Wednesday, March 13, 2013

Kelebihan Menuntut Ilmu.

Umum mengetahui bahawa Al-Fadhil Ustaz Don Daniyal merupakan seorang ilmuan yang menjadi ikon dalam beberapa rancangan di TV al-Hijrah.Namun itu tidak bermakna Ustaz Don Daniyal tidak wajib lagi menuntut ilmu dan inilah yang terjadi kepada beberapa para 'daie' yang merasakan ilmu yang dimiliki sudah cukup sehinggakan tidak perlu lagi duduk bersama Ulama untuk menambah ilmu pengetahuan.Ustaz Don Daniyal telah menunjukkan satu contoh dan teladan yang begitu baik sekali apabila seringkali beliau hadir untuk duduk dalam majlis bersama Ulama seperti Tuan Guru Syeikh Nuruddin, Habib Ali Zainal Abidin dan yang lainnya.Sikap tawadduk sebeginilah yang boleh menjadikan seseorang itu lebih dikasihi oleh Allah apatah lagi apabila seseorang ilmuan itu tahu beberapa kelebihan duduk dalam majlis ilmu secara langsung di hadapan seorang guru. Al-Faqir agak terkilan dengan sikap beberapa ilmuan seumpama para Imam-Imam Masjid dan Bilal masjid di mana mereka seringkali tidak duduk bersama-sama dengan para jemaah untuk mendengar kuliah ataupun pengajian yang disampaikan sedangkan terlalu banyak perkara-perkara yang disampaikan sehinggakan melibatkan kesalahan dari mereka sendiri dalam memimpin solat berjemaah.Setiap dari kita tidaklah diberi ilmu oleh Allah sehinggakan kita faqeh atau tahu tentang semua perkara.Mungkin di antara kita hanya faqeh dalam bab pengajian Al-Quran tetapi tidak faqeh dalam bab pengajian Hadis-Hadis Nabi, Bab Feqah, Aqidah dan sebagainya.Seringkali Al-Faqir berpesan kepada para-para Imam agar turut sama mendengar apa yang disampaikan oleh beberapa ilmuan melalui kuliah-kuliah yang diadakan, namun sikap ego dan merasa diri sudah sempurna, maka saranan yang dibuat tidak diendahkannya.Tidak akan terhina diri kita yang mempunyai ilmu jika turut sama duduk dalam majlis ilmu orang lain malah ia akan mengangkat martabat kita di sisi Allah dengan lebih tinggi lagi.Semoga apa yang ditunjukkan oleh Al-Fadhil ustaz Don Daniyal akan menjadi iktibar kepada para "daie" yang lain agar terus menuntut ilmu terutama sekali bersama-sama para Ulama yang diperakui ke'aliman dan kewarakannya.

No comments: