Saturday, March 16, 2013

Qudwah Hasanah.

Demi sesungguhnya, adalah pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang senantiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)-al-Ahzab 21 Katakanlah (Wahai Muhammad):Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. al-Imran 31 Daripada kedua-dua dalil daripada Al-Quran ini, sudah cukup bagi kita untuk meneladani Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam dalam segala aspek. Namun apakah dalam kehidupan kita hari ini dapat kita menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sebagaimana yang diceritakan dalam Kitab Syamail Muhammadiah tentang keperibadian Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam. Dalam kuliah Al-Faqir di Masjid Sayyidina Usman Bandar Tun Razak baru-baru ini, disebutkan bahawa sememangnya kita tidak mampu mengikut cara Baginda Nabi Shallalhu Alayhi Wassalam seratus peratus apatah lagi disebabkan diri kita ini terlalu jauh keimanan dan kasihnya kita kepada Nabi berbanding para sahabat Salafus Soleh yang hidup sezaman dengan Baginda Nabi. Namun begitu, apakah kita semestinya meninggalkan terus sehingga menguburkan sunnah-sunnah Nabi terutamanya dalam melaksanakan ibadat solat. Al-Faqir menyampaikan kepada para jemaah, betapa kerisauan Tuan Guru Syeikh Nuruddin sendiri dengan sikap para-para Imam yang sepatutnya memberikan contoh terbaik kepada jemaah yang dipimpin tetapi tidak menunjukkan diri mereka itu sebagai pemimpin yang diharap-harapkan. Inilah yang berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sedangkan ucapan mereka di atas mimbar ataupun dalam menyampaikan ilmu, senantiasa mengajak para jemaah mengikuti sunnah-sunnah Nabi sedangkan merekalah orang yang pertama sekali menguburkan sunnah-sunnah Nabi. Al-Faqir melihat perkara ini disebabkan para Imam hanya ditekankan kepada pembacaan Al-Quran secara bertaranum sedangkan mereka tidak didedahkan dengan pengajian ilmu dari kitab-kitab fiqih dan Hadis-Hadis Nabi tentang perlaksanaan solat yang sempurna. Al-Faqir menyebut dalam kuliah,"Ditegur tak mahu diterima, tak ditegur masih tetap sama melakukan kesalahan". Apakah para Imam ini tidak takut dipertanggung-jawabkan di akhirat nanti kerana memimpin solat tidak bercirikan kepada apa yang diajar oleh Baginda Nabi sehinggakan berijtihad mengikut kemahuan mereka sendiri?. Jika inilah yang berlaku, maka para Imam tidak ubah sebagai seorang tukang yang hanya melaksanakan tugasan yang diberi dan di akhir tugasan, mengambil upah dari tugas yang telah dilaksanakan walaupun tidak dalam keadaan yang sempurna.

Wednesday, March 13, 2013

Kelebihan Menuntut Ilmu.

Umum mengetahui bahawa Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal merupakan seorang ilmuan yang menjadi ikon dalam beberapa rancangan di TV al-Hijrah.Namun itu tidak bermakna Ustaz Don Daniyal tidak wajib lagi menuntut ilmu dan inilah yang terjadi kepada beberapa para 'daie' yang merasakan ilmu yang dimiliki sudah cukup sehinggakan tidak perlu lagi duduk bersama Ulama untuk menambah ilmu pengetahuan.Ustaz Don Daniyal telah menunjukkan satu contoh dan teladan yang begitu baik sekali apabila seringkali beliau hadir untuk duduk dalam majlis bersama Ulama seperti Tuan Guru Syeikh Nuruddin, Habib Ali Zainal Abidin dan yang lainnya.Sikap tawadduk sebeginilah yang boleh menjadikan seseorang itu lebih dikasihi oleh Allah apatah lagi apabila seseorang ilmuan itu tahu beberapa kelebihan duduk dalam majlis ilmu secara langsung di hadapan seorang guru. Al-Faqir agak terkilan dengan sikap beberapa ilmuan seumpama para Imam-Imam Masjid dan Bilal masjid di mana mereka seringkali tidak duduk bersama-sama dengan para jemaah untuk mendengar kuliah ataupun pengajian yang disampaikan sedangkan terlalu banyak perkara-perkara yang disampaikan sehinggakan melibatkan kesalahan dari mereka sendiri dalam memimpin solat berjemaah.Setiap dari kita tidaklah diberi ilmu oleh Allah sehinggakan kita faqeh atau tahu tentang semua perkara.Mungkin di antara kita hanya faqeh dalam bab pengajian Al-Quran tetapi tidak faqeh dalam bab pengajian Hadis-Hadis Nabi, Bab Feqah, Aqidah dan sebagainya.Seringkali Al-Faqir berpesan kepada para-para Imam agar turut sama mendengar apa yang disampaikan oleh beberapa ilmuan melalui kuliah-kuliah yang diadakan, namun sikap ego dan merasa diri sudah sempurna, maka saranan yang dibuat tidak diendahkannya.Tidak akan terhina diri kita yang mempunyai ilmu jika turut sama duduk dalam majlis ilmu orang lain malah ia akan mengangkat martabat kita di sisi Allah dengan lebih tinggi lagi.Semoga apa yang ditunjukkan oleh Al-Fadhil ustaz Don Daniyal akan menjadi iktibar kepada para "daie" yang lain agar terus menuntut ilmu terutama sekali bersama-sama para Ulama yang diperakui ke'aliman dan kewarakannya.

Saturday, March 9, 2013

Pendedahan Kitab Wahhabiy.

Tuan Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki menunjukkan kandungan Kitab Unwan al-Majd fi Tarikh Najd, karangan sejarahwan Wahhabiy bernama Utsman Ibnu Bisyr al-Hanbali al-Najdi kepada Ustaz Don dan Al-Faqir. Apa yang disampaikan oleh Ulama Nusantara, Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki tentang kekejaman dan pembunuhan yang dilakukan oleh pengasas Wahhabiy, Muhammad Ibn Wahab telah membuatkan beberapa pengikut Muhammad Ibn Wahab yang mengikut fahaman Wahhabiy di Negara ini tidak senang duduk.Ini disebabkan segala-galanya telah tercatit dalam lipatan sejarah dan yang mengkhabarkannya juga adalah dari kalangan Wahhabiy sendiri. Al-Faqir telah berusaha melakukan scan berserta terjemahan tentang kandungan Kitab Tarikh Najd tersebut bagi menjelaskan kepada masyarakat Islam, bahawa ia bukannya satu dongengan semata-mata tetapi ia dibuktikan melalui kitab Wahhabiy sendiri.Ini hanyalah sebahagian yang dapat Al-Faqir paparkan bagi membenarkan kenyataan Tuan Guru Syeikh Nuruddin sehinggakan kumpulan-kumpulan Wahhabiy tidak mampu menjawabnya malah senjata yang digunakan oleh mereka ialah dengan melakukan fitnah-fitnah yang jahat terhadap Tuan Guru kami.Kumpulan-kumpulan Wahhabiy juga memfitnah Al-Fadhil Ustaz Don kerana terdapat juga sindiran-sindirin tajam yang kena pada batang hidung Wahhabiy dalam program 30 Minit bersama Ustaz Don di TV al-Hijrah. Semoga dengan beberapa paparan ini akan membuka mata masyarakat, betapa jahatnya Muhammad Ibn Wahab yang dianggap oleh golongan Wahhabiy sebagai seorang Ulama yang dikatakan untuk memurnikan Tauhid umat Islam.Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Muhammad Ibn Wahab adalah untuk menguasai Tanah Hijaz dan Madinah dan seterusnya bersekongkol dengan pihak British, Amerika dan Yahudi untuk melemahkan jiwa umat Islam itu sendiri.

Wednesday, March 6, 2013

Imam Yang Faqeh Beramal Dengan Sunnah.

Al-Fadhil Ustaz Osman Bin Hj Abd. Halim satu-satunya Imam yang faqeh dan beramal dengan sunnah-sunnah Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.Al-Faqir telah beberapa kali menghadiri Solat Juma'at di Masjid ar-Rahimah Kg Pandan di mana dipimpin oleh Al-Fadhil Ustaz Osman.Masya'allah, sungguh merasa seronok sekali bila Ustaz Osman memimpin solat dengan membaca surah-surah sebagaimana yang dibaca oleh Baginda Nabi iaitu Surah al-'Ala dan Al-Ghasiyah.Sementara itu, bacaan-bacaan wirid yang warid dari Hadis Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam tidak pernah beliau tinggalkan sebagimana beliau memimpin solat-solat fardhu yang lain. Bagi Al-Faqir, amat sulit untuk kita temui Imam-Imam yang beramal dengan sunnah-sunnah Nabi seumpama Ustaz Osman.Inilah yang disebut oleh Baginda Nabi, yang layak menjadi Imam ialah mereka yang mengerti dan faham tentang tanggung-jawab seorang Imam yang akhirnya akan memberikan kesempurnaan solat kepada seluruh jemaah.Dalam pengamatan Al-Faqir ketika selesai memberi salam dalam Solat Juma'at yang dipimpin oleh Ustaz Osman, hanyalah segelintir kecil sahaja yang berlalu pergi sedangkan begitu ramai lagi para jemaah menunggu dan turut berwirid bersama Imam.A-Fadhl Ustaz Osman merupakan sahabat karib Al-Faqir dan seringkali kami bertukar-tukar pendapat dalam membahaskan beberapa ilmu agama, baik dalam bidang Hadis ataupun ilmu Fiqh.Sesungguhnya Al-Faqir amat menghormati Al-Fadhil Ustaz Osman yang begitu tawadduk dengan ilmunya tetapi dalam masa yang sama turut mengamalkan ilmu yang dipelajari.Semoga apa yang dipamirkan oleh Al-Fadhil Ustaz Osman akan memberi contoh kepada Imam-Imam yang lain baik dari masjid yang sama ataupun dari masjid-masjid yang lain.Semoga Allah jualah yang akan memberikan petunjukNya agar para Imam-Imam yang lain untuk turut menghidupkan sunnah-sunnah Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam dan bukannya berijtihad sendiri tanpa merujuk kepada Hadis-Hadis Nabi dan Kitab-Kitab Fiqh yang membahaskan peranan seorang Imam memimpin solat.

Tuesday, March 5, 2013

Pengajian Sifat Solat Nabi Yang Sahih Surau an-Nur

Dalam pengajian Al-Faqir di mana-mana sahaja, seringkali Al-Faqir tekankan agar kita melaksanakan solat sebagaimana yang telah diajar oleh Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.Sekiranya solat yang dilakukan hanyalah daripada ikut-ikutan tanpa bertalaqi dengan adanya kitab dan guru, maka solat yang didirikan tidak akan mampu membenteng diri kita dari perbuatan keji dan mungkar.Maka Al-Faqir tekankan tentang pengajian ilmu fiqh dan Hadis-Hadis Nabi berkenaan solat dan bukan hanya tertumpu kepada bacaan Al-Quran sahaja. Al-Faqir juga seringkali mengingatkan para jemaah agar bertalaqi dengan seorang guru yang mursyid dengan menadah kitab.Ini adalah cara pengambilan ilmu yang sebenar.Tidak mungkin ilmu akan singgah di hati kita jika hanya sekadar mendengar sahaja kerana otak pemikiran kita mempunyai beberapa perkara yang harus difikirkan, maka telinga akan hanya menjadi jembatan yang akhirnya ilmu yang didengar tidak dapat diamalkan. Inilah yang sebenarnya berlaku di beberapa pengajian tanpa berkitab dan bersanad yang banyak diadakan di masjid-masjid ataupun surau-surau.Mungkin juga ada di antara kita dapat mengambil ilmu dari percakapan seorang penceramah tetapi ia haruslah dicatitkan agar setiap apa yang ditulis akan dapat sampai ke lubuk hati.

Monday, March 4, 2013

Maulid Di Surau Silaturahim Desa Pandan.

Alhamdulillah, sambutan Maulidurasul di Surau Silaturahim dapat disempurnakan dengan membaca beberapa rawi dari Kitab Maulid Ad-Daibaie, diiringi dengan lantunan qasidah memuji Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam.Turut serta dalam kumpulan Al-Faqir dan anak-anak ialah Al-Fadhil Ustaz Osman Hj Abd Halim, Imam Masjid ar-Rahimah dan Ustaz Khusaini, Bilal Masjid ar-Rahimah.Semoga amalan ini akan dapat disemarakkan ke seluruh kariah yang masih lagi kebanyakannya belum pernah mendengar bacaan Maulid dan qasidah-qasidah yang dilantunkan.