Friday, April 19, 2013

PERHATIAN UTK. IMAM YG MEMIMPIN SOLAT JUMA'AT.

Acapkali Tuan Guru Syeikh Nuruddin menegur para Imam-Imam yang memimpin Solat di mana kebanyakan mereka hanyalah berijtihad sendiri sehinggakan terlalu banyak sunnnah-sunnah Nabi yang diabaikan. Al-Faqir juga merasa kecewa dengan sikap-sikap para Imam yang begitu ego sehinggakan beberapa teguran Al-Faqir kepada beberapa Imam membuatkan Al-Faqir ditamatkan dari menyampaikan pengajian di beberapa masjid. Bagi kami, bukanlah niat untuk memperlekehkan kewibawaan para Imam tetapi kebanyakan mereka hanyalah tertumpu kepada penghafalan ayat-ayat Al-Quran dengan bermodalkan suara yang merdu sehingga masyarakat melantik mereka sebagai Imam sedangkan syarat seseorang itu untuk menjadi Imam adalah dengan memahami semua hukum-hakam dalam memimpin solat berjemaah. Al-Faqir seringkali ditugaskan untuk memberikan panduan kepada beberapa Imam sebelum Tuan Guru Syeikh Nuruddin dijemput untuk menyampaikan ceramahnya kerana kami tidak mahu para Imam terasa diri diaibkan disebabkan beberapa kesalahan yang dilakukan ketika memimpin solat berjemaah.Alhamdulillah, ada di antara para Imam yang akur apatah lagi dengan hujah-hujah yang didatangkan berdasarkan kepada perbuatan Nabi ketika megajar cara menunaikan solat dengan sempurna. Malangnya ada juga di antara ketua Imam yang menghalang Imam-Imam yang lain memimpin solat Jumaat mengikut sunnah Nabi dan ini amat-amat dikesali. Alasan mereka hanyalah untuk meraikan mereka-mereka yang berkerja sedangkan ketua Imam sebegini tidak pernah untuk mempertimbangkan akhirat mereka sehingga sanggup menghalang Imam-Imam yang di bawahnya mengamalkan sunnah-sunnah Nabi. Ini terjadi kepada seorang Imam yang merupakan sahabat karib Al-Faqir sendiri yang membaca Surah Al-'Ala pada rakaat pertama dan Surah Al-Ghashiyah pada rakaat kedua solat Juma'at tetapi ketua Imam menegurnya semata-mata nak meraikan orangramai yang berkerja sedangkan perbuatan Imam yang mengamalkan sunnah tersebut tidaklah sampai menjadikan seseorang itu lambat masuk ke pejabat. Berapa ramai di antara mereka yang masih lagi membuang-buang waktu, duduk bersembang-sembang di kedai-kedai kopi sambil menghisap rokok selepas menunaikan solat Juma'at dan masih lagi belum masuk ke tempat kerja mereka.Jika dilihat kepada bacaan Imam yang mengamalkan sunnah Nabi tersebut dalam memimpin solat Jumaat, masa yang diambil tetap sama dengan Imam-Imam yang tidak mengamalkan sunnah dan kalaupun terlebih, hanyalah sekitar 3-4 minit sahaja. Seperkara lagi ialah tentang pembacaan khutbah Juma'at yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama di mana ianya dilihat meleret-leret dan inilah sebenarnya yang menjadi asbab kenapa begitu ramai jemaah tidur ketika khutbah disampaikan. Khutbah sepatutnya disampaikan dengan ringkas dan padat, cukup segala rukun-rukunnya dan solat yang didirikan adalah dengan bacaan surah yang telah diajar oleh Baginda Nabi Shallalahu Alayhi Wassalam. Maka dengan itu kita melihat, pembacaan khutbah tidak langsung memberi kesan kepada ramai jemaah kerana ia dibaca mengikut penyediaan yang telah disediakan. Sebaiknya para-para Imam diberi tugas untuk menyediakan khutbah-khutbah dan disemak oleh pihak Jabatan Agama kerana cara ini akan memberikan daya kreatif untuk berfikir kepada setiap Imam yang bertugas. Jika kita lihat, pihak-pihak yang terlibat dalam penyiaran program-program di telivisyen, maka kakitangannya akan diberikan tugas untuk meneribitkan sesuatu rancangan dan ini sepatutnya dilakukan oleh pihak Jabatan Agama untuk menggalakkan para Imam mempunyai daya fikir dan bukannya sekadar menjadi pelengkap kepada tugas yang diamanakan sehinggakan kita melihat seseorang Imam itu tidak lebih seumpama sebagai seorang tukang, setelah habis kerjanya, ambil gaji dan pulang. Al-Faqir juga menyeru kepada para Imam-Imam yang mengambil amanah untuk memimpin solat berjemaah agar lebih perihatin dalam melaksanakan tugas yang diberi agar para jemaah mendapat kesempurnaan dalam melaksanakan ibadat solat di mana ianya adalah yang terpenting sekali dalam ketogeri ibadah-ibadah yang lain.Jika kita tidak mampu untuk melaksanakan amanah ini mengikut apa yang telah ditetapkan berdasarkan kepada Kitab-Kitab Fiqh, Hadis-Hadis Nabi, maka adalah lebih baik bagi mereka untuk meletakkan jawatan sebagai Imam kerana di akhirat nanti, setiap Imam akan dipertanggung-jawabkan terhadap amanah yang dipikul. Apa nak dijawab dengan Baginda Nabi di akhirat nanti setelah kita yang sepatutnya menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sedangkan ia hanyalah perkataan kita sahaja di atas mimbar sedangkan ianya diabaikan begitu sahaja mengikut kemahuan kita.Firman Allah SWT bermaksud,"Kemudian kami jadikan kamu berada di atas urusan agama itu, maka itulah syariat dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui"-Al-Jatsiah:18.Begitu juga Allah berfirman,"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik......Al-Ahzab. Sabda Nabi Shallahu Alayhi Wassalam,"Orang yang paling keras siksanya di hari kiamat adalah orang 'alim yang tidak memberi menafaat dengan ilmunya". Allah juga berfirman,"Katakanlah (Wahai Muhammad),Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kita" -A'li Imran:31. Maka Al-Faqir menyeru para Imam agar tidak sewenang-wenangnya berijtihad mengikut kehendak mereka kerana segala-galanya telah diajar oleh Baginda Nabi dan jadikanlah diri kita sebagai "Qudwah Hasanah" yang boleh memberi menafaat kepada jemaah yang dipimpin.

Wednesday, April 10, 2013

Kuliah Subuh Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara.

Pada 6 April, Hari Sabtu yang lepas Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara.Disebabkan tidak ada tajuk khusus yang diberikan, maka Al-Faqir mengambil kesempatan untuk berbicara isu semasa iaitu selepas Parlimen dibubarkan tetapi tidaklah sampai untuk bercakap mengenai politik kepartian di dalam rumah Allah yang mulia. Di antara intipati yang disampaikan ialah bab mengenal Allah di mana disebabkan keghairahan masyarakat dengan pilihanraya, ada di antara mereka sehingga tidak lagi memperdulikan laungan azan yang dikumandangkan kerana terlalu sibuk untuk memasang bendera politik mereka.Al-Faqir melihat sendiri gelagat mereka yang memasang bendera politik ketika Al-Faqir sedang menuju ke sebuah surau sedangkan ketika itu Muazzin sedang melaungkan azan.Begitu juga ada di antara para jemaah yang tidak sempat untuk membaca wirid-wirid dan duduk dalam majlis ilmu yang diadakan kerana terlalu teruja untuk menonton berita di telivisyen yang berkisar kepada politik.Apakah politik ini yang akan menjamin masa depan kita di akhirat nanti, satu pertanyaan dari Al-Faqir kepada jemaah yang ada.Begitu juga, disebabkan politik, manusia sanggup mengenepikan adab-adab, bercakap dengan mengeluarkan kata-kata nista, fitnah, pembohongan dan sebagainya, apakah mereka ini tidak sedar bahawa setiap apa yang diucapkan itu didengari oleh Allah, setiap perbuatan buruk mereka juga disaksikan oleh Allah!!! Maka dengan itu Al-Faqir mengatakan, ramai yang tidak lagi kenal Allah, sifat dan Zatnya sehinggakan masih lagi melakukan perbuatan yang dibenci oleh Allah. Selain itu Al-Faqir juga menyentuh tentang kedudukan darjat manusia di atas mukabumi ini.Allah dan RasulNya tidak pernah memandang kekayaan, jawatan, kedudukan, kecantikan seseorang dan di sisi Allah semuanya sama kecuali mereka yang betul-betul bertaqwa kepada Allah.Malangnya mereka yang dianugerahkan oleh Allah dengan kelebihan seperti pangkat, kedudukan, kekayaan akan memandang sinis dan rendah terhadap mereka yang kurang dengan hartanya, rupa parasnya dan sebagainya. Maka tidak hairan jika yang dipaparkan di dada-dada akhbar, yang disiarkan di telivisyen, seringkali amah-amah yang menjadi mangsa dera sikaya kerana mereka miskin, tidak berjawatan dan tidak cantik.Al-Faqir juga memberi contoh di masjid berdekatan dengan rumah Al-Faqir, ada juga golongan kaya ini yang apabila bersalam, akan masam mukanya dan tidak memandang ke arah kita yang tidak sekedudukan dengan mereka. Mereka datang ke masjid dengan kenderaan mewah yang berbagai-bagai, begitu bangga dengan kekayaan yang dimilikinya sedangkan ia bukanlah satu jaminan untuk kebahagiaan di akhirat nanti.Al-Faqir membacakan satu Hadis yang disebut oleh Jabir r.a bahawasanya Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam bersabda,"Orang-Orang Miskin Daripada Umat Islam Akan Masuk Syurga Lebih Dahulu daripada Orang-Orang Kaya Selama 40 Tahun"-HR At-Turmidzi, Ahmad Dan Abdul Bin Humaid. Selain itu Al-Faqir juga mengingatkan para jemaah agar tidak terpedaya dengan janji-janji manusia yang mengatakan mereka akan menjamin masa depan kita sedangkan masa depan kita ialah di akhirat nanti sesuai dengan sabdaan Nabi yang mahfumnya,"Tiada Kehidupan Selain Daripada Kehidupan Di Akhirat".Manusia yang berjanji ini sendiripun tidak mampu untuk menjamin diri dan keluarganya mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat apatah lagi untuk menjamin seseorang untuk mendapatkan Syurga Allah.Penutupnya, Al-Faqir meminta para jemaah tidak terlalu terikut-ikut dengan politik tanahair kita yang banyak bercampur dengan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah seumpama rasuah, fitnah, kata-kata keji, mengaibkan sesama Islam dan sebagainya demi mencapai maksud mereka untuk mendapatkan kedudukan, pangkat dan jawatan, maka segala yang ditegah oleh Allah tidak lagi dipedulikan.

Wednesday, April 3, 2013

Program Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Alhamdulillah, Al-Faqir berkesempatan bersama Tuan Guru Baba Li atau Hj Ghazaly Ahmad, Ulama Tersohor Pattani dalam membahaskan tentang aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Surau al-Hakim Subang Bestari.Turut bersama Al-Faqir ialah Ustaz Osman Hj Abd Halim, Imam Masjid ar-Rahimah dan Ustaz Khusaini, Muazzin.Sememangnya permasalahan aqidah ini perlukan kepada penjelasan yang amat terperinci apatah lagi dengan adanya penyelewengan aqidah yang dibawa oleh golongan Mujassimah/Musyabihah sehinggakan ramai umat Islam tidak mengambil berat untuk mendalaminya.Ini sesuatu yang menjadi kerunsingan kami yang berjuang untuk menegakkan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah namun golongan-golongan Mujassimah/Musyabihah telah lebih dahulu menyebarkan fahaman mereka yang bathil bersumberkan kepada Kitab Aqidah Tohiwiyyah yang dipalsukan dan kandungannya penuh dengan fahaman Tajsim & Tasybih. Ketidakpekaan umat Islam tentang majlis ilmu yang membahaskan tentang perihal Aqidah menyebabkan begitu ramai yang sebenarnya tidak tahu bahawa secara tidak langsung mereka juga mengikut Aqidah Tajsim & Tasybih sedangkan permasalahan aqidah ini adalah pokok kepada keimanan seseorang.Dalam majlis tersebut juga dibahaskan bagaimana golongan Salaf memahami setiap apa yang ada di dalam Al-Quran, kemudian diikuti pula oleh golongan Khalaf yang banyak mentakwilkan ayat-ayat Mutasyabihat, sesuai dengan Zat Allah Yang Maha Agong.Golongan Mujassimah/Musyabihah hanyalah mengambil pendekatan memahami setiap ayat-ayat Mutasyabihat dan Hadis-Hadis secara literal sehinggakan perbuatan mereka itu telah menyamakan Allah dengan makhlukNya.Dalam perbahasan tersebut, Al-Faqir sempat juga berkongsi mengenai pemahaman kepada penafsiran "ISTAWA" kepada beberapa jemaah yang berjumpa kerana jika dirujuk kepada beberapa ayat tentang "ISTAWA", akan ada penyebutan kata "TSUMMA" yang menunjukkan pengertian untuk tertib susunan pemberitaan.Maksudnya ialah setelah Allah menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, kemudian Allah memberitakan kepada kita bahawa Dia menguasai Arasy' yang lebih besar dari kejadian lainnya. Jika dilihat kepada pemahaman golongan Mujassimah/Musyabihah yang banyak difahami oleh golongan Wahhabiah, sudah tentu dikatakan Allah itu duduk di atas Arasy dan sebahagian dari mereka mengatakan, "duduknya Allah tak sama dengan duduknya makhluk".Ternyata kedua-dua pemahaman ini amat bertentangan dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan membawa kepada Tajsim & Tasybih.Maka dengan itu, dalam program Aqidah ini, semua jemaah dibekalkan dengan ilmu agar tidak terpedaya dengan golongan-golongan yang membawa kerosakan aqidah umat Islam.Al-Faqir mengambil inesetif dengan mengajar bab Aqidah di beberapa masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur agar umat Islam juga tidak tertipu dengan Tauhid 3 yang dibawa oleh golongan-golongan Wahhabiyah.Semoga majlis ilmu sebegini dapat disemarakkan kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tergadai aqidah mereka kerena diperdaya oleh golongan Mujassimah dan Musyabihah.

Monday, April 1, 2013

Hadis Akhir Zaman.

Keghairahan umat Islam di akhir zaman ini ialah mengunjungi Kota Mekah dan Madinah untuk melaksanakan rukun Islam yang ke lima iaitu mengerjakan fardhu haji dan umrah.Alhamdulillah jika baik dengan niatnya maka apabila mereka balik dari menunaikan fardhu haji, akan berubahlah sikap mereka seumpama sebelum ini tidak rajin berjemaah di masjid, maka akan diteruskan dengan berjemaah di masjid-masjid serta menukar keperibadian dan akhlak mereka sendiri kepada yang lebih baik. Namun ada juga di antaranya yang hanya mengikut sahaja tanpa berdasarkan kepada ilmu dan tidak tahu apakah maksudnya mereka mengunjungi Kota Mekah dan Madinah.Ada di antaranya yang menyangka, hanyalah di Mekah dan Madinah tempat untuk mereka bertaubat dari dosa-dosa yang lalu, ada yang hanya pergi untuk melancong dan tidak kurang juga yang pergi disebabkan mengikut ajakan teman-teman ataupun saudara-mara yang lain.Bagi mereka, apabila berkunjung ke Tanah Haram, maka kan terampunlah segala dosa dan kesalahan yang lalu sehinggakan apabila balik ke tanahair, tetap juga dengan tingkah-laku yang tiada perubahan langsung.Inilah hakikat yang kita sendiri lihat pada hari ini kerana disebabkan ada duit yang lebih, maka digunakannya untuk sekadar melancong dan melihat-lihat dengan sendiri tentang keindahan Kota Mekah dan Madinah tanpa mendalami apa-apa ilmu bagi memberi menafaat kepada mereka setelah berada di Kota Suci Mekah dan Madinah.Maka benarlah sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Nabi Shallallhu Alayhi Wassalam dalam Hadis akhir zaman tentang umatnya di akhir zaman.