Friday, April 19, 2013

PERHATIAN UTK. IMAM YG MEMIMPIN SOLAT JUMA'AT.

Acapkali Tuan Guru Syeikh Nuruddin menegur para Imam-Imam yang memimpin Solat di mana kebanyakan mereka hanyalah berijtihad sendiri sehinggakan terlalu banyak sunnnah-sunnah Nabi yang diabaikan. Al-Faqir juga merasa kecewa dengan sikap-sikap para Imam yang begitu ego sehinggakan beberapa teguran Al-Faqir kepada beberapa Imam membuatkan Al-Faqir ditamatkan dari menyampaikan pengajian di beberapa masjid. Bagi kami, bukanlah niat untuk memperlekehkan kewibawaan para Imam tetapi kebanyakan mereka hanyalah tertumpu kepada penghafalan ayat-ayat Al-Quran dengan bermodalkan suara yang merdu sehingga masyarakat melantik mereka sebagai Imam sedangkan syarat seseorang itu untuk menjadi Imam adalah dengan memahami semua hukum-hakam dalam memimpin solat berjemaah. Al-Faqir seringkali ditugaskan untuk memberikan panduan kepada beberapa Imam sebelum Tuan Guru Syeikh Nuruddin dijemput untuk menyampaikan ceramahnya kerana kami tidak mahu para Imam terasa diri diaibkan disebabkan beberapa kesalahan yang dilakukan ketika memimpin solat berjemaah.Alhamdulillah, ada di antara para Imam yang akur apatah lagi dengan hujah-hujah yang didatangkan berdasarkan kepada perbuatan Nabi ketika megajar cara menunaikan solat dengan sempurna. Malangnya ada juga di antara ketua Imam yang menghalang Imam-Imam yang lain memimpin solat Jumaat mengikut sunnah Nabi dan ini amat-amat dikesali. Alasan mereka hanyalah untuk meraikan mereka-mereka yang berkerja sedangkan ketua Imam sebegini tidak pernah untuk mempertimbangkan akhirat mereka sehingga sanggup menghalang Imam-Imam yang di bawahnya mengamalkan sunnah-sunnah Nabi. Ini terjadi kepada seorang Imam yang merupakan sahabat karib Al-Faqir sendiri yang membaca Surah Al-'Ala pada rakaat pertama dan Surah Al-Ghashiyah pada rakaat kedua solat Juma'at tetapi ketua Imam menegurnya semata-mata nak meraikan orangramai yang berkerja sedangkan perbuatan Imam yang mengamalkan sunnah tersebut tidaklah sampai menjadikan seseorang itu lambat masuk ke pejabat. Berapa ramai di antara mereka yang masih lagi membuang-buang waktu, duduk bersembang-sembang di kedai-kedai kopi sambil menghisap rokok selepas menunaikan solat Juma'at dan masih lagi belum masuk ke tempat kerja mereka.Jika dilihat kepada bacaan Imam yang mengamalkan sunnah Nabi tersebut dalam memimpin solat Jumaat, masa yang diambil tetap sama dengan Imam-Imam yang tidak mengamalkan sunnah dan kalaupun terlebih, hanyalah sekitar 3-4 minit sahaja. Seperkara lagi ialah tentang pembacaan khutbah Juma'at yang disediakan oleh pihak Jabatan Agama di mana ianya dilihat meleret-leret dan inilah sebenarnya yang menjadi asbab kenapa begitu ramai jemaah tidur ketika khutbah disampaikan. Khutbah sepatutnya disampaikan dengan ringkas dan padat, cukup segala rukun-rukunnya dan solat yang didirikan adalah dengan bacaan surah yang telah diajar oleh Baginda Nabi Shallalahu Alayhi Wassalam. Maka dengan itu kita melihat, pembacaan khutbah tidak langsung memberi kesan kepada ramai jemaah kerana ia dibaca mengikut penyediaan yang telah disediakan. Sebaiknya para-para Imam diberi tugas untuk menyediakan khutbah-khutbah dan disemak oleh pihak Jabatan Agama kerana cara ini akan memberikan daya kreatif untuk berfikir kepada setiap Imam yang bertugas. Jika kita lihat, pihak-pihak yang terlibat dalam penyiaran program-program di telivisyen, maka kakitangannya akan diberikan tugas untuk meneribitkan sesuatu rancangan dan ini sepatutnya dilakukan oleh pihak Jabatan Agama untuk menggalakkan para Imam mempunyai daya fikir dan bukannya sekadar menjadi pelengkap kepada tugas yang diamanakan sehinggakan kita melihat seseorang Imam itu tidak lebih seumpama sebagai seorang tukang, setelah habis kerjanya, ambil gaji dan pulang. Al-Faqir juga menyeru kepada para Imam-Imam yang mengambil amanah untuk memimpin solat berjemaah agar lebih perihatin dalam melaksanakan tugas yang diberi agar para jemaah mendapat kesempurnaan dalam melaksanakan ibadat solat di mana ianya adalah yang terpenting sekali dalam ketogeri ibadah-ibadah yang lain.Jika kita tidak mampu untuk melaksanakan amanah ini mengikut apa yang telah ditetapkan berdasarkan kepada Kitab-Kitab Fiqh, Hadis-Hadis Nabi, maka adalah lebih baik bagi mereka untuk meletakkan jawatan sebagai Imam kerana di akhirat nanti, setiap Imam akan dipertanggung-jawabkan terhadap amanah yang dipikul. Apa nak dijawab dengan Baginda Nabi di akhirat nanti setelah kita yang sepatutnya menghidupkan sunnah-sunnah Nabi sedangkan ia hanyalah perkataan kita sahaja di atas mimbar sedangkan ianya diabaikan begitu sahaja mengikut kemahuan kita.Firman Allah SWT bermaksud,"Kemudian kami jadikan kamu berada di atas urusan agama itu, maka itulah syariat dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui"-Al-Jatsiah:18.Begitu juga Allah berfirman,"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik......Al-Ahzab. Sabda Nabi Shallahu Alayhi Wassalam,"Orang yang paling keras siksanya di hari kiamat adalah orang 'alim yang tidak memberi menafaat dengan ilmunya". Allah juga berfirman,"Katakanlah (Wahai Muhammad),Jika benar kamu mengasihi Allah, maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kita" -A'li Imran:31. Maka Al-Faqir menyeru para Imam agar tidak sewenang-wenangnya berijtihad mengikut kehendak mereka kerana segala-galanya telah diajar oleh Baginda Nabi dan jadikanlah diri kita sebagai "Qudwah Hasanah" yang boleh memberi menafaat kepada jemaah yang dipimpin.

No comments: