Wednesday, April 10, 2013

Kuliah Subuh Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara.

Pada 6 April, Hari Sabtu yang lepas Al-Faqir telah dijemput untuk menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara.Disebabkan tidak ada tajuk khusus yang diberikan, maka Al-Faqir mengambil kesempatan untuk berbicara isu semasa iaitu selepas Parlimen dibubarkan tetapi tidaklah sampai untuk bercakap mengenai politik kepartian di dalam rumah Allah yang mulia. Di antara intipati yang disampaikan ialah bab mengenal Allah di mana disebabkan keghairahan masyarakat dengan pilihanraya, ada di antara mereka sehingga tidak lagi memperdulikan laungan azan yang dikumandangkan kerana terlalu sibuk untuk memasang bendera politik mereka.Al-Faqir melihat sendiri gelagat mereka yang memasang bendera politik ketika Al-Faqir sedang menuju ke sebuah surau sedangkan ketika itu Muazzin sedang melaungkan azan.Begitu juga ada di antara para jemaah yang tidak sempat untuk membaca wirid-wirid dan duduk dalam majlis ilmu yang diadakan kerana terlalu teruja untuk menonton berita di telivisyen yang berkisar kepada politik.Apakah politik ini yang akan menjamin masa depan kita di akhirat nanti, satu pertanyaan dari Al-Faqir kepada jemaah yang ada.Begitu juga, disebabkan politik, manusia sanggup mengenepikan adab-adab, bercakap dengan mengeluarkan kata-kata nista, fitnah, pembohongan dan sebagainya, apakah mereka ini tidak sedar bahawa setiap apa yang diucapkan itu didengari oleh Allah, setiap perbuatan buruk mereka juga disaksikan oleh Allah!!! Maka dengan itu Al-Faqir mengatakan, ramai yang tidak lagi kenal Allah, sifat dan Zatnya sehinggakan masih lagi melakukan perbuatan yang dibenci oleh Allah. Selain itu Al-Faqir juga menyentuh tentang kedudukan darjat manusia di atas mukabumi ini.Allah dan RasulNya tidak pernah memandang kekayaan, jawatan, kedudukan, kecantikan seseorang dan di sisi Allah semuanya sama kecuali mereka yang betul-betul bertaqwa kepada Allah.Malangnya mereka yang dianugerahkan oleh Allah dengan kelebihan seperti pangkat, kedudukan, kekayaan akan memandang sinis dan rendah terhadap mereka yang kurang dengan hartanya, rupa parasnya dan sebagainya. Maka tidak hairan jika yang dipaparkan di dada-dada akhbar, yang disiarkan di telivisyen, seringkali amah-amah yang menjadi mangsa dera sikaya kerana mereka miskin, tidak berjawatan dan tidak cantik.Al-Faqir juga memberi contoh di masjid berdekatan dengan rumah Al-Faqir, ada juga golongan kaya ini yang apabila bersalam, akan masam mukanya dan tidak memandang ke arah kita yang tidak sekedudukan dengan mereka. Mereka datang ke masjid dengan kenderaan mewah yang berbagai-bagai, begitu bangga dengan kekayaan yang dimilikinya sedangkan ia bukanlah satu jaminan untuk kebahagiaan di akhirat nanti.Al-Faqir membacakan satu Hadis yang disebut oleh Jabir r.a bahawasanya Rasulullah Shallallhu Alayhi Wassalam bersabda,"Orang-Orang Miskin Daripada Umat Islam Akan Masuk Syurga Lebih Dahulu daripada Orang-Orang Kaya Selama 40 Tahun"-HR At-Turmidzi, Ahmad Dan Abdul Bin Humaid. Selain itu Al-Faqir juga mengingatkan para jemaah agar tidak terpedaya dengan janji-janji manusia yang mengatakan mereka akan menjamin masa depan kita sedangkan masa depan kita ialah di akhirat nanti sesuai dengan sabdaan Nabi yang mahfumnya,"Tiada Kehidupan Selain Daripada Kehidupan Di Akhirat".Manusia yang berjanji ini sendiripun tidak mampu untuk menjamin diri dan keluarganya mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat apatah lagi untuk menjamin seseorang untuk mendapatkan Syurga Allah.Penutupnya, Al-Faqir meminta para jemaah tidak terlalu terikut-ikut dengan politik tanahair kita yang banyak bercampur dengan perkara-perkara yang dibenci oleh Allah seumpama rasuah, fitnah, kata-kata keji, mengaibkan sesama Islam dan sebagainya demi mencapai maksud mereka untuk mendapatkan kedudukan, pangkat dan jawatan, maka segala yang ditegah oleh Allah tidak lagi dipedulikan.

No comments: