku di antara para Ulama Muktabar, maka kita sebagai orang awam, tidak selayaknya masuk campur kerana soal keimanan seseorang itu adalah urusan Allah dan bukan kita yang menentukannya.Adalah lebih baik kita muhasabah diri dengan melihat sejauh mana keimanan kita dalam mencintai Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.

Maulid Akbar 1434 Hijrah.

Sambutan Maulid Di Padang Pinggiran Batu Caves.

Di antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hambaNya selain dari nikmat Iman dan Islam ialah nikmat menjadi umat Nabi Muhammad Shallallahu Alayhi Wasalam.Alhamdulillah, satu program yang besar dianjurkan oleh Masjid al-Khairiah Taman Sri Gombak dengan gabungan 9 buah surau dan sekolah-sekolah telah menjemput Al-Faqir dan anak-anak untuk menyampaikan lantunan qasidah, puji-pujian kepada Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam.Sebelum itu, Al-Faqir telh dijemput untuk menyampaikan ceramah yang menyentuh tentang khususiat Nabi dan kemuliaan Nabi.Di antara intipati ceramah Al-Faqir ialah dengan menggesa semua umat Islam agar mendalami ilmu agama dengan menempatkan diri di majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid ataupun surau-surau.Al-Faqir juga menyentuh tentang peranan para-para Imam di masjid-masjid dan surau-surau agar menunjukkan contoh teladan yang baik kepada para jemaah dengan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi sebagaimana yang disebut oleh Nabi kita dalam Sohih Bukhari,"Bersolatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Bersolat" Amat malang sekali jika para Imam hanya tahu menyampaikan khutbah untuk mengajak umat Islam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi tetapi dalam masa yang sama, Imam-Imam dilihat banyak menguburkan sunnah-sunnah Nabi hatta dalam memimpin solat berjemaah.Para Imam-Imam seolah-oleh boleh berijtihad sendiri dalam memimpin solat sedangkan Nabi telah bersabda,"Imam itu adalah penjamin".Kebanyakan Imam-Imam juga telah meninggalkan wirid-wirid yang warid dari Hadis Nabi namun disebabkan keegoan dan tidak mahu lagi menerima teguran, maka para Imam tetap melakukan kesalahan dalam memimpin solat berjemaah. Al-Faqir mengucapkan syabas kepada pihak penganjur dari Masjid al-Khairiah Taman Sri Gombak yang telah berjaya menghimpun begitu ramai jemaah untuk solat Maghrib dan Isya' yang diadakan di atas padang.Ini sesuatu yang jarang dilakukan oleh beberapa masjid yang ada sehingga menghadkan program cuma diadakan di dalam masjid menyebabkan wanita-wanita yang uzur tidak dapat bersama.Syabas Masjid al-Kahiriah Taman Sri Gombak.