Sunday, February 24, 2013

Imam Itu Adalah Penjamin.

Alhamdulillah, Al-Faqir dijemput untuk menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Saidina Usman di Bandar Tun Razak pada 23 February bersamaan Hari Sabtu.Al-Faqir diminta untuk membicarakan bab fiqh maka Al-Faqir menekankan bagaimana untuk mendapat kesempurnaan dalam melaksanakan solat sesuai dengan Sabda Nabi berbunyi "Bersolatlah Kamu Sebagaimana Kamu Melihat Aku Bersolat". Perkara utama yang Al-Faqir sentuh ialah solat yang dipimpin oleh seorang Imam.Ini disebabkan kebanyakan Imam-Imam hanyalah bermodalkan suara yang merdu sedangkan terlalu banyak perkara-perkara sunnah yang tidak diamalkan.Di antaranya, Imam tidak diam seketika selepas membaca Surah Al-Fatihah sedangkan disebut dalam kitab Fatawa Imam Nawawi bahawa disunatkan untuk seorang Imam berzikir secara sir dengan memberi peluang kepada makmum untuk membaca Fatihah.Begitu juga pergerakan Imam dalam solat seperti tidak mengangkat tangan pada empat tempat yakni ketika takbiratulihram, ruku', iktidal dan bangun dari tasyahud awal.Kebanyakan Imam-Imam juga sering tidak membaca surah secara berurutan dan melompat-lompat ketika memilih surah-surah untuk dibaca.Imam-Imam juga gagal dalam menunjukkan contoh terbaik kepada makmum ketika duduk iftrasy dan tawaruk.Perkara yang sering dipandang remeh oleh Imam-Imam ialah dengan memutuskan bacaan dalam solat kerana tidak membaca takbir ketika perpindahan rukun secara beriringan dengan perbuatan.Ada juga di antara para Imam yang tidak berta'min bersama makmun dan hanya dibiarkan sahaja para makmun membaca Amin.Saktah di dalam solat juga seringkali tidak diamalkan oleh para Imam. Al-Faqir juga menyentuh tentang bacaan-bacaan wirid yang seringkali tidak disempurnakan oleh para Imam.Ada wirid-wirid yang dibaca tidak cukup bilangannya sebagaimana yang diajar oleh Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.Al-Faqir berasa cukup selesa kerana Imam di Masjid Saidina Usman Bandar Tun Razak seorang yang faqeh dengan mengimammi solat dengan cukup sempurna sekali.Kalau di masjid berdekatan rumah Al-Faqir, hanyalah ada seorang Imam yang bernama Al-Fadhil Ustaz Osman Hj Abd. Halim yang benar-benar faqeh ketika mengimami solat.Al-Fadhil Ustaz Osman Hj Abd. Halim begitu menitik-beratkan hukum-hakam ketika mengimami solat dan seringkali beliau akan meletakkkan rehal di hadapannya kerana ini bertetapan dengan sabda Nabi bahawa sutrahnya Imam menjadi pelindung kepada solat para makmumnya.Seandainya Imam sendiri tidak mempunyai pelindung, mana mungkin solat para makmun dapat dilindungi. Al-Faqir sering berharap agar para Imam dapat menerima teguran yang merupakan panduan untuk kesempurnaan solat namun agak sulit untuk para Imam untuk menerima teguran berasaskan Hadis-Hadis Nabi yang sohih kerana sering menganggap diri mereka sudah cukup sempurna apabila bergelar seorang Imam.Ini ditambah lagi dengan keegoaan mereka dengan sijil-sijil yang diperolehi dari Timur Tengah, maka mereka akan memandang sepi pendapat ataupun nasihat dari orang lain.Al-Faqir tidaklah bermaksud mengatakan para Imam tidak berilmu tetapi apalah gunanya ilmu jika tidak diamalkan dan ditunjukkan contoh kepada makmum yang kita pimpin.

No comments: