Saturday, March 16, 2013

Qudwah Hasanah.

Demi sesungguhnya, adalah pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang senantiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)-al-Ahzab 21 Katakanlah (Wahai Muhammad):Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. al-Imran 31 Daripada kedua-dua dalil daripada Al-Quran ini, sudah cukup bagi kita untuk meneladani Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam dalam segala aspek. Namun apakah dalam kehidupan kita hari ini dapat kita menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sebagaimana yang diceritakan dalam Kitab Syamail Muhammadiah tentang keperibadian Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam. Dalam kuliah Al-Faqir di Masjid Sayyidina Usman Bandar Tun Razak baru-baru ini, disebutkan bahawa sememangnya kita tidak mampu mengikut cara Baginda Nabi Shallalhu Alayhi Wassalam seratus peratus apatah lagi disebabkan diri kita ini terlalu jauh keimanan dan kasihnya kita kepada Nabi berbanding para sahabat Salafus Soleh yang hidup sezaman dengan Baginda Nabi. Namun begitu, apakah kita semestinya meninggalkan terus sehingga menguburkan sunnah-sunnah Nabi terutamanya dalam melaksanakan ibadat solat. Al-Faqir menyampaikan kepada para jemaah, betapa kerisauan Tuan Guru Syeikh Nuruddin sendiri dengan sikap para-para Imam yang sepatutnya memberikan contoh terbaik kepada jemaah yang dipimpin tetapi tidak menunjukkan diri mereka itu sebagai pemimpin yang diharap-harapkan. Inilah yang berlaku di masjid-masjid dan surau-surau sedangkan ucapan mereka di atas mimbar ataupun dalam menyampaikan ilmu, senantiasa mengajak para jemaah mengikuti sunnah-sunnah Nabi sedangkan merekalah orang yang pertama sekali menguburkan sunnah-sunnah Nabi. Al-Faqir melihat perkara ini disebabkan para Imam hanya ditekankan kepada pembacaan Al-Quran secara bertaranum sedangkan mereka tidak didedahkan dengan pengajian ilmu dari kitab-kitab fiqih dan Hadis-Hadis Nabi tentang perlaksanaan solat yang sempurna. Al-Faqir menyebut dalam kuliah,"Ditegur tak mahu diterima, tak ditegur masih tetap sama melakukan kesalahan". Apakah para Imam ini tidak takut dipertanggung-jawabkan di akhirat nanti kerana memimpin solat tidak bercirikan kepada apa yang diajar oleh Baginda Nabi sehinggakan berijtihad mengikut kemahuan mereka sendiri?. Jika inilah yang berlaku, maka para Imam tidak ubah sebagai seorang tukang yang hanya melaksanakan tugasan yang diberi dan di akhir tugasan, mengambil upah dari tugas yang telah dilaksanakan walaupun tidak dalam keadaan yang sempurna.

No comments: