Tuesday, February 5, 2013

Jangan Menghiris Perasaan Nabi.

Pada 13 Rabiulawal 1434H bersamaan 25 January 2013M, Al-Faqir telah hadir untuk menunaikan solat Juma'at di masjid berhampiran kediaman Al-Faqir di Desa Pandan.Sebelum solat Juma'at diadakan, salah seorang penceramah telah dijemput untuk menyampaikan tazkirahnya yang banyak menceritakan tentang perihal Nabi apatah lagi umat Islam berada dalam bulan Maulid.Alhamdulillah, dengan kepetahannya berbicara, membaca nas-nas Al-Quran dan Hadis-Hadis Nabi yang membuatkan ramai terpaku dengan penyampaiannya.Malangnya, penceramah tersbut lupa dengan "Adabul Ikhtilaf" sehinggakan begitu teruja mengatakan bahawa Abu Tholib, bapa saudara Nabi mati dalam keadaan tidak beriman.Ketika itu tersentuh juga perasaan Al-Faqir kerana penceramah tersebut tidak sedar, dengan secara tidak langsung, beliau telah menyentuh tentang peribadi orang yang paling banyak berjasa kepada Nabi berbanding kita yang dikatakan seorang yang beriman. Kekhilafan para Ulama dalam menyatakan tentang keimanan Abu Tholib begitu banyak sekali.Di antara Ulama ynag menyatakan bahawa Abu Tholib beriman kepada Allah ialah Al-'Alim al-'Alaamah as-Sayyid Muhammad Bin Rasul al-Barzanji as-Syafie (1040H-1103H) dan Syaikhul Islam, Mufti Mekah, Sayyid Ahmad Zaini Dahlan (1232H-1304H) Rahimahullah, pengarang kitab di atas yang bertajuk,"Asnaal Mathaalib finajaati Abi Tholib".Di dalam kitab tersebut disebut, Abu Tholib sempat berbisik kepada Nabi dengan mengatakan bahawa dia mengikuti milah Nabi Ibrahim a.s. Satu persoalan yang ingin Al-Faqir tanyakan kepada penceramah yang dijemput,"Apakah menafaatnya kita menceritakan kepada orang awam tentang keimanan Abu Tholib"?"Apakah kita ini yang telah beriman akan dapat mengucapkan kalimah "Laillahaillallah" nanti ketika kita hampir menemui ajal?""Siapakah yang yang banyak berjasa kepada Nabi, apakah kita yang telah beriman ini ataupun Abu Tholib yang telah dikatakan mati dalam keadaan Kafir"? Di dalam Kitab "Maurid al Sodi fi Maulid al Hadi" karangan Al-Hafiz Syams al Din ibn Nasir al Din al Dimasygi menyebut,"Sesungguhnya telah sohih bahawa diringankan azab Neraka bagi Abu Lahab pada setiap Hari Isnin kerana kegembiraannya di atas kelahiran Nabi dengan memerdekakan Thuwaibah pada hari tersebut.Jika Abu Lahab yang telahpun dilaknat oleh Allah mendapat keringanan azab, apakah dengan syafaat Nabi dan dengan kemurahan Allah SWT, tidak boleh menterbalikkkan keimanan Abu Tholib, bapa saudara Nabi? A-Faqir berpesan kepada semua penceramah agar tidak sekali-kali menyentuh tentang keluarga Nabi dengan perkataan yang boleh menyinggung perasaan Nabi kita.Perumpamaannya, jika sejahat mana sekalipun ayah, ibu, bapa saudara, anak-anak kita, jika ada orang yang mencerca dan menghinanya, pasti di dalam hati kita yang mempunyai pertalian darah dengan mereka akan tersenutuh juga perasaan.Maka berhati-hatilah apabila menyampaikan tazkirah, walaupun pada dasarnya ingin mengajak umat Islam mempunyai perasaan kasih dan cinta kepada Nabi tetapi dalam masa yang sama, kita sendiri telah mengguris perasaan Nabi dengan mencerca ahli keluarganya.Biarkan sahaja kekhilafan yang berlaku di antara para Ulama Muktabar, maka kita sebagai orang awam, tidak selayaknya masuk campur kerana soal keimanan seseorang itu adalah urusan Allah dan bukan kita yang menentukannya.Adalah lebih baik kita muhasabah diri dengan melihat sejauh mana keimanan kita dalam mencintai Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.

No comments: