Wednesday, April 3, 2013

Program Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Alhamdulillah, Al-Faqir berkesempatan bersama Tuan Guru Baba Li atau Hj Ghazaly Ahmad, Ulama Tersohor Pattani dalam membahaskan tentang aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Surau al-Hakim Subang Bestari.Turut bersama Al-Faqir ialah Ustaz Osman Hj Abd Halim, Imam Masjid ar-Rahimah dan Ustaz Khusaini, Muazzin.Sememangnya permasalahan aqidah ini perlukan kepada penjelasan yang amat terperinci apatah lagi dengan adanya penyelewengan aqidah yang dibawa oleh golongan Mujassimah/Musyabihah sehinggakan ramai umat Islam tidak mengambil berat untuk mendalaminya.Ini sesuatu yang menjadi kerunsingan kami yang berjuang untuk menegakkan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah namun golongan-golongan Mujassimah/Musyabihah telah lebih dahulu menyebarkan fahaman mereka yang bathil bersumberkan kepada Kitab Aqidah Tohiwiyyah yang dipalsukan dan kandungannya penuh dengan fahaman Tajsim & Tasybih. Ketidakpekaan umat Islam tentang majlis ilmu yang membahaskan tentang perihal Aqidah menyebabkan begitu ramai yang sebenarnya tidak tahu bahawa secara tidak langsung mereka juga mengikut Aqidah Tajsim & Tasybih sedangkan permasalahan aqidah ini adalah pokok kepada keimanan seseorang.Dalam majlis tersebut juga dibahaskan bagaimana golongan Salaf memahami setiap apa yang ada di dalam Al-Quran, kemudian diikuti pula oleh golongan Khalaf yang banyak mentakwilkan ayat-ayat Mutasyabihat, sesuai dengan Zat Allah Yang Maha Agong.Golongan Mujassimah/Musyabihah hanyalah mengambil pendekatan memahami setiap ayat-ayat Mutasyabihat dan Hadis-Hadis secara literal sehinggakan perbuatan mereka itu telah menyamakan Allah dengan makhlukNya.Dalam perbahasan tersebut, Al-Faqir sempat juga berkongsi mengenai pemahaman kepada penafsiran "ISTAWA" kepada beberapa jemaah yang berjumpa kerana jika dirujuk kepada beberapa ayat tentang "ISTAWA", akan ada penyebutan kata "TSUMMA" yang menunjukkan pengertian untuk tertib susunan pemberitaan.Maksudnya ialah setelah Allah menciptakan langit dan bumi dalam masa enam hari, kemudian Allah memberitakan kepada kita bahawa Dia menguasai Arasy' yang lebih besar dari kejadian lainnya. Jika dilihat kepada pemahaman golongan Mujassimah/Musyabihah yang banyak difahami oleh golongan Wahhabiah, sudah tentu dikatakan Allah itu duduk di atas Arasy dan sebahagian dari mereka mengatakan, "duduknya Allah tak sama dengan duduknya makhluk".Ternyata kedua-dua pemahaman ini amat bertentangan dengan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan membawa kepada Tajsim & Tasybih.Maka dengan itu, dalam program Aqidah ini, semua jemaah dibekalkan dengan ilmu agar tidak terpedaya dengan golongan-golongan yang membawa kerosakan aqidah umat Islam.Al-Faqir mengambil inesetif dengan mengajar bab Aqidah di beberapa masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur agar umat Islam juga tidak tertipu dengan Tauhid 3 yang dibawa oleh golongan-golongan Wahhabiyah.Semoga majlis ilmu sebegini dapat disemarakkan kepada semua lapisan masyarakat agar tidak tergadai aqidah mereka kerena diperdaya oleh golongan Mujassimah dan Musyabihah.

No comments: